Perlu latihan?

Perlu latihan?

Thursday, October 25, 2007

Contoh Isi Karangan Kedatangan Pekerja Asing?


Karangan kedatangan pekerja asing telah menjadi topik hangat ketika saya memberi seminar tadi. Ramai pelajar saya bertanya kepada saya. Jadi, saya berikan contoh-contoh isi kalau soalannya merujuk aspek pengawalan:

USAHA-USAHA PENGAWALAN
Mengetatkan kawalan di pusat-pusat/pintu masuk negara
• Mengenakan bayaran levi/cukai
• Mengehadkan pembabitan warga asing dalam sektor pekerjaan tertentu sahaja


Namun, kalau soalan karangan menumpukan aspek keburukan, sila rujuk contoh di bawah:

KEBURUKAN
Kadar jenayah semakin meningkat
• Mengurangkan peluang mendapatkan pekerjaan di kalangan rakyat tempatan
• Wang negara dibawa keluar dengan banyak


Manakala kesan baik ialah:

KEBAIKAN
Memenuhi keperluan tenaga buruh negara terutama dalam sektor yang tidak diminati penduduk tempatan
• Meninggikan imej negara
• Wujud persaingan yang sihat

Wednesday, October 24, 2007

Peranan ibu bapa dalam membentuk masyarakat penyayang...


Jelaskan peranan ibu bapa dalam membentuk masyarakat penyayang.

Pada alaf baru ini, ibu bapa memberi peranan yang penting kepada masyarakat dan negara. Media cetak mahupun media elektronik sering menyiarkan isu ini. Dalam kalangan ibu bapa dalam masyarakat ini selalu diberi perhatian oleh orang ramai terutamanya kerajaan. Menurut Perdana Menteri Malaysia ke-5 Dato Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Batawi memberitahu bahawa membentuk masyarakat penyayang amat penting sekali. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah-langkah yang boleh diambil untuk membentuk masyarakat penyayang.

Sehubungan dengan hal itu, ibu bapa seharusnya memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Namun begitu, terdapat kalangan ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka. Hal ini kerana, ibu bapa tersebut lebih mementingkan kemewahan hidaup dan kekayaan. Oleh itu, ibu bapa seharusnya meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak mereka pada alaf globalisasi ini. Di sini saya memberi contoh ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka semasa cuti sekolah untuk meneratkan hubungan dan mengurangan tekanan anak-anak dalam aspek pembelajaran serta ibu bapa. Jadi, impian ibu bapa atau negara untuk membentuk masyarakat penyayang akan tercapai jua.

Sejajar dengan itu, ibu bapa sewajarnya memberi didikan agama kepada anak-anak semenjak kecil lagi. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sebaliknya, ibu bapa mengagung-agungkan kemodenan sehingga mengabaikan anak-anak dalam didikan agama. Hal ini kerana, mereka beranggapan didikan agama tidak penting dalam arus kemajuan teknologi satelit masa kini. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan didikan agama kepada anak-anak mereka. Misalnya, menggalakkan anak-anak mengikut kelas kifayah supaya anak-anak akan menjadi insan yang berakhlak mulai. Di samping itu, mereka seharusnya memberikan pengajaran yang baik kepada anak-anak mereka ketika anak-anak itu masih dalam buaian lagi. Jelaslah, hasrat ibu bapa dalam melahirkan generasi yang berguna akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti.

Malahan, ibubapa haruslah menyediakan semua keperluan atau kemudahan kepada anak mereka. Penyediaan tempat belajar yang sesuai amat penting. Begitu juga dengan hubungan ayah dan ibu yang mesra tanpa sebarang masalah sudah pasti akan memberi keselesaan kepada anak untuk menjadi manusia yang penyayang. Ringkasnya, sikap ibubapa yang sebegini mampu melahirkan satu generasi muda yang penyayang di negara ini.

Seiring dengan itu, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Namun demikian, terdapat kalangan ibu bapa yang berperangai buruk. Contohnya, menjadi penangih dadah, pencuri, penjengah, perogol dan sebagainya. Hal ini jelas, mereka akan mengalami kesempatan wang dan tekanan emosi. Bak kata pepatah “ bagai acuan begitulah kuihnya”. Hal ini demikian, ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang baik kepada anak-anak sejak kecil lagi. Umpamanya, mengamalkan tabiat rajin membaca buku di hadapan anak-anak. Lama-kelamaan tabiat ini dalam kalangan generasi muda akan mengikut tabiat yang positif ini. Ringkasnya, peranan ibu bapa amatlah besar dalam melahirkan masyarakat yang berguna pada alaf globalisasi ini.

Tuntasnya, semua pihak sewajarnya memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan dan pihak swasta. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang terpenting untuk memupuk masyarakat penyayng. Justeru, peribahasa “bagai aur dengan tebing” hendaklah diamalkan oleh semua warganegara Malaysia terutamanya generasi muda sejak belakangan ini.

Monday, October 22, 2007

Layari Blog Sejarah ....Belajarsejarah.blogspot.com

Pastikan anda melayari blog sejarah ini iaitu Belajarsejarah.blogspot.com kerana banyak maklumat terkini untuk soalan-soalan sejarah SPM dibincangkan.

Karangan Membaca Novel Bawa Kesan Baik dan Buruk?


Novel sudah menjadi satu perkara penting dalam kehidupan remaja. Biasanya remaja suka membaca novel yang berunsur cinta.
Jelaskan kebaikan-kebaikan dan keburukan membaca novel.

Novel merujuk bentuk penulisan yang panjang dan memaparkan pelbagai ragam kehidupan manusia. Novel memang menjadi aspek penting dalam kehidupan remaja terutama novel berunsur cinta yang mengasyikkan jiwa remaja. Cuma membaca novel mampu membawa impak positif dan negatif yang harus diberi perhatian.

Aktiviti membaca sudah pasti membuka minda remaja terhadap sesuatu isu yang dipaparkan dalam novel yang dibaca.Tema yang digarap oleh penulis itu sememangnya berkaitan dengan isu semasa realiti dan ini memberi satu bentuk pemahaman yang mudah kepada remaja. Novel menjadi isu semasa itu sesuatu yang mudah difahami tetapi dibentangkan dalam bentuk cerita yang lebih bersesuaian dengan diri remaja. Oleh itu, semakin banyak novel yang dibaca semakin luaslah minda remaja.

Amalan membaca novel ini turut menjadikan seseorang itu lebih memahami konsep sastera dengan lebih yakin. Penggunaan bahasa yang diksi oleh penulis sudah pasti akan memberi satu rangsangan kepada pembacanya. Kesantunan bahasa yang digunakan mencungkil naluri pembaca untuk mengetahui maksud perkataan yang dipilih oleh penulis novel itu. Sudah pasti tindakan ini akan memastikan pembaca mempunyai koleksi kosa kata yang banyak.

Malah, aktiviti membaca novel membolehkan seseorang itu menghabiskan masa senggangnya dengan lebih berfaedah. Pembacaan novel memerlukan seseorang itu menumpukan perhatian yang jitu untuk satu masa yang panjang. Biasanya sehari atau mungkin beberapa hari diperlukan untuk menghabiskan sesebuah novel itu. Jadi, membaca novel menyebabkan masa remaja dihabiskan dengan baik tanpa melibatkan kegiatan yang tidak baik.


Namun, pembacaan genre sastera ini turut membawa kesan buruk iaitu mengabaikan tugas sebagai pelajar. Masa yang panjang untuk membaca novel menyebabkan pelajar akan melupakan tanggungjawabnya untuk belajar atau membuat kerja sekolah yang penting itu. Masalah ini semakin kronik apabila remaja itu membaca lebih banyak novel dalam tempoh yang lama. Kesannya, pencapaian pelajar terbabit mungkin akan terus merosot.

Kesimpulannya, membaca novel memang baik tetapi impak buruknya turut wujud. Seseorang remaja itu perlulah pandai menilai dan memilih jenis novel yang sesuai dengan usia mereka.Pembacaan yang meluas dalam kalangan remaja turut membina satu kelompok remaja negara yang berpengetahuan luas dan memiliki pemikiran yang kritis.

Saturday, October 13, 2007

Karangan Kokurikulum..Kepentingannya


Kerajaan telah memberi penekanan terhadap aspek kokurikulum sekolah. Pelajar sudah mula diwajibkan untuk terlibat dalam aktiviti ini. Malah kemasukan ke universiti mula menekankan aspek kokurikulum juga.
Huraikan.

Kegiatan kokurikulum telah dianggap satu aktiviti yang penting tetapi pembabitan pelajar agak mengecewakan. Ada pelbagai faktor yang menyebabkan pelajar tidak mahu melibatkan diri mereka dalam aktiviti ini. Sikap tidak acuh pelajar ini telah menyebabkan kerajaan mewajibkan kegiatan ini dan menjadi syarat unntuk pemilihan ke universiti. Sebenarnya, kokurikulum mempunyai banyak kebaikan yang tersirat.

Pelajar yang terlibat dengan kokurikulum dapat menyihatkan badan mereka. Peluh yang keluar dapat menghilangkan toksik badan. Pelajar yang menghadapi era persekolahan zaman ini memang penuh masalah, jadi pembabitan dalam kokurikulum mampu mengurangkan tekanan ini. Kegiatan yang dijalankan itu mampu mengalih fikiran pelajar sejenak daripada persiapan peperiksaan mereka yang penuh dengan penghafalan dan membuat latihan. Minda mereka dapat berehat sebentar apabila melakukan aktiviti yang berbeza iaitu kokurikulum.

Dalam masa yang sama pembabitan pelajar memastikan mereka tidak terbabit dengan aktiviti yang tidak sihat. Kegiatan kokurikulum dilakukan pada masa-masa yang telah ditetapkan. Penetapan masa ini menyebabkan pelajar terpaksa menguruskan masa mereka dengan bijak. Pelajar yang terbabit dalam aktiviti ini akan mengutamakan aktiviti kokurikulum dan pembelajaran mereka. Ringkasnya, mereka kekurangan masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat seperti melepak.

Selain itu, pelajar turut dapat menambah keyakinan diri mereka melalui aktiviti kokurikulum ini. Kokurikulum menyediakan satu “medan” yang sesuai kepada pelajar untuk memimpin atau mengetuai sesuatu pertubuhan. Situasi ini memberikan mereka satu keyakinan terhadap kemampuan mereka dalam aspek-aspek tertentu. Mereka mula menyedari bakat yang ada dan berupaya untuk mengembangkannya serta mengasahnya menjadi sesuatu yang lebih cemerlang lagi seperti memimpin pertubuhan belia, syarikat dan mungkin juga negara.

Malahan, aktiviti kokurikulum membuka minda dan mata pelajar tentang erti persahabatan dan pergaulan. Mereka akan bertemu dengan pelbagai orang dalam menjalankan aktiviti kokurikulum itu. Mereka mengenal jenis manusia sebenar terutama apabilamenghadapi masalah untuk menganjurkan sesuatu aktiviti. Mereka juga mengenali erti persahabatan yang sejati. Pengalaman ini semua akan mengajar pelajar erti kehidupan yang tidak boleh mereka peroleh di luar.

Pelajar juga mengetahui banyak perkara baru. Aktiviti dalam pertubuhan beruniform akan mendedahkan mereka kepada cara-cara untuk menyelamatkan mangsa ketika kecemasan, cara berkhemah, cara memasak dan cara menguruskan perbelanjaan persatuan. Semua ini memberi satu pengetahuan yang berguna kepadapelajar. Ilmu ini turut memberi pelajar satu dimensi baru dalam cara mereka melihat sesuatu pertubuhan apabila mereka keluar dari sekolah.

Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum haruslah disertai oleh semua pelajar tanpa sebarang prasangka buruk. Mereka tidak harus menganggap aktiviti ini akan menghalang kemajuan mereka dalam peperiksaan. Mereka tidak harus menyalahkan kokurikulum kalau mereka tidak memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka seharusnya melihat aktiviti ini sebagai satu proses pembelajaran yang harus dialami oleh semua orang sebagai sebahagian daripada proses kehidupan kita sebagai manusia.

Karangan Meningkatkan Minat Membaca dan Kesan Positif Amalan itu


Bangsa membaca bangsa berilmu sering menjadi cogan kata sesuatu majlis ilmu tetapi rakyat negara ini masih terbelakang dalam aspek pembacaan. Kita dikatakan hanya membaca satu buku sahaja setahun.
Terangkan langkah-langkah untuk meningkatkan minat membaca dan kesan-kesan positif yang timbul daripada pembacaan ini.

Masyarakat kita memang tidak suka membaca kerana menganggap aktiviti ini sebagai membosankan. Kajian menunjukkan bahawa rakyat negara ini hanya membaca sebuah buku setahun berbanding negara-negara lain yang boleh mencecah 8 buku setahun. Keadaan ini sudah pasti amat memalukan kita semua kerana ketika kita mahu dianggap sebuah negara maju, kadar pembacaan kita terlalu rendah. Agaknya elok kita menilai keutamaan kita dalam menjalani kehidupan seharian.

Antara langkah yang boleh diambil untuk menangani kemelut ini ialah kerajaan menurunkan harga buku terutama buku ilmiah. Penurunan harga ini membolehkan lebih ramai membeli dan dapat membaca. Harga buku yang rendah turut menyebabkan seseorang dapat membuat rujukan lebih banyak buku terhadap sesuatu perkara. Ketika ini, harga buku yang terlalu mahal menyebabkan masyarakat menganggap membeli buku sebagai satu kerja membazir dan berbau golongan atasan.

Tambahan itu, kerajaan harus memberikan banyak insentif kepada penerbit atau syarikat buku untuk menghasilkan lebih banyak buku. Insentif dalam bentuk pengecualian cukai, keuntungan dan pemberian permit penerbitan harus diberikan tanpa sebarang gangguan birokrasi. Pemberian ini akan menyebabkan lebih banyak penerbit baru muncul kerana mereka yakin perniagaan mereka akan mengaut keuntungan.

Selain itu, pembukaan lebih banyak pembukaan perpustakaan akan memberi galakan kepada masyarakat untuk membaca. Kewujudan perpustakaan menyebabkan seseorang senang untuk mendapatkan ruang untuk membaca. Tiada lagi alasan untuk tidak membaca kerana ketiadaan perpustakaan terutama di kawasan pedalaman. Perpustakaan bergerak juga harus ditambah dengan drastik kerana perpustakaan ini mampu menjalankan peranannya dengan berkesan terutama di kawasan yang padat penduduk dan terlalu jauh.

Kesan positif yang timbul ialah seseorang yang banyak membaca itu akan mengetahui banyak perkara baru. Ilmu yang mereka peroleh dapat digunakan dalam kehidupan seharian mereka. Kemahiran berfikir seseorang turut meningkat dengan baik. Mereka juga mampu melihat dan membandingkan sesuatu perkara itu dengan lebih mendalam dan objektif. Keadaan ini memudahkan mereka untuk membuat keputusan yang betul dalam tindakan mereka.

Manakala pembacaan untuk pelajar memudahkan mereka untuk menjawab dengan baik dalam peperiksaan. Pembacaan yang mendalam menyebabkan pelajar itu memahami sesuatu perkara dengan lebih meluas. Idea dan kebolehan untuk memahami sesuatu soalan berkait rapat dengan kadar pembacaan seseorang pelajar tersebut. Kejayaan sudah pasti akan mereka peroleh dalam peperiksaan yang diduduki oleh mereka.

Kesimpulannya, pembacaan seharusnya menjadi sebahagian daripada kehidupan kita yang tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Membaca juga perlu dijadikan aktiviti sihat bersama-sama keluarga. Ibubapa harus memberi teladan yang jelas dalam aspek ini kerana biasanya anak-anak akan mengikut jejak langkah orang tua mereka. Mungkin selepas ini kita semua akan membaca?

Thursday, October 11, 2007

Karangan Obesiti...Cara-cara menjaga kesihatan


Kadar obesiti dalam kalangan rakyat di negara ini dikatakan semakin meningkat. Keadaan ini berkaitan dengan tahap kesihatan rakyat yang semakin diabaikan.
Jadi, apakah cara-cara yang mampu dilakukan oleh kita sebagai rakyat biasa untuk menjaga kesihatan.


Kesihatan dianggap perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang. Tahap kesihatan menentukan keadaan kehidupan yang dijalani oleh seseoorang itu. Semakin baik kesihatan seseorang itu semakin mudahlah mereka mengharungi kehidupan mereka. Malah, ada kajian yang mengaitkan kesihatan yang baik memastikan produktiviti seseorang itu meningkat. Ada banyak kaedah yang boleh digunakan untuk memastikan kesihatan seseorang itu bertambah baik.

Kesihatan ditentukan oleh pemakanan seseorang. Itulah antara kata-kata hikmah yang sering kita dengar mengenai penjagaan kesihatan. Pengambilan makanan atau diet yang seimbag memastikan badan menerima khasiat yang diperlukannya. Diet yang betul sepanjang kehidupan seseorang itu menyebabkan kesihatannya terjamin. Cuma, kita agak sukar untuk mengamalkan perkara yang baik ini untuk jangka masa panjang kerana tahap kesihatan itu sukar diperoleh dalam masa yang pantas dan agak berbeza mengikut pandangan seseorang.

Bukan sahaja diet penting tetapi penjagaan kebersihan turut berperanan besar untuk menghalang penularan penyakit. Diri seseorang haruslah bersih dan kawasan tempat tinggal juga dipantau tahap kebersihannya. Malah, kawasan sekeliling turut diberi perhatian untuk memastikan semuanya dalam keadaan bersih daripada penyakit berjangkit. Semua tindakan ini akan memastikan seseorang itu tidak diserang penyakit berjangkit seperti taun.

Selain itu, aktiviti luar harus dilakukan. Senaman ringan dua atau tiga kali seminggu sudah mampu memberikan tahap kesihatan yang baik. Imunisasi seseorang turut meningkat melalui aktiviti senaman ini. Peluh yang keluar membuang sisa toksik yang tidak diperlukan oleh badan. Dalam masa yang sama senaman ini turut mengurangkan tekanan atau stres yang dialami oleh seseorang itu. Stres sering dikaitkan dengan kadar kematian yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat moden terutama di negara ini.

Seseorang itu harus menjalani pemeriksaan doktor yang kerap. Pemeriksaan doktor setahun sekali memang digalakkan tetapi pemeriksaan ini boleh ditingkatkan jika seseorang itu mempunyai sejarah keluarga yang berisiko tinggi. Tindakan ini menyebabkan sesuatu penyakit dapat dikesan lebih awal dan menerima rawatan yang sewajarnya. Malahan, kecepatan mengesan penyakit akan dapat menghalang seseorang itu menderita dengan lebih teruk.

Kesimpulannya, menjaga kesihatan merupakan satu tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh semua orang. Penjagaan kesihatan zaman ini juga dianggap menelan belanja yang banyak kerana kesihatan telah dijadikan sebagai satu kegiatan ekonomi. Seseorang itu perlulah bijak dalam menangani isu ini supaya tidak tertipu kerana tidak ada harta yang mampu membeli kesihatan yang baik. Harta yang penting dalam diri manusia ialah kesihatannya bukannya wang ringgit kerana kita boleh hidup tanpa wang tetapi tanpa kesihatan, nyawa kita akan melayang.

Karangan Fungsi dan Usaha menggalakkan Hobi


Setiap orang mempunyai hobinya yang tersendiri. Ada banyak pendapat yang mengatakan bahawa mempunyai hobi membawa banyak kesan baik.
Pada pandangan anda, apakah fungsi-fungsi hobi dan usaha-usaha untuk menggalakkannya.

Setiap individu mempunyai hobinya yang tersendiri. Ada yang suka memancing, ada yang suka bersukan, ada yang minat berlumba, ada yang gemar mendaki gunung dan berbagai-bagai hobi. Semua orang mempunyai alasan tersendiri yang menyebabkan mereka melakukan semua hobi itu. Jadi, apakah fungsi-fungsi hobi dalam kehidupan kita dan usaha-usaha untuk menggalakkannya terutama dalam kalangan remaja? Elok kita semua renungkan.

Sesungguhnya hobi memastikan masa senggang seseorang itu dipenuhi dengan baik. Masa memang emas dan harus digunakan sebaik mungkin. Hobi memudahkan kita menghabiskan masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Aktiviti riadah ini memang nampak mudah dan tidak menarik tetapi mempunyai kesan yang mendalam kerana memastikan masa seseorang itu digunakan sebagaik mungkin. Ada masa untuk bekerja, ada masa untuk keluarga, ada masa untuk berhibur dan masa untuk riadah.

Selain itu, aktiviti hobi mampu menajamkan pemikiran seseorang itu. Sesuatu hobi itu hanya mampu dilakukan melalui perancangan dan kebolehan yang tertentu. Masa, teman yang akan dijemput dan kekerapan melakukan hobi harus ditentukan dahulu. Jadi , kekerapan melakukan sesuatu aktiviti itu menjadikan seseorang itu kritikal fikirannya terutama untuk memastikan hobinya lebih baik dan berkesan untuk jangka panjang. Minda sihat dan fizikal turut menjadi lebih kuat untuk mengharungi kehidupan moden yang penuh cabaran ini.

Sebenarnya ada banyak cara untuk menggalakkan aktiviti hobi ini. Langkah awal ialah kerajaan menjalankan lebih banyak kempen tentang sesuatu hobi itu. Kempen ini sudah pasti menyedarkan orang ramai tentang kepentingan mempunyai hobi dan tertarik untuk melakukan sesuatu sebagai hobi akhirnya. Kerajaan harus menjalankan kempen ini dengan menggunakan artis atau idola suka yang mampu menarik minat rakyat untuk mencontohi mereka menjalani aktiviti tersebut. Kempen ini harus dijalankan secara berterusan dan bukannya bermusim.

Malahan, tempat atau kemudahan untuk memudahkan aktiviti hobi dijalankan harus ditambah. Tempat seperti padang bola sepak, gelanggang badminton atau mungkin padang biasa di bina dengan lebih banyak. Kewujudan tempat yang sesuai untuk melakukan aktiviti ini menyebabkan lebih mudah untuk masyarakat menjalankan hobi mereka. Situasi ini turut memudahkan berkembangnya aktiviti ini di eluruh negara.

Jadi, hobi memang harus dimiliki oleh semua orang tanpa mengira usia, pangkat dan asal-usul. Aktiviti positif ini akan memberi banyak kesan baik kepada individu dalam aspek kesihatan mental dan fizikal seseorang itu.. Kehidupan kita juga menjadi lebih bermakna dan menarik untuk diteruskan dari hari ke hari. Sudahkah anda semua melakukan hobi anda hari ini?

Tuesday, October 09, 2007

Perayaan...kebaikan-kebaikan disambut bersama-sama?


Negara kita mempunyai pelbagai kaum yang memiliki hari perayaan tersendiri. Pada majlis perayaan ini, semua kaum akan merayakannya bersama-sama.
Pada pendapat anda, apakah kebaikan-kebaikan perayaan ini disambut bersama-sama

Negara kita dikenali sebagai syurga perayaan kerana mempunyai banyak perayaan yang disambut oleh masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita mempunyai Tahun Batu Cina, Hari Raya, Krismas, Deepavali dann banyak lagi perayaan yang disambut oleh penduduk negara ini. Perayaan ini telah memberi satu dimensi baru kepada masyarakat kita dan luar tentang erti perayaan sebenar. Kepelbagaian perayaan di negara ini turut membuka banyak kebaikan kepada negara dan masyarakat yang mendiami negara tercinta ini.

Kesan yang paling ketara ialah perayaan ini telah meningkatkan hubungan dan interaksi antara penduduk yang berbilang kaum ini. Semua pihak memahami dan terlibat dalam perayaan yang disambut oleh kaum lain. Lawatan ke rumah terbukaa yang diamalkan telah mengeratkan hubungan antara kaum. Jadi, kekerapan interaksi ini menyebabkan wujudnya perpaduan yang utuh di negara ini yang menjadi sanjungan masyarakat luar.

Selain itu, golongan remaja mampu memahami erti perpaduan kepada negara ini. Mereka yang tidak mengalami kesusahan ketika era awal kemerdekaan mungkin memandang enteng perpaduan. Namun, apabila mereka melihat suasana perayaan barulah mereka memahami dan menyanjungi erti perpaduan. Keadaan ini menyebabkan remaja yang dilahirkan merupakan remaja berwawasan dan terbilang. Semuanya gara-gara wujudnya perayaan yang pelbagai di negara ini. Cuba bayangkan tiadanya sambutan perayaan di negara ini?

Pandangan masyarakat terutama orang luar turut berubah. Negara akan dilihat sebagai mempunyai keunikan perayaan yang tidak mampu dilihat di negara lain. Kepelbagaian perayaan ini memberi satu bentuk unik dalam pandangan orang asing terhadap negara ini. Lantaran itu kehadiran pelancong asing turut bertambah kerana mereka ingin dan berpeluang melihat pelbagai perayaan dalam sebuah negara daripada pergi ke beberapa negara untuk melihat pelbagai perayaan. Malaysia satu negara tetapi banyak perayaan.

Malahan, kepelbagaian perayaan ini menyebabkan ekonomi negara terus berkembang. Keadaan ini wujud kerana pelbagai pesta pembelian akan dijalankan untuk setiap perayaan yang disambut oleh masyarakat di sini. Kekerapan masyarakat negara untuk berbelanja setiap kali perayaan amatlah tinggi dan memberi ruang kepada ahli perniagaan untuk mengaut keuntungan. Sudah pasti situasi ini menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Kesimpulannya, perayaan yang ada di negara kita bukanlah sesuatu kekangan tetapi satu rahmat yang harus digunakan dengan sebaik mungkin. Kita harus menjadikan perayaan itu sebagai cubaan untuk merapatkan hubungan dan mengurangkan perbezaan antara kaum. Kalau itu mampu diccapai sudah pasti kemakmuran negara akan berkekalan. Sememangnya Malaysia sebuah negara yang melambang erti benua Asia kerana mempunyai pelbagai keturunan dan perayaan.

Sunday, October 07, 2007

Analisis Cerpen SPM



Baiklah PMR sudah habis, jadi saya akan tumpu kepada SPM pula. Kali ini saya akan menyentuh ramalan saya tentang Cerpen. Saya telah membuat analisis dan berpendapat semua cerpen di bawah penting diberi perhatian oleh pelajar.

Dalam Antologi Anak Laut, cerpen yang penting ialah:

Annyss Sophillea
Lambaian Malar Hijau
Pusaran


Manakala dalam Antologi Kerusi, cerpen yang penting ialah:

Virus Zel Untuk Abah
Di Sisi Rinda


Bagaimana saya boleh membuat kesimpulan ini? Semua cerpen yang saya nyatakan di atas belum lagi keluar baik dalam SPM atau kertas bulan Jun BM.

Jadi, adakah anda sudah membuat pembacaan semua bahan ini? Kalau belum….jangan lupa hadiri seminar saya pada akhir bulan ini.

Wednesday, October 03, 2007

Karangan Masalah Disiplin Pelajar.....



Masalah disiplin pelajar semakin meruncing. Masyarakat semakin kecewa dengan kegagalan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar.
Jelaskan punca-punca dan langkah mengatasinya.


Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku dan apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan?

Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibubapa era globalisasi ini. Ibubapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibubapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibubapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi.

Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tida senonah yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.

Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibubapa yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan drastiknya.

Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekollah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar.

Malah, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang mereka habiskan untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin.

Kemelut ini mudah dibendung jika ibubapa terlebih dahulu sanggup menngorbankan masa mereka. Ibubapa hendaklah mengutamakan masa depan anak mereka daripada kejayaan peribadi mereka dalam kerjaya. Ibubapa harus memberi ruang kepada anak untuk menjadi manusia yang berhemah tinggi. Ringkasnya, ibubapa penting dalam membanteras isu disiplin ini.

Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari kita disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal cadangan sahaja. Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan berpijak di bumi nyata.

Monday, October 01, 2007

Belajarsejarah.blogspot.com...cuba layari blog ini pula


Perlukan maklumat Sejarah? Cuba pelajar semua melayari blog ini belajarsejarah.blogspot.com. Blog ini cuba menjadikan maklumat sejarah lebih ringkas dan mudah difahami.

Moga anda mendapat faedah daripada blog ini.