Sunday, December 23, 2007

Aku Menjadi Lebih Berani


SAJAK KHAS UNTUK WANITA?

Sajak Aku Menjadi Lebih Berani sememangnya satu sajak yang menarik perhatian saya. Sajak ini menarik kerana sajak ini cuba menonjolkan perasaan wanita terutama dalam sesuatu perhubungan. Wanita sering dianggap kaum yang lemah dan mudah mengalah tetapi dalam sajak ini wanita digambarkan insan yang berhati mulia dan mampu berubah secara positif.

Kalau pelajar teliti sajak ini terutama dalam rangkap pertama cuba menonjolkan perbezaan antara wanita atau penyajak dengan lelaki atau sahabatnya. Perbezaan itu ialah wanita lebih baik hatinya berbanding sahabatnya. Memang dalam rangkap ini tidak dijelaskan siapa sahabat wanita itu tetapi kita boleh membuat andaian bahawa sahabatnya itu seorang lelaki yang tidak baik hatinya. Bukankah lelaki suka mengambil kesempatan?

Rangkap kedua menarik kerana penyajak cuba menyingkap perasaan wanita yang sememangnya tabah terutama dalam aspek fizikal iaitu seksaan fizikal. Kita sering kali mendengar wanita diseksa tetapi mampu bertahan (jangan amalkan sikap ini) tetapi sebenarnya wanita lebih mudah terguris hatinya apabila mendengar ungkapan kata-kata yang tidak menyenangkannya terutama daripada sahabatnya yang bernama lelaki. Wanita sensitif terhadap kata-kata.

Rangkap ketiga menjadi tempat penyajak untuk membuktikan perubahan wanita itu. Sering kali dipermainkan oleh lelaki atau sahabatnya telah menyebabkan wanita itu menjadi lebih matang dan tabah mengharungi kehidupan.

Biasanya baris kedua rangkap kedua sajak ini iaitu sebilah pisaumu aku tidak gentar sering ditanya kerana baris ini memberitahu bahawa wanita tahan seksaan fizikal lebih baik daripada lelaki. Wanita sememangnya tabah mengharungi cabaran hidup.

Manakala rangkap terakhir baris pertama iaitu hati dan rasa mengajarku memberi makna bahawa wanita telah memahami pengalaman lalu dan mengambil iktibar daripadanya. Wanita zaman kini sudah mampu berfikir sendiri.

Kalau saya ditanya pelajar sudah pasti sajak ini menjadi satu sajak yang bakal saya tampalkan di dinding bilik saya (kalau saya wanita). Sajak ini memberi satu semangat baru kepada wanita supaya lebih tabah, matang berfikir dan tidak bergantung kepada lelaki dalam kehidupan mereka.

Untuk lelaki, sajak ini juga membawa satu peringatan. Jangan lukakan hati wanita. Jangan memandang rendah kebolehan wanita. Jangan mempermainkan perasaan wanita kerana wanita itu lebih tinggi darjatnya daripada lelaki yang tidak bermaruah.

Terus belajar pelajar-pelajarku.

Friday, December 14, 2007

Karangan Karya Sastera.....Penting Karangan Ini


Karya sastera mampu mencorakkan minda pembaca.
Berikan komen anda tentang pernyataan tersebut.


Karya sastera merujuk hasil penulisan yang meninggikan budaya sesuatu masyarakat itu. Karya yang berunsur sastera juga dikatakan mempunyai unsur pengajaran positif dan mampu memberi satu kesedaran kepada setiap pembacanya. Sajak, novel, pantun, gurindam, cerpen dan seloka antara contoh karya sastera. Sememangnya karya sebegini berupaya untuk mematangkan pemikiran seseorang itu terutama golongan remaja.

Karya sastera sering mengupas kemelut social yang sudah berlaku, sedang berlaku, dan mungkin bakal berlaku dalam sesebuah masyarakat. Keadaan ini menyebabkan pembaca mengetahui sesuatu kemelut itu dengan lebih baik dan faham impak yang timbul. Pembaca tidak lagi melihat kemelut hanya daripada satu aspek sahaja tetapi memahami dan mengakui pelbagai faktor menjurus kea rah kemelut tersebut. Jelaslah, karya sastera memberi satu informasi yang berguna kepada pembaca dalam melihat kehidupannya.

Lantaran itu, karya sastera mampu memberi kesedaran kepada pembaca. Kesedaran ini timbul setelah membaca karya-karya yang benar-benar mengusik jiwa mereka. Novel Bukit Kepong mampu menyebabkan pembaca tertanya-tanya sebab mereka tidak menyertai pasukan polis atau pembaca mula melihat anggota polis dengan satu pandangan baru yang positif. Jadi, tanpa karya sastera mungkin masyarakat tidak mengalami apa-apa perubahan minda.

Penggunaan bahasa dalam karya sastera memang mengagumkan. Pemilihan katanya begitu indah dan menyentuh naluri kita. Keindahan bahasa itu melambangkan keyakinan masyarakatnya terhadap bahasa sendiri. Kemahiran berbahasa ini sudah pasti memberi impak yang positif kepada pembaca jua. Sesungguhnya, karya sastera menyebabkan pembaca memiliki pengetahuan bahasa yang luas dan berguna dalam kehidupannya serta kerjaya mereka.

Penulis yang menulis karya sastera sering menggunakan pengalamannya sendiri ketika menghasilkan karya mereka. Pengalaman itu mampu dikongsi bersama oleh pembaca. Pengalaman yang baik, sedih, gembira, dan unik ini seolah-olah berlaku antara penulis dan pembaca. Keadaan ini memberi satu bentuk hubungan peribadi antara penulis dan pembaca yang memudahkan sesuatu karya itu difahami oleh pembaca. Situasi ini menghidupakan masyarakat untuk menjadi satu entity yang berperasaan kemanusiaan sejagat. Masyarakat yang tiada pilih kasih dan mementingkan diri.

Namun, tidak dinafikan karya sastera mempunyai kelemahannya. Karya sastera sering dikatakan membosankan, tidak menepati cita rasa remaja, terlalu panjang, sukar difahami, tidak melambangkan realiti kehidupan dan banyak lagi alas an yang diberikan. Keadaan ini menyebabkan karya sastera dipinggirkan oleh masyarakat terutama remaja yang lebih suka sesuatu yang pantas dan mudah difahami. Hari demi hari jumlah pembaca karya sastera semakin menghilang.

Kesimpulannya, karya sastera memang penting dalam kehidupan masyarakat moden. Cuma karya sastera harus berubah paradigma mereka. Karya sastera harus mencari jalan untuk menembusi minda remaja. Kejayaan karya sastera memahami keperluan remaja bakal memastikan karya murni ini terus hidup subur dalam sanubari masyarakat kita. Sanggupkah kita melihat karya sastera hilang di persada dunia ini?

Monday, December 10, 2007

Saya Suka Gunting Rambut?


Anda suka gunting rambut? Saya suka. Malah hampir setiap dua minggu saya akan pergi ke kedai gunting rambut kegemaran saya. Kalau rambut saya terlalu panjang saya akan gelisah. Ketika tidur saya tidak suka helaian rambut saya terkena kuping telinga. Jadi, Tukang Gunting memang sajak yang dekat pada hati saya. Terlalu suka.

Rangkap pertama sajak ini menceritakan tempat Tukang Gunting menjalankan kerjanya. Pokok Semarak Api yang menjadi tumpuan orang ramai menjadi pilihan Tukang Gunting. Sememangnya kawasan yang strategik penting dalam setiap perniagaan. Tukang Gunting juga mampu berfikir seperti seorang ahli perniagaan.

Rangkap kedua lebih ke arah menjelaskan peralatan yang dimiliki oleh Tukang Gunting. Berbekalkan sebilah gunting, cermin yang rosak, sikat yang rosak dan bangku, Tukang Gunting mencari nafkah untuk keluarganya. Semua peralatan yang usang, rosak dan sedikit ini membuktikan betapa pendapatan Tukang Gunting agak kecil.

Manakala dalam rangkap ketiga, penyajak cuba membandingkan Tukang Gunting dengan Pokok Semarak Api daripada aspek semangatnya. Bunga Pokok Semarak Api yang gugur bertaburan itu disamakan dengan kekuatan semangat Tukang Gunting dalam melakukan tugasnya.

Rangkap Keempat menceritakan keadaan Tukang Gunting ketika menunggu kedatangan pelanggannya. Tukang Gunting dianggap merenung masa muda dan merancang masa depannya. Mungkin penyajak cuba menggambarkan Tukang Gunting seorang insan yang mempunyai perasaan dan cita-cita seperti insan lain.

Saya suka dengan rangkap terakhir sajak ini kerana rangkap ini membuktikan betapa Tukang Gunting mengutamakan keluarganya terutama 4 anaknya itu. Tukang Gunting berjanji akan terus bekerja bukan untuk dirinya tetapi untuk keluarganya. Tukang Gunting jenis yang sanggup berkorban.

Sajak ini memang mudah difahami oleh pelajar. Cuma pelajar harus faham bahawa soalan tentang cara-cara meningkatkan pendapatan Tukang Gunting sering ditanya. Soalan mengenai tanda-tanda kemiskinan Tukang Gunting turut menjadi soalan lazim. Begitu juga dengan tempat Tukang Gunting bekerja dan perkara yang dilakukannya ketika menunggu pelanggan.

Manakala rangkai kata di lumpur sungai manusia menjelaskan kawasan itu tumpuan masyarakat. Begitu juga rangkai kata ia tambatkan perahu hidup yang merujuk pekerjaannya dan tempat bekerjanya.

Bila anda nak gunting rambut?

Teruskan belajar pelajar-pelajarku.

Sunday, December 09, 2007

Alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita. Jelaskan langkah-langkah untuk menyelamatkannya



Sejak belakangan ini, pembangunan tanpa limitasi kini merupakan perubahan kian pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab ini. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Jadi, alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita dan langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihan alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran. Hal ini jelas akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibatnya, penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) amat berbahaya kepada masyarakat di jagatraya. Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawalkan oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspen penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini penting sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Dalam pada itu, program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu.Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air” Melalui cara ini, sumber manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka sekali gus dapat memelihara kebersihan alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijaga melalui kempen kesedaran sivik supaya rakyat dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat mencapai matlamatnyai apabila semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar.

Secara tuntas, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan sewajarnya untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya berpeluk tubuh meletakkan masalah ini di atas bahu kerajaan dengan semata-matanya. Kerjasama bagai aur dengan tebing yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna. Hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Hal ini sinonim dengan slogan negara “ Negara Bersih, Rakyat Sihat ”


Karangan ini dihasilkan oleh pelajar saya iaitu Chin Yee

Thursday, December 06, 2007

Belajar Bermula Dengan Minat


Ramai pelajar saya yang mengadu bahawa mereka tidak mampu menguasai BM dengan baik. Pelbagai alasan diberikan oleh mereka kepada saya. Ada yang menggunakan alasan guru BM mereka tidak pandai mengajar. Ada yang menganggap mereka tidak nampak kepentingan BM dalam kehidupan. Ada juga yang terpaksa mengambil BM. Pelbagai alasan yang diberikan oleh mereka ini menyebabkan saya termenung seketika. Memang mudah untuk menyalahkan sesuatu atau orang lain apabila kita gagal melakukan sesuatu perkara itu.

Sudah hampir dua dekad saya mengajar dan selama saya mengajar itu, satu sikap yang ketara wujud dalam diri pelajar yang menguasai BM ialah mereka memang minat terhadap subjek tersebut. Minat dalam erti kata mereka sanggup menghadiri kelas tambahan selain kelas biasa yang dianjurkan oleh guru mereka. Mereka juga sering bertanya soalan yang terbuku di dalam hati mereka. Setiap latihan yang diberikan oleg guru pasti dilakukan oleh mereka tanpa berlengah masa lagi.

Jadi, kalau pelajar semua ingat tahu rahsia utama untuk berjaya dalam BM dan mungkin subjek lain ialah minat kita terhadap subjek tersebut. Lihat sahaja kejayaan yang dimiliki oleh David Beckham atau Nicol David atau Tiger Wood. Saya yakin mereka berjaya kerana mereka meminati bidang sukan yang diceburi. Mereka tidak dipaksa atau disuruh oleh sesiapa tetapi diri mereka yang ingin mencapai sesuatu kejayaan yang sukar dibuat oleh sesiapa. Bola lencongan tendangan percuma Beckham bukan semua orang mampu lakukan. Latihan demi latihan yang dibuat oleh pemain itu tercetus kerana minat yang mendalam.

Tanya diri anda sendiri. Sejauh mana minat anda terhadap BM. Untuk lulus? Untuk memuaskan hati ibubapa? Untuk memastikan diri tidak malu atau untuk diri sendiri. Maksud saya untuk mempelajari BM kerana BM itu penting dalam pembangunan sahsiah diri seseorang. Penguasaan bahasa termasuklah BM pasti menjadi aset penting dalam kehidupan seseorang. Dalam era globalisasi ini bukan sahaja segulung ijazah penting tetapi kelebihan seseorang juga penting dan bahasa mampu memberi satu ciri unik kepada seseorang pelajar. Percayalah pelajar yang menguasai BM dan bahasa lain mampu hidup dalam alaf yang penuh persaingan ini.

Jadi, mulai minggu ini dan minggu seterusnya, saya akan menulis setiap bahagian BM untuk memudahkan pelajar menghadapi SPM 2008. Pelajar pula haruslah menilai dan membuat ketetapan diri. Anda minat atau tidak minat. Kalau minat teruskan membaca. Kalau tidak minat, cari atau teroka cara untuk meminati BM kerana anda semua masih mempunyai masa.

Terus belajar pelajar-pelajarku.