Perlu latihan?

Perlu latihan?

Saturday, September 29, 2007

MSN Messenger - ukmnam@hotmail.com...Esok Ahad 30 September 10-11 malam


Kepada semua pelajar saya….esok Ahad jam 10-11 malam saya akan online untuk bantu pelajar-pelajar semua dalam persiapan akhir PMR…. Sila masuk MSN Messenger. Ceria selalu.

Pesanan Peribadi Saya buat Pelajar PMR...Kejayaan Pasti Anda Peroleh


Kepada semua pelajar PMR saya, ucapan semoga kejayaan mengiringi anda saya lafazkan. PMR merupakan cabaran getir yang bakal menentukan hala tuju kehidupan anda selepas ini. Kejayaannya memberi anda sedikit harapan untuk mengharungi SPM kelak.

Sepanjang saya mengajar anda semua, pelbagai kenangan saya alami.Ada yang menyenangkan dan ada yang membuatkan saya berfikir dua kali. Cuma sebagai pendidik semua perkara yang berlaku saya anggap sebagai dugaan yang pasti dialami oleh seorang guru.

Baiklah, nasihat saya kepada pelajar semua ialah anda harus bertenang. Gunakan masa sehari sebelum peperiksaan ini sebagai usaha untuk merenung dan mendapat ketenangan diri yang sejati. Ketenangan ini penting pada saya kerana memberi kekuatan psikologi untuk menjawab esok hari.

Usah terlalu tension dengan pelbagai soalan ramalan. Pastikan anda sudah membuat semua latihan yang saya sediakan untuk persiapan anda. Keadaan tekananlah yang menyebabkan banyak kesilapan dilakukan oleh pelajar.

Apabila menjawab pastikan anda menjawab setelah membuat pilihan yang sewajarnya. Teliti semua pilihan jawapan yang ada untuk memastikan anda tidak membuat kesilapan. Fikir secara logik ketika membuat penilaian setiap pilihan jawapan yang ada.

Saya juga berharap semua bahan yang ada di dalam blog ini mampu memberi sedikit bayangan menyeluruh mengenai PMR yang bakal berlaku. Kaji dan lihat perkara-perkara yang penting pada pandangan anda.

Akhir kata, saya doakan kejayaan anda semua. Saya yakin kejayaan sememangnya milik anda semua. Ingat anda yang menentukan kejayaan diri anda. Bukan saya dan bukan orang lain tetapi diri anda.Yakin akan kemampuan anda yang sebenarnya.

Jumpa anda dalam kelas Tingkatan 4 nanti.

Perayaan terus jadi skop penting...


Perayaan merupakan salah satu aktiviti yang penting dalam kehidupan di negara ini. Jadi, skop ini memang penting.

Pada saya perayaan penting kerana:
Menyatukan masyarakat kita
Menjana ekonomi negara – jualan
Memastikan imej negara terus maju
Memudahkan mengenali budaya yang majmuk

Friday, September 28, 2007

Tema dan Persoalan Panas Salju...bandingkan


Tema dalam Panas Salju memang menarik. Kenapa menarik? Sudah pasti tentang temanya yang menjelaskan kepentingan pengorbanan seseorang dalam kehidupan. Kasih sayang dan pengorbanan ibu dan bapa dalam usaha menyelamatkan nyawa anak mereka yang menghidap penyakit berbahaya menjadi satu tema yang menarik.

Persoalan-persoalannya begitu banyak, antaranya:
(a) Ketabahan – Zul menerima keadaan anaknya dengan baik. Begitu juga Bushrah
(b) Kesabaran – Zul sabar meneruskan kerjanya dan pengajiannya walaupun banyak masalah.
(c) Tolong-menolong – jiran Zul membantu menghulurkan bantuan begitu juga Tan Sri Shamsuddin.
(d) Kasih sayang – Bushrah menyerahkan sebahagian hatinya demi anaknya

Thursday, September 27, 2007

Nilai dalam Novel Meniti Kaca


Nilai yang ada di dalam novel Meniti Kaca ialah:

(a) Kasih sayang
Kasih sayang yang ditunjukkan oleh Nazar kepada Mahyun
(b) Simpati
Simpati yang ditunjukkan oleh keluarga Mak Miah terhadap keluarga Nazar dengan menyediakan makan minum mereka.
(c) Semangat kejiranan
Penduduk kampung mengambil berat terhadap masalah yang dialami oleh keluarga Nazar dengan bersama-sama mencari Mahyun yang hilang dari rumah
(d) Kecekalan dan kegigihan
Nazar sangant cekal dan gigih menempuhi pelbagai dugaan. Kerana meneruskan pelajarannya dengan cemerlang walaupun ketiadaan ibubapa.
(e) Bertanggungjawab
Bapa Nazar, iaitu Pak Sahar dapat menunaikan tanggungjawabnya dengan baik. Dia memberikan sepenuh kasih sayang terhadap Nazar.

Karangan Nilai-nilai Murni....Baca


Kempen nilai-nilai murni yang dijalankan oleh kerajaan mula mendapat perhatian masyarakat. Pelbagai kempen yang dilaksanakan memang baik.

Huraikan kepentingan memupuk nilai murni ini.

Usaha kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai murni di dalam hati nurani rakyatnya telah mula menampakkan hasil. Usaha melalui iklan, kempen, dan dasar kerajaan telah memberi satu nafas baru kepada masyarakat untuk menjadi satu masyarakat bertamadun yang mampu menjadikan negara kita lebih baik untuk didiami. Jadi, memang nilai-nilai murni memiliki kepentingan dalam pembentukan masyarakat.

Generasi muda yang dipupuk dengan nilai murni mampu mematuhi semua peraturan atau norma yang ditetapkan oleh masyarakat. Naluri generasi muda yang suka memberontak dapat dikawal melalui nilai-nilai murni yang mementingkan disiplin dalam usaha mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Jadi, memang satu perkara baik kalau nilai murni mampu menjadikan generasi muda sebagai satu golongan yang mematuhi peraturan negara.

Lantaran sikap generasi muda yang mematuhi peraturan dapat dijelmakan melalui sikap mereka yang tidak terbabit dalam sebarang aktiviti berunsur jenayah atau tidak bermoral. Kita tidak lagi mendengar remaja terbabit dalam peras ugut, terbabit dalam dadah, atau menjadi mat rempit. Remaja akan menjadi satu golongan yang dihormati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Bukankah ini satu kejayaan nilai-nilai murni yang diterapkan oleh kerajaan?

Malah, hubungan antara kaum dapat dieratkan kerana dalam pemupukan nilai murni memang ditekankan perasaan saling hormat antara kaum. Semua kaum akan menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh kaum lain tanpa menimbulkan sebarang isu sensitif kepada kaum lain. Keadaan ini menjamin keadaan negara dalam suasana yang harmoni dan sesuai untuk pertumbuhan ekonomi. Orang memberi, kita berasa, orang berbudi, kita berbahasa.

Tambahan pula, imej negara akan terus dijulang oleh masyarakat antarabangsa. Rakyat negara ini akan dilihat sebagai masyarakat yang unik kerana moden tetapi mengekalkan budaya yang baik. Masyarakat juga masih mempunyai disiplin dan berpeibadi mulia. Semua ini akan memberi satu tanggapan positif kepada negara kita. Rakyat kita akan dihormati di mana-mana tempat mereka berada.

Kesimpulannya, usaha menerapkan nilai-nilai murni seperti hormat orang tua, menjaga kesopanan di khalayak ramai, mengunjungi rumah jiran, dan berinteraksi antara kaum mampu melahirkan satu bangsa Malaysia yang moden tetapi penuh budaya tersendiri. Usaha ini harus diteruskan kerana generasi muda sering berubah dan keadaan turut berubah tetapi nilai murni akan terus kekal seperti tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan
.

Wednesday, September 26, 2007

Permainan tradisional - karangan terpenting tahun ini


PERMAINAN TRADISIONAL berfungsi untuk:
• Mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat
• Untuk berhibur dan bergembira
• Mencungkil kemahiran dan meningkatkan minda seseorang
• Meninggikan budaya atau permainan tradisi yang sudah lama diwarisi

Namun usaha untuk memajukan ini mempunyai masalah tetapi terdapat langkah-langkah yang jelas seperti:
• Menjadikan permainan ini satu pertandingan peringkat nasional
• Berusaha menanam minat di kalangan golongan muda
• Menonjolkan permainan ini kepada negara luar atau pelancong asing

Anda suka Playstation 3 atau congkak?

Industri desa- kraf tangan sangat penting


Industri desa merupakan salah satu topik hangat dalam peperiksaan kerana tajuk kraf tangan begitu panas tahun ini. Tujuan utama memajukan industri ini ialah:
• Meninggikan taraf hidup masyarakat desa
• Boleh menjadi sumber rezeki terutama kepada sektor pelancongan
• Mengajar masyarakat desa kemahiran hidup

Cuma sambutannya agak mengecewakan kerana beberapa faktor seperti:
• Tidak baik kerana masyarakat memandang rendah mutu kerja mereka
• Tidak baik kerana tiada usaha yang meluas untuk memperkenalkan hasil kerja mereka
• Tidak baik kerana pasaran agak terhad iaitu hanya dalam industri pelancongan dalam negara
• Baik kerana harga dan kualiti baik
• Baik kerana banyak pusat-pusat industri desa seperti kraftangan telah ditubuhkan
• Baik kerana kerajaan menggalakkan industri pelancongan

Datuk Maharaja Lela ..watak menarik


Datuk Maharaja Lela merupakan watak yang menarik dalam novel Pahlawab Pasir Salak kerana memiliki beberapa perwatakan seperti:

 Pemimpin yang berwibawa dan disegani oleh anak-anak buahnya – arahannya dipatuhi
 Bersemangat patriotik – menentang penjajah
 Pandai mengatur strategi atau bijak dalam mengatur rancangan – menipu penjajah mengenai kemampuan penduduk kampung dsn pondok kawalan
 Pandai dalam ilmu pendekar - bersilat
 Tenang dan berhati-hati dalam tindakannya – mempunyai strategi

Monday, September 24, 2007

Tema, persoalan dan pemikiran? Apa bezanya?


Tema dianggap persoalan utama yang diuraikan dalam sesuatu karya, sama ada secara langsung (eksplisit) atau secara tidak langsung (implisit) dan biasanya tema ini dapat dikesan setelah sesuatu karya itu selesai dibaca. Tema ini juga merujuk perkara yang paling besar kesannya dalam sesebuah karya itu.

Manakala persoalan pula bermaksud perkara-perkara atau isu-isu yang lebih kecil yang ada hubungan langsung dengan tema yang turut dimasukkan oleh pengarang dalam karyanya. Ringkasnya persoalan perkara sampingan yang turut terhasil dalam karya itu.

Bagaimana dengan pemikiran? Konsep ini membawa maksud yang sama dengan tema dan persoalan, cuma pemikiran digunakan dalam genre drama atau puisi.

Adakah pelajar semua mampu membezakannya?

Lagi tentang latar Novel Konserto Terakhir...


Soalan bandingan latar masyarakat merupakan satu soalan yang hangat tahun ini. Saban hari emel saya penuh dengan pertanyaan soalan sebegini. Sememangnya soalan bandingan agak sukar.

Baiklah latar masyarakat dalam novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain ialah sikap masyarakat yang suka membezakan antara golongan kaya dengan miskin yang diwakili oleh Datuk Johari dan golongan miskin yang diwakili oleh Hilmi. Kita mungkin terkejut dengan keadaan yang sebegini masih wujud kini.

Selain itu dipaparkan tentang masyarakat yang tidak teguh dalam melaksanakan hukum agama dan ini terbukti apabila Datuk Johari sibuk mengejar harta sehinggakan tidak sempat menekankan soal agama kepada anaknya, Hayati. Begitu juga dengan Datin Salmah yang asyik dengan mesyuarat persatuan dan “morning coffee”nya itu.

Dalam novel ini dipaparkan juga masyarakat yang suka tolong-menolong seperti Pak Cik Bakar yang sanggup mengajar Hilmi bermain muzik tanpa mengenakan sebarang bayaran. Masyarakat kita sering menganggap sesuatu yang percuma itu tidak baik. Teruk bukan.

Latar masyarakat yang keempat ialah masyarakat berbilang kaum yang terdiri daripada Melayu, Cina, dan India yang hidup dalam suasana harmoni. Ingat lagi jiran Datuk Johari? Ingat lagi taukeh stesen minyak Hilmi? Sudah pasti anda lupa bukan? Ha,ha,

Sudahkah anda daftar untuk bengkel penulisan dan novel saya?

Konsep Latar Menjadi Pilihan Soalan Peperiksaan


Terus terang saya katakan soalan latar menjadi pilihan banyak pihak tahun ini menyebabkan banyak kali soalan ini ditanya kepada saya. Jadi, saya cuba menerangkan konsep dalam latar dengan sejelasnya.
Latar terbahagi kepada empat jenis, iaitu:

(a) Latar tempat
Merupakan ruang atau tempat peristiwa berlaku yang berkaitan dengan lokasi geografi seperti Kampung Pasir Salak menjadi latar tempat novel Pahlawan Pasir Salak.

(b ) Latar waktu atau masa
Menunjukkan masa peristiwa berlaku seperti zaman, era, sejarahnya, atau musimnya seperti zaman penjajahan Inggeris dalam novel Pahlawan Pasir Salak.

(c) Latar masyarakat atau citra masyarakat
Menunjukkan gambaran keadaan masyarakat dalam cerita merangkumi bangsa atau etnik, status dan kehidupan sosial, ekonomi, dan sebagainya yang bersesuaian dengan watak. Contohnya masyarakat cinta akan negara seperti Dato Maharajalela yang berjuang demi negeri tercinta.

Sunday, September 23, 2007

Latar masyarakat Meniti Kaca? Bandingkan dengan Panas Salju


Latar masyarakat dalam Meniti Kaca agak ketara. Masyarakat bekerjasama kerana penduduk setempat berusaha mencari Mahyun yang hilang. Begitu juga dengan latar masyarakat yang suka menfitnah kerana masyarakat kampung membuat fitnah bahawa Zainab dan Nazar melakukan perkara yang tidak baik. Manakala latar masyarakat seterusnya ialah masyarakat yang rajin terutama Nazar dalam bidang pelajaran.

Anda sudah bandingkan latar masyarakat Meniti Kaca dengan Panas Salju.

Karangan Nilai-nilai Murni dalam PMR


NILAI-NILAI MURNI merupakan topik yang mula mendapat perhatian pelajar PMR saya. Skop ini sering saya terima dalam emel saya. Kadangkala saya berasa hairan pula. Jadi untuk memastikan semua pelajar menerima kebaikannya, saya menjelaskannya dalam blog ini.

Skop ini boleh ditanya dalam bentuk usaha-usaha memupuk nilai ini. Maka, contoh isinya ialah:
• Mengadakan kempen penerangan di sekolah
• Menjadikan nilai ini satu budaya dan diajar di sekolah
• Menggalakkan atau menonjolkan pelajar yang mempunyai nilai ini

Manakala kepentingan mematuhi nilai-nilai ini ialah:
• Memastikan peraturan dipatuhi
• Mengelakkan sebarang masalah atau terbabit dengan gejala tidak sihat
• Mengekalkan semangat kerjasama dan perpaduan
• Masyarakat yang berperibadi mulia dan berdisiplin


PMR semakin hampir kan? Mesti pelajar-pelajar tension?

Tema dan Persoalan Novel Meniti Kaca


Tema novel ini ialah ketabahan remaja yang terpaksa menempuh pelbagai kesusahan hidup dalam usia muda. Nazar meneruskan kehidupan tanpa ibubapanya. Dia sememangnya tabah.

Manakala persoalan-persoalan novel ini menyentuh
(a) Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa – Nazar menjaga ibunya yang sakit.
(b) Tabah menghadapi pelbagai dugaan hidup – Nazar teruskan kehidupan tanpa ayah dan ibu.
(c) Pentingnya semangat kejiranan di kalangan masyarakat berbilang bangsa – masyarakat mencari mahyun yang hilang.

Friday, September 21, 2007

Punca-punca dan usaha-usaha menangani bencana alam negara?


Bencana alam turut berlaku di negara ini. Banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan merupakan antara bencana alam tersebut.

Nyatakan punca-punca dan usaha-usaha menangani masalah ini.

Bencana alam merujuk kejadian alam yang mampu memusnahkan negara dan penduduknya. Negara kita memang sering dilanda banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan kerana pelbagai faktor yang mendorong keadaan ini mudah berlaku terutama ketiak bumi dikatakan sedang mengalami perubahan cuaca yang drastik dalam tempoh yang terdekat ini. Sesungguhnya, ada banyak faktor yang mendorong keadaan ini dan ada banyak langkah yang boleh diambil untuk membendungnya daripada terus berlaku.

Kejadian bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama kemusnahan hutan belantara negara. Keadaan ini wujud kerana hutan dianggap menjadi pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan kemarau kerana keupayaannya untuk menakung air dan menyalirkan air dengan baik. Kemusnahan hutan menyebabkan muka bumi menjadi kosong dan mendorong mudahnya berlaku semua bencana alam ini. Oleh itu, kemusnahan hutan perlulah dipantau dengan lebih teliti oleh pihak kerajaan.

Malahan, keghairahan negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong berlakunya bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan telah menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana alam daripada tidak berlaku. Manusia menganggap kemodenan mampu menghalang bencana alam berlaku lantas terus menerus menjalankan projek pembangunan tanpa mempunyai rasa takut atau bimbang berlakunya bencana alam di kawasan projek mereka. Justeru, pembangunan yang pesat memang penting tetapi perlulah dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara drastik.

Tambahan pula, sikap kita dalam menguruskan sumber asli terutama penyelenggaran sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia yang sering mengutamakan keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional perkara yang bakal berlaku pada masa depan telah mengundang padah. Semua sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana manusia memang menganggap diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana alam akan terus berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan sumber alamnya dengan baik.

Sudah pasti langkah yang paling penting dilakukan ialah kerajaan mengetatkan peraturan berkaitan dengan alam sekitar dengan lebih baik. Hukuman yang berat harus dikenakan kepada pesalah-pesalah alam sekitar supaya perkara ini menjadi pengajaran kepada orang lain. Kerajaan harus menjalankan satu usaha pemeriksaan yang holistik tanpa mengecualikan sesiapa jua dalam pemeriksaan ini. Jika kerajaan tegas dalam hal ini, sudah pasti masalah ini mampu diselesaikan dengan mudah.

Malahan, kempen kesedaran terutama kepada generasi muda harus dilaksanakan. Kempen yang dijalankan itu haruslah sesuai dengan minat dan diri remaja kerana merekalah yang bakal menghuni negara ini serta mampu menyelesaikan masalah ini. Kempen yang dijalankan secara terancang mampu menghasilkan satu generasi masyarakat yang menghargai alamnya lebih baik daripada generasi terdahulu. Jelaslah, kempen yang berkesan mampu menangani isu ini dengan lebih baik.

Kesimpulannya, bencana alam akan terus berlaku di negara kita. Sikap masyarakat yang sambil lewa kerana menganggap alam bukan tanggungjawab mereka telah menyebabkan masalah ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita semua lupa bahawa setiap kali bencana alam melanda negara ini setiap kali itulah ada nyawa manusia yang melayang. Agaknya kita menilai nyawa manusia sama seperti alam?

Tema dan Persoalan Novel Meniti Kaca


Tema novel ini ialah ketabahan remaja yang terpaksa menempuh pelbagai kesusahan hidup dalam usia muda. Nazar meneruskan kehidupan tanpa ibubapanya. Dia sememangnya tabah.

Manakala persoalan-persoalan novel ini menyentuh
(a) Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa – Nazar menjaga ibunya yang sakit.
(b) Tabah menghadapi pelbagai dugaan hidup – Nazar teruskan kehidupan tanpa ayah dan ibu.
(c) Pentingnya semangat kejiranan di kalangan masyarakat berbilang bangsa – masyarakat mencari mahyun yang hilang.

Thursday, September 20, 2007

Perayaan di negara ini? Kesannya.


Tadi, di dalam kelas, saya menerangkan kepentingan perayaan kepada masyarakat kita. Mungkin pelajar juga harus melihat kesan-kesan perayaan di negara kita. Ingat karangan bahan rangsangan memerlukan perhatian yang sama seperti karangan biasa.

KESAN-KESAN
• Meningkatkan hubungan dan interaksi antara kaum dan seterusnya perpaduan kaum
• Meningkatkan pengetahuan satu sama lain mengenai budaya kaum lain terutama di kalangan golongan muda
• Meninggikan lagi imej negara sebagai sebuah negara yang aman dan berbilang kaum

UMUM
• Perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya, Krismas dan Deepavali menjadi cuti umum di negara ini.

Watak dan Perwatakan Deli


Deli memang menjadi watak kegemaran saya kerana saya memang meminati bidang seni mempertahankan diri. Malah, saya yakin Deli satu watak yang menarik. Selain itu, Deli memiliki banyak lagi ciri-ciri menarik.


 Gagah dan berani – muda tetapi berjuang
 Rajin dan mematuhi cakap ibu bapanya – tolong di warung
 Menghormati orang tua - ibubapanya
 Bersemangat patriotik – berjuang menentang penjajah
 Mempunyai sifat bekerjasama – bersama-sama penduduk kg berjuang
 Pandai bersilat – sudah pasti
 Mesra dan disukai oleh rakan-rakan – Akub dan Lamin sahabatnya

Latar masyarakat Pasir Salak


Latar masyarakat Pahlawan Pasir Salak memang banyak. Cuba pelajar bandingkan latar masyarakat novel ini dengan Panas Salju. Ada jumpa persamaan?

 Masyarakat Melayu yang hidup sederhana di kampung – keluarga Deli
 Masyarakat yang mengamalkan sikap bekerjasama – mamat yang menyebarkan maklumat penjajah
 Anggota masyarakat menjadi alat pihak penjajah –Lamsah dan Mat Arshad
 Masyarakat yang mentaati suruhan tuhan- Deli juga
 Masyarakat yang bersemangat patriotik – Dato Mahajalela

Wednesday, September 19, 2007

Latar masyarakat Panas Salju


Latar masyarakat dalam Panas Salju memang menarik kerana soalan ini diramalkan bakal keluar dalam PMR tetapi saya yakin semua pelajar saya akan melihat juga latar masyarakat dalam novel-novel yang lain. Baiklah cuba kaji latar masyarakat di bawah:

(a) Masyarakat bandar, iaitu yang tinggal di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur yang masih mengamalkan semangat kerjasama – jiran Zul
(b) Masyarakat korporat yang bersimpati dan sanggup menghulurkan bantuan – Tan Sri Shamsuddin memberi wang pembedahan
(c) Masyarakat kampung yang mengamalkan semangat gotong-royong dalam melakukan sesuatu perkara – majlis perkahwinan
(d) Masyarakat sekolah yang prihatin dan simpati – sekolah tempat Bushrag mengajar

Siapakah Zulkifli? Watak Panas Salju...


Siapakah Zulkifli? Itulah soalan watak dan perwatakan yang perlu dikaji dan difahami oleh pelajar. Cuba teliti maklumat di bawah ini.

(a) Ayah Nadhirah dan Nazli
(b) Suami Bushrah
(c) Pembantu hospital di Hospital Kuala Lumpur
(d) Melanjutkan pelajaran secara sambilan atau secara jarak jauh di USM
(e) Bekerja sebagai pengarang sastera di Mingguan Malaysia
(f) Suka menolong orang lain – bantu keluarga Sikh
(g) Penyabar dan tabah menghadapi dugaan hidup – anak sakit dan tekanan belajar serta kerja
(h) Ayah yang penyayang – memberi kasih sayang kepada anak-anak
(i) Gigih berusaha untuk mengubah kehidupannya
(j) Mengenang budi – ucap terima kasih berulang kepada Tan Sri Shamsuddin
(k) Bertanggung jawab kepada keluarganya – berusaha mencari wang untuk anaknya


Adakah anda sudah membuat perbandingan watak di dalam novel yang lain?

Tuesday, September 18, 2007

Pengajaran dalam Novel Panas Salju


PMR semakin hampir kan? Sudah pasti soalan mengenai pengajaran penting terutama kalau diberi bandingan. Baiklah kali ini saya sentuh pengajaran dalam Panas Salju. Cuba baca dan fahamkan. Boleh pelajar?


(a) Kita hendaklah gigih berusaha untuk menyelesaikan masalah ataupun untuk mengubah kehidupan – Zul berusaha mencari wang untuk anaknya
(b) Setiap orang haruslah membantu orang lain yang memerlukan bantuan – zul tolong keluarga sikh
(c) Pertolongan yang dihulurkan hendaklah ikhlas tanpa tujuan lain – Tan Sri Shamsuddin memberi wang
(d) Kita hendaklah bersabar dan menyerahkan kepada Allah apabila berhadapan dengan dugaan hidup – Bushrah walaupun ada yang menentang hasratnya memberi sebahagian hatinya
(e) Semua orang haruslah mengenang budi atau jasa yang telah ditaburkan oleh orang lain kepada kita – Nadhirah kerana menyayangi ibunya
(f) Kita tidak boleh terlalu mementingkan kebendaan atau mementingkan diri sendiri dalam hidup ini – Tan Sri Shamsuddin kerana sanggup memberi wang yang banyak

Sunday, September 16, 2007

Penjodoh Bilangan Penting...


Gumpal

Digunakan untuk menghitung benda yang berkumpul dalam bentuk kepulan dan ketulan seperti tembakau, tanah, awan dan benang.

Ayah saya mengambil segumpal tembakau dari kotak itu.

Hektar

Digunakan untuk menghitung kawasan yang luas seperti tanah, dusun dan kebun.

Petani muda itu bercadang untuk mengusahakan beberapa hektar tanah terbiar itu untuk tanaman tembikai.

Hiris

Digunakan untuk menghitung benda yang dipotong secara halus dan nipis seperti timun, bawang, cili dan tomato.
Beberapa hiris tomato digunakan sebagai hiasan lauk-pauk yang dimasak oleh tukang masak terkenal itu.

Jambak

Digunakan untuk menghitung benda yang banyak dan berangkai seperti bunga dan kunci.

Azman membawa sejambak kunci untuk diberikan kepada pemilik kilang itu.

Jengkal

Digunakan untuk menghitung jarak dan lebar dengan menggunakan hujung jari.

Ketebalan buku itu hampir sejengkal.

Jilid

Digunakan untuk menghitung kertas-kertas yang telah digabungkan dalam bentuk buku seperti majalah dan buku.

Pensyarah itu membawa beberapa jilid majalah ke dalam dewan kuliah untuk diberi kepada pelajarnya.

Friday, September 14, 2007

Kemelut-kemelut yang dihadapi oleh sektor pendidikan negara


Pendidikan telah menjadi kritikan masyarakat dan sektor ini memang merupakan satu isu sensitif.

Jelaskan masalah-masalah yang dihadapi oleh sektor pendidikan.

Bidang pendidikan dianggap bidang sensitif negara kerana bidang ini mampu mengubah senario politik dan sosial negara kita. Bilangan generasi muda yang terlibat dalam bidang ini turut menjadikan pendidikan satu isu yang harus ditangani dengan bijak tetapi pantas. Kejayaan negara mengubah bidang pendidikan ini dalam menangani cabaran globalisasi pasti akan mendatangkan kejayaan kepada rakyat dan negara kita secara keseluruhannya. Cuma ketika ini bidang yang dianggap murni suatu masa dahulu sedang menghadapi saat gentingnya.

Masalah yang paling kritikal sedang dihadapi oleh bidang pendidikan ialah pelajarnya yang dikatakan tidak berdisiplin. Saban hari kita didedahkan melalui media massa masalah disiplin yang dilakukan oleh pelajar. Kes guru dipukul, gejala jenayah pelajar, sikap ponteng pelajar, dan budaya buli semuanya menjurus betapa seriusnya masalah ini. Keadaan ini turut menyebabkan bidang pendidikan menjadi mangsa sasaran kritikan masyarakat yang mahu perkara ini diatasi seberapa segera.

Bidang pendidikan turut mengalami masalah kekurangan guru terutama guru lelaki dan di kawasan pedalaman. Kurangnya guru lelaki sering dikaitkan dengan rendahnya tangga gaji yang diberikan kepada guru. Lelaki yang sering dianggap ketua keluarga akan mencari kerjaya lain yang menjanjikan gaji lebih lumayan. Manakala, guru lelaki yang kecil jumlahnya pula dihantar ke kawasan pedalaman tetapi masih belum cukup untuk menampung keperluan kawasan pedalaman. Situasi ini dibebankan lagi dengan budaya keguruan yang dianggap lebih bercorak kewanitaan akibat kurangnya guru lelaki.

Tambahan pula, ada sekolah yang masih kekurangan kemudahan seperti komputer dan bangunan yang sesuai. Keadaan ini menjejaskan peluang pelajar untuk memperoleh pendidikan yang baik. Mereka belajar dalam keadaan tidak selesa dan ini sudah pasti akan menjejaskan pencapaian mereka dalam peperiksaan. Kalau sekolah tidak lengkap kemudahannya, bagaimana guru hendak menjalankan tugasnya? Inilah isu yang menghantui bidang pendidikan ini.

Malah, isu sekolah dianggap bukan faktor integrasi masyarakat turut menjadi persoalan utama kini. Konsep Sekolah Wawasan yang cuba diketengahkan mendapat bantahan pelbagai pihak lantaran bimbang hilangnya budaya kaum tertentu. Malah, sekolah biasa pula sering menyaksikan pelajar-pelajarnya berinteraksi mengikut kaum dan bukannya bercampur. Semua ini menghasilkan satu generasi pelajar yang tidak memahami budaya masyarakat lain. Sekolah seharusnya mendidik mereka bukannya memisahkan mereka mengikut kaum.

Selain itu, isu pelajar berlumba-lumba untuk mengaut jumlah A yang banyak dalam peperiksaan turut menjadi satu kemelut baru dalam pendidikan. Ramai yang menganggap sekolah menjadi tempat untuk menghafal bukannya memberi pendidikan yang holistik kepada pelajarnya. Kesannya, pelajar yang ada kini tidak mampu berfikir secara kritis atau menyelesaikan masalah yang di luar batasan soalan peperiksaan yang ditanya kepada mereka. Pelajar ketiadaan kepandaian emosional.

Kesimpulannya, pendidikan harus diberi lebih banyak peruntukan untuk meningkatkan tahap pendidikan negara. Guru-guru harus diberi lebih banyak ruang untuk kreatif dalam pengajaran mereka. Guru harus diberi lebih banyak peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka melalui kursus dan program pendidikan jaraj jauh. Guru harus diberi insentif kewangan yang lebih setimpal dengan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Guru sumber inspirasi generasi muda.

Cuba periksa halaman web ini....menarik


Hello pelajar-pelajar dalam hidup, wacana iaitu perbincangan memang penting terutama dalam menghadapi peperiksaan. Saya juga banyak dapat idea apabila saya melayari halaman web. Jadi, salah satu halaman web yang saya kagum ialah Joshuatly.com. Kenapa?

Saya dapati halaman ini mempunyai link yang baik kepada halaman-halaman web dan blog yang bermutu. Jadi, kalau anda ada masa, sila masuk ke halaman beliau.

Terus belajar. Ok.

Azman

Thursday, September 13, 2007

Perumpamaan....baca dan faham


PERUMPAMAAN

Seperti kaca jatuh ke batu
Orang yang mempunyai perasaan yang amat sedih

Seperti katak di bawah tempurung
Orang yang tidak mempunyai pengetahuan yang luas tentang sesuatu perkara

Seperti kera mendapat bunga
Orang yang tidak tahu menghargai pemberian pemberian orang lain

Seperti ular kena palu
Keadaan sesuatu benda yang tidak teratur atau dalam keadaan bengkang-bengkok

Seperti gergaji dua mata
Orang yang mengambil kesempatan atau faedah daripada dua kumpulan atau pihak

Ibarat bunga, sedap dipakai layu dibuang
Seseorang yang disayangi semasa mudanya tetapi diceraikan apabila sudah tua seperti wanita

Bagai isi dengan kuku
Perhubungan atau persahabatan yang erat

Bagai menatang minyak yang penuh
Sikap memelihara anak dengan penuh kasih sayang dan tanggung jawab

Seperti tanduk diberkas
Kesukaran untuk menyatukan orang yang mempunyai pendapat yang berbeza

Seperti murai tercabut ekor
Orang yang suka bercakap

Seperti lipas kudung
Orang yang bekerja atau bergerak dengan pantas

Seperti ikan kena tuba
Keadaan yang menyaksikan banyak orang sakit secara serentak

Kebaikan-kebaikan membaca novel?


Karangan berbentuk sastera memang penting terutama sejak akhir-akhir ini. Novel merupakan bahan sastera yang penting. Pembacaannya mampu memberi impak yang baik. Anda bagaimana?

Novel sudah menjadi satu perkara penting dalam kehidupan remaja. Biasanya remaja suka membaca novel yang berunsur cinta.
Jelaskan kebaikan-kebaikan dan keburukan membaca novel.

Novel merujuk bentuk penulisan yang panjang dan memaparkan pelbagai ragam kehidupan manusia. Novel memang menjadi aspek penting dalam kehidupan remaja terutama novel berunsur cinta yang mengasyikkan jiwa remaja. Cuma membaca novel mampu membawa impak positif dan negatif yang harus diberi perhatian.

Aktiviti membaca sudah pasti membuka minda remaja terhadap sesuatu isu yang dipaparkan dalam novel yang dibaca.Tema yang digarap oleh penulis itu sememangnya berkaitan dengan isu semasa realiti dan ini memberi satu bentuk pemahaman yang mudah kepada remaja. Novel menjadi isu semasa itu sesuatu yang mudah difahami tetapi dibentangkan dalam bentuk cerita yang lebih bersesuaian dengan diri remaja. Oleh itu, semakin banyak novel yang dibaca semakin luaslah minda remaja.

Amalan membaca novel ini turut menjadikan seseorang itu lebih memahami konsep sastera dengan lebih yakin. Penggunaan bahasa yang diksi oleh penulis sudah pasti akan memberi satu rangsangan kepada pembacanya. Kesantunan bahasa yang digunakan mencungkil naluri pembaca untuk mengetahui maksud perkataan yang dipilih oleh penulis novel itu. Sudah pasti tindakan ini akan memastikan pembaca mempunyai koleksi kosa kata yang banyak.

Malah, aktiviti membaca novel membolehkan seseorang itu menghabiskan masa senggangnya dengan lebih berfaedah. Pembacaan novel memerlukan seseorang itu menumpukan perhatian yang jitu untuk satu masa yang panjang. Biasanya sehari atau mungkin beberapa hari diperlukan untuk menghabiskan sesebuah novel itu. Jadi, membaca novel menyebabkan masa remaja dihabiskan dengan baik tanpa melibatkan kegiatan yang tidak baik.


Namun, pembacaan genre sastera ini turut membawa kesan buruk iaitu mengabaikan tugas sebagai pelajar. Masa yang panjang untuk membaca novel menyebabkan pelajar akan melupakan tanggungjawabnya untuk belajar atau membuat kerja sekolah yang penting itu. Masalah ini semakin kronik apabila remaja itu membaca lebih banyak novel dalam tempoh yang lama. Kesannya, pencapaian pelajar terbabit mungkin akan terus merosot.

Kesimpulannya, membaca novel memang baik tetapi impak buruknya turut wujud. Seseorang remaja itu perlulah pandai menilai dan memilih jenis novel yang sesuai dengan usia mereka.Pembacaan yang meluas dalam kalangan remaja turut membina satu kelompok remaja negara yang berpengetahuan luas dan memiliki pemikiran yang kritis.

Sunday, September 09, 2007

Di mana, Yang mana, dan Dari mana....masih keliru


Ungkapan ini sering digunakan oleh mereka yang terpengaruh dengan bahasa Inggeris kerana mereka secara terus terjemahkan makna where, which, whenever, in which, dan from where apabila menggunakan bahasa Melayu. Pada pandangan saya penggunaan perkataan ini di dalam peperiksaan biasanya akan membawa kesalahan. Jadi kalau pelajar ternampak perkataan ini, sila pastikan tiada tanda tanya di akhir ayat ini.

Contoh penggunaan itu ialah: ( Semua ayat di bawah salah penggunaannya)

1. Pusat industri di mana barang-barang dikeluarkan boleh jadi berbatu-batu jauhnya daripada pengguna.
2. Pencemaran air berlaku juga di laut yang mana diakibatkan oleh tertumpahnya minyak.

Mengindahkan atau Mengendahkan

Kata mengindahkan bererti menjadikan indah atau mencantikkan. Kata mengendahkan pula bererti memberi perhatian kepada sesuatu atau mempedulikan. Perkataan ini biasanya mengelirukan terutama apabila disebut. Cuba lihat contoh ayat di bawah ini:

Contoh:
 Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur akan mengindahkan Taman Tasik Permaisuri.
 Pemandu bas itu langsung tidak mengendahkan keselamatan para penumpang.

Friday, September 07, 2007

Punca-punca dan Cara-cara Mengatasi Pengangguran


Isu pengangguran telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama golongan siswazah. Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja melibatkan siswazah tetapi golongan lain juga.

Jadi, apakah punca-punca wujudnya pengangguran dan apakah cara-cara mengatasinya.

Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke negara ini. Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama golongan siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap menjadi satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan umum negara diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan. Jadi, apakah punca-punca yang medorong isu ini berlaku.

Sudah pasti punca utama berkaitan dengan keadaan ekonomi negara yang merudum. Situasi ini menyebabkan banyak syarikat atu kilang terpaksa gulung tikar dan membuang pekerjanya. Bukan sahaja mereka dibuang kerja tetapi mereka juga sukar untuk memperoleh kerja dalam tempoh yang terdekat akibat tiadanya aktiviti ekonomi di negara. Malah ekonomi dunia bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi negara tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih seperti peristiwa kejatuhan ekonomi pada akhir dekad 90-an.

Selain itu, pengangguran turut disebabkan oleh sikap belia yang tidak mempunyai kemahiran. Belia kita hanya didedahkan dengan konsep teori baik ketika di sekolah mahupun ketika di universiti. Akibatnya, belia kita kekurangn kemahiran berfikir, menganalisa sesuatu, berbicara dalam pelbagai bahasa, dan mempunyai kemahiran berinteraksi dengan masyarakat. Biasanya, majikan akan memilih pekerja yang mereka beranggapan mempunyai keunikan yang tertentu terutama penguasaan bahasa asing dan pengetahuan komputer.

Mungkin juga faktor malas menjadi pendorong wujudnya masalah ini. Sikap belia yang hidup ketika era pembangunan pesat menyebabkan belia mengambil konsep tunggu dan lihat. Mereka hanya bertindak apabila keadaan mendesak atau sudah terlewat. Mereka menganggap pertumbuhan ekonomi negara akan berterusan maju tanpa sebarang masalah. Mereka juga sudah terlalu lama menerima bantuan kerajaan seperti pemberian biasiswa dan menganggap kerajaan akan memberi mereka pekerjaan selepas tamat belajar.

Dalam usaha mengatasi ekonomi negara yang merudum, kerajaan telah menghantar rombongan perdagangan ke luar negara untuk menarik lebih banyak modal asing ke Malaysia. Rombongan ini cuba mengiklankan kelebihan negara jika pemodal asing itu sanggup menanam modal mereka di negara ini. Malah, kerajaan telah cuba menjalankan beberapa projek mega untuk memastikan ekonomi negara berjalan rancak semula. Projek Pembangunan Johor Selatan dan Kereta Api Laju KL-Singpura dijangka mampu meninggikan petrumbuhan ekonomi negara selain mengurangkan pelbagai cukai.

Selain itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan golongan belia seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan penubuhan institut kemahiran dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini mampu menyediakan atu sumber manusia yang mempunyai kemahiran tinggi untuk bersaing dalam era globalisasi. Kewujudan buruh yang berkemahiran tinggi ini turut menjadikan negara sasaran utama pelabur asing kelak.

Kerajaan turut memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya kepada golongan belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk mendapatkan pinjaman peribadi untuk membantu belia memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan. Langkah drastik ini memastikan lebih banyak industri kecil dan sederhana mampu diwujudkan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam tempoh terdekat ini. Belia yang tidak bekerja akan mengambil peluang ini untuk mencuba nasib mereka sebagai ahli perniagaan.

Sebenarnya, masalah pengangguran ini bukanlah satu isu baru. Cuma masyarakat harus berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran diri mereka. Dunia pekerjaan sering berubah mengikut teknologi dan mereka yang sering meningkatkan kemahiran sahaja mampu duduk di tempat yang sama sepanjang hidup mereka. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

7 guru terbilang, cemerlang dan gemilang...




Karangan Badan Kebajikan Hadapi Kemelut..


Badan kebajikan atau sukarela merupakan satu usaha murni yang dijalankan oleh segelintir masyarakat. Mereka sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Cuma badan kebajikan ini masih mengalami pelbagai masalah yang membantutkan usaha kebajikan mereka.

Jelaskan masalah-masalah yang dihadapi oleh badan kebajikan.

Badan kebajikan atau sukarela merupakan satu badan yang cuba membantu masyarakat yang memerlukan bantuan. Negara kita masih mempunyai banyak pihak yang memerlukan pertolongan seperti golongan cacat, ibu tunggal, anak yatim, orang tua, dan golongan daif. Kewujudan badan kebajikan seolah-olah memberi sedikit cahaya kepada golongan terpinggir ini untuk meneruskan kehidupan mereka yang sukar itu. Namun, badan kebajikan sendiri mempunyai pelbagai masalah yang mampu membantutkan usaha murni mereka itu.

Masalah yang paling serius mereka hadapi ialah masyarakat negara ini tidak suka membabitkan diri mereka dalam sebarang aktiviti kebajikan. Rakyat negara ini lebih suka melihat atau menganggap tugas itu sudah dilakukan oleh orang lain. Mereka tidak mahu terlibat turut dipengaruhi oleh faktor masa dan kewangan yang tidak mampu diberikan oleh badan kebajikan. Akibatnya, aktiviti badan kebajikan ini dijalankan oleh segelintir masyarakat yang sudah berusia dan kekurangan tangan untuk menjalankan aktiviti mereka.

Ketiadaan sokongan masyarakat untuk melibatkan diri ini boleh dikaitkan dengan imej badan kebajikan yang dipandang rendah. Ada pihak menganggap badan kebajikan hanya untuk mereka yang tidak mempunyai impian besar atau tanggungan keluarga. Malah, ada badan kebajikan yang dianggap oleh masyarakat sebagai mengambil kesempatan dengan memperoleh wang tetapi tidak menyalurkannya kepada mereka yang memerlukan. Jadi, badan kebajikan dianggap kerjaya yang tidak berstatus tinggi.

Malah, badan kebajikan agar sukar untuk memperoleh sumber kewangan pada masa kini. Masalah ini timbul ekoran berlakunya pelbagai dakwaan seperti badan kebajikan menggunakan wang itu untuk kepentingan pekerjanya dan tidak digunakan untuk membantu masyarakat yang memerlukan. Memang kes seperti ini pernah berlaku tetapi untuk menuding jari ke arah kepada semua badan kebajikan merupakan satu langkah yang kurang bijak. Masyarakat seharusnya memberi peluang supaya badan kebajikan dapat menjalankan tugas mereka.

Tambahan pula, badan kebajikan terpaksa mematuhi pelbagai saluran dan kebenaran sebelum mampu menjalankan aktiviti mereka. Lesen badan kebajikan harus diperbaharui dan aktiviti mereka seperti derma perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa. Memang peraturan ini diwujudkan untuk mengawal penyelewengan berlaku tetapi pihak berkuasa harus memudahkan urusan badan kebajikan mereka. Malah, pihak berkuasa seharunya menyediakan bangunan khas untuk badan kebajikan menjalankan aktiviti mereka tanp perlu membayar apa-apa. Namun, semua ini tidak diperoleh oleh badan kebajikan.

Kesimpulannya, badan kebajikan di negara ini memang dalam situasi yang bahaya. Pertubuhan ini tidak lagi mempunyai apa-apa selain meminta belas kasihan masyarakat untuk turut membantu. Masyarakat harus menyalurkan bantuan berupa kewangan atau tenaga untuk memastikan usaha murni mereka ini akan berterusan kerana tanpa badan kebajikan nasib golongan terpinggir ini akan menjadi lebih menyayatkan.

Tuesday, September 04, 2007

Karangan Pembuangan bayi...isu semasa yang hangat


Masalah pembuangan bayi makin menjadi-jadi akhir-akhir ini terutama dalam kalangan remaja.
Ulaskan pernyataan ini.

Pembuangan bayi biasanya melibatkan golongan remaja yang bertindak terburu-buru mengambil tindakan. Kemelut ini semakin serius apabila pihak media massa memaparkan kejadian ini dalam akhbar mereka dengan begitu meluas tanpa segan-silu. Jadi apakah punca-punca dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani isu ini?

Kemelut ini berlaku lantaran kurangnya didikan agama dalam kalangan remaja kita. Kekurangan ini mungkin akibat kekurangan didikan dan perhatian ibubapa serta impak kemodenan yang melanda negara kita. Remaja kitaa tidak mempunyai pegangan agama yang tebal dan mudah dipengaruhi oleh desakan seksual mereka itu. Kesannya, ramai yang terjebak dalam kancah negatif ini.

Selain itu, isu ini turut berleluasa kerana institusi kekeluargaan itu sendiri sudah runtuh. Sudah menjadi kebiasaan kini sesebuah keluarga itu tidak mempunyai ayah atau ibu untuk mendidik. Ketiadaan ini menyebabkan tanggungjawab mendidik anda tidak menjadi satu keperluaan yang harus dipenuhi dengan baik. Sesungguhnya, keadaan inilah yang menyebabkan masalah pembuangan bayi menjadi-jadi.

Sikap masyarakat yang terlalu suka menghukum turut menjadi penyebab pembuangan bayi ini berlaku. Kita suka menganggap wanita yang mengandung tanpa suami ini sebagai melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang menjurus kemelut itu berlaku. Pemikiran masyarakat ini menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka daripada dipandang jijik oleh masyarakat.

Arus kemodenan terutama melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini. Program dari barat yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan remaja terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan seksual yang bebas. Lantaran itu, masalah ini terus menerus menjadi sesuatu yang lumrah.

Langkah yang perlu dilaksanakan oleh kita ialah menyediakan satu tempat perlindungan kepada remaja yang bermasalah seperti ini. Rumah perllindungan ini memberi bantuan kaunseling dan penjagaan kepada remaja dan bayi sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil. Kewujudan rumah perlindungan ini memberi ruang kepada remaja untuk berfikir secara rasional menyelesaikan masalah mereka. Sesungguhnya isu pembuangan bayi dapat dikurangkan.

Paradigma masyarat harus berubah dalam menangani masalah ini. Kita perlu mengikis sikap suka menghukum moral seseorang itu dengan terburu-buru tanpa mengambil kira keadaan yang dialami oleh remaja terbabit. Kita seharusnya menjadi tempat remaja meluahkan masalah mereka dan bukannya tempat remaja melarikan diri mereka. Pandangan masyarakat yang berubah memberikan persepsi yang baik kepada remaja untuk berkongsi masalah mereka.

Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi ini perlu dikaji secara telus. Semua pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. Semua pihak memikul kesan yang timbul kerana kitalah yang menyebabkan dan mampu menghalang masalah ini daripada berterusan. Kita harus menerima masalah ini dan mencari jalan penyelesaiannya secepat mungkin.


karangan ini dhasilkan oleh pelajar saya.

Seloroh vs seluruh...

Seluruh merujuk semua bahagian atau kawasan atau kumpulan yang banyak.

Seloroh pula kaitkan dengan Mr.Bean iaitu lawak, lucu dan jenaka.

Kaji ayat di bawah:

 Berita perkahwinan Azman dan Siti telah tersebar ke seluruh kampung.
 Mereka sedang berseloroh sesama sendiri.

Bena apa itu...bina saya faham...

Perkataan bina berkaitan pembuatan menghasilkan sesuatu seperti bangunan dan rumah.

Bena pula merujuk serius, prihatin dan bersungguh-sungguh.

Lihat ayat ini:

 Jabatan itu dibina oleh orang-orang kampung secara gotong-royong.
 Janganlah bersikap bena tak bena kepada anak-anak yatim piatu.

Belok dan blok....mana betul?

Blok merujuk bangunan, flat dan kumpulan manusia serta organisasi.

Manakala belok lebih ke arah tempat atau mengambil pusingan (sudut)

Lihat ayat di bawah:
 Syarikat itu bercadang membina beberapa blok rumah pangsa di kawasan itu.
 Negara-negara blok komunis tidak lagi mengancam keselamatan dunia.
 ‘Sila belok ke kiri setelah berjalan beberapa langkah,” kata jurulatih kawad itu.

Sunday, September 02, 2007

Skop Karangan Perindustrian pula...sangat penting


Tadi ketika seminar, saya ada menerangkan mengenai skop ini. Cuba pelajar kaji dan teliti skop ini kerana dua soalan yang biasanya ditanya ialah kebaikan dan keburukan yang timbul. Negara kita memang mengutamakan industri walaupun pertanian masih penting.

Antara kebaikanya ialah:
• Mengurangkan kebergantungan import dari negara asing
• Meninggikan taraf hidup rakyat
• Memajukan negara dengan kemodenan
• Menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat
• Meningkatkan penggunaan bahan mentah tempatan seperti getah dan minyak kelapa sawait.

Namun kesan buruk juga wujud daripada industri iaitu:
• Meningkatkan penerokaan hutan secara berbeluasa
• Meningkatkan kadar pencemaran alam sekitar terutama sungai
• Menyebabkan peningkatan masalah sosial kerana ibubapa bekerja terlalu lama
• Meninggalkan / membiarkan bidang pertanian sehingga terpaksa import makanan pula

Jelas semua?

Belot dan Belut...mana sejenis ikan?


Perkataan belot bermaksud seseorang yang tidak setia. Biasanya dalam perjuangan atau pertempuran. Manakala perkataan belut merujuk sejenis ikan yang bentuknya seperti ular sedikit.

 Askar-askar yang belot dalam perjuangan akan dihadapkan ke muka pengadilan.
 Rupa ikan belut seakan-akan ular.