Tuesday, July 31, 2007

Suspens, Nilai dan Latar Novel...satu renungan


Baiklah saya rasa soalan novel memang memeningkan kepala pelajar. Jadi, anda kena jelas semua peristiwa yang berlaku. Di bawah saya huraikan secara ringkas tiga soalan yang penting iaitu suspens, nilai, dan latar tempat.

Cuba pelajar semua lihat maklumat di bawah dan renungkan.

Unsur-unsur suspens dalam sesebuah novel menjadi daya tarikan kepada pembaca. Berikan beberapa contoh peristiwa yang menampilkan teknik suspens dalam novel yang anda kaji.
Bukit Kepong

 Penumpang-penumpang bas yang ditahan tertanya-tanya apakah yang akan dilakukan oleh pengganas komunis itu terhadap mereka..ini anda semua mesti ingat sebab ada.....ha,ha
 Penghuni rumah pasung tertanya-tanya apakah yang telah berlaku apabila terdengar bunyi tembakan yang tidak henti-henti
 Lans Koperal Jidin Omar dan Othman tertanya-tanya apakah yang terdapat di dalam dua buah tin yang dibawa oleh Ahlam...kaitkan konsep min yuen dalam sejarah
 Penghulu Ali tertanya-tanya apabila terdengar bunyi tembakan yang disangkanya mercun pada peringkat awal...bunyi itu dianggap bunyi mercun pada awalnya

Konserto Terakhir

 Pembaca berasa suspens tindakan yang akan berlaku apabila Hilmi diketahui oleh Datuk dan Datin menyentuh piano Hayati.
 Pembaca tertanya-tanya sama ada Hilmi mampu memetik organ dan memainkan lagu seperti yang diminta oleh Encik Bakar.
 Hilmi tertanya-tanya akan sebab Datin Salmah memanggilnya melalui Pak Amat. Rupa-rupanya Datin memberikan pokok bunga Jepun
 Pembaca tertanya-tanya apakah tindakan Hayati apabila bertemu dengan Hilmi di taman bunga

Nyatakan nilai yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. Kaitkan kepentingan nilai tersebut dalam kehidupan seharian anda sebagai seorang pelajar.

Bukit Kepong

 Setia kawan – segelintir anggota polis yang tidak bertugas ketika komunis menyerang sanggup meninggalkan anak isteri untuk membantu kawan-kawan mereka. Kaitan dengan pelajar ialah pelajar harus membantu sesama rakan apabila berhadapan dengan masalah.
 Cinta akan negara – penduduk kampung yang menentang komunis. Kaitan dengan pelajar ialah kita harus mengutamakan negara dalam semua tindakan supaya negara terus aman.
 Kecekalan – anggota polis tidak mudah menyerah kalah dengan serangan komunis. Kaitan dengan pelajar ialah pelajar tidak mudah putus asa apabila mengalami kegagalan.
 Agama – Othman dan Limah terus menjalankan tugas mereka terhadap agama. Kaitan dengan pelajar ialah pelajar perlu melaksanakan tanggung jawab agama walau di mana pun berada

Konserto Terakhir

 Menghormati orang tua – Hilmi amat menghormati pak ciknya Datuk Johari. Kaitan dengan pelajar ialah pelajar harus menghormati orang tua seperti guru.
 Tabah – Hilmi tabah menghadapi kepayahn demi mencapai cita-citanya menjadi pemuzik. Kaitan dengan pelajar ialah pelajar mesti cekal menghadapi cabaran mencapai cita-cita mereka
 Rajin – Hilmi rajin mendalami ilmu muzik walaupun dia tidak memiliki pengetahuan asas muzik pada peringkat awal. Kaitan dengan pelajar ialah pelajar harus rajin dalam pelajaran mereka
 Pemaaf – Hilmi memaafkan semua orang yang berbuat salah kepadanya. Kaitan dengan pelajar ialah pelajar harus sedia memaafkan mereka yang bersalah.

Latar tempat sangat penting dalam sesebuah karya.
Bincangkan latar tempat berserta peristiwa yang berlaku berdasarkan novel yang anda pelajari.


Bukit Kepong

 Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur – Othman menjalani latihan polis selama enam bulan
 Sekitar Rumah Pasung Bukit Kepong – pasukan polis dan komunis bertempur
 Hospital Muar – tempat Othman menerima rawatan selepas serangan

Konserto Terakhir

 Rumah Datuk Johari – Hilmi jadi tukang kebun di rumah pak ciknya
 Dewan Tuanku Canselor – Hayati menggantikan tempat Hilmi dalam konsert perdana tersebut
 Hospital Besar Kuala Lumpur – Hilmi menerima rawatan dan Datuk Johari mengetahui identiti sebenar Hilmi

Terus belajar ok...

Monday, July 30, 2007

Muzik karangan sensasi


Skop muzik memang menjadi skop sensasi karangan SPM 2007. Cuba anda semua lihat dan kaji karangan di bawah.

Rancangan muzikal di media massa sering dikatakan tidak membawa makna. Namun, rancangan sebegitulah yang mendapat sambutan masyarakat.

Huraikan kebaikan-kebaikan dan keburukan yang tercetus daripada muzik di negara ini.


Muzik dan masyarakat tidak dapat dipisahkan kerana muzik pada masyarakat menjadi tempat mereka meluahkan perasaan dan tenaga mereka terutama dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran ini. Keadaan ini menyebabkan rancangan muzikal telah mendapat sambutan hangat masyarakat terutama remaja. Sesungguhnya, muzik mempunyai pelbagai natijah yang mampu mengubah kehidupan sesebuah negara itu.

Sekali pandang pandang muzik memang membawa kebaikan. Muzik mampu memberi ketenangan jiwa kepada seseorang kerana apabila mendengar muzik, jiwa seseorang akan tenteram terutama mendengar muzik kegemarannya. Irama muzik yang mendayu-dayu menyebabkan jiwa seseorang yang suka memberontak akan kembali menjadi tenang dan gembira. Sesungguhnya, muzik membawa ketenangan jiwa yang meningkatkan lagi kekuatan minda dan fizikal seseorang itu.

Malah, muzik mampu memberi imej baru atau memperkaya muzik tradisional sesebuah negara itu. Keadaan ini mampu diwujudkan kerana muzik tradisional dianggap tidak bersesuaian dengan keperluan alaf globalisasi yang mengutamakan muzik rancak sahaja. Rancangan muzik yang disiarkan oleh media tempatan mampu mengorak langkah untuk menyebarkan pengaruh muzik tradisional terutama dalam kalangan remaja. Jadi, muzik memang mampu meninggikan imej muzik tradisional kita.

Bukan sahaja imej muzik tradisional mampu ditingkatkan tetapi imej negara pada mata masyarakat antarabangsa turut meningkat. Muzik sering dikaitkan dengan tahap kemodenan sesebuah masyarakat dan neagra itu mengikut piawaian antarabangsa. Semakin tinggi minat masyarakatnya terhadap muzik semakin modenlah sesebuah negara itu. Contohnya, masyarakat negara moden seperti Jerman dan Sweden sering menyaksikan pelbagai konsert muzik yang diadakan tanpa mengira muzik itu tradisonal atau moden.

Selain itu, muzik turut mampu memberikan satu kerjaya yang baik terutama kepada remaja. Keadaan ini berlaku kerana bidang muzik di negara ini masih belum diteroka dengan seluasnya. Permintaan sebagai ahli muzik masih tinggi dan persaingannya tidak begitu sengit berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Dalam masa yang sama negara mula menganggap keperluan muzik menjadi penting dengan pelbagai konsert muzik diadakan setiap tahun di negara ini. Maka, semakin ramailah pemuzik yang diperlukan oleh negara dalam tempoh mendatang ini terutama muzik orkestra.

Keburukan yang ketara daripada muzik ialah aktiviti ini menyebabkan remaja terutamanya mudah terjebak dengan pergaulan yang bebas. Keadaan ini menyebabkan berlakunya gejala sosial yang mendapat perhatian masyarakat seperti isu pembuangan bayi dan penyalahgunaan dadah. Suasana dan tempat muzik sering menimbulkan masalah kepada remaja terutama aksi muzik barat moden yang dianggap terlalu menyimpang daripada budaya tempatan. Oleh itu, muzik turut membawa remaja kita terpesong sahsiahnya.

Kesimpulannya, muzik bukanlah seseuatu yang hanya membawa kebaikan tetapi juga impak negatif yang tersendiri. Setiap individu haruslah menilai dan melihat muzik itu daripada keperluan peribadi mereka untuk memastikan bidang muzik ini membawa impak positif. Peribahasa melayu ‘tepuk dada, tanya selera’ membuktikan bahawa buatlah sesuatu mengikuti keperluan dan kehendak seseorang terutama yang memberi kebaikan sejati.

Sunday, July 29, 2007

Masih mencari seminar PMR 2007?


Peperiksaan PMR semakin hampir, jadi jika anda memerlukan sebarang panduan untuk menghadapi peperiksaan itu, sila hubungi Pusat Tuisyan Martin (saya juga ada mengajar di situ). Seminar itu akan diadakan pada 25 Ogos dan 1 September di UCSI, Kuala Lumpur. Anda boleh hubungi nombor ini 03-2148 3314.

Seminar ini pasti akan memudahkan pelajar kerana semua guru yang memberi ceramah itu merupakan guru yang berpengalaman luas dalam bidang mereka. Malah, saya difahamkan mereka akan menggunakan pelbagai teknik dan menghulurkan kemahiran mereka kepada pelajar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang iaitu mendapat A dalam setiap pelajaran

Seminar ini bukan sahaja “penuh dengan teknik menjawab” tetapi pelajar yang menyertainya akan diberi makan dan minum sepanjang mereka berada di UCSI. Tempat seminar ini merupakan sebuah universiti swasta yang terkenal di Kuala Lumpur. Jadi, dewan gaya “kuliah universiti” yang berhawa dingin memudahkan lagi pelajar untuk mendengar dan melihat semua teknik yang bakal diberikan itu.

Jadi, saya mencadangkan supaya anda mendaftar untuk menyertai seminar ini. Pengalaman saya dalam bidang pendidikan menyebabkan saya memberi cadangan ini. Mungkin ini peluang terakhir anda untuk melakukan sesuatu sebelum PMR bermula.

Saya difahamkan seminar ini sudah penuh namun pelajar yang masih berminat boleh menghubungi pusat tuisyen ini untuk mendapatkan maklumat lanjut kerana saya difahamkan ada tambahan masa lain untuk seminar ini.

IKlan Penting....Karangan PMR 2007?



Kesan Iklan kepada masyarakat.
Satu pandangan?


Pada era globalisasi ini, iklan telah memainkan peranan yang besar dan mempunyai pengaruh yang ketara dalam masyarakat moden. Iklan dapat disiarkan di televisyen, radio, surat khabar atau melalui telefon bimbit. Walau bagaimanapun, iklan juga mempunyai kesan negatif dan positif kepada masyarakat.

Ramai orang berpendapat bahawa iklan mempunyai kesan negatif. Hal ini demikian, iklan akan mempengaruhi kanak-kanak yang masih tidak dapat berfikir dengan matang. Contohnya, iklan yang menyiarkan pemuda-pemudi yang sedang menghisap rokok kelihatan sangat bergaya telah mempengaruhi ramai menjadi mangsa. Kanak-kanak atau remaja-remaja akan menjejak langkahnya tanpa memikirkan kesannya.

Di samping itu, iklan yang memaparkan makanan segera dan makanan ringan juga memberi kesan yang negatif kepada orang ramai. Makanan yang dipaparkan dalam iklan kelihatan sedap-sedap belaka menyebabkan para penonton tertarik olehnya. Walau bagaimanapun, makanan segera tidak membekalkan nutrien yang seimbang kepada badan kita. Sebaliknya, ia akan menyebabkan kita menjadi gemuk dan akhirnya menghidap penyakit obesiti.

Selain daripada keburukan, iklan juga membawa kebaikan kepada kita. Antara kesan positifnya ialah kita dapat mengetahui informasi terbaru. Misalnya, kita boleh mendapat tahu tentang produk-produk seperti telefon bimbit atau kereta yang terbaru di pasaran. Informasi ini amat berguna kepada para pengguna yang tidak ingin menjadi katak di bawah tempurung.

Tambahan pula, iklan yang memaparkan kursus-kursus yang berkaitan dengan pelajaran amat disenangi oleh orang ramai. Iklan sebegini memaklumkan para pelajar tentang masa depan mereka. Hal ini kerana, sesetengah pelajar ingin menceburi bidang-bidang tertentu tetapi tidak mengetahui tempat pembelajarannya. Dengan melalui iklan, pelajar-pelajar tersebut akan dapat mencari institusi atau universiti dengan lebih cepat dan senang.

Iklan memberi kesan negatif dan kesan positif kepada masyarakat. Kita perlu menganalisis dengan teliti supaya tidak terpengaruh oleh iklan yang tidak baik. Kita tidak harus menjadi pengguna yang ingin memiliki sesuatu barang tanpa mengetahui mutu dan kegunaan sebenarnya. Konklusinya, kita perlu menjadi pengguna yang bijak memilih serta membezakan perkara yang merugikan atau menguntungkan kita.

Karangan ini merupakan karangan pelajar saya.

Thursday, July 26, 2007

Gagal itu bagus?


Manusia tidak banyak belajar daripada kejayaan tetapi mereka banyak menerima pengajaran daripada kegagalan.
Peribahasa Cina


Tadi saya bertemu dengan seorang pelajar saya. Dia meluahkan rasa tidak yakinnya dengan keupayaannya untuk menjawab peperiksaan percubaan SPM yang tidak lama lagi itu. Saya berbual-bual dengannya ketika ibunya memandu kereta pacuan empat roda itu. Ya, saya menumpang kereta ibu pelajar saya kerana hari ini hujan begitu lebat. Ketika melambai tangan tanda terima kasih minda saya terus melayang memikirkan bahawa kegagalan boleh membawa kebaikan. Terkejut?

Ada satu kata-kata hikmah yang mengatakan bahawa “adalah mustahil untuk mencapai kejayaan tanpa mengalami kekalahan atau kekecewaan atau kegagalan”. Kalau anda berjaya dan tidak mengalami kesusahan maknanya ada orang lain yang menerima kesusahan itu untuk pihak anda. Begitu juga jika anda mengalami kesusahan tanpa mencapai kejayaan, mungkin juga ada seseorang yang Berjaya selepas anda itu. Terlalu dalam maksudnya sehingga sukar untuk memahaminya? Ringkasnya, tiada kejayaan tanpa kesukaran.

Pada saya kejayaan di dunia ini boleh diumpamakan seperti menerima ijazah universiti. Kejayaan itu hanya boleh dicapai kalau diikuti dengan beberapa tindakan untuk tempoh masa tertentu. Sukar untuk mencapai kejayaan yang begitu mudah. Kejayaan memerlukan individu yang mahu berusaha dan berusaha selepas mengalami kegagalan. Mereka yang enggan mengaku kalah. Mereka yang mempunyai kekuatan dalaman untuk berjaya. Mereka yang beranggapan bahawa jika mereka berusaha sedikit sahaja lagi mereka akan beroleh kejayaan itu.

Jadi, ketabahan merupakan inti pati utama kejayaan seseorang itu. Orang yang ingin kejayaan pada saya ialah orang yang suka bermimpi tetapi menganggap mimpi itu tidak cukup buat mereka. Mimpi itu mampu mereka jadikan satu reality. Maka, hari demi hari, jam demi jam, mereka ini berusaha gigih untuk merangkul mimpi mereka itu sehinggalah mereka dapat melihatnya dengan mata dan menyentuhnya dengan tangan mereka.

Terus belajar pelajarku.

Wednesday, July 25, 2007

Alam sekitar skop PMR 2007...


Kali ini saya cuba menonjolkan karangan pelajar saya. Pertama, saya ingin buktikan bahawa pelajar mampu menulis dengan baik kalau mereka memahami isi-isi dan teknik menulis. Kedua,pelajar keturunan bukan melayu juga mampu menghasilkan karangan berkualiti. Mungkin pelajar SPM saya harus merenung karangan ini. Tanya diri anda berada di tahap yang mana?

Alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.
Jelaskan langkah-langkah yang patut kita lakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar
.

Sejak kebelakangan ini, pembangunan tanpa limitasi kini merupakan perubahan kian pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab ini. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata ingin mengejar kemajuan? Di manakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Jadi, alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita dan langkah-langkah yang positif perlu dilakukan.

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihan alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran. Hal ini jelas akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Perkara yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan penghawa dingin merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibatnya, penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) amat bahaya kepada masyarakat di Malaysia. Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawalkan oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga alam sekitar yang dicipta oleh Tuhan.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang alam sekitar yang menyeluruh. Hal ini demikian, boleh membantu menjaga alam sekitar kita dengan lebih efektif. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang-kilang yang telah dibina oleh kerajaan mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Di sini saya memberi contoh, pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun laut secara terbuka. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diketatkan lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Dalam pada itu, kitar semula yang diperkenalkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu menjaga alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan di dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproseskan menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu. Melalui cara ini, sumber manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka mahupun kebersihan alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijagakan melalui kempen kesedaran sivik supaya rakyat dapat menjaga alam sekitar. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat ditiup kesedaran untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit demi sedikit masalah dan hal ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat diatasi apabila semua rakyat sedar kepentingan alam sekitar.

Tuntasnya, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan ini untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya meletakkan masalah ini diatas bahu kerajaan dengan semata-matanya. Kerjasama yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna dan hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Sinomin dengan slogan negara “ Negara Bersih, Rakyat Sihat ”

Karangan ini telah diubahsuai daripada karangan pelajar saya iaitu LIEW CHIN YEE (Tingkatan 3)

Tuesday, July 24, 2007

Gaya Bahasa dalam Komsas...


Gaya bahasa merupakan soalan yang tidak pernah diutarakan dalam peperiksaan. Baik dalam PMR atau SPM. Jadi soalan ini harus difahami oleh pelajar dengan baik. Kemungkinan soalannya berbunyi begini: Apakah fungsi atau peranan gaya bahasa dalam sesebuah novel yang anda baca?

Sudah pasti mampu mengindahkan karya dan bunyinya sedap didengar oleh pembaca.

Dapat memberikan gambaran yang jelas dan tepat mengenai sesuatu perkara atau peristiwa.

Mampu memberikan kesan yang mendalam lalu menarik minat pembaca untuk terus membaca novel itu.

Dapat meningkatkan atau memperkaya bahasa seseorang.

Dapat menghidupakan jalan cerita.

Dapat memberikan identiti tertentu kepada pengarang kerana sesetengah pengarang suka menggunakan gaya bahasa tertentu.

Usah lupa bahawa gaya bahasa juga penting mempunyai jenis-jenisnya

Diksi ialah pelilihan dan penyusunan kata-kata yang indah sehingga membawa pengertian yang mendalam dan tepat penggunaannya. Contoh; Mukanya berisi keriangan.

Personifikasi merujuk bahasa yang memberikan sifat manusia kepada sesuatu benda, keadaan atau suasana. Contoh: Pokok kelapa itu melambai-lambai ke arahnya.

Metafora pula ialah bahasa kiasan yang tidak menggunakan kata-kata bandingan. Metafora boleh terdiri daripada konsep logik dan abstrak. Contoh: Lautan fikirannya. Lautan bermaksud laut dan banyak ilmu. Fikiran pula hanya ada satu maksud iaitu berfikir atau otak.

Simile ialah kiasan yang membandingkan dua benda yang berbeza tetapi ada persamaan. Penggunaan bak, umpama, seperti, bagai dan laksana banyak digunakan dalam ayat jenis ini. Contoh: wajahnya pucat umpama mayat.

Hiperbola pula perbandingan yang tidak logik atau melampau. Contoh: matanya berapi-api.

Paradoks merujuk pernyataan yang ganjil atau bertentangan tetapi mempunyai maksud yang tepat. Contoh: benci tetapi rindu

Baiklah, kalau pelajar ada masalah, emel saya atau beri komen untuk saya terangkan dalam blog akan datang pula.

Sunday, July 22, 2007

Keluarga Penting? Karangan Panas SPM 2007


Pelbagai masalah yang wujud di negara ini sering dikaitkan dengan kegagalan institusi keluarga.

Nyatakan kepentingan-kepentingan mewujudkan perasaan kekeluargaan dalam kehidupan masyarakat dalam era globalisasi ini.

Dewasa ini, hubungan kekeluargaan terutama di kawasan bandar tidak erat berbanding keluarga yang tinggal di kawasan pedalaman. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa tidak rapat dengan anak-anak mereka kerana jarang meluangkan masa bersama mereka. Kehidupan yang serba moden turut merenggangkan lagi hubungan kekeluargaan. Oleh itu,amat penting bagi masyarakat kita didedahkan dengan manfaat-manfaat mewujudkan perasaan kekeluargaan.

Kita dapat memastikan gejala sosial tidak mempengaruhi masyarakat terutamanya dalam kalangan remaja apabila eratnya ikatan kekeluargaan dalam hidup mereka. Remaja yang kurang perasaan kekeluargaan dan kasih sayang akan mudah terjebak dengan budaya kuning seperti merokok dan melepak di pusat beli-belah kerana mereka tidak mempunyai panduan hidup yang jelas. Lantaran itu,mereka memberontak dengan melakukan perkara yang tidak sihat untuk mendapat perhatian orang ramai. Selaras dengan itu,ibu bapa perlu memupuk perasaan kekeluargaan terhadap anak-anak mereka sejak kecil lagi.

Selain itu, kadar jenayah di negara kita dapat dikurangkan dengan drastik. Kebanyakan kajian membuktikan pencetus utama penjenayah melakukan kesalahan undang-undang seperti membunuh dan merogol adalah disebabkan masalah kekeluargaan. Mereka hilang pertimbangan sehingga melakukan jenayah kerana tertekan dan cuba mencari jalan penyelasaian bagi masalah mereka. Ketiadaan keluarga untuk menjadi tempat mereka meluahkan masalah menjurus isu ini berlaku. Sehubungan dengan itu, pelbagai program bercorak kekeluargaan seperti Hari Bersama Keluarga perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Secara tidak langsung, negara kita akan sentiasa dalam keadaan aman dan damai apabila masalah gejala sosial dan kadar jenayah berkurangan. Negara yang harmoni dan tiada masalah dalaman mahupun luaran mampu melahirkan masyarakat yang tinggi nilai kekeluargaan. Hal ini demikian kerana,mereka bebas melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga tanpa memikirkan masalah-masalah yang menimpa negara mereka. Oleh sebab itu,semua pihak perlu bekerjasama menjaga keamanan negara.

Prokditiviti rakyat turut bertambah kerana mereka berasa gembira melihat keluarga yang bahagia dan keadaan negara aman yang makmur.Rakyat negara yang harmoni pasti berwawasan dan mempunyai modal insan yang tinggi. Malahan, mereka dapat menjaga kebajikan keluarga seterusnya meningkatkan taraf hidup keluarga,bangsa dan negara mereka. Pertumbuhan ekonomi negara turut berkembang dengan pesat. Oleh itu, nilai positif ini perlu diwujudkan supaya kebahagiaan sesebuah keluarga dapat dikekalkan.

Malah, imej negara pada mata masyarakat dunia terus bersinar. Keluarga yang bahagia menghasilkan semua impak yang positif. Masyarakat luar akan melihat kejayaan ini dan cuba menyebarkan kejayaan itu di negara mereka. Tindakan ini akan menyebabkan semua masyarakat luar akan mengenali rahsia kejayaan Malaysia ialah kekuatan sistem keluarga mereka. Maka, rakyat negara ini boleh berbangga kerana mereka dipandang tinggi oleh masyarakat asing.

Kesimpulannya,terdapat banyak faedah yang kita mampu peroleh apabila mempraktikkan nilai kekeluargaan dalam kehidupan seharian. Situasi ini dapat memastikan kehidupan yang kita jalani pada masa hadapan lebih berkualiti dan bermakna kerana kita mempunyai keluarga yang menjadi penyebab seseorang itu meneruskan kehidupannya.Justeru,masyarakat tidak boleh bersikap acuh tak acuh dengan nilai-nilai murni ini agar mereka dapat melahirkan sebuah keluarga yang sempurna.


Karangan ini telah diubahsuai daripada karangan pelajar saya iaitu Nurul Aniyyah. Teruskan usaha gigih anda itu.

Thursday, July 19, 2007

Sajak SPM..Duhai Pentafsir


Sajak SPM iaitu Duhai Pentafsir merupakan sajak yang paling sukar untuk difahami oleh pelajar kerana sajak ini berunsurkan keagamaan dan dalam maksudnya. Secara am sajak ini cuba mengajak kita untuk mencari erti kehidupan yang azali atau mempamerkan kepentingan perasaan insaf atau lebih tepat rasa taubat.

Rangkap pertama memaparkan kesungguhan penyajak untuk mencari pentafsir yang mampu membawanya ke jalan yang benar tetapi usahanya yang panjang itu masih gagal untuk menemui sipentafsir.

Manakala rangkap kedua lebih memaparkan kefahaman penyajak akan kesilapan dan cabaran yang dihadapinya tetapi dia masih gagal menemui hidayah yang sepatutnya.

Rangkap ketiga membuktikan akibat kesilapan masa muda yang berlaku kerana ketiadaan didikan agama yang cukup telah menyebabkan dia berasa resah sepanjang kehidupannya. Penyajak resah dan tidak yakin.

Penyajak semakin tua dan mengakui kekuatan fizikalnya mula berkurangan sehingga menyebabkannya tidak mampu melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan ajaran agamanya dalam rangkap keempat pula.

Rangkap terakhir lebih merujuk janji sumpah penyajak untuk berubah atau bertaubat kerana dia mahu mendekatkan dirinya dengan Tuhannya.

Pelajar semua usah lupa ungkapan senja yang merujuk usia lanjut atau tua. Begitu juga rumput-rumput yang redup kerana ini melambangkan rasa ketenangan yang dialami oleh seseorang.

Jadi apakah kekangan yang dihadapi oleh penyajak? Sudah pasti usianya yang semakin lanjut. Kekurangan tenaga untuk menjalankan kewajipan agama. Penyajak ketiadaan masa yang cukup. Penyajak juga sukar untuk menerima panduan atau hidayah.

Kalau sahabat anda yang menjadi penyajak, apakah cadangan anda kepadanya? Sudah pasti anda akan memberi nasihat. Sudah pasti anda akan sering menemaninya. Sudah pasti anda akan menyuruhnya bersabar. Dan sudah pasti anda akan memberi semangat kepadanya untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik.

Sajak ini cuba mengupas persoalan manusia yang insaf agak terlewat. Kita biasanyanya insaf setelah berlakunya sesuatu perkara yang memberi kesan kepada diri seseorang.

Persoalan kurangnya pendidikan agama dalam kalangan remaja dan manusia turut menjadi persoalan penting di sini. Agama dianggap perkara lapuk oleh sesetengah pihak.

Persoalan kehidupan manusia yang penuh dengan cabaran yang besar. Kita hidup dalam era yang penuh rintangan.

Wednesday, July 18, 2007

Seminar PMR yang terbaik di KL...



Peperiksaan PMR semakin hampir, jadi jika anda memerlukan sebarang panduan untuk menghadapi peperiksaan itu, sila hubungi Pusat Tuisyan Martin. Seminar itu akan diadakan pada 25 Ogos dan 1 September di UCSI, Kuala Lumpur. Anda boleh hubungi nombor ini 03-2148 3314.

Seminar ini pasti akan memudahkan pelajar kerana semua guru yang memberi ceramah itu merupakan guru yang berpengalaman luas dalam bidang mereka. Malah, saya difahamkan mereka akan menggunakan pelbagai teknik dan menghulurkan kemahiran mereka kepada pelajar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang iaitu mendapat A dalam setiap pelajaran

Seminar ini bukan sahaja “penuh dengan teknik menjawab” tetapi pelajar yang menyertainya akan diberi makan dan minum sepanjang mereka berada di UCSI. Tempat seminar ini merupakan sebuah universiti swasta yang terkenal di Kuala Lumpur. Jadi, dewan gaya “kuliah universiti” yang berhawa dingin memudahkan lagi pelajar untuk mendengar dan melihat semua teknik yang bakal diberikan itu.

Mengenai bayarannya pula agak berpatutan iaitu RM100 dengan kemudahan tempat seminar dan makan minum yang disediakan selain pemberian nota-nota yang berkualiti dan menepati keperluan peperiksaan PMR. Saya difahamkan yuran yang dikenakan memang murah terutama di Kuala Lumpur.


Jadi, saya mencadangkan supaya anda mendaftar untuk menyertai seminar ini. Pengalaman saya dalam bidang pendidikan menyebabkan saya memberi cadangan ini. Mungkin ini peluang terakhir anda untuk melakukan sesuatu sebelum PMR bermula. Cepat mendaftar!

Tuesday, July 17, 2007

belajarsejarah.blogspot.com


Baiklah, atas desakan beberapa pelajar saya, akhirnya saya mengambil keputusan untuk menulis sebuah blog lagi yang berkaitan dengan sejarah. Penulisan blog sejarah ini agak berbeza kerana blog ini lebih menjurus ke arah soalan peperiksaan sahaja. Selain itu, ada juga maklumat yang unik iaitu tidak ada di dalam buku teks untuk menambah pengetahuan am pelajar.


Semoga pelajar akan menggunakan blog ini untuk membentuk diri mereka menjadi pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan terutama kertas Sejarah.


layari: belajarsejarah.blogspot.com


Terus belajar pelajarku.

Usaha-usaha memupuk semangat kebangsaan


Ha,ha, tidak lama lagi negara akan menyambut kemerdekaannya. Sudah pasti ada pelajar yang mencari karangan bertemakan tajuk ini. Bagi saya kemerdekaan harus dihargai. Kemerdekaan membuka mata kita terhadap pengorbanan pejuang-pejuang negara. Jadi saya sertakan contoh karangan ini untuk tatapan anda semua.

Semangat kebangsaan dalam kalangan remaja semakin menipis. Keadaan ini sering dikaitkan dengan perubahan kehidupan masyarakat kita.

Nyatakan usaha-usaha untuk memupuk dan kepentingan memiliki semangat ini kepada remaja.

Semangat kebangsaan merujuk sikap cinta akan negara atau nasionalisme yang mendalam terhadap negara yang tercinta. Sememangnya semangat nasionalisme ini semakin berkurangan terutama dalam kalangan generasi muda kita lantaran corak kehidupan yang semakin berubah selari dengan perubahan zaman. Maka, banyak tindakan yang mampu dilaksanakan untuk memastikan sikap ini terus wujud kerana sikap ini memiliki kesan yang positif.

Tindakan yang pertama ialah subjek sejarah yang diajar di sekolah dilaksanakan secara meluas. Pelajaran sejarah penting ditekankan kerana subjek ini mampu memberi rasa cinta yang meluas dalam diri remaja. Pemahaman tentang sejarah ini menyedarkan remaja mengenai kepentingan memiliki sikap menyintai negara yang mendalam. Jadi, langkah menjadikan subjek sejarah ini mampu menyuntik sikap nasionalisme dalam diri masyarakat terutamanya remaja.
Selain itu, kerajaan boleh menonjolkan pejuang-pejuang negara yang sanggup berkorban demi kedaulatan negara ketika hari Kebangsaan. Penonjolan ini boleh dilakukan melalui penggunaan media massa dengan menyiarkan maklumat diri pejuang-pejuang tersebut beserta kepentingan tindakan mereka dalam menentukan hala tuju kemerdekaan negara pada masa lampau. Langkah ini mampu meningkatkan pemahaman remaja tentang sebab musabab yang membawa kepada pejuang negara itu melakukan sesuatu tindakan yang dipelajari dalam subjek sejarah. Ringkasnya, langkah mempamerkan informasi tentang pejuang-pejuang negara ini mampu meningkatkan semangat remaja untuk meniru semangat yang telah dipamerkan oleh pejuang-pejuang bangsa itu sebelum ini.
Malah, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan boleh menjalankan satu pertandingan yang melibatkan remaja seperti deklamasi sajak, menulis esei, dan pementasan drama yang bertemakan semangat kebangsaan. Aktiviti ini dapat memastikan remaja menyelami dan memahami peristiwa yang dialami oleh pejuang-pejuang negara secara lebih mendalam lagi. Pertandingan yang berunsur sastera ini dapat mendekatkan remaja dengan pejuang-pejuang negara yang sudah lama meninggalkan negara ini. Maka, aktiviti berunsur pertandingan sastera ini memberi satu dimensi baru kepada remaja untuk mencintai negara mereka.
Kerajaan boleh menonjolkan kejayaan negara dalam semua aspek kehidupan masyarakat. Kejayaan ini mungkin diperoleh melalui kejayaan melangsungkan kejohanan sukan, memenangi sesuatu anugerah, dan pencapaian luar biasa rakyat kita dalam sesuatu perkara. Kejayaan rakyat kita mendaki Gunung Everest dan penghasilan kereta nasional mampu meningkatkan sikap cinta akan negara ini selain kemampuan negara dalam menganjurkan Sukan Komanwel suatu masa dahulu. Perkara ini penting ditekankan supaya remaja mempunyai sesuatu perkara yang boleh mereka banggakan dan kaitkan dengan negara apabila berbicara tentang negara sendiri. Sesungguhnya, semua kejayaan negara memberikan satu motivasi yang tinggi kepada remaja untuk turut mencapai kejayaan yang serupa atau menghasilkan kejayaan yang lebih baik lagi.

Sebenarnya, kepentingan utama memiliki semangat cinta akan negara ialah rakyat di negara ini mampu mengukuhkan perpaduan antara mereka. Semua pihak menyedari bahawa perpaduanlah yang menjamin kejayaan mereka di Malaysia ini. Semua memahami bahawa sikap mementingkan negara menyelamatkan negara daripada kancah pergaduhan antara kaum. Jelaslah, semangat cinta akan negara membentuk masyarakat kita menghargai perpaduan dan berfikiran matang.

Kesimpulannya, pemupukan semangat kebangsaan memang menjadi perkara penting dalam pembangunan negara sejak dahulu. Pemupukan ini penting supaya remaja tidak lupa akan perjuangan yang sudah dilakukan oleh generasi terdahulu dan membiarkan pengorbanan mereka menjadi sia-sia belaka. Mungkin remaja sekarang harus merenung dan bertanya kepada diri sendiri, “apa yang mampu mereka sumbangkan kepada negara” dan bukannya “apa yang mampu diberikan oleh negara kepada mereka”.

Mencapai kejayaan atau menambah stres

Rehat merupakan kenikmatan selepas kesungguhan

Saya sering kagum melihat ketekunan pelajar era globalisasi ini kerana mereka mampu menghabiskan masa berjam-jam di sekolah dan kemudiannya terus menuju ke pusat tuisyen atau menghadiri tuisyen peribadi di rumah. Persoalan saya ialah pelajar itu akan mencapai kejayaan atau menambah stres dalam hidupnya?

Mungkin bagus kalau Kementerian Pendidikan membuat kajian mengenai masa pelajar. Maksud saya, kajian dilakukan untuk melihat bagaimana masa pelajar secara umum dihabiskan. Berapa masa yang dihabiskan oleh pelajar untuk menelaah, menghadiri tuisyen, dan melakukan kerja sekolah? Saya yakin ramai pelajar akan beranggapan mereka menghabiskan masa yang panjang di sekolah, tuisyen dan belajar untuk mencapai kejayaan. Setiap masa itu berharga, bukankah itu pandangan kita?

Baiklah, cuba bayangkan kehidupan pelajar yang terpaksa bangun awal. Mungkin seawall jam 5 atau 6 pagi dan terus ke sekolah. Mereka menghabiskan masa hamper 7,8 atau 9 jam di sekolah. Kemudian terus ke pusat tuisyen atau ke rumah untuk menelaah lagi. Aktiviti ini mungkin akan mengambil masa 4 atau 5 jam lagi.

Pelajar biasanya akan sampai ke rumah atau selesai sekitar jam 7 atau 8 malam. Kemudian, mereka akan terus melakukan kerja sekolah yang pasti mengambil masa 2 atau 3 jam lagi. Sekitar jam 10 mereka sudah pasti keletihan dan terus tidur. Ini semua dilakukan untuk mencapai kejayaan atau matlamat mereka.

Namun, berehat di Starbuck, Kopitiam, atau berbual-bual dengan kawan-kawan sudah pasti memberi sedikit kelegaan kepada pelajar daripada kesibukan yang biasa dialami. Begitu juga bermain permainan video, membaca majalah remaja dan melepak memberi kesan yang sama.

Sebenarnya kesederhanan atau keseimbangan antara mencapai kejayaan dan menambah stres yang perlu kita tekankan. Penekanan yang keterlaluan terhadap kejayaan sudah pasti akan memberi impak yang negatif terhadap kesihatan pelajar. Memang kita cuba melakukan yang terbaik dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran tetapi kejayaan kita dalam kehidupan akan ditekankan oleh keupayaan kita untuk mencapai kesederhanaan atau keseimbangan itu.

Terus belajar pelajarku.

Sunday, July 15, 2007

Kraf tangan kita tidak mendapat perhatian?

Anda suka kraf tangan? Saya sering melihat kraf tangan sebagai satu kemahiran yang sukar ditiru. Saya hargai kraf tangan sebagai satu skil yang mengagumkan. Jadi, apabila saya melihat kraf tangan kita ditiru oleh masyarakat lain, hati saya mula berdetik. Mengapakah ada manusia yang sanggup meniru, membuat, menyalin hasil kerja orang dan mengaku itu hasil kerjanya?

Dalam minda saya terbayang ungkapan bahawa mungkin orang itu malas. Mungkin juga orang itu tidak mengetahui erti penat lelah orang lain. Mungkin juga orang itu tidak berbakat dalam bidang yang ingin diceburinya. Atau mungkin orang itu memang begitu sikapnya, suka mengambil hasil kerja orang dan mengaku dirinya yang menghasilkan sesuatu perkara itu.

Itu adat manusia. Itu resmi dunia. Itu erti kehidupan. Namun, jauh di dalam sanuabarinya, saya yakin orang yang suka melakukan perkara sedemikian harus menoleh dan melihat dirinya sendiri. Renungkan.

Maka, kali ini saya sertakan esei mengenai hasil kraf tangan kita yang masih gagal untuk menembusi pasaran antarabangsa. Mungkin kraf tangan kita gagal kerana kita masih meniru atau kita ditiru?

Penduduk desa telah dinasihatkan supaya membuat barangan kraf tangan untuk dijual kepada masyarakat. Namun, masih ada pihak yang mempertikaikan usaha mereka ini.

Jelaskan sebab-sebab mereka berpendapat usaha penduduk desa ini sia-sia.

Penduduk desa sudah mula memberikan perhatian terhadap penghasilan kraf tangan terutama untuk dijual. Sikap positif mereka ini telah didorong oleh tindakan kerajaan yang giat memberi galakan supaya mereka menjalankan aktiviti kraf tangan ini untuk menambah pendapatan mereka. Cuma yang menyedihkan ialah masih ada suara-suara sumbang yang menganggap tindakan penduduk desa ini tidak akan berjaya. Jadi, apakah pencetus yang menyebabkan ada segelintir pihak yang memandang rendah usaha penduduk desa ini?

Anggapan yang paling mudah ialah golongan ini memandang rendah mutu kerja penduduk desa. Pada firasat mereka, kualiti yang diperlihatkan selama ini masih di takuk lama yakni tiada perubahan drastik seperti reka bentuk dan penggunaan warna produk. Mereka menganggap aktiviti sampingan penduduk desa yang memang tidak mengutamakan kualiti. Pada mata golongan ini, kualiti barangan luar negara sahaja yang lebih baik walaupun anggapan mereka itu jauh daripada kebenarannya.

Faktor yang kedua sudah pasti aspek pemasaran kraf tangan penduduk desa itu sendiri. Pihak yang memandang rendah aktiviti ini mengutarakan ketiadaan usaha-usaha konkrit untuk memasarkan hasil kraf tangan ini terutama di pasaran antarabangsa. Ketiadaan usaha ini atau lebih tepat lagi agensi khas untuk memasarkan kraf tangan telah membantutkan pasaran kraf tangan negara. Mereka mahu kerajaan menubuhkan sebuah agensi khas untuk tujuan pemasaran sahaja.

Selain itu, kekurangan pelancong asing di negara ini turut menjadi alasan golongan yang menentang usaha membuat kraf tangan ini. Jumlah pelancong asing yang kecil dan kekurangan minat dalam kalangan pelancong tempatan untuk membeli hasil kraf tangan pada mereka telah menyebabkan usaha ini tidak perlu diteruskan atau diberi galakan. Mereka berpendapat jumlah pelancong asing yang lebih ramai harus disediakan sebelum usaha kraf tangan ini diberi galakan yang menyeluruh.

Alasan yang agak mengelirukan ialah ketiadaan sokongan kerajaan dalam usaha meningkatkan industri kraf tangan negara. Golongan ini berpendapat kerajaan tidak memberi galakan yang secukupnya seperti ketiadaan pelepasan cukai keuntungan atau memberi bantuan teknikal dalam usaha menembusi pasaran luar negara. Mungkin golongan ini terlalu bergantung kepada kerajaan tanpa berusaha sendiri untuk mencari jalan atau rakan niaga di luar negara dalam usaha mengembangkan pasaran kraf tangan negara.

Kesimpulannya, agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti KEMAS, Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan harus memandang serius tanggapan negatif segelintir masyarakat kita ini. Agensi kerajaan itu haruslah proaktif dalam membuat perancangan untuk menangani pandangan negatif mereka ini. Mungkin agensi kerajaan ini harus menggunakan pendekatan yang baru atau berbeza dalam usaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa kraf tangan negara memang berpotensi untuk dikembangkan secara komersial.

Monday, July 09, 2007

Skop Pengangkutan Pula...


Baiklah, kali ini saya ingin menyentuh mengenai pengangkutan terutama pengangkutan awam.
Pertama, pelajar harus mengetahui mengenai keselamatan jalan raya iaitu adakah kempen berjalan lancar, punca-punca kemalangan dan langkag-langkah mengatasinya.
Sekarang pula kerajaan kita begitu sibuk membicarakan aspek kereta api laju. Apakah kebaikan yang timbul daripada kewujudan bullet train ini?
Atau mungkin kita harus melihat aspek pengangkutan awam ini dalam aspek integrasi sistem yang ada iaitu satu kad boleh digunakan untuk semua jenis pengangkutan.
Namun, cuba juga kaji semua skop di bawah ini:

Keselamatan jalan raya
had laju
pengangkutan awam
kesesakan
lebuh raya
tol
kereta api laju
keselamatan pengangkutan udara
pelabuhan
kongsi kereta
tambang
pengangkutan udara
Jangan lupa baca, faham, dan buat karangan ini. Hantar kepada saya melalui emel..ok

Sunday, July 01, 2007

Selesema burung...



Tadi ketika saya sedang mengajar ada pelajar bertanyakan saya mengenai karangan penyakit berjangkit. Lalu saya bertanya kepadanya pula, soalan yang dia rasa bakal keluar. Katanya mengenai selesema burung. Saya menyoalnya lagi kerana ingin mengetahui sebab dia berpendapat sedemikian. Menurutnya dia sering menerima komen begitu daripada kawan-kawannya. Jadi, kali ini saya berikan contoh isi.Mungkin beberapa minggu lagi saya akan berikan contoh karangan yang lengkap untuk pelajar semua.

Isi Contoh:
Menjaga kebersihan peribadi dan kawasan sekitar dengan lebih teliti
Menjalankan pemeriksaan yang kerap atau awal apabila mempunyai simptom penyakit
Memahami dengan jelas penyakit itu seperti cara penularan dan pengawalan
Menuruti arahan pihak berkuasa apabila berlaku wabak seperti memusnahkan haiwan ternakan