Wednesday, December 31, 2008

Selamat Tahun Baru 2009 - Kita Tentukan Masa Depan Sendiri


Hi Pelajar-pelajar

Nampaknya sudah menjadi satu kebiasaan setiap kali tahun baru menjelang pelbagai inspirasi dan idea akan muncul tetapi pastinya semua itu akan reda sebaik sahaja petang esok menjenguk dirinya. Tabiat manusia yang suka melupakan sesuatu setelah mengalami dugaan dalam kehidupannya. Manusia memang mudah lupa.

Buat pelajar nasihat saya ialah kekalkan keazaman kerana sudah pasti tahun 2009 akan menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan terutama buat mereka yang akan mengambil peperiksaan umum seperti STPM, SPM dan PMR serta UPSR. Hanya keazaman sahaja yang mampu memberikan anda semua tenaga untuk mengharungi tahun yang penuh rintangan ini. Teguhkan semangat untuk belajar dengan sering mengingatkan diri betapa pentingnya pendidikan untuk masa depan kita semua.

Dalam masa yang sama, saya berharap agar semua pelajar terus memberikan sokongan dengan melayari blog ini dari semasa ke semasa untuk maklumat karangan. Kalau anda semua sedari ada sedikit perubahan iaitu sudah ada tiga e-buku yang diterbitkan. Semua buku ini berguna untuk tatapan pelajar terutama yang akan menghadapi peperiksaan itu.

Buat saya, keazaman saya ialah untuk menghabiskan semua yang saya hajatkan dengan baik dan menjalani satu kehidupan yang penuh ceria terutama saya berharap semakin banyak gunung yang mampu saya daki dan semakin banyak karya saya hasilkan dalam masa yang terdekat ini. Blog ini akan terus saya usahakan walaupun mungkin tidak sekerap dahulu kerana keterbatasan masa dan tempat yang begitu jauh.

Akhir kata, doa saya sering bersama kalian semua kerana saya sedar betapa pentingnya pendidikan dan kehidupan manusia dan pelbagai cabaran yang menanti anda semua. Dalam hati saya yakin anda semua akan berjaya kerana anda semua menyedari matlamat hidup anda.

Semoga anda semua berjaya.

Cikgu Azman

Monday, December 29, 2008

Impak dan Langkah Atasi Pencemaran Alam Global


Karangan 6

Pencemaran alam telah menjadi satu isu global yang diputuskan oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu. Impak ini memberi kesan yang ketara kepada manusia terutama di Malaysia.

Nyatakan kesan-kesan negatif yang timbul daripada kemelut ini dan langkah mengatasinya.


Pencemaran alam memang telah menjadi satu ancaman utama dalam pembangunan manusia sejagat. Tindakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengakui berlakunya perubahan cuaca dunia akibat pencemaran yang dilakukan oleh manusia telah membuktikan masalah ini semakin kronik. Pencemaran alam memang disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri sehingga menyebabkan banyak impak negatif yang timbul. Agaknya manusia tidak serik melihat kemusnahan yang mereka lakukan selama ini?

Bencana alam semakin menjadi-jadi terutama di Kuala Lumpur. Kawasan tanah runtuh di Ampang dan Puchong suatu ketika dahulu begitu menakutkan masyarakat di sini. Banjir kilat yang pasti berlaku sebaik sahaja hujan turun menyebabkan masyarakat berjaga-jaga setiap kali musim hujan menjelang. Keadaan ini menyebabkan kehidupan masyarakat dalam risiko dan menimbulkan rasa takut dalam perasaan mereka. Sekali hujan, sekali banjir, sekali Kuala Lumpur berubah.

Tambahan pula, kejadian tanah runtuh dan banjir serta jerebu membawa keadaan kesihatan masyarakat yang kurang baik.Kejadian demam, batuk dan wabak penyakit yang merebak menyebabkan kos rawatan perubatan masyarakat kita terus meningkat. Keadaan ini sudah pasti membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa memikirkan keseinambungan hidup selain mendapatkan rawatan penyakit mereka. Jadi,pencemaran alam memang memberi impak yang ketara dalam kehidupan kita.

Lantaran itu, masyarakat kita terutama generasi muda yang dilahirkan ialah generasi yang sudah terdedah dengan pencemaran alam. Generasi muda kita ialah generasi yang sudah ‘sakit’. Jadi, tidaklah kita terkejut apabila kita sering mendapat khabar tentang golongan belia yang tidak mampu untuk mengharungi cabaran alam yang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi. Generasi muda mudah berasa penat dan tidak mampu menyelesaikan masalah fizikal yang mereka tempuhi. Mungkin juga generasi muda kita kekurangan kemahiran mendengar atau mempunyai penyakit lelah sejak kecil.

Imej negara sudah pasti akan terjejas terutama pada mata masyarakat antarabangsa. Pada mereka sikap masyarakat negara ini yang tidak peka yang menyebabkan alam kita tercemar begitu teruk. Kita dipandang sebagai masyarakat materialistik kerana terlalu ghairah memusnahkan alam semata-mata untuk mengaut keuntungan kebendaan. Kehadiran pelancong turut berkurangan bukan sahaja imej negara tetapi kurangnya kawasan untuk dilawati akibat pencemaran alam ini.

Mungkin langkah yang terpenting dalam menangani isu ini ialah kerajaan menguatkuasakan akta yang lebih tegas dan berat hukumannya. Kerajaan hendaklah berani mengambil tindakan bersama-sama menghukum pesalah pencemaran alam ini tanpa rasa segan silu. Kerajaan perlulah mempamerkan sikap yang telus dalam memastikan alam kita terus terbela. Kerajaan merupakan benteng pertama negara dalam menentang pencemaran alam.

Kesimpulannya, semua pihak harus menjadikan alam sebagai fokus perjuangan mereka. Alam bukanlah hak kita tetapi alam warisan yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang. Jadi, alam bukan satu anugerah tetapi satu tanggung jawab yang memerlukan pengorbanan masyarakat untuk memastikan alam terus menerus diwarisi oleh manusia sejagat. Mungkin kali ini kita akan berjaya menangani kemelut yang semakin mencengkam ini.

Thursday, December 25, 2008

Buku E-Perkataan Banyak Makna 2009 Keluaran Khas


Buku E-Perkataan Banyak Makna 2009 ini berguna buat pelajar terutama untuk memahami maksud pelbagai perkataan yang ejaannya serupa tetapi ada banyak makna yang mengelirukan. Pelajar akan dapat mengetahui perbezaan dan penggunaan perkataan itu dalam bentuk ayat-ayat yang tertentu.

Sudah pasti buku ini membawa faedah kepada pelajar yang sering menghadapi masalah untuk menyelesaikan tatabahasa mereka. Dalam masa yang sama pemilikan buku ini memudahkan mereka untuk membina ayah yang diperlukan.

Harga buku ini hanya RM10 dan sesiapa yang berminat sila emel kepada saya:

azmanukm@gmail.com
atau
azmanukm@tm.net.my

Bakal terbit Buku E-Perkataan-perkataan Canggih (Untuk Karangan)

Monday, December 22, 2008

Karangan Kebaikan Program Penswastaan Negara


Karangan 5

Negara kita telah memperkenalkan Dasar Penswastaan. Ada pelbagai impak dasar ini kepada negara walaupun mendapat bantahan pada peringkat awal pelaksanaannya.

Terangkan kebaikan-kebaikan dasar ini.


Dasar penswastaan telah dimulakan dalam era pemerintahan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed pada pertengahan 80-an. Dalam dasar ini agensi kerajaan telah dijual kepada syarikat untuk diuruskan sebagai sebuah syarikat. Dasar ini walaupun telah menerima pelbagai kritikan pada peringkat awalnya telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa kerana kejayaannya dalam beberapa aspek terutama kewangan.

Kebaikan dasar ini yang ketara ialah kerajaan mampu mengurangkan perbelanjaannya dalam menguruskan negara. Peruntukan yang sepatutunya diberikan kepada agensi kerajaan yang sudah diswastakan itu boleh disalurkan untuk kegunaan projek pembangunan lain yang lebih penting. Keadaan ini memastikan bebanan kewangan negara tidak menjadi satu alasan untuk tidak menjalankan sesuatu projek pembangunan. Dasar ini turut memastikan semua projek pembangunan berjalan lancar.

Malah, tahap perkhidmatan agensi kerajaan yang sudah diswastakan itu akan meningkat dengan drastik. Peningkatan ini berkaitan dengan konsep keuntungan yang dipentingkan dalam pengurusan sesebuah syarikat. Agensi yang telah diswastakan itu akan memperoleh keuntungan jika prestasi pekerja dan perkhidmatan mereka ditingkatkan pada satu tahap yang jauh berbeza sebelum daripada dasar penswastaan dilaksanakan. Justeru itu, mutu perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat akan meningkat dan menguntungkan mereka.

Peningkatan tahap perkhidmatan ini secara tidak langsung telah menyebabkan wujudnya satu persaingan sihat antara pekerja dalam agensi yang baru diswastakan atau di dalam negara secara amnya. Persaingan ini akan menghasilkan satu budaya kerja yang luar biasa sehingga menyebabkan produktiviti sesebuah agensi yang sudah diswastakan itu bertambah dengan baik dalam masa yang singkat. Sememangnya, pekerja akan bersaing untuk memastikan mereka terus relevan di dalam agensi yang diswastakan tersebut.

Tambahan pula, persaingan yang sengit ini sudah pasti menyebabkan peluang pekerjaan bertambah kerana sudah pasti lebih banyak peluang ekonomi terbuka dalam dunia yang penuh persaingan. Pelbagai idea baru turut terhasil melalui persaingan ini yang memerlukan satu tahap kemahiran kerja yang tinggi. Aspek ini mendorong pelbagai jenis pekerjaan baru terhasil di negara ini.

Selain itu, dasar ini memberi satu suntikan baru kepada imej negara. Masyarakat luar akan melihat Malaysia sebuah negara yang cekap dan efektif terutama dalam menguruskan negara. Kemampuan negara terjelma melalui sistem pentadbiran yang sistematik, pengangkutan awam yang menyeluruh, kemudahan bertaraf antarabangsa, dan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan tinggi. Negara akan dianggap sebagai negara contoh dalam perbandingan pembangunannya.

Secara amnya, memang dasar ini membawa kebaikan yang tidak terhingga. Syarikat seperti TELEKOM, TNB, dan POS MALAYSIA merupakan agensi kerajaan yang telah diswastakan dan telah menunjukkan peningkatan dalam perkhidmatan mereka. Perubahan ini dijangka akan terus berlaku dalam tahun-tahun mendatang kerana sudah pasti mereka akan bersaing dengan syarikat-syarikat lain yang turut mahu mengaut keuntungan seperti mereka.

Tuesday, December 16, 2008

Buku Keluaran Khas E-Karangan 2009 dan E-Peribahasa 2009

Kedua-dua buku ini telah dihasilkan untuk memudahkan pelajar membuat rujukan pantas sebelum menghadapi peperiksan. Semua bahan yang disediakan mudah untuk dibaca dan dirujuk.

Buku E-Karangan 2009 merangkumi semua skop peperiksaan yang penting seperti tentang pencemaran, kes-kes sosial dan isu-isu semasa negara yang telah digubah dengan sistematik untuk tatapan semua.

Manakala buku E-Peribahasa pula telah disusun mengikut kategori seperti perumpamaan, bidalan dan simpulan bahasa untuk memudahkan pelajar memahami semua peribahasa yang penting.

Sesiapa yang berminat dengan kedua-dua e-buku ini sila emel kepada saya.

azmanukm@tm.net.my

Bakal terbit e-kata banyak makna.

Monday, December 15, 2008

Karangan kepentingan kawasan permainan perumahan


Karangan 4

Kerajaan telah mewajibkan pemaju perumahan untuk mewujudkan kawasan rekreaksi di kawasan perumahan. Tindakan ini telah menerima sambutan baik masyarakat.

Huraikan kesan-kesan positif yang timbul daripada pengenalan peraturan ini.


Taman rekreasi merupakan satu kawasan lapang yang penting terutama di kawasan perumahan. Usaha kerajaan mewajibkan setiap projek perumahan mempunyai taman rekreasi merupakan satu langkah bijak kerajaan. Tindakan ini sepatutnya dilakukan sejak dahulu kerana kewujudan taman rekreasi memastikan pelbagai impak positif muncul.

Sudah pasti kebaikan yang ketara ialah taman ini menjadi tempat permainan kanak-kanak. Kita semua sedia maklum bahawa dalam dunia yang penuh cabaran ini, ibu bapa sibuk bekerja sehingga menyebabkan anak-anak bersendirian di rumah. Jadi, kewujudan taman rekreasi di kawasan perumahan menjadi satu medan untuk golongan kecil ini bergembira dan melepaskan perasaan mereka sebagai kanak-kanak. Hidup kanak-kanak terkongkong di rumah tetapi bebas di taman rekreasi.

Malah, kewujudan taman rekreasi ini menjadi tempat berkumpul dan mengeratkan hubungan antara jiran tetangga. Kebiasaannya ibu bapa akan menghantar anak-anak mereka bermain di taman ini dan sementara menunggu anak-anak bermain, ibu bapa akan berbual dengan jiran-jiran yang turut menunggu anak-anak mereka. Interaksi ini memastikan hubungan antara masyarakat lebih mesra dan terjalin rapat.

Malahan, taman rekreasi boleh dijadikan tempat untuk menjalankan sesuatu majlis yang bercorak kejiranan. Majlis seperti majlis perkahwinan, pesta kejiranan, dan rumah terbuka boleh dijalankan di kawasan taman rekreasi itu. Kawasannya yang luas dan selalunya di tengah-tengah kawasan perumahan memudahkan untuk semua pihak datang dan terlibat dalam majlis itu. Dalam masa yang sama kos majlis mampu dikurangkan berbanding majlis yang diadakan di dewan serba guna atau dewan hotel.

Mungkin satu lagi kebaikan taman rekreasi ialah kawasan ini boleh menjadi tempat menghilangkan penat setelah bekerja. Suasananya yang tenang dengan kehijauan dan mungkin ada tasik di sekitarnya memberi satu perasaan hening yang diperlukan oleh manusia setelah penat bekerja di pejabat. Keadaan ini dapat mengurangkan tekanan di pejabat dan memastikan seseorang itu memperoleh tenaga untuk meneruskan kehidupannya.

Akhir sekali, kawasan rekreasi ini memastikan wujudnya kawasan hijau di sesebuah kawasan perumahan itu. Kawasan hijau ini turut membuktikan kesegaran dan suasana nyaman masih wujud di kawasan perumahan tersebut. Tambahan pula, kawasan perumahan akan lebih menarik kalau mempunyai taman rekreasi. Habitat serangga yang kecil turut terhasil dengan kewujudan taman ini.

Kesimpulannya, kawasan rekreasi bukanlah satu pilihan tetapi wajib dibina oleh pemaju perumahan. Kerajaan harus memantau perkara ini supaya pemaju perumahan tidak berdolak-dalih dalam pembinaannya. Kerajaan perlu bertegas dalam isu ini kerana sudah agak lama isu ini dibiarkan tanpa diberi perhatian oleh kerajaan. Malah, pemaju perumahan seharusnya menggunakan taman rekreasi sebagai unsur penting dalam mengiklankan projek perumahan mereka.


Tuesday, December 09, 2008

Karangan kepupusan hutan belantara negara


Karangan 3

Hutan negara kita semakin pupus lantaran sikap sesetengah masyarakat yang menjalankan aktiviti pembalakan terutama secara haram. Pelbagai usaha telah dilakukan tetapi masih gagal.

Jelaskan langkah-langkah yang mampu diambil oleh kerajaan dalam menangani kemelut ini.


Sememangnya hutan negara sedang mengalami proses kemusnahan yang mahu hebat. Setiap hari akhbar akan menyiarkan kemusnahan hutan, hidupannya dan impak sampingannya seperti kejadian banjir serta tanah runtuh. Cuma, masyarakat masih belum menyedari dan mengambil pengajaran daripada berita-berita yang menyedihkan ini. Kerajaan pula memang mempunyai tanggung jawab besar untuk memastikan hutan negara terus wujud dalam tempoh 100 tahun akan datang dengan melakukan pelbagai langkah drastik.

Sebenarnya, tindakan yang paling mudah ialah kerajaan mewartakan semua kawasan hutan sebagai Taman Negara dan Hutan Simpan Kekal. Tindakan secara undang-undang ini memastikan kawasan hutan itu akan terus terpelihara tanpa ada usaha untuk menebangnya demi mengaut keuntungan jangka pendek. Peruntukan undang-undang turut memberi satu peringatan yang jelas bahawa kerajaan memang serius dalam usahanya untuk mengawal kemusnahan hutan yang merupakan khazanah tidak ternilai negara itu.

Tindakan ini dipanjangkan terhadap hukuman kepada pesalah yang memusnahkan hutan negara. Hukuman yang dikenakan haruslah lebih berat yang melibatkan hukuman penjara dan denda. Pesalah turut dimaklumkan kesalahannya di dalam media massa untuk memberi peringatan kepada masyarakat. Sikap tegas dan telus kerajaan dalam melaksanakan undang-undang memberi impak yang ketara dalam usaha menangani kemusnahan hutan.

Malah, kerajaan boleh mewajibkan semua pokok yang ditebang atas sebarang aktiviti ekonomi seperti projek perumahan, pembalakan, dan pembinaan empangan diganti secepat mungkin dalam kuantiti yang tertentu. Kerajaan boleh mengenakan syarat bahawa setiap pokok yang ditebang harus diganti dengan dua atau tiga batang pokok. Langkah ini akan menyebabkan semua ahli perniagaan berfikir dua kali sebelum bersetuju untuk menjalankan sebarang projek atau berhati-hati dalam tindakan mereka menebang pokok yang berada di dalam kawasan projek mereka.

Langkah ini boleh dilanjutkan dengan menjalankan kempen kesedaran terutama dalam kalangan remaja. Pihak kerajaan seharusnya menjalakan kempen di sekolah-sekolah dengan menerangkan peri pentingnya hutan dalam ekosistem kita terutama ketika dunia sedang mengalami perubahan cuaca global ini. Remaja yang sudah memahaminya akan lebih bijak bertindak apabila mereka menjadi dewasa atau terlibat dalam projek pembangunan yang memerlukan satu kawasan hutan dimusnahkan. Lagipun, remajalah yang akan menjadi warisan hutan negara kita.

Selain itu, pasukan penguatkuasa terutama renjer hutan harus ditambah jumlahnya. Kawasan hutan yang terlalu luas agak sukar untuk dipantau oleh kaki tangan yang kecil bilangannya. Penggunaan teknologi seperti kapal terbang, satelit dan helikopter untuk tujuan pengawasan turut memudahkan kerja kerana kawasan hutan negara memang luas. Pengawasan yang cekap mampu memastikan kawasan hutan belantara kita tidak dicerobohi begitu mudah.

Kesimpulannya, masalah hutan negara memang serius dan semua pihak harus bertanggungjawab. Usah kita semua menuding jari tanpa mahu menerima atau mengakui kesilapan yang telah berlaku. Semua pihak harus duduk semeja dan mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut yang memang sukar diatasi ini. Tanpa kerjasama semua terutama masyarakat, hutan kita pasti akan lenyap.

Friday, December 05, 2008

Karangan Sebab-sebab menganggap industri kraf tangan tidak bernilai?


Karangan 2

Penduduk desa telah dinasihatkan supaya membuat barangan kraf tangan untuk dijual kepada masyarakat. Namun, masih ada pihak yang mempertikaikan usaha mereka ini.

Jelaskan sebab-sebab mereka berpendapat usaha penduduk desa ini sia-sia.


Penduduk desa sudah mula memberikan perhatian terhadap penghasilan kraf tangan terutama untuk dijual. Sikap positif mereka ini telah didorong oleh tindakan kerajaan yang giat memberi galakan supaya mereka menjalankan aktiviti kraf tangan ini untuk menambah pendapatan mereka. Cuma yang menyedihkan ialah masih ada suara-suara sumbang yang menganggap tindakan penduduk desa ini tidak akan berjaya. Jadi, apakah pencetus yang menyebabkan ada segelintir pihak yang memandang rendah usaha penduduk desa ini?

Anggapan yang paling mudah ialah golongan ini memandang rendah mutu kerja penduduk desa. Pada firasat mereka, kualiti yang diperlihatkan selama ini masih di takuk lama yakni tiada perubahan drastik seperti reka bentuk dan penggunaan warna produk. Mereka menganggap aktiviti sampingan penduduk desa ini memang tidak mengutamakan kualiti. Pada mata golongan ini, kualiti barangan luar negara sahaja yang lebih baik walaupun anggapan mereka itu jauh daripada kebenarannya seperti peribahasa “jauh panggang daripada api”.

Faktor yang kedua sudah pasti aspek pemasaran kraf tangan penduduk desa itu sendiri. Pihak yang memandang rendah aktiviti ini mengutarakan ketiadaan usaha-usaha konkrit untuk memasarkan hasil kraf tangan ini terutama di pasaran antarabangsa. Ketiadaan usaha ini atau lebih tepat lagi agensi khas untuk memasarkan kraf tangan telah membantutkan pasaran kraf tangan negara. Mereka mahu kerajaan menubuhkan sebuah agensi khas untuk tujuan pemasaran barangan kraf ini sahaja.

Selain itu, kekurangan pelancong asing di negara ini turut menjadi alasan golongan yang menentang usaha membuat kraf tangan ini. Jumlah pelancong asing yang kecil dan kekurangan minat dalam kalangan pelancong tempatan untuk membeli hasil kraf tangan pada mereka telah menyebabkan usaha ini tidak perlu diteruskan atau diberi galakan. Mereka berpendapat jumlah pelancong asing yang lebih ramai harus disediakan sebelum usaha kraf tangan ini diberi galakan yang menyeluruh.

Alasan yang agak mengelirukan ialah ketiadaan sokongan kerajaan dalam usaha meningkatkan industri kraf tangan negara. Golongan ini berpendapat kerajaan tidak memberi galakan yang secukupnya seperti ketiadaan pelepasan cukai keuntungan atau memberi bantuan teknikal dalam usaha menembusi pasaran luar negara. Mungkin golongan ini terlalu bergantung kepada kerajaan tanpa berusaha sendiri untuk mencari jalan atau rakan niaga di luar negara dalam usaha mengembangkan pasaran kraf tangan negara.

Kesimpulannya, agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti KEMAS, Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan harus memandang serius tanggapan negatif segelintir masyarakat kita ini. Agensi kerajaan itu haruslah proaktif dalam membuat perancangan untuk menangani pandangan negatif mereka ini. Mungkin agensi kerajaan ini harus menggunakan pendekatan yang baru atau unik dalam usaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa kraf tangan negara memang berpotensi untuk dikembangkan secara komersial.

Monday, December 01, 2008

Karangan Perindustrian Negara


Karangan 1

Negara kita telah mengutamakan perindustrian untuk mencapai era negara moden. Kerajaan telah menjalankan pelbagai dasar untuk meningkatkan tahap industri negara.

Terangkan kebaikan-kebaikan yang terjelma melalui langkah kerajaan ini.

Sememangnya negara kita telah memberi penekanan yang ketara terhadap aspek perindustrian terutama sejak awal tahun 80-an yakni era pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed. Penekanan ini sejajar dengan dasar kerajaan kita untuk mencapai tahap negara maju menjelang tahun 2020. Namun, perindustrian memang membawa pelbagai kebaikan kepada negara dan rakyat tanpa sebarang pertikaian lagi.

Kebaikan yang dibawa oleh perindustrian terhadap negara ialah dasar ini menyebabkan negara kita mampu mengurangkan import terutama barangan tertentu. Pengurangan import ini berupaya dilakukan kerana sektor industri negara telah berjaya menghasilkan produk tersebut pada harga yang lebih murah. Situasi ini turut memberi kesan terhadap sumber kewangan negara kerana kurang wang diperlukan untuk membayar harga barangan yang diimport. Lantas, wang tersebut mampu digunakan untuk pembangunan sektor lain.

Jadi, sumber kewangan negara yang berlebihan itu digunakan untuk meninggikan taraf hidup rakyat. Peningkatan taraf hidup ini dikaitkan dengan terhasilnya kemudahan-kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, dan pengangkutan yang bertaraf tinggi kepada rakyat. Semua kemudahan ini dinikmati oleh rakyat negara kita tanpa perlu membayar kos yang lebih mahal. Kemudahan ini turut memudahkan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian mereka.

Selain itu, penubuhan kilang menjadi antara intipati perindustrian. Kilang terpaksa dibina untuk menghasilkan pelbagai produk mengikut permintaan masyarakat antarabangsa. Justeru, permintaan terhadap bahan mentah negara akan meningkat. Hasil bahan mentah negara seperti bijih timah, getah, dan kayu akan meningkat selaras dengan perkembangan industri produk tersebut. Harga komoditi negara itu sudah pasti akan turut meningkat dengan mendadak yang menguntungkan rakyat negara ini.

Malah, penubuhan kilang ini sudah pasti memerlukan bilangan sumber manusia yang banyak. Rakyat negara ini akan mempunyai pekerjaan yang banyak atau boleh membuat pilihan. Kewujudan peluang pekerjaan ini sudah pasti menyaksikan negara ini mempunyai satu dimensi rakyat yang tidak bimbang tentang masa depan mereka kerana yakin kemampuan sektor perindustrian untuk terus berkembang dalam tempoh yang panjang.

Lantaran itu, semua perkara yang dinyatakan di atas telah menyebabkan imej negara turut meningkat. Masyarakat antarabangsa melihat negara kita sebagai sebuah negara yang mempunyai aktiviti ekonomi yang kukuh dan stabil. Pada mata mereka, negara kita telah berjaya menghasilkan satu bentuk kehidupan yang lebih baik daripada negara-negara jiran atau negara di benua lain yang masih berada di tahap yang menyedihkan. Imej yang baik di persada dunia ini sudah pasti memberi kesan psikologi terhadap rakyat negara kita yang berasa bangga tinggal di Malaysia.

Kesimpulannya, sektor perindustrian mampu membawa pelbagai impak positif kepada rakyat negara ini. Cuma dalam keghairahan kita menempa kejayaan dalam bidang ini, semua pihak harus menyedari impak negatif yang turut mampu terhasil akibat sektor ini. Mungkin kita harus merenung secara mendalam penekanan kita dalam bidang ini sebelum impak yang buruk menjadi ketara menjelang alaf mendatang.

Ibu bapa zaman ini penting memahami kefahaman erti pendidikan azali


Ibu bapa penting dalam menentukan hala tuju pendidikan negara

Saya menyokong benar pandangan seorang pembaca dalam akhbar The Star yang menganggap bahawa pendidikan zaman sekarang harus menekankan aspek mendidik dan bukannya menghasilkan pelajar kategori A yang menghafal sahaja. Huraian beliau tentang pengalamannya menunggu keputusan UPSR anak perempuannya begitu menarik dan melucukan dalam satu segi lain. Dalam hati saya ucapkan tahniah buat si ayah itu kerana saya percaya beliau memahami erti pendidikan sebenar.

Sebagai seorang guru, saya mengaku saya pernah didatangi oleh beberapa ibu bapa yang seolah-olah 'memberi kata dua' kepada saya seperti 'Cikgu azman, saya tak mahu C,B tapi A untuk anak saya”, “Saya mahu cikgu beri latihan banyak-banyak sampai anak saya berjaya” dan sebagainya. Malah, ada ibu bapa yang pelik juga dalam memastikan anak mereka berjaya ini dengan pelbagai permintaan yang saya rasa tidak sesuai ditonjolkan di ruangan ini.

Perlu difahami di sini bahawa saya bukannya menentang pelajar rajin belajar tetapi saya berpendapat setiap pelajar ada kelebihan dan kekurangannya. Ada yang bagus dalam pelajaran dan tidak kurang yang mahir dalam bidang lain terutama kesenian dan kemahiran teknologi. Perkara yang ingin saya tekankan ialah pendidikan di sekolah, kolej, dan univerisiti bukan kilang menghasikan manusia yang hanya tahu A bererti kejayaan dalam semua aspek kehidupan. Itu kepercayaan saya.

Jadi, berbalik kepada ibu bapa tadi, saya berpendapat ibu bapa mempunyai beberapa kriteria yang menjadikan mereka ini suka memaksa anak mereka menjadi anak kategori A. Pertama, ibu bapa ini jenis yang tidak memahami keperluan emosi atau peribadi anak mereka sendiri. Bayangkan ada ibu bapa yang bersama-sama anak mereka 24 jam sejak dilahirkan masih tidak tahu perkara yang dihajati oleh anak merea untuk hadiah hari jadi? Ya, saya pernah didatangi oleh seorang ayah yang bertanyakan saya tentang hadiah yang patut diberikan kepada anaknya. Saya hanya mengerutkan dahi kepala saya. Keliru.

Kedua, kategori ibu bapa yang ingin menebus kegagalan atau ketidakupayaan mereka dahulu ketika bersekolah. Ibu bapa jenis ini sering menekankan betapa mereka dahulu kurangan wanglah, peluang dan sebagainya untuk belajar. Kini, anak mereka menjadi mangsa untuk meneruskan atau menyambung semula impian mereka itu. Jadi, kalau anak ingin menjadi pelukis, pasti akan diherdik bukan-bukan tetapi kalau si anak mahu menjadi akauntan bertauliah diberi semua keperluan peperiksaan. Menarik.

Kategori ketiga ialah ibu bapa yang suka bersaing dengan jiran mereka. Inilah kategori yang paling saya benci kerana kategori ini sering berlumba-lumba dan memaksa anak mereka dengan begitu ketara. Kejayaan anak jiran pasti menjadi berita hangat dalam setiap tajuk perbualan keluarga kategori ini. Si anak hanya tunduk mendengar sahaja tetapi saya percaya dalam hati mereka penuh dengan rasa meluat dan bosan.Sedihkan.

Jadi, apa jalan menyelesaikannya. Pertama, ibu bapa harus menerangkan kepentingan pendidikan dalam hidup. Ya, ibu bapa boleh gunakan kesengsaraan atau kegagalan mereka dahulu sebagai satu contoh tetapi hanya sebagai contoh sahaja. Penerangan sebegini menjadikan si anak lebih rela mendengar dan cuba memahami sebab si ayah atau si ibu sering memaksa mereka belajar dengan tekun.

Kedua, ibu bapa harus memahami kelebihan dan kekurangan anak mereka. Selalu lihat tindakan-tindakan tersirat yang muncul seperti sikap si anak yang suka bercerita tentang sesuatu subjek itu atau kemalasan anak untuk melakukan sesuatu kerja sekolah. Apabila sudah diketahui bawa berbincang dengan si anak untuk memahami masalah itu dengan lebih lanjut lagi. Keadaan ini memudahkan ibu bapa dan si anak memahami keperluan satu sama lain dan mencari jalan penyelesaiannya.

Ketiga, ibu bapa harus menerima anak dengan sepenuhnya. Kalau si anak berjaya, tahniah harus diberikan dan jika si anak gagal, pelukan harus dihulurkan kerana apa-apa yang berlaku itu merupakan anak kita. Zuriat yang diberi tanggung jawab untuk kita mendidik dengan sebaik mungkin bukannya meminggirkan mereka.

Pasti ada ibu bapa yang tidak memahami perkara yang saya luahkan ini. Jadi, elok saya mudahkan sahaja dengan mengucapkan perkataan iaitu “Jangan paksa anak kita, biarkan keinginan itu timbul sendiri” kerana saya percaya tidak ada manusia di dunia ini yang suka dirinya dipaksa melakukan perkara apa-apa pun termasuklah belajar dengan rajin. Anda suka dipaksa belajar?

Monday, November 24, 2008

Belajar mesti ada minat


Semuanya bermula dengan minat seseorang

Dalam hidup kita mesti ada ada pilihan kerana itu merupakan satu lumrah dalam hidup seseorang. Minat bermaksud kita melakukan sesuatu tindakan atau perkara itu dengan penuh kerelaan tanpa rasa menyesal jika gagal mencapai pun perkara itu. Manakala terpaksa pula berunsur negatif iaitu melakukan sesuatu dengan perasaan yang berat atau lebih tepat tidak suka melakukan perkara itu.

Dalam hidup pelajar, minat merupakan satu aspek yang amat penting sebelum peroleh kejayaan dalam peperiksaan. Pelajar yang berminat untuk belajar akan mendapati bahawa proses pembelajaran begitu menarik dan mudah walaupun mereka sedang mempelajari bahagian yang paling sukar dalam pelajaran itu. Minat memberikan satu kesungguhan untuk memahami perkara yang sedang diterangkan oleh guru dalam subjek tertentu itu.

Pernahkah anda semua terfikir mengapakah anda mudah memahami satu subjek itu tetapi mengambil masa yang panjang untuk memahami subjek yang lain pula? Sudah pasti ada pelajar yang mengalaminya dan sekarang anda semua sudah sedar bahawa perbezaan itu wujud kerana subjek yang anda berjaya itu ialah subjek yang anda minat.

Jadi bagaimana hendak menimbulkan minat terutama terhadap subjek yang memang kita benci? Mungkin untuk mendapat kefahaman yang jitu tentang minat ini pelajar harus sering bertanya kepada diri sendiri beberapa persoalan:

(1)subjek ini amat penting dalam peperiksaan?
(2)subjek ini mampu memberi pengetahuan yang berguna pada masa depan?
(3)apakah keunikan subjek ini yang boleh menarik minat saya?

Semua pertanyaan itu bertujuan untuk mencipta minat dalam diri pelajar kerana ada sesetengah orang memang sudah mempunyai minat sejak awal lagi tetapi ramai yang perlu dibangkitkan minat mereka terhadap sesuatu perkara itu.

Kalau pelajar sudah mempunyai minat maka, pelajar sudah memasuki satu alam yang menyediakan mereka untuk belajar dengan baik.

Ingat minat cetuskan kejayaan anda semua.

Saturday, November 22, 2008

Percaya diri resipi berjaya


Percaya diri amat penting untuk berjaya buat pelajar

Ada pelbagai teori yang dipaparkan mengenai kejayaan seseorang. Ada yang mengaitkan keluarga, agama, pendidikan dan tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan tuah seseorang. Buat saya kejayaan seseorang itu banyak bergantung kepada dirinya sendiri terutama pada peringkat awal kejayaan itu hendak diperoleh. Maksud saya untuk berjaya seseorang itu perlu memiliki rasa percaya akan kebolehan diri sendiri dalam setiap bidang yang diceburi.

Lihat sahaja ahli sukan seperti Datuk Nicol David, Datuk Tony Fernandes seorang ahli perniagaan atau Datuk Seri Abdullah Badawi Perdana menteri kita yang berjaya. Saya yakin dalam diri mereka itu ada tersirat satu perasaan percaya akan kebolehan mereka untuk bersukan, membuat perniagaan yang menguntungkan dan memimpin negara dengan adil. Bagaimana saya berpendapat mereka semua ini percaya akan diri sendiri? Menewaskan jaguh sukan yang lain bukannya satu kerja yang mudah, begitu juga menjadi jutawan dalam sekelip mata bukannya senang atau memastikan setiap rakyat di negara ini hidup makmur sudah pasti sukar untuk dilaksanakan tetapi mereka semua berjaya.

Kalau saya renung secara mendalam, ramai pelajar yang menemui saya sering mengatakan bahawa mereka akan gagal walaupun peperiksaan masih jauh. Ada seorang pelajar yang pernah berjumpa dengan saya pada awal tahun dengan muka yang sedih lalu membuat pengakuan bahawa beliau sudah pasti gagal dalam kertas BM. Saya melihat diri pelajar itu lalu mendapati bahawa banyak pelajar saya yang serupa dengannya. Semua tidak percaya bahawa mereka mampu untuk berjaya dalam peperiksaan. Rasa merendahkan kebolehan sendiri umpama parasit yang mematahkan semanga juang seseorang.

Percaya terhadap kebolehan sendiri memberi satu semangat awal untuk mencapai apa-apa yang dihajati di dunia ini terutama dalam aspek pendidikan. Keyakinan dengan kemampuan diri memberi pelajar satu pemangkin bahawa mereka boleh berjaya kerana mereka insan yang sanggup mengharungi dugaan peperiksaan. Sikap percaya diri ini harus ditanam dalam diri setiap pelajar sebelum anda memulakan alam persekolahan nanti.

Dengan tertanamnya sikap percaya akan diri, pelajar akan sedar bahawa hidup mereka akan menghadapi pebagai rintangan tetapi mereka akan tabah menerimanya. Ketabahan ini mampu diteruskan kerana pelajar percaya diri sememangnya tabah. Mereka akan berasa yakin lalu persediaan peperiksaan berjalan dengan lancar.

Ingat lagi pelajar saya yang datang menemui saya di bilik guru? Saya memberitahunya dengan satu nada, kalau anda sendiri tidak yakin akan kemampuan anda untuk berjaya, bagaimana pula pandangan saya sebagai orang luar terhadap anda? Adakah saya patut mendidik anda? Mukanya berubah dan keluar dari bilik guru tanpa menoleh ke belakang.

Mungkin kadangkala kita terlalu melihat faktor luaran seperti pergi ke kelas tuisyen, membuat latihan yang banyak, meminum minuman tonik, beriadah dan sebagainya lalu kita lupa bahawa sebagai manusia kita diberi satu minda yang kuat. Minda yang mampu memberi semangat dan membawa diri kita untuk menerima semua dugaan peperiksaan demi kejayaan kerana kita semua percaya akan diri sendiri. Jadi, percayah diri anda sendiri sebelum orang lain mempercayai kemampuan anda yang sejati itu.

Teruskan belajar pelajar-pelajarku.

Tuesday, November 18, 2008

Cuti masa berehat bukannya belajar

Cuti digunakan sebaik mungkin

Sebenarnya ramai pelajar yang bertanya apa perkara yang patut mereka lakukan ketika cuti sekolah ini? Jawapan saya mudah sahaja iaitu bercuti dengan secukupnya. Mungkin ada yang terkejut kerana bukankah masa cuti masa yang paling baik untuk menelaah atau melihat buku apabila mendengar nasihat saya ini. Ya, memang benar cuti patut dihabiskan begitu tetapi kali ini cuti sebelum semua pelajar memasuki satu alam baru. Ada yang akan mengambil SPM, STPM atau PMR. Ada juga yang akan memasuki kelas baru maksud saya tingkatan yang baru.

Jadi, cuti ini harus dihabiskan dengan berehat. Maksud saya rehat ialah menghabiskan masa dengan ibu bapa, kawan dan mungkin melakukan aktiviti yang anda semua minat. Sukan, melukis, bermain permainan video atau hanya mendengar muzik sahaja. Semua ini mampu memberi satu perasaan nikmat kepada pelajar jika mereka menghayati cuti mereka dengan sebaiknya. Cuti ialah masa untuk berehat bukannya masa membuat kerja sekolah.

Masa cuti juga menjadi peluang untuk anda menjaga diri. Lakukan perkara yang anda minati merupakan satu tindakan yang mampu menyihatkan badan anda kerana anda akan berasa gembira. Ceria melakukan sesuatu tanda kita menjaga diri dengan baik. Diri yang sihat amat penting untuk menghadapi tahun depan yang pasti banyak dugaannya. Bukan sahaja menjaga pemakanan penting tetapi menjaga diri anda juga penting melalui aktiviti yang member keceriaan kepada anda.

Jadi, kalau anda masih lagi membaca buku, saya cadangkan agar anda keluar sekarang. Telefon rakan lama anda, berbual dengan mereka atau paling mudah ajak sahaja ibu bapa anda berjalan-jalan ke tempat yang anda hajati selama ini. Inilah masanya. Inilah peluang untuk anda. Ini masanya untuk meluahkan perasaan anda itu.

Kenapa? Sebaik sahaja alam sekolah bermula, anda akan menghadapi tekanan yang sangat berat. Kerja rumah yang melambak, suara guru yang anda benci, rakan yang sering membuli anda atau peperiksaan yang pasti membuatkan minda anda meletup akan berlaku dan berlaku dan berlaku berulang kali. Bukankah lebih baik anda bergembira sekarang daripada bermasam muka sepanjang musim cuti ini?

Teruskan bercuti semua pelajar.


Atas sebab-sebab tertentu, saya akan cuba mengemaskinikan blog ini sekerap yang mungkin berbeza dengan dahulu yang menyaksikan blog ini sering dikemaskinikan dalam masa yang singkat. Harap semua pelajar faham.

Monday, November 10, 2008

Karangan kepentingan dan Impak Buruk Telefon Bimbit Kepada Remaja

Telefon bimbit merupakan alat komunikasi penting dalam era globalisasi ini terutama kepada golongan remaja. Penggunaan telefon bimbit yang begitu meluas ini telah membuktikan bahawa teknologi ini penting kepada remaja dan impak negatif yang timbul.

Jelaskan.


Telefon bimbit sudah menjadi satu bentuk perhiasan diri yang harus dimiliki oleh semua remaja. Kecanggihan telefon bimbit sering menarik minat remaja sehingga ada yang sanggup menahan lapar atau bekerja ketika cuti sekolah semata-mata untuk mendapat telefon bimbit yang lebih baik. Keadaan ini menyebabkan ramai yang menganggap telefon bimbit sudah menjadi satu pembaziran tetapi ada yang masih menyanjung kepentingan telefon bimbit ini. Lantaran itu, apakah kebaikan-kebaikan telefon bimbit kepada remaja?

Satu kebaikan memiliki telefon bimbit ini ialah kemudahan untuk berkomunikasi. Hubungan antaa ibu bapa, adik, kakak, abang, kawan, guru dan sebagainya menjadi lebih akrab kerana telefon bimbit mempunyai kelebihan yang tidak mungkin dapat dicapai oleh perbualan tradisi kita. Konsep sistem pesanan ringkas (SMS) yang unik bersama-sama dengan ikon dan lagu atau irama menjadikan penggunaan teknologi ini untuk berinteraksi begitu romantik. Kemudahan berhubung juga mengelakkan pelbagai masalah seperti aspek keselamatan, tidak membuang masa untuk menunggu dan mendapat ketepatan tentang sesuatu perkara yang sering menimbulkan masaalah kepada remaja kini. Jadi, telefon bimbit memang membawa kebaikan kepada remaja dalam aspek komunikasi.

Kebaikan kedua ialah telefon bimbit ini menjadi satu bentuk penyampaian informasi yang pelbagai dan menarik. Teknologi ini memudahkan pelbagai maklumat disalurkan seperti berita, lagu dan data peribadi. Maklumat ini berguna kepada remaja kerana melalui penggunaan yang betul semua maklumat ini dapat memastikan remaja memahami sesuatu atau melakukan sesuatu dengan betul. Jelaslah, telefon bimbit yang mempunyai pelbagai guna ini penting dalam memastikan remaja kita menjadi remaja berinformasi.

Sudah pasti impak yang paling banyak dipaparkan ialah penggunaan telefon bimbit ini menyebabkan kos hidup remaja bertambah. Sikap suka menggunakan telefon ini untuk berhubung memastikan kos turut bertambah dan penggunaan telefon yang sebegini menyebabkan remaja tidak nampak penggunaan kosnya sehinggalah mereka terpaksa membayar bil telefon itu. Keadaan ini mungkin membawa mereka terpaksa mencari wang dan ada yang terpaksa beralih ke arah cara yang negatif seperti mencuri. Lantaran itu, telefon bimbit mampu menyebabkan remaja mengalami masaah kewangan yang serius.

Tambahan pula, penggunaan telefon bimbit menyebabkan remaja tidak memberi tumpuan dalam aspek pendidikan mereka. Ada remaja terutama yang masih belajar menggunakan telefon bimbit di dalam kelas ketika guru mengajar tanpa segan silu. Mereka juga sering menghabiskan masa dengan membuat SMS atau berbual sehingga melupakan tanggung jawab mereka sebagai pelajar iaitu belajar. Akibatnya, banyak pelajar akan terjejas prestasi pelajarannya kerana penggunaan telefon bimbit.

Konklusinya, telefon bimbit harus dikawal penggunaannya terutama kepada remaja. Ibu bapa harus menegur dan memarahi anak mereka yang keterlaluan menggunakan teknologi ini. Namun dalam masa yang sama penggunaan telefon bimbit in turut memberi sat dimensi baru kepada hubungan keluarga. Mungkin remaja harus lebih bijak dalam kemelut ini supaya mereka terus dihormati oleh masyarakat.

Karangan Kepentingan Bangunan Bersejarah di kekalkan

Kepentingan bangunan bersejarah di negara ini mula dilupakan kerana banyak bangunan ini telah dirobohkan untuk membina bangunan baru.

Huraikan.


Bangunan bersejarah sememangnya begitu banyak di negara ini terutama di Melaka dan Pulau Pinang tetapi malangnya dek kerakusan ekonomi semakin banyak bangunan ini yang sudah tidak lagi mampu berdiri sendirinya. Ada yang berpendapat bangunan ini harus dikekalkan kerana mempunyai banyak impak yang positif terutama kepada kehidupan masyarakat tetapi ada juga yang menolaknya. Pihak media massa turut serta dalam diskusi hebat untuk menentukan sama ada pembangunan lebih penting atau pengekalkan warisa yang maha penting. Sesungguhnya, ada banyak perkara baik yang boleh terhasil menerusi pengekalan bangunan bersejarah ini.

Impak yang paling baik pengekalan bangunan sebegini sudah pasti daripada aspek pelancongan. Industri pelancongan akan menjadi lebih besar kerana masyarakat asing memang suka melihat kesan-kesan sejarah sebegini. Bangunan ini juga memerlukan kos yang tinggi kerana tidak perlu dibina tetapi hanya dikekalkan sahaja kerana sudah lama dibina oleh penjajah atau penduduk di negara ini. Jadi, kalau bangunan lama dan bersejarah ini dikekalkan sektor pelancongan negara akan menerima kesan yang paling ketara.

Lantaran itu peluang kerja turut berupaya diwujudkan akibat kehadiran pelancong ini. Bukan sahaja kerja yang berkait terus dengan industri ini seperti pemandu bas pelancong tetapi juga kerja sampingan seperti kedai makan, hotel dan pengangkutan awam serta kedai kraf tangan akan menerima tempias kedatangan pelancong asing ini. Masyarakat di negara in tidak akan berasa bimbang kehilangan kerja kerana mereka mudah untuk memperoleh kerja yang lain pula. Oleh itu, pengekalan bangunan bersejarah mampu memastikan semua penduduk di negara ini memiliki pekerjaan.

Tambahan pula, nilai atau perasaan cinta akan negara sudah pasti berkembang dengan baik dalam naluri penduduk terutama remaja di negara ini. Perasaan ini wujud kerana bangunan bersejarah mempunyai kaitan dengan peristiwa penting yang berlaku di negara kita. Kewujudan bangunan ini sepanjang zaman memastikan rakyat terus mengingati kepentingan peristiwa sejarah itu kepada pembangunan negara. Jelaslah, negara akan memiliki rakyat yang tinggi perasaan nasionalismenya.

Begitu juga dengan imej negara terus tersohor pada mata masyarakat dunia kerana memiliki sikap menghargai peninggalan sejarah. Masyarakat yang menjaga bangunan bersejarah akan dianggap bangsa yang menghargai budaya dan sumbangan pemimpin lamanya. Sikap ini sudah pasti akan menimbulkan satu kesan positif dalam setiap pandangan masyarakat terhadap negara kita. Jadi, kita bukan sahaja menerima kesan ekonomi tetapi imej kita sebagai bangsa yang menghargai budaya turut diketahui umum.

Kesimpulannya, penjagaan bangunan lama harus dilakukan demi negara kita yang tercinta ini. Semua pihak tanpa mengira umur dan keturunan harus ada tanggung jawab menjaga bangunan sebegini. Kita tidak harus mengutamakan kemodenan sahaja kerana tanpa sejarah tiadalah kemodenan yang kita kecapi kini. “Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas” membuktikan betapa bangunan bersejarah ini penting buat kita.

Sunday, November 09, 2008

Karangan Ketidakstabilan Politik Jejaskan Pelancongan

Industri pelancongan akan terjejas akibat daripada ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kalangan negara di dunia.

Bincangkan penyataan di atas.


Industri pelancongan memang menjadi satu sektor ekonomi yang sering menerima perhatian pelbagai pihak. keadaan ini timbul kerana sektor ini dikatakan mudah mendatangkan keuntungan ekonomi kepada sesebuah negara itu. banyak negara telah memberikan perhatian kepada sektor ini tetapi keadaan ketidakstabilan politik telah menyebabkan sektor ini tidak berkembang. Jadi, memang ada impak yang timbul jika negara itu tidak memilliki kestabilan politik.

Impak yang ketara ialah industri pelancongan itu akan terjejas. Jumlah ppeancong yang melawat ke negara it akan berkurang setahun demi setahun sepanjang ketidakstabilan poltik itu berlaku. Kekurangan jumlah pelancong ini berkait dengan keselamatan pelancong yang tidak boleh dijamin. keeselamatannya. Pendapatan negara daripada sumber pelancongan turut merosot. Jadi, ketidakstabilan politik memang membawa impak buruk terhadap sektor pelancongan negara.

Selain itu, pelaburan dalam sektor pelancongan berkurangan. keadaan politik yang tidak stabil menyebabkan pelabur takut untuk melabur d negara itu. Pelaburan di negara-negara yang berisiko tinggi ni dianggap tidak membawa kentungan. situasi ini turut menyyebabkan pelabur tempatan kekurangan modal untuk melaksanakan sesuatu projek pelancongan pula. Lantaran itu, pelabur asing in akan memilih negara lain yang lebih stabil politiknya.

Keadaan politik yang tidak stabil turut menyebabkan pembangunan negara menjadi perlahan. Pembinaan prasarana untuk pelancong semakin berkurangan. Keadaan prasarana yang sedia ada pula semakin dibiarkan begitu sahaja. Keadaan ini menyebabkan semua aktiviiti pembangunan yang dirancang akan terganggu. Oleh itu, kestabilan politik memang penting untuk memastikan pembangunan berjalan lancar.

Malah, imej negara turut terjejas kerana ketidakstabilanpolitik ini. Ramai pelancong tidak lagi suka datang ke sini atau memberitahu kawan-kawan mereka tentang keindahan negara kerana imej yang sudah terjejas itu. Lama-kelamaan, imej yang tidak dijaga ini akan membawa lebih banyak kemusnahan imej. Jelaslah, politik yang tidak stabil akan membawa banyak kesan buruk pada sektor pelancongan.

Konklusinya, sektor pelancongan dan politik berkait rapat. Semua pihak perlu melakuan sesuatu supaya keadaan ini tidak berlarutan terutama ketika negara sedang dlanda kemeseletan ekonomi. Mungkin semua pihak harus merenung dan melihat tindakan yang boleh mereka lakukan demi memastikan sektor pelancongan negara terus berkembang.

Karangan Kebaikan Kerahan Tentera di negara ini

Kerahan tentera menjadi alat penting dalam perpaduan negara.

Huraikan kebaikan-kebaikan mewajibkan kerahan tentera terhada remaja.

Kerahan tentera menjadi satu pilihan kepada kerajaan untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia. Sejak konsep ini mula dicanangkan menerusi media massa oleh pemimpin-pemimpin negara, pelbagai komentar telah diutarakan oleh pelbagai pihak. Sudah pasti ada yang menganggap langkah ini satu pembaziran dan sudah pasti ada yang melihatnya sebagai satu prospek yang boleh diteroka secara mendalam. Jadi, apakah impak-impak positif yang boleh ditimbulkan oleh kerahan tentera ini kepada remaja di negara ini?

Impak yang paling jelas sudah pasti aspek disiplin remaja akan mengalami perubahan yang ketara. Kita sudah sedia maklum bahawa remaja terkenal dengan sikap mereka yang tidak suka mematuhi peraturan atau arahan tetapi dengan melibatkan diri dalam kerahan tentera remaja kita tiada pilihan lain. Kalau dahulu arahan ibu bapa boleh dipandang enteng tetapi arahan pegawai tentera sudah pasti akan membawa hukuman yang berat jika diingkari. Oleh itu, remaja akan mematuhi peraturan secara terpaksa pada awalnya tetapi lama kelamaan menjadi kebiasaaan pula.

Selain itu, masalah jenayah yang sering dikaitkan dengan remaja juga akan terhapus dengan sendirinya. Penghapusan kes jenayah ini berkait dengan kesukaran untuk remaja bergaul dengan kumpulan-kumpulan yang tidak bertanggungajwab kerana mereka tidak mempunyai masa untuk lepak bersama mereka. Ilmu ketenteraan yang mereka terima juga menekankan aspek pentingnya menjauhkan diri daripada tindakan-tindakan yang boleh memberi masalah terutama jenayah. Oleh itu, kerahan tentera bukan sahaja memastikan remaja mempunyai disiplin tetapi tidak melibatkan diri mereka dalam kancah jenayah.

Negara kita akan memiliki satu bala tentera yang berkaliber dan ramai. Kerahan tentera memastikan negara mampu memilih lapisan generasi muda untuk menyertai tentera dengan mudah kerana ada antara remaja yang menyertai kerahan tentera ini akan menyertai tentera tetap selepas tamat tempoh perkhidmatan mereka. Kerahan tentera menyebabkan remaja kita mempunyai peluang kerjaya kerana tentera kita boleh memilih remaja yang terbaik dalam setiap bahagian untuk menyertai pasukan keselamatan negara. Jelaslah, kerahan tentera memberi peluang untuk meningkatkan kewibawaan tentera kita secara amnya.

Tambahan pula, hubungan antara kaum turut terjalin kerana kerahan tentera memastikan tiada sebarang batasan dalam perbedaan kaum diamalkan. Semua remaja yang menyertai kerahan tentera harus melakukan tugasan yang sudah ditetapkan tanpa sebarang diskriminasi. Tempoh kerahan tentera yang lama antara 2-3 tahun menyebabkan berlakunya interaksi antara remaja pelbagai kaum yang mengikat mereka selepas meninggalkan kerahan tentera. Sesungguhnya, semangat perpaduan wujud akibat kerahan tentera kerana semua kaum akan berinteraksi sesama mereka.

Kesimpulannya, kerahan tentera berupaya membentuk seseorang remaja yang memiliki jati diri yang tinggi nilainya. Negara yang mempunyai remaja seperti ini sudah pasti mampu mengharungi pelbagai rintangan dan dugaan yang timbul kemudiannya. Cuma konsep kerahan tentera itu sering dipandang serong oleh masyarakat. Mungkinkah sudah sampai masanya masyarakat merombak semula paradigma lama mereka ini? 'Tepuk dada tanya selera'.

Saturday, November 08, 2008

Karangan Peranan Ibu bapa Dalam Memupuk Sikap Membaca Remaja

Sikap membaca dalam kalangan anak?

Apakah peranan ibu bapa dalam aspek ini?


Amalan membaca menjadi satu amalan yang semakin dilupakan terutama oleh generasi muda kita. Amalan ini dianggap begitu membosankan kerana memerlukan penumpuan dan perhatian yang tinggi. Remaja juga memandang rendah pembacaan kerana membaca bukan sesuatu yang boleh menjadikan remaja 'teruja”. Jadi, apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menanam minat anak mereka untuk membaca.

Untuk memastikan anak mereka membaca, ibu bapa perlulah menyediakan satu ruang khas untuk aktiviti membaca. Ruang khas ini boleh menjadi perpustakaan mini buat keluarga dan mereka boleh menghabiskan masa di sana dengan membaca. Koleksi buku yang sesuai mengikut peringkat umur anak juga harus disediakan supaya semua boleh menikmati keseronokan membaca. Oleh itu, ruang membaca di rumah memupuk sikap membaca dalam diri remaja.

Sebenarnya ibu bapa bukan sahaja harus menyediakan ruang khas tetapi mereka juga harus menjadikan diri sebagai teladan kepada anak-anak dengan menghabiskan masa membaca daripada menonton televisyen. Jika ibu bapa menjadikan membaca satu rutin dalam keluarga seperti hari ahad masa membaca atau sebelum tidur membaca mungkin anak mereka akan mengikuti teladan ini. Lama kelamaan mereka sendiri akan berminat untuk membaca apabila sudah dewasa pula. Oleh itu, teladan ibu bapa memberi satu peringatan kepada anak untuk menirunya secara semula jadi.

Selain itu, ibu bapa berupaya memupuk sikap suka membaca dengan menjadikan amalan member hadiah hari jadi dalam bentuk buku. Banyak ibu bapa yang suka memberi hadiah berbentuk alat permainan atau pakaian yang tidak berupaya menambah keupayaan minda remaja. Buku yang bermutu mampu menjadi hadiah hari jadi yang bermakna buat remaja terutama jika buku itu memberi kesan mendalam kepada mereka. Maka, ibu bapa perlu menjadikan amalan memberi hadiah buku satu kewajipan mereka.

Tambahan pula, ibu bapa boleh menimbulkan minat membaca dengan membuat diskusi apabila terdapat sesuatu isu yang menarik di dalam buku atau media massa. Perbincangan ini sudah pasti menimbulkan minat kerana ibu bapa dan anak akan cuba berhujah untuk menentukan hujah mereka lebih baik. Suasana yang mesra ini bukan sahaja merapatkan hubungan malah boleh memberi satu peluang untuk anak membaca lebih meluas. Sesungguhnya, ibu bapa yang mampu berbincang dengan anak membuka satu perasaan ingin tahu yang mampu dipuaskan melalui pembacaan.

Kesimpulannya, ibu bapa menentukan minat remaja ada atau tidak tetapi masih ramai yang tidak memahami tugas mereka. Remaja pula menjadikan pelbagai alasan untuk tidak membaca terutama terlalu sibuk dengan kerja sekolah. Mungkin semua pihak perlu duduk semeja dan merenung diri mereka sendiri. Peribahasa 'membaca jambatan hidup' memang harus kita semua renungkan.

Karangan Cara-cara Untuk Menjadi Penulis yang Baik

Satu program tentang penulis telah anda tonton.

Nyatakan cara-cara untuk menjadi seorang penulis yang baik.

Penulis sering dianggap manusia yang bijak dan unik kerana berupaya menerangkan sesuatu aspek kehidupan, perkara, peristiwa atau apa-apa dengan mudah tetapi berkesan. Kerjaya sebagai penulis dikatakan satu kerjaya yang glamor terutama kalau hasil penulisannya berupaya dijual dengan banyak. Sikap media massa yang sering menayangkan kejayaan seseorang penulis turut menjadikan kehidupan penulis menjadi buruan media massa terutama akhbar yang mementingkan berita sensasi. Lantaran itu, apakah perkara yang harus dimiliki oleh seseorang untuk menjadi penulis yang berjaya?

Untuk menjadi penulis yang berjaya sudah pasti seseeorang itu perlu banyak menulis terutama aspek penulisan yang diminatinya. Penulis juga seperti kerjaya lain yang memerlukan seseorang itu untuk selalu berlatih sebelum berupaya menguasai aspek penulisan dengan baik. Latihan demi latihan ini memberikan penulis satu gambaran sebenar tentang cara menulis, cara pembaca memahami karya dan mungkin cara mendapatkan ilham untuk menulis. Jadi, seseorang yang ingin menjadi penulis perlulah banyak menulis tanpa ada perasaan jemu.

Selain itu, penulis juga harus memiliki sikap suka berbincang dengan orang lain tentang sesuatu perkara terutama bahan yang akan dijadikan asas penulisan mereka. Perbincangan ini berupaya menghasilkan satu kefahaman yang sejati tentang tajuk yang sedang ditulis oleh penulis itu. Sikap menerima pandangan membina atau kritikan orang lain menjadikan penulis itu lebih berjaya dan matang dalam penulisannya. Oleh itu, sikap suka berdiskusi memastikan penulis itu mampu untuk melihat sesuatu tajuk penulisan mereka dengan lebih baik.

Malah, sikap penulis yang baik juga banyak bergantung kepada sikap yang suka mengembara atau berjalan. Keadaan ini membolehkan penulis memiliki banyak pengalaman tentang kehidupan terutama perkara yang boleh menjadi topik penulisan mereka.Pengalaman yang diperoleh menerusi aktiviti berjalan atau mengembara ini berupaya menjadikan penulis lebih matang dan faham tindakan manusia terhadap sesuatu masalah yang timbul. Maka, penulis yang suka berjalan sudah pasti mempunyai banyak ilham untuk menulis terutama tentang kehidupan kemanusiaan.

Tambahan pula, penulis juga harus banyak membaca terutama pembacaan yang berbentuk akademik atau bersesuaian dengan penulisan mereka. Pembacaan memberikan mereka lebih banyak kefahaman tentang teknik penulisan penulis lain dan juga menajamkan minda mereka terhadap sesuatu topik itu. Membaca dan penulis merupakan satu ikatan yang tidak boleh ditukar ganti. Jelasah, penulis perlu membaca dengan banyak terutama ketika mereka sedang mencari bahan penulisan mereka.

Kesimpulannya, penulis yang berjaya ialah penulis yang rajin, suka membaca dan membuat renungan tentang kehidupan dengan lebih kritis. Sikap penulis yang peka terhadap sesuatu perkara menjadikan diri mereka begitu unik. Namun, masih ramai yang menganggap kerja menulis mudah dan tidak perlu satu masa yang panjang untuk menguasainya. Peribahasa 'sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain” membuktikan bahawa untuk menjadi penulis yang berjaya, seseorang itu memerlukan masa yang panjang untuk menguasainya.

Friday, November 07, 2008

Karangan Punca-punca Lumba Haram di Malaysia

Gejala lumba haram terus berlaku terutama di bandar besar.

Huraikan punca-punca gejala ini terus berlaku.


Gejala lumba haram atau lebih dikenali dengan istilah mat rempit telah menjadi satu isu yang begitu memeningkan semua pihak. Pihak kerajaan berusaha mengatasi masalah ini dengan memperkenalkan pelbagai tindakan tetapi masih gagal. Begitu juga dengan pihak masyarakat terutamanya ibu bapa yang turut berusaha menghalang anak-anak mereka terjerumus ke lembah hina ini hanya melihat kegagalan sahaja. Media massa dengan keupayaan mereka menyiarkan pelbagai program kesedaran turut menemukan jalan buntu dalam kemelut ini. Oleh itu, punca-punca yang menyebabkan masalah ini timbul harus dikaji secara mendalam untuk memastikan semua langkah yang diambil memang memberi kesan yang positif.

Sebenarnya masalah ini tercetus kerana kegagalan pihak ibu bapa melaksanakan tugas mereka dengan berkesan. Maknanya, ibu bapa tidak berupaya mendidik anak mereka supaya menyedari bahawa lumba haram merupakan aktiviti yang salah di sisi undang-undang. Kegagalan ibu bapa ini mungkin berkaitan dengan ketidakupayaan mereka untuk menjadi ibu bapa atau tidak memahami keperluan emosi anak mereka. Lantaran itu, anak mereka beralih ke arah lumba haram sebagai satu cara untuk memenuhi keperuan emosi mereka sebagai manusia yang perlu disayangi dan difahami perasaannya.

Untuk menyalahkan ibu bapa seratus peratus bukanlah satu jalan penyelesaian yang bijak kerana keadaan dunia yang serba moden terutama era globalisasi ini turut menjadikan masalah lumba haram ini mudah merebak. Penyiaran program barat terutama akiviti lumba haram menimbulkan rasa ingin mencuba di dalam naluri remaja di negara ini. Kehidupan yang serba moden mendedahkan remaja kita dengan pelbagai dugaan nafsu yang sukar untuk ditolak terutama kenikmatan lumba haram. Jelaslah, lumba haram bertambah ekoran bertambah modennya kkehidupan di negara ini terutama di bandar-bandar kosmopolitan.

Selain itu, kegagalan pihak kerajaan turut ketara terutama dalam menyediakan suasana kehidupan yang lebih ceria kepada remaja. Ketiadaan tempat untuk remaja meluangkan masa dengan berkesan turut menjadi faktor penentu merebaknya masalah ini. Begitu juga dengan kegagalan kerajaan untuk menyediakan peluang kerja yang cukup membawa ramai remaja beralih ke arah lumba haram untuk memenuhi masa mereka. Oleh itu, kerajaan turut memikul kesalahan atas munculnya gejala negatif ini.

Sikap masyarakat yang tidak prihatin menjadikan masalah ini berleluasa. Kita tidak menganggap masalah ini masalah sendiri selagi tidak ada ahli keluarga yang terbabit sehingga tidak mahu membuat laporan jika melihat aktiviti umba haram di kawasan mereka. Keadaan ini telah menyebabkan pihak polis sukar untuk menahan mereka yang terbabit dalam aktiviti negatif ini kerana tiadanya kerjasama masyarakat untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa. Jelaslah, sikap masyarakat yang “bagai pucuk melepaskan duri masing-masing” menjadikan kemelut sosial ini berlanjutan sehingga sukar untuk dikawal sekarang.

Konlusinya, masalah lumba haram harus dibanteras segera menerusi kerjasama semua pihak. Remaja juga harus memiliki jati diri yang kukuh supaya tidak mudah terpedaya untuk menyertai aktiviti lumba haram ini. Mereka harus memikirkan pendidikan, kerjaya dan masa depan mereka daripada memikirkan keseronokan sementara sahaja. Mungkin remaja harus merenung diri mereka sekarang. Apakah yang mereka mahukan dalam hidup ini?

Karangan Langkah-langkah Galak Pelancongan Dalaman Negara

Pelancongan dalam negara perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

Huraikan langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengembangkan pelancongan dalam negara ini.


Industri pelancongan memang merupakan satu industri yang menguntungkan buat negara terutama pelancongan dalaman. Sikap suka melawat tempat-tempat yang menarik di dalam negara seharusnya menjadi satu aktiviti mingguan penduduk di negara ini. Malangnya keadaan ini tidak berlaku jika kita menjadikan berita-berita yang tersiar menerusi media massa sebagai alat ukurannya. Sebenarnya, ada banyak langkah yang boleh diambil untuk menambah minat penduduk negara ini meneroka negara yang indah ini.

Langkah awal ialah destinasi baru pelancongan harus diteroka dan kawasan yang sudah sedia ada dikekalkan popularitinya. Kewujudan lebih banyak destinasi pelancongan menyebabkan penduduk negara ini mempunyai banyak pilihan untuk dilawati. Destinasi yang sedia ada juga harus diketahui oleh semua menerusi program memperkenalkan destinasi pelancongan. Jadi, destinasi yang baru memberi minat kepada masyarakat untuk melancong selain destinasi sedia ada diketahui ramai.

Keengganan masyarakat kita melancong di dalam negara juga dikaitkan dengan ketidakcekapan sistem pengangkutan awam kita. Ada banyak pelancong tempatan yang tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk sampai ke destinasi yang sudah dipillih oleh mereka. Jika sistem pengangkutan awam lebih cekap, sistematik, dan menyeluruh terutama antara destinasi ke destinasi seterusnya, sudah pasti jumlah kehadiran pelancong tempatan akan bertambah secara drastik. Jelaslah, sistem pengangkutan awam kita perlu mengalami perubahan yang menyeluruh sebelum menerima kehadiran pelancong tempatan.

Selain itu, pakej pelancongan yang unik harus diperkenalkan kepada masyarakat di negara ini. Sudah pasti terdapat pelbagai cita rasa yang unik untuk dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini. Syarikat pelancongan perlu kreatif mencari jalan untuk memenuhi keperluan semua penduduk negara ini. Sesungguhnya, pengenalan pakej pelancongan yang begitu menarik berupaya menarik minat pelbagai lapisan pelancongan tempatan sama ada yang kaya, miskin, muda, tua dan sebagainya.

Malah, kerajaan boleh menjadikan hujung minggu sebagai cuti umum kepada penduduk di negara ini terutama yang bekerja dengan pihak swasta. Tindakan ini menjadikan masa dua hari iaitu sabtu dan ahad sebagai peluang untuk mereka melancong di dalam negara bersama-sama keluarga dengan lebih kerap. Cuti hujung minggu juga memudahkan mereka merancang masa percutian dengan lebih baik. Justeru, keputusan kerajaan mewajibkan cuti hujung minggu untuk pekerja awam dan swasta penting untuk meningkatkan jumlah pelancong dalaman.

Akhir sekali, kempen yang berkesan harus dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan industri pelancongan dalaman turut mendapat tempat di hati penduduk tempatan. Penyiaran kempen ini perlu berterusan dan tidak hanya tertumpu ketika musim cuti sekolah atau sebagainya. Kewujudan kempen yang efektif dan berterusan memastikan penduduk negara ini sedar dan tahu tempat yang boleh dihabiskan oleh mereka bersama-sama keluarga tersayang. Jelaslah, kempen menjadi senjata terakhir yang berkesan untuk meningkatkan jumlah kehadiran pelancong tempatan di destinasi pelancongan negara ini.

Kesimpulannya, industri pelancongan dalaman negara kita harus diberi nafas baru. Usaha kempen terbaru kerajaan kita dengan memperkenalkan kempen ZOOM telah memberi sedikit impak positif terhadap industri ini. Cuma usaha yang lebih gigih dan meluas peru dilaksanakan segera. 'Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih” menjadi titik tolak kejayaan kita dalam mempromosikan pelancongan kepada penduduk tempatan.

Thursday, November 06, 2008

Karangan Peranan Kerajaan Menangani Isu Kenaikan Harga Barang

Kenaikan harga barang telah menyebabkan masyarakat berasa gelisah.

Jelaskan peranan kerajaan dalam menangani masalah ini.


Kenaikan harga barang telah menjadi satu isu yang sering dipaparkan di media massa sehingga menimbulkan satu polemik baru pula. Isu ini telah menyebabkan semua pihak menyuarakan pandangan mereka tentang punca dan cara untuk menyelesaikannya sehingga menjadikan isu ini diluar kawalan pula. Media massa seperti yang dikatakan pada awall tadi telah menggunakan kepincangan kerajaan untuk mengatasinya sebagai bahan berita mereka pula. Jadi, kerajaan memang memiliki peranan yang jelas untuk menangani isu ini secara tuntasnya.

Tindakan kerajaan yang paling mudah ialah memastikan semua barang yang penting kepada masyarakat dijadikan barang kawalan. Tindakan ini memastikan kenaikan barang yang dimaksudkan barang kawaan itu mesti mendapat kelulusan kerajaan dan kegagalan mematuhinya boleh menyebabkan sipelaku ditahan dan dipenjarakan. Buat masa ini hanya segelintir barang sahaja seperti minyak, tepung, dan ayam yang menjadi barang kawalan yang kurang memberikan impak yang diharapkan. Oleh itu, jumlah barang yang harus menjadi barang harga kawalan ini perlu ditambah untuk menangani masalah kenaikan harga barang di negara kita.

Selain itu, kerajaan boleh menubuhkan satu Suruhanjaya Kenaikan Harga Barang yang berfungsi untuk mengawal dan memantau polemik ini secara sistematik. Kewujudan suruhanjaya ini menyebabkan masalah kenaikan barang ini bukannya diketahui apabila musim perayaan hampir tiba sahaja tetapi sepanjang masa diawasi oleh suruhanjaya tersebut. Anggota suruhanjaya ini haruslah mereka yang berkecuali dan mampu melaksanakan tugas mereka dengan penuh wibawa dan telus. Oleh itu, penubuhan suruhanjaya seperti ini menyebabkan peniaga tidak boleh sesuka hati menaikkan harga barang tanpa sekatan.

Malah, kerajaan boleh menggubal satu akta yang boleh mengenakan hukuman yang setimpal kepada pesalah dalam isu ini. Akta ini hendaklah memliki keterangan yang jelas, hukuman yang berat dan aspek-aspek pencegahan yang berkesan untuk menangani masalah kenaikan harga barang di negara kita. Hukuman yang lebih berat dan praktikal menyebabkan peniaga tidak berani untuk melakukan tindakan menipu pengguna sesuka hati terutama dalam aspek harga barang. Sesungguhnya, kewujudan akta yang berkesan menyebabkan peniaga tidak lagi berani melakukan kesalahan kerana bimbang dan takut akan kesannya itu.

Bukan sahaja akta digubal tetapi kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna harus menguatkuasakan peraturan tersebut. Kerajaan harus mengarahkan semua kaki tangan kementerian menjalankan rondaan yang kerap dan menahan peniaga-peniaga yang melakukan kesalahan tanpa sebarang kesilapan lagi. Tindakan yang tegas dan telus ini menyebabkan peniaga tidak berani untuk melakukan kesalahan atau menawarkan rasuah untuk memastikan mereka terlepas daripada tangkapan. Jelaslah, penguatkuasaan turut penting untuk menyelesaikan polemik pengguna yang semakin sukar dikawal ini.

Konklusinya, kerajaan memang mempunyai tanggung jawab untuk memastikan masalah ini tidak berlanjutan dengan melaksanakan semua peranan di atas. Tindakan kerajaan yang tidak telus dan tegas telah memberikan satu imej bahawa kerajaan tidak serius dalam menangani kemelut pengguna ini. Dalam masa yang sama pengguna juga harus bekerjasama dengan membuat laporan atau menjauhi kedai-kedai yang menaikkan harga barang keterlaluan. “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” membuktikan bahawa pengguna dan kerajaan harus bekerjasama dalam menyelesaikan masalah ini.

Karangan Peranan Penulis terhadap negara

Anda telah menghadiri satu majlis pertemuan penulis-penulis negara. Dalam majlis itu anda telah mendengar ceramah mengenai kerjaya sebagai penulis.
Huraikan pendapat anda tentang perara-perkara yang boleh dilakukan oleh seorang penulis terhadap negara, bangsa dan ag
ama.


Penulis merupakan individu yang memiliki anugerah tuhan kerana melalui tulisan merekalah pelbagai perubahan masyarakat boleh mengambil tempat. Kerjaya mereka ini telah menyebabkan pelbagai persoalan manusia itu berupaya dijawab dengan begitu mudah dan membawa kesedaran yang hakiki kepada mereka yang membacanya. Media massa turut mencanangkan kelebihan penulis ini dengan sering menyiarkan bahan penulis dan genre sastera dalam semua terbitan program mereka. Jadi,peranan yang boleh dilaksanakan oleh penulis memang banyak terutama dalam dunia moden ini.

Kepentingan utama penulis ialah mereka menjadi individu yang pertama yang akan melahirkan sesuatu pendapat tentang kemelut yang sedang melanda negara. Diri mereka seolah-olah menjadi pencetus ilham kepada masyarakat untuk sama-sama memikirkan dan bertindak terhadap sesuatu masalah yang sedang mereka hadapi itu. Penulis menjadi penentu kepada kemelut yang harus mendaat keutamaan dalam percaturan pemikiran masyarakat. Oleh itu, penulis memang memiliki peranan penting dalam kehidupan bermasyarakat di negara kita.

Malah, karya penulis berupaya membuka minda masyarakat secara kritikal. Semua karya penulis berdasarkan pengamatan dan pengalaman serta pembabitan mereka dalam kehidupan seharian masyarakat yang sudah pasti berkaitan dengan pembaca. Keadaan ini menyebabkan masyarakat berupaya melihat dan memahami sesuatu isu itu dalam konteks yang lebih akademik. Jelaslah, penulis merangsangkan minda masyarakat kita untuk memahami sesuatu kemelut itu dengan lebih baik.

Bukan sahaja karya penulis mampu merangsangkan minda masyarakat tetapi karya penulis berupaya menjadi satu catatan sejarah buat negara. Ada penulis terutama yang menulis sesuatu isu, tempat, tokoh dan sebagainya dengan penuh maklumat dan bukti yang boleh menjadi rujukan kepada masyarakat kemudiannya. Sudah pasti hasil penulisan seperti ini mampu menjadi bahan kajian yang berguna kepada masyarakat apabila timbulnya keperluan untuk mengkaji sesuatu itu.

Selain itu, penulis yang menghasikan pelbagai buku turut mencambahkan ketinggian keintelektualan masyarakat. Negara-negara yang berjaya memiliki rangkaian penulis yang sering menghasilkan buku-buku yang bermutu terutama buku akademik yang penting kepada masyaraat berilmu yang ingin dicapai oleh negara. Buku-buku ini memberi peluang kepada kita semua untuk memahami idea dan perkara yang ingin disalurkan itu. Jadi, penulis yang menghasilkan buku turut meningkatkan tahap intelektualan masyarakat.

Karya penulis juga alat yang boleh membentuk peribadi remaja di negara ini. Semua karya penulisan bertujuan untuk menentukan kebenaran atau memberi peluang kepada seseorang memikirkan perkara yang benar dan salah di depan mata mereka. Kehidupan remaja yang penuh cabaran boleh menjadikan karya penulisan sebagai salah satu alat yang berupaya mendidik mereka untuk mengharungi kehidupan moden yang penuh dugaan in. Maka, perana penulis memang besar dalam kehidupan remaja yang tidak mampu untuk berfikir secara matang.

Kesimpulannya, peranan penulis di negara kita memang tidak terkata besarnya. Kehidupan mereka yang nampak mudah sebenarnya memerlukan penumpuan dan pemikiran yang mendalam untuk memudahkan kita semua memahami maksud sebenar penulisan mereka. Penulis menjadi antara kumpulan terpelajar yang boleh menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara itu. Peribahasa “mata pena lebih tajam daripada lidah” membuktikan betapa pentingnya kewujudan penulis dalam negara ini.

Monday, October 13, 2008

Peranan Ibu bapa dalam aspek pembacaan anak

Ibu bapa berperanan?

menyediakan satu ruang khas untuk aktiviti membaca. memiliki koleksi buku yang bersesuaian dengan umur anak.

menjadikan diri sebagai teladan dengan menghabiskan masa membaca daripada menonton TV. membaca sebagai satu aktiviti rutin keluarga.

memberi hadiah dalam bentuk buku. Hari jadi bukan tempat meemberi hadiah yang melekakan tetapi bermanfaat seperti novel.

membuat perbincangan tentang sesuatu topik tertentu. Diskusi dilakukan setelah membaca satu buku atau novel.

memberi sokongan moral kepada anak yang suka membaca. Memberi masa untuk anak membaca bahan yang mereka gemari.

Jangan lupa peranan pihak sekolah dan masyarakat. Mungkin daam blog yang lain saya akan sentuh peranan mereka pula.

Sunday, October 12, 2008

Teknik Plot

Imbas muka ialah ramalan tentang peristiwa yang bakal berlaku.

Imbas kembali ialah mengingati peristiwa yang sudah berlaku.

pemerian ialah pengarang menjelaskan watak secara terus.

dialog ialah percakapan antara watak watak

suspens ialah unsur tertanya-tanya pembaca setelah membaca sesuatu plot

kejutan ialah kejadian yang mengejutkan pembaca setelah membaca

Konflik Novel

Konflik merujuk masalah yang wujud dalam novel yang dihadapi oleh watak. Konflik dalaman ialah konflik melibatkan perubahan atau perbezaan perasaan manakala konflik luaran lebih bercorak tindakan yang mampu dilihat oleh mata kasar.

Koonflik yang dialami oleh Nazar ialah penyakit nanar ibunya. Nazar terpaksa menjaga ibunya dan berasa rindu apabila ibunya berada di hospital orang gila.

Konflik luaran nazar ialah cemuhan atau tuduhan penduduk kampung terhadap dirinya dan zainab yang dikatakan berlaku perkara tidak baik. Hal ini berlaku kerana penduduk kg tidak suka tindakan mereka belajar bersama-sama.

Konflik dalaman zul ialah kepedihan melihat penderitan yang dialami oleh nadirah. Beliau terpaksa bekerja, belajar dan menjaga anaknya.

konflik luaran ialah tindakan masyarakat mempertikaikan tindakan isterinya memberi hatinya kepada anak mereka. Mereka menganggap tindakan bushrah sia-sia sahaja.

Peleraian Novel

Peleraian novel ialah bahagian ppenutup novel. Bahagian ini merupakan bahagian penulis menyimpulkan semua masalah atau konflik dan mencari penyelesaiannya. Bahagian ini menjadikan novel lebih menarik. Bahagian ini menentukan minat pembaca untuk membaca.

Dalam novel panas salju, peleraianna menarik kerana ada kesedihan dan harapan. Kesedihan kerana bushrah meninggal dunia setelah beberapa tahun dibedah. Harapan kerana anaknya dan suaminya berjaya dalam kerjaya mereka.

Dalam pahlawan pasir salak , peleraiannya memberi pengajaran bahawa rayyat harus terus bersatu menentang musah negara. Memang penduduk kg berjaya menentang british kerana mereka ada pemimpn dan strategi yang baik.

Dalam meniti kaca, peleraian juga menarik kerana memberi harapan. Nazar berjaya dalam peperiksaan dan memasui sekolah berasrama yang baik. Memang ayah dan ibunya tiada tetapi nazar berjaya jua.

Karangan Sukan Pupuk Perpaduan

Sukan berupaya pupuk perpaduan

sukan dijalankan secara beramai-ramai- berlaku interaksi
sukan yang melibatan pasukan negara - sokongan diberi kepada pasukan kebangsaan
sukan menekankan aspek kerjasama - mereka yang terlibat dalam sukan faham erti nilai murni ini
sukan menjadikan rakyat ada matlamat - memudahkan mereka mengaitkan diri dengan acara sukan

Bandingkan novel

Kalau tidak dinyatakan anda terangkan persamaan dan perbezaan yang wujud. Contoh bandingkan watak utama dalam novel. Bandingan persamaan watak Nazar dengan Deli. Sama kedua-dua remaja, kedua-dua beerani dan tabah, kedua-dua menentang pendudukan kg yang tidak bersetuju dengan tindakan mereka.

Perbezaan pula ialah deli mahir bersilat manakala nazar bijak dalam matematik. deli terlibat dalam peperangan, nazar dalam peperiksaan sekolah.

Sekarang cuba pula konsep peleraian dan konflik

Karangan Perpaduan semakin hilang

Kepentingan perpaduan

menjana ekonomi negara- lebih ramai pelabur datang.
memastikan imej negara tersohor - tiada pergaduhan besar
lebih banyak kreativiti berupaya dilahirkan - tiada tekanan
rakyat hidup lebh ceria - nikmati kemodenan sebenar

Cara wujudkan perpaduan

mewujudkan program khas untuk remaja - interaksi berlaku antara mereka
tidak mencetuskan isu-isu sensitif - agama contohnya
konsep rumah terbuka diluaskan - perayaan di sambut bersama-sama
sistem pendidikan menekankan aspek perpaduan - wujudkan kelas khas atau subjek perpaduan

Wednesday, September 10, 2008

Karangan Pengiklanan

KARANGAN SKOP PENGIKLANAN

Isu-isu pengiklanan
Mempergunakan wanita seksi, wajah yang cantik dan tampan sahaja timbulkan persoalan diskriminasi
Memperdayakan pengguna membeli barangan yang tidak diperlukan atau membazir sahaja kerana iklan memang menarik
Meninggikan harga barangan kerana kos iklan telah dimasukan ke dalam harga produk itu

Pengaruh iklan

Positif
Memberi peluang kepada pengguna membuat pilihan barangan yang terbaik kerana mengetahui kewujudan jenama itu
Menjadikan persaingan lebih sihat antara pengeluar barangan kerana masing-masing cuba menonjolkan kelebihan produk mereka

Negatif
Pengguna membeli semua barangan yang difikirkan menarik tanpa memikirkan kualiti yang sebenar
Harga barangan terlalu mahal kerana kos iklan telah ditambahkan
Mewujudkan pengguna yang mementingkan jenama barangan sahaja kerana membeli sebab jenama sahaja

Karangan Skop Industri Desa Kraftangan

KARANGAN SKOP INDUSTRI DESA/KRAF TANGAN

Tujuan memajukan
Meninggikan taraf hidup masyarakat desa kerana ada kerja tetap atau sampingan
Boleh menjadi sumber rezeki terutama kepada sektor pelancongan
Mengajar masyarakat desa kemahiran hidup yang berguna

Sambutan terhadap hasil desa
Tidak baik kerana masyarakat memandang rendah mutu kerja mereka anggap tiada kualiti
Tidak baik kerana tiada usaha kempen yang meluas untuk memperkenalkan hasil kerja mereka
Tidak baik kerana pasaran agak terhad iaitu hanya dalam industri pelancongan dalam negara

Sunday, September 07, 2008

Karangan Skop Hobi Masa Lapang

KARANGAN SKOP HOBI/KEGIATAN MASA LAPANG

Peranan

Memenuhi masa senggang masyarakat terutama memberi kepuasan aktiviti yang pelbagai
Memastikan masyarakat tidak terbabit dengan kegiatan yang tidak sihat
Meningkatkan lagi daya fikir, kemahiran masyarakat dalam sesuatu perkara kerana ada aktiviti yang memerlukan penggunaan pemikiran yang tinggi
Mengeratkan hubungan antara masyarakat kerana melibatkan banyak orang

Usaha-usaha menggalakkan

Mendirikan lebih banyak kemudahan melakukan hobi seperti gelanggang atau stadium
Mengadakan kempen kesedaran mengenai faedah mempunyai hobi menerusi poster, media massa dan sekolah
Mengadakan program mengenai hobi di peringkat sekolah

Rangka Karangan Skop Kraf Tangan atau Industri Desa

KARANGAN SKOP INDUSTRI DESA/KRAF TANGAN

Tujuan memajukan
Meninggikan taraf hidup masyarakat desa kerana ada kerja tetap atau sampingan
Boleh menjadi sumber rezeki terutama kepada sektor pelancongan
Mengajar masyarakat desa kemahiran hidup yang berguna

Sambutan terhadap hasil desa
Tidak baik kerana masyarakat memandang rendah mutu kerja mereka anggap tiada kualiti
Tidak baik kerana tiada usaha kempen yang meluas untuk memperkenalkan hasil kerja mereka
Tidak baik kerana pasaran agak terhad iaitu hanya dalam industri pelancongan dalam negara

Saturday, September 06, 2008

Pengajaran Novel Pahlawan Pasir Salak

PENGAJARAN NOVEL PAHLAWAN PASIR SALAK

Kita perlu berhati-hati menerima kedatangan orang luar seperti deli yang tidak mudah percaya dengan cerita lamsah

Sikap bekerjasama perlu wujud dalam masyarakat seperti penduduk kampung pasir salak yang bekerjasama menentang british

Kita memerlukan strategi yang berkesan dalam menghadapi musuh seperti datuk maharajalela yang menggunakan taktik untuk memgelirukan british

Manusia memerlukan sifat berani dan sifat kepahlawanan dalam menghadapi musuh seperti deli yang berani menghadapi british walaupun muda

Kita perlu mentaati ibu bapa seperti deli yang sering membantu ayahnya di warung

Latar Masyarakat Pahlawan Pasir Salak

LATAR MASYARAKAT NOVEL PAHLAWAN PASIR SALAK

Masyarakat Melayu yang hidup sederhana di kampung seperti keuarga deli

Masyarakat yang mengamalkan sikap bekerjasama seperti penduduk kg pasir salak yang saling menolong hadapi ancaman british

Masyarakat menjadi alat pihak penjajah seperti lamsah yang membantu british

Masyarakat yang mentaati suruhan tuhan seperti deli yang mengerjakan sembahyang

Masyarakat yang bersemangat patriotik seperti datuk maharajalela yang bersemangat menentang british

Wujudnya anggota masyarakat yang berani dan mempunyai semangat kepahlawanan seperti deli yang mahir dalam silat dan berjuang menentang british walaupun masih muda

Thursday, September 04, 2008

Karangan Skop Pengangguran PMR Soalan

KARANGAN SKOP ISU PENGANGGURAN
Punca-puncanya
Masalah ekonomi negara/dunia yang mengalami kemelesetan
Sikap masyarakat yang terlalu memilih kerja untuk gaji yang tinggi
Kekurangan kemahiran dan pendidikan yang sesuai dengan pekerjaan semasa
Sikap malas dan mengharap bantuan kerajaan

Usaha-usaha mengatasi
Mengadakan kursus dan bengkel untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang lain kepada penganggur
Membuka lebih banyak kawasan perindustrian untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan
Memberi bantuan kewangan kepada belia yang ingin berniaga
Menghantar rombongan perdagangan ke luar negara untuk menggalakkan pelaburan asing ke dalam negara

Kesannya
Pembabitan dalam kegiatan jenayah seperti kes ragut
Menimbulkan masalah keluarga terutama kepada anak dan isteri kerana tiada wang belanja
Merugikan dan menjejaskan keupayaan negara untuk membangun
Memberi imej buruk kepada negara terhadap dunia luar

Karangan Skop Perumahan PMR Soalan

KARANGAN SKOP PERUMAHAN
Masalah perumahan kini
Rumah kos rendah terlalu kecil bilangannya dan harganya agak mahal pula
Kegagalan pemaju menyiapkan projek perumahan mengikut jadual membawa projek terbengkalai
Kesukaran untuk mendapatkan pinjaman bank dan pihak tertentu untuk membeli rumah
Mutu rumah yang masih dipertikaikan atau jaminan yang terlalu singkat

Usaha-usaha mengatasi masalah
Kerajaan perlu mengenakan tindakan tegas kepada pemaju yang gagal menyiapkan projek mereka dengan dendaan yang tinggi harganya
Pembinaan rumah kos rendah perlu dibanyakkan dan diberi insentif
reka bentuk rumah yang lebih menarik dan sesuai dengan peredaran semasa

Tuesday, September 02, 2008

WEB yang boleh bantu pelajar

Hai pelajar-pelajar semua, kalau anda ada masa sila layari web ini untuk maklumat tentang PMR terutama kertas-kertas lain.

http://www.joshuatly.com

Ceria dan selamat layari web untuk maklumat PMR anda.

cikgu azman

PMR..Karangan...Skop Sukan

KARANGAN SKOP SUKAN

Faedah-faedah bersukan
Menyihatkan badan dan mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti jantung
Meningkatkan lagi keyakinan diri dan keupayaan melakukan sesuatu kerana berjaya dalam sesuatu bidang sukan itu
Mengelakkan pembabitan dalam aktiviti yang kurang sihat seperti dadah dan lepak
Dapat bertemu dan berinteraksi dengan pelbagai lapisan manusia

Usaha-usaha meningkatkan mutu sukan negara
Melantik jurulatih asing untuk meningkatkan kemampuan ahli sukan negara dengan memberi idea baru untuk menjalani latihan
Mendirikan pelbagai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa terutama stadium bertaraf dunia
Menawarkan diri menjadi tuan rumah kejohanan sukan bertaraf dunia seperti kejohanan badminton dunia atau mungkin juga olimpik
Memberi pelbagai insentif kepada ahli sukan yang berjaya
Mengadakan pelbagai program sukan di peringkat bawah (muda) untuk cungkil bakal baru

PMR...Karangan..Skop Pembalakan

SKOP KARANGAN ISU PEMBALAKAN

Kesan Pembalakan
Hutan negara semakin pupus terutama jenis yang berharga seperti kayu jati, merbau dan cengal.
Pencemaran alam semakin meluas terutama di kawasan pedalaman
Kejadian tanah runtuh, banjir kilat dan hakisan sering berlaku
Kehidupan haiwan liar seperti harimau pupus dan orang Asli terjejas

Usaha-usaha mengekalkan hutan
Mewartakan kawasan hutan sebagai Taman Negara terutama yang hampir pupus
Menggalakkan penanaman semula hutan yang telah ditebang dengan satu pokok ditebang diganti dengan lima batang yang baru
Kempen kesedaran terutama dalam kalangan pelajar
Penggubalan undang-undang yang ketat terutama kepada pembalak haram

PMR..Karangan..Skop Pelancongan

KARANGAN SKOP INDUSTRI PELANCONGAN

Usaha dan Cara memajukan Industri Pelancongan
Memberi diskaun, insentif kepada industri pelancongan negara
Mengadakan hari melancong atau tahun melancong
Memperbanyakkan kawasan /destinasi pelancong negara
Meningkatkan industri kraftangan negara
Meningkatkan kadar kebersihan dan kecekapan sistem pangngkutan negara

Kesan industri pelancongan

Positif
Menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara
Memberi peluang pekerjaan kepada rakyat
Memperkenalkan nama dan budaya negara kepada orang luar

Negatif
Menularnya budaya tidak sihat daripada negara luar
Peningkatan harga barangan terutama di destinasi pelancongan yang boleh menjejaskan orang tempatan

Saturday, August 23, 2008

Karangan Mengatasi Masalah Pembabitan Remaja Dalam Lumba Haram


Penglibatan remaja dalam perlumbaan motosikal secara haram membimbangkan banyak pihak. anda berhasrat untuk menulis satu artikel tentang cara-cara mengatasi gejala tersebut untuk tersiar dalam sebuah akhbar tempatan.
Tulis rencana itu selengkapnya.


Remaja dan lumba motosikal: Satu Penyelesaian Mutlak?
oleh: Azman bin Noor

Perlumbaan motosikal memang sering dikaitkan dengan remaja kerana aktiviti ini dikatakan mampu memberi semangat kepada remaja yang sedang mengalami satu proses kedewasaan yang kritikal. Remaja melihat lumba motosikal ini satu jalan mudah untuk menyelesaikan masalah kerana terutama masalah keluarga dan sekolah serta masa depan mereka. Kejadian demi kejadian lumba motosikal ini turut disiarkan oleh media massa menerusi pelbagai program mereka. Sememangnya, ada pelbagai tindakan yang boleh diambil oleh semua pihak dalam menangani isu yang semakin menular ini.

Sebenarnya tindakan yang paling penting dalam menyelesaikan kemelut sosial ini ialah ibu bapa memainkan peranan mereka dengan lebih efektif. Dalam mendidik anak, ibu bapa harus bijak dan berupaya untuk mengawasi tingkah laku anak mereka dengan berkesan terutama anak yang sudah mencapai umur remaja. Ibu bapa perlu mengenakan satu tahap disiplin dan dalam masa yang sama menyayangi anak mereka dengan sepenuh hatinya untuk memberi satu perasaan disayangi dalam diri anak mereka. Justeru, ibu bapa menjadi benteng pertama dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang melanda remaja kita ini.

Langkah susulan ialah pihak kerajaan membuat lebih banyak sekatan jalan raya di kawasan-kawasan berisiko tinggi untu berlakunya perlumbaan motosikal ini. Tindakan pihak polis yang lebih proaktif menyebabkan remaja berfikir dua kali sebelum terlibat dalam tindakan negatif ini kerana menyedari tindakan mereka sudah dihidu oleh pihak berkuasa awal-awal lagi. Pihak polis juga perlu membuat pengumuman awal tentang hasrat mereka mengadakan sekatan jalan raya untuk memberi amaran awal kepada remaja supaya tidak melakukan tindakan bodoh dengan membuat perlumbaan motosikal di situ. Maka, tindakan pantas dan bijak pihak kerajaan terutama pihak polis menyebabkan remaja tidak berani melakukan aktiviti sumbang ini.

Selain itu, tindakan menaikkan had umur untuk memiliki lesen motosikal boleh menghalang kejadian lumba motosikal ini dengan lebih berkesan. Had umur yang lebih tinggi ini menyebabkan semua remaja yang menunggang motosikal tidak perlu diperiksa kerana sudah pasti mereka tidak memiliki lesen motosikal. Keadaan ini menyebabkan pihak polis mudah untuk memantau isu perlumbaan motosikal ini dengan lebih menyeluruh. Jelaslah, kemelut yang melanda negara ini mampu diatasi dengan berkesan jika umur yang dibenarkan untuk menunggang motosikal ini ditingkatkan.

Kempen kesedaran turut perlu dilaksanakan dalam menangani kemelut yang melanda kalangan remaja kita ini. Penjelasan mengenai impak buruk lumba haram diperincikan dalam kempen itu untuk memberi kesedaran yang jitu kepada remaja. Dalam masa yang sama kempen ini turut menjelaskan tindakan undang-undang yang boleh dihadapi oleh remaja yang didapati bersalah terbabit dalam kegiatan lumba haram. Jelaslah, kempen yang begitu mudah tetapi efektif berupaya menghalang gejala sosial ini daripada menular dalam jiwa remaja kita jika dilaksanakan dengan baik.

Kesimpulannya, semua langkah di atas harus dijalankan secara bersistematik jika mahu melihat kejayaan membasmi gejala luma haram ini. Tindakan tegas pihak berkuasa terutama polis dalam penguatkuasaan undang-undang dilihat sebagai jalan yang paling penting. Kegagalan menangani isu ini boleh menyebabkan remaja kita terjebak dalam pelbagai masalah sosial yang lain terutamana penyalahgunaan dadah dan hubungan sosial yang bebas. Tindakan kita hendaklah berterusan dan bersungguh-sungguh seperti peribahasa “menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan” jika masalah ini hendak diatasi.

Monday, August 11, 2008

Karangan Rasuah. Faktor-faktor penyebab dan langkah-langkah mengatasinya


Fenomena rasuah sering dikaitkan dengan istilah tumbuk rusuk atau makan suap dan konotasi ini membawa maksud yang negatif kepada imej sesebuah masyarakat itu. Semakin tinggi kadar rasuah di sesebuah negara itu maka semakin rendahkan persepsi masyarakat luar terhada kemampuan rakyat negara terbabit untuk melakukan sesuatu terutama dalam aspek ekonomi. Media massaa turut menyiarkan pelbagai kes yang melibatkan pegawai kerajaan berprofil tinggi yang terlibat dalam amalan rasuah ini sebagai bukti betapa masalah ini semakin menular dalam masyarakat kita. Jelaslah, fenomena sosial ini mempunyai pelbagai imlikasi, punca dan langkah yang efektif untuk menanganinya.

Punca yang ketara tentang gejala ini sering dikaitkan dengan masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan kita. Masyarakat menganggap masaah rasuah ini bermaharajalela kerana kerajaan tidak memiliki satu sistem yang telus terutama dalam aspek pemberian tender dan projek lain yang menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk mengambil wang secara haram ini. Ketiadaan sistem pemantauan yang berkesan telah menyebabkan ramai kaki tangan awam yang terangsang untuk melakukan jenayah yang keji ini. Jelaslah, masalah ini berleluasa apabila tiadanya satu ketelusan dalam sistem tadbiran awam negara kita.

Selain itu, masalah jenayah kolar putih ini turut merebak lantaran sikap masyarakat kita yang tidak peka dengan polemik masalah ini secara terperinci. Ada kalangan masyarakat yang menganggap masalah ini merupakan asam garam kehidupan yang harus dan telah dialami oleh semua negara di dunia ini. Persepsi sedemikian menyebabkan mereka menganggap tindakan mengambil rasuah dan memberi rasuah itu sudah menjadi satu kebiasaan yang tidak pernah dimalukan oleh sesiapa sahaja. Maka, kurangnya pemahaman masyarakat terhadap masalah rasuah ini menyebabkan masalah ini menular secara pantas dalam masyarakat kita terutama yang tinggal di bandar-bandar besar.

Bukan sahaja kurangnya pemahaman tentang masalah ini yang membawa penularan gejala sosial ini tetapi masalah ini turut mempunyai kaitan dengan penguatkuasaan undang-undang yang dikatakan lemah dalam sistem perundangan negara kita tentang isu rasuah ini. Tindakan mahkamah mengenakan hukuman yang dianggap ringan kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan jumlah rasuah yang diambil oleh mereka telah memberikan satu pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman kita untuk menangani isu ini. Hukuman yang ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak-pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana mereka sedar mereka masih mampu menikmati hasil rasuah yang mereka ambil itu setelah keluar dari penjara. Sesungguhnya, kelemahan dalam sistem kehakiman menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan rasuah di negara ini telah memberi satu pandangan salah tentang rasuah ini kepada masyarakat kita.

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah rasuah ini? Sudah pasti tindakan awal ialah kerajaan membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut ini dengan menahan, mendakwa dan menghukum pesalah-pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan mereka. Rakyat masih beranggapan bahawa masih ada pihak-pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi mereka tidak di bawa ke muka pengadilan yang menimbulkan rasa tidak ppercaya rakyat akan keikhlasan kerajaan menangani isu ini. Kesungguhan kerajaan mendakwa atau menyeret mereka ini ke mahkamah akan memberi satu peringatan agar mereka tidak mengambil rasuah pada peringkat awalnya. Sesungguhnya, tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa memilih bulu akan memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang setimpal dan menakutkan mereka untuk melakukan jenayah ini.

Usaha kerajaan untuk menakutkan pesalah rasuah dan masyarakat boleh dicapai menerusi satu kempen iklan yang efektif. Kempen yang dilancarkan itu mestilah menggunakan media massa secara holistik iaitu daripada akhbar hinggalah ke internet untuk memastikan semua khalayak masyarakat menerima kempen tersebut. Semua imej atau aksi yang dipaparkan melalui iklan itu mestilah berupaya meninggalkan kesan atau menjadikan masyarakat berfikir dua kali sebelum mereka menerima rasuah. Jadi, kempen yang begitu mudah tetapi berkesan menjadi satu wahana yang baik dalam peperangan memerangi amalan rasuah ini.

Seterusnya, penerapan konsep keagamaan dan moral hendaklah dilakukan terutama di sektor pendidikan negara seperti dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti. Usaha menerapkan konsep murni sebegini perlu dilakukan pada peringkat awal kehidupan seseorang itu supaya mudah untuk mengawalnya. Semua konsep yang baik dijelaskan kepada pelajar supaya mereka memahami keperluan untuk membebaskan diri dan negara daripada ancaman rasuah ini. Ringkasnya, pendidikan kepada golongan muda berupaya menyekat penularan wabak sosial yang begitu memalukan ini dengan begitu mudah dan berkesan.

Konklusinya, semua faktor dan langkah mengatasi kemelut sosial ini harus diteliti dan dipantau oleh semua pihak dengan berkesan. Perubahan paradigm masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku terlibat dahulu jika masalah ini hendak diatasi hingga ke akar umbinya. Kelewatan untuk mengatasi masalah ini mampu menjadikan negara kita satu negara yang begitu sukar untuk dipercayai dan diuruskan pada masa hadapan. Mungkin konsep mencegah daripada mengubatinya lebih berkesan dalam memastikan rasuah terus berkubur dalam tempat yang sepatutnya.