Perlu latihan?

Perlu latihan?

Thursday, June 28, 2007

Pembuangan bayi menjadi satu isu hangat negara...




Masalah pembuangan bayi makin menjadi-jadi akhir-akhir ini terutama dalam kalangan remaja.
Ulaskan pernyataan ini.


Pembuangan bayi biasanya melibatkan golongan remaja yang tidak bertindak terburu-buru mengambil tindakan. Kemelut ini semakin serius apabila pihak media massa memaparkan kejadian ini dalam akhbar mereka dengan begitu meluas tanpa segan-silu. Jadi apakah punca-punca dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani isu ini?

Kemelut ini berlaku lantaran kurangnya didikan agama dalam kalangan remaja kita. Kekurangan ini mungkin akibat kekurangan didikan dan perhatian ibubapa serta impak kemodenan yang melanda negara kita. Remaja kitaa tidak mempunyai pegangan agama yang tebal dan mudah dipengaruhi oleh desakan seksual mereka itu. Kesannya, ramai yang terjebak dalam kancah negatif ini.

Selain itu, isu ini turut berleluasa kerana institusi kekeluargaan itu sendiri sudah runtuh. Sudah menjadi kebiasaan kini sesebuah keluarga itu tidak mempunyai ayah atau ibu untuk mendidik. Ketiadaan ini menyebabkan tanggungjawab mendidik anda tidak menjadi satu keperluaan yang harus dipenuhi dengan baik. Sesungguhnya, keadaan inilah yang menyebabkan masalah pembuangan bayi menjadi-jadi.

Sikap masyarakat yang terlalu suka menghukum turut menjadi penyebab pembuangan bayi ini berlaku. Kita suka menganggap wanita yang mengandung tanpa suami ini sebagai melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang menjurus kemelut itu berlaku. Pemikiran masyarakat ini menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka daripada dipandang jijik oleh masyarakat.

Arus kemodenan terutama melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini. Program dari barat yang mengaitkan kebebasan dalam pergualan telah menyebabkan remaja terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan seksual yang bebas. Lantaran itu, masalah ini terus menerus menjadi sesuatu yang lumrah.

Langkah yang perlu dilaksanakan oleh kita ialah menyediakan satu tempat perlindungan kepada remaja yang bermasalah seperti ini. Rumah perllindungan ini memberi bantuan kaunseling dan penjagaan kepada remaja dan bayi sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil. Kewujudan rumah perlindungan ini memberi ruang kepada remaja untuk berfikir secara rasional menyelesaikan masalah mereka. Sesungguhnya isu pembuangan bayi dapat dikurangkan.

Paradigma masyarat harus berubah dalam menangani masalah ini. Kita perlu mengikis sikap suka menghukum moral seseorang itu dengan terburu-buru tanpa mengambil kira keadaan yang dialami oleh remaja terbabit. Kita seharusnya menjadi tempat remaja meluahkan masalah mereka dan bukannya tempat remaja melarikan diri mereka. Pandangan masyarakat yang berubah memberikan persepsi yang baik kepada remaja untuk berkongsi masalah mereka.

Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi ini perlu dikaji secara telus. Semua pihaak bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. Semua pihak memikul kesan yang timbul kerana kitalah yang menyebabkan dan mampu menghalang masalah ini daripada berterusan. Kita harus menerima masalah ini dan mencari jalan penyelesaiannya secepat mungkin.

Tuesday, June 26, 2007

Tunggul vs Tonggak


Baiklah kali ini saya hendak membicarakan perbezaan antara tonggak dengan tunggak. Pada asasnya kedua-dua kosa kata ini berbeza kerana tunggak merujuk sisa pokok seperti pokok yang sudah ditebang. Kadangkala kita menyebutnya tunggul.

Manakala tonggak lebih kepada asas atau dasar sesuatu pegangan atau kepercayaan. Biasanya tonggak dikaitkan dengan agama, negara dan masyarakat.

Contoh ayat:

Budaya yang diamalkan sejak dahulu menjadi tonggak masyarakat di kampung tersebut.
Tunggak kayu di tepi jalan itu boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Jadi, anda semua boleh bezakan penggunaannya?

Thursday, June 21, 2007

Kesihatan...skop terhangat 2007


Skop Kesihatan memang menjadi satu isu yang begitu mengancam dalam peperiksaan tahun ini. Saban hari saya didedahkan dengan pelbagai soalan mengenai skop ini. Keadaan ini menyebabkan saya memberi penekanan skop ini dalam kelas penulisan saya. Memang menarik kerana skop ini memang sedang dan pasti berlaku dalam beberapa bulan lagi.

Kebanyakan soalan pelajar itu berkisar dalam aspek penjagaan kesihatan seseorang dan obesiti. Keadaan ini wujud mungkin berkaitan dengan peperiksaan penggal yang turut membabitkan soalan karangan skop kesihatan. Namun, kajian yang saya lakukan menyaksikan soalan ini memang mempunyai kredibiliti untuk keluar dalam peperiksaan.

Mungkin pelajar harus meneliti skop ini (lihat jadual di bawah) dan membuat latihan yang sesuai dengan tajuk tersebut. Cuba hantar kepada saya untuk penilaian. Mungkin ini membantu anda semua.

Tajuk yang penting


Gaya hidup yang sihat dan ceria
Cara-cara menjaga kesihatan
Penyakit berjangkit terutama sars, demam denggi, selesema burung, aids)
Perubatan tradisional
Perubatan moden
Jualan langsung produk kesihatan
Tele-kesihatan
Kesihatan remaja termasuklah pemakanan seimbang dan isu obesiti


Jadi, sudahkah anda meneliti semua tajuk yang termasuk dalam skop ini? Pastikan anda buat.

Sunday, June 17, 2007

Langkah-langkah dan kesan budaya membaca...


Bangsa membaca bangsa berilmu sering menjadi cogan kata sesuatu majlis ilmu tetapi rakyat negara ini masih terbelakang dalam aspek pembacaan. Kita dikatakan hanya membaca satu buku sahaja setahun.
Terangkan langkah-langkah untuk meningkatkan minat membaca dan kesan-kesan positif yang timbul daripada pembacaan ini.


Masyarakat kita memang tidak suka membaca kerana menganggap aktiviti ini sebagai membosankan. Kajian menunjukkan bahawa rakyat negara ini hanya membaca sebuah buku setahun berbanding negara-negara lain yang boleh mencecah 8 buku setahun. Keadaan ini sudah pasti amat memalukan kita semua kerana ketika kita mahu dianggap sebuah negara maju, kadar pembacaan kita terlalu rendah. Agaknya elok kita menilai keutamaan kita dalam menjalani kehidupan seharian.

Antara langkah yang boleh diambil untuk menangani kemelut ini ialah kerajaan menurunkan harga buku terutama buku ilmiah. Penurunan harga ini membolehkan lebih ramai membeli dan dapat membaca. Harga buku yang rendah turut menyebabkan seseorang dapat membuat rujukan lebih banyak buku terhadap sesuatu perkara. Ketika ini, harga buku yang terlalu mahal menyebabkan masyarakat menganggap membeli buku sebagai satu kerja membazir dan berbau golongan atasan.
Tambahan itu, kerajaan harus memberikan banyak insentif kepada penerbit atau syarikat buku untuk menghasilkan lebih banyak buku. Insentif dalam bentuk pengecualian cukai, keuntungan dan pemberian permit penerbitan harus diberikan tanpa sebarang gangguan birokrasi. Pemberian ini akan menyebabkan lebih banyak penerbit baru muncul kerana mereka yakin perniagaan mereka akan mengaut keuntungan.

Selain itu, pembukaan lebih banyak pembukaan perpustakaan akan memberi galakan kepada masyarakat untuk membaca. Kewujudan perpustakaan menyebabkan seseorang senang untuk mendapatkan ruang untuk membaca. Tiada lagi alasan untuk tidak membaca kerana ketiadaan perpustakaan terutama di kawasan pedalaman. Perpustakaan bergerak juga harus ditambah dengan drastik kerana perpustakaan ini mampu menjalankan peranannya dengan berkesan terutama di kawasan yang padat penduduk dan terlalu jauh.

Kesan positif yang timbul ialah seseorang yang banyak membaca itu akan mengetahui banyak perkara baru. Ilmu yang mereka peroleh dapat digunakan dalam kehidupan seharian mereka. Kemahiran berfikir seseorang turut meningkat dengan baik. Mereka juga mampu melihat dan membandingkan sesuatu perkara itu dengan lebih mendalam dan objektif. Keadaan ini memudahkan mereka untuk membuat keputusan yang betul dalam tindakan mereka.

Manakala pembacaan untuk pelajar memudahkan mereka untuk menjawab dengan baik dalam peperiksaan. Pembacaan yang mendalam menyebabkan pelajar itu memahami sesuatu perkara dengan lebih meluas. Idea dan kebolehan untuk memahami sesuatu soalan berkait rapat dengan kadar pembacaan seseorang pelajar tersebut. Kejayaan sudah pasti akan mereka peroleh dalam peperiksaan yang diduduki oleh mereka.

Kesimpulannya, pembacaan seharusnya menjadi sebahagian daripada kehidupan kita yang tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Membaca juga perlu dijadikan aktiviti sihat bersama-sama keluarga. Ibubapa harus memberi teladan yang jelas dalam aspek ini kerana biasanya anak-anak akan mengikut jejak langkah orang tua mereka. Mungkin selepas ini kita semua akan membaca?

Friday, June 15, 2007

Peranan Persatuan Pengguna di Malaysia...


Saban tahun kita membaca berita mengenai pengguna yang tertipu akibat kerakusan peniaga. Keadaan ini menyebabkan kita terfikir apakah peranan persatuan pengguna dalam menangani masalah pengguna di negara ini.

Isu kenaikan barang-barang mula mendapat perhatian media massa terutama selepas kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja kerajaan. Berita kenaikan harga barang mula dipaparkan dan pelbagai tindakan telah dilakukan terutama oleh kerajaan untuk membanterasnya. Ada yang berjaya dan ada juga yang hanya cakap-cakap sahaja. Cuma, kita tertanya-tanya mengenai peranan persatuan pengguna dalam kemelut yang semakin mencengkam rakyat ini.

Dalam menangani situasi negatif ini persatuan pengguna perlulah menjelaskan dan menerangkan hak serta kepentingan pengguna dengan lebih mendalam. Persatuan pengguna boleh menjalankan kempen yang menjelaskan betapa pentingnya pembeli berbelanja dengan bijak. Penerangan ini mampu menyedarkan sebilangan penngguna yang akan memastikan mereka hanya membeli keperluan yang penting. Kempen penerangan ini seeloknya dijalankan dalam kalangan pelajar terutama pelajar sekolah.

Tambahan pula, persatuan pengguna boleh mendedahkan kepincangan dan penipuan yang dilakukan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. Nama-nama peniaga ini boleh didedahkan di dada akhbar atau media massa yang lain untuk makluman orang ramai. Maklumat seperti ini mampu membantu pengguna untuk berbelanja dengan bijak kerana mereka sudah pasti tidak mahu ditipu oleh peniaga jenis ini.

Selain itu, pengguna yang mempunyai masalah dengan peniaga setelah membeli produk atau barang mereka boleh merujuk kepada persatuan pengguna. Kini, semakin banyak kes pengguna ditipu oleh peniaga tetapi pengguna tidak tahu tempat untuk mengadu. Kehadiran persatuan pengguna dalam memberi nasihat kepada pengguna untuk mengambil langkah susulan menangani masalah mereka amatlah besar kesannya. Keadaan ini menyebabkan nasib pengguna terbela.

Tambahan pula, kewujudan persatuan pengguna memastikan adanya "pemerhati" senyap antara pengguna dan peniaga. Maksudnya peniaga akan lebih berhati-hati sebelum cuba menipu pengguna kerana sedar setiap tindakannya akan dipantau oleh persatuan pengguna. Dalam masa yang sama pengguna pula berasa nasib mereka menerima pembelaan yang sewajarnya.
Jadi, kewujudan persatuan pengguna akan memastikan keadaan pasaran sentiasa dalam keadaan baik kerana semua pihak sedar ada pihak ketiga yang memerhatikan keadaan pasaran ekonnomi negara.

Malahan, persatuan pengguna boleh menjalankan perniagaan mereka sendiri. Persatuan pengguna boleh menubuhkan koperasi atau syarikat yang mampu menjual produk kepada pengguna dengan harga yang lebih murah. Kemahiran persatuan pengguna dalam perkara meletakkan harga barang sudah pasti memudahkan mereka menjual produk tanpa masalah. Koperasi atau kedai ini boleh dijadikan satu rangkaian di seluruh negara untuk memudahkan masyarakat.

Ringkasnya, persatuan pengguna mempunyai tanggungjawab yang besar dan penting di negara ini. Kewujudannya telah menyebabkan kita sebagai pengguna berasa selamat dan peniaga pula lebih berhati-hati. Cuma sejauh manakah keberkesanan persatuan ini yang masih belum terjawab. Mungkin persatuan pengguna harus mencari jalan yang lebih berkesan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda pengguna sekarang.

Thursday, June 14, 2007

Karangan memerlukan latihan demi latihan


Tadi selepas selesai kelas, saya sempat minum bersama dua pelajar saya. Nampaknya mereka mempunyai masalah. Atau mereka tidak mempunyai masalah? Ketika duduk menghadap kedua-dua pelajar itu, mereka menghulurkan keputusan kertas BM mereka. Setelah menelitinya, saya rasa tiada masalah yang timbul. Namun, saya akui mereka sepatutnya memperoleh markah yang lebih baik tetapi untuk mendapat markah melebihi 70 dalam BM merupakan satu pencapaian yang baik.

Cuma dalam usaha meneliti kelemahan dan meningkatkan kemampuan seseorang untuk mencapai kejayaan, kita haruslah mempunyai keinginan untuk mengkaji kelemahan yang ada. Ambil contoh BM, kaji kelemahan sebenar anda. Adakah anda lemah dalam karangan? Atau mungkin jawapan tatabahasa anda perlu ditingkatkan? Dalam kes tadi, saya rasa pelajar itu mempunyai tahap pemahaman yang tinggi dalam BM. Cuma mereka harus membuat lebih banyak latihan.

Sudah bosan nak membuat latihan kan. Senang sahaja, ambil satu soalan seperti tajuk karangan dan pilih tempat yang selesa. Sudah pasti masa yang sesuai. Tetapkan masa yang anda suka dan tulis dengan bersungguh-sungguh. Kemudian bandingkan karangan itu dengan meminta nasihat guru anda atau sahabat yang dipercayai kritikannya. Satu demi satu latihan yang anda buat akan menjadikan diri anda lebih baik dalam menulis. Ingat karangan bukan hafal isi tetapi karangan ialah kebolehan seseorang untuk menulis. Kalau tiada latihan menulis, karangan yang baik sukar dicapai.

Saya suka menulis. Malah, saya mengakui menulis kemahiran saya. Biasanya saya suka menulis bersendirian. Oklah ada TV dan radio berkumandang tetapi sudah pasti bersendirian kerana idea mudah datang kepada saya begitu caranya. Anda boleh gunakan radio atau tv untuk merangsang minat menulis anda. Belia telefon bimbit mahal-mahal elok ada mp3 atau radio.

Jadi, bila anda hendak mula menulis? Selepas habis CSI?...ha,ha,ha

Sunday, June 10, 2007

Peleraian novel.....menarik


Sebenarnya kemahiran seseorang penulis itu jelas ketara melalui bahagian peleraiannya. Kata orang kalau nak menilai karya novel itu, lihat sahaja bahagian peleraiannya. Bahagian ini juga mencerminkan sikap dan pandangan penulis terhadap sesuatu isu yang cuba diketengahkannya.

Pada pandangan saya, peleraian novel Konserto Terakhir memang menarik kerana banyak persoalan tentangnya mampu muncul. Rasa kesal kematian Hilmi sudah pasti menusuk hati pelajar semua. Rasa marah yang mendalam terhadap Datin Salmah pasti terus wujud. Begitu juga terhadap Azizah yang hanya meratapi kehilangan suaminya. Manakala Hayati pula telah memberikan satu harapan untuk menempuh kehidupan yang lebih mencabar.


Mungkin pelajar semua meneliti soalan di bawah ini supaya memudahkan anda menghadapi peperiksaan nanti. Bagaimana pula pandangan anda terhadap peleraian cerita ini? Menarik?



  • Berdasarkan novel yang anda pelajari, wajarkah pengarang mengakhiri cerita novel itu sedemikian.

    Peleraian cerita merujuk cara pengarang menamatkan sesuatu cerita itu
    Himil meninggal dunia.
    Datuk Johari terkejut lalu pengsan dan akhirnya meninggal dunia.
    Hayati menyedari bahawa Hilmi abangnya.
    Memang wajar pengarang mengakhiri cerita sedemikian kerana pertunjukkan tersebut merupakan pertunjukkan terakhir buat Hilmi dan kematian watak-watak memberi kesan dan menimbulkan rasa sedih kepada pembaca.

Thursday, June 07, 2007

Analisis soalan Prosa Klasik SPM 2007? Cuba teka...


Ada ramai pelajar yang bertanya kepada saya mengenai soalan-soalan Prosa Klasik yang pernah keluar dalam SPM kerana tadi saya mengajar Drama dan Prosa Klasik. Nampaknya masih ada yang tidak membuat analisis mengenai soalan-soalan penting.

Dalam SPM, Prosa Klasik merupakan soalan yang pasti keluar. Apabila saya merenung soalan-soalan yang sudah keluar, saya dapati Sikap Terburu-buru Akan Membawa Padah telah keluar 3 kali dalam kertas SPM November dan Kertas Julai. Memang menarik. Sila rujuk blog saya untuk penerangan bahagian prosa ini.

Begitu juga dengan Cerita Bayan kerana cerita ini sudah 2 kali keluar dalam SPM. Cerita Kezaliman Membawa Padah dan Kepahlawanan Tun Beraim Bapa turut telah keluar beberapa kali. Mungkin pertanyaan anda semua ialah soalan yang bakal keluar?

Saya rasa Peminangan Puteri Gunung Ledang dan Sabor memang penting kerana kedua-dua soalan ini belum pernah keluar. Mungkin anda semua kena beri perhatian lebih terhadap bahagian prosa ini. Cuba rujuk blog saya juga untuk peminangan dan tunggu cerita Sabor di dalam blog saya. Ok.

Terus belajar dan layari blog ini

Analisis Soalan-soalan SPM


Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya
2001 dan 2005

PEMINANGAN PUTERI GUNUNG LEDANG

Pertarungan Tuah dengan Jebat
2002 JULAI

Sikap Terburu-buru Akan Membawa Padah
2004
2003 dan 2006 JULAI

SABOR

Kezaliman Membawa Padah
2002
2005 JULAI

Asal Usul Raja Kecil
2003

Kepahlawanan Tun Beraim Bapa
2006
2004 JULAI

Monday, June 04, 2007

Pangkalan atau pengkalan....cuba teka


Tadi, ada pelajar yang bertanya kepada saya soalan kosa kata ini. Menurut pelajar perempuan itu, dia ternampak perkataan pengkalan digunakan ketika mengikut ayahnya pergi ke Seremban cuti sabtu lalu. Setahunya, pangkalan lebih tepat. Jadi, itu sebab dia terus berjumpa saya tadi.

Memang tekaan pelajar itu tepat kerana menurut Kamus Dewan Pangkalan bermaksud tempat berlabuhnya atau berhenti sesuatu seperti perahu, tempat barangan dikumpulkan dan pelabuhan atau lapangan terbang. Kata dasar perkataan ini pula ialah pangkal.

Jadi, kalau Pengkalan Perahu sudah pasti perkataan lebih tepat ialah Pangkalan Perahu.


Friday, June 01, 2007

Lagi,lagi Puteri Gunung Ledang



Kisah bermula dengan Sultan Melaka kehilangan permaisurinya yang sudah mangkat. Kesedihan baginda telah menarik perhatian pembesar yang menanyakan baginda jika ingin berkahwin dengan puteri yang lain. Puteri Gunung Ledang merupakan pilihan baginda dan Laksamana serta Sang Setia telah ditugaskan untuk meminang puteri itu. Selain itu Tun Mamat yang merupakan penghulu orang Inderagiri turut mengikut rombongan itu.
Setelah separuh perjalanan, mereka telah mengalami tiupan angin yang sungguh kuat. Keadaan ini telah menyebabkan Tun Mamat mencadangkan agar Laksamana dan Sang Setia tunggu di situ sahaja sementara dia dan beberapa orang Inderagiri meneruskan perjalanan mereka. Tun Mamat meneruskan perjalanan sehingga menemui sebuah taman yang begitu ganjil kerana tumbuh-tumbuhan di situ boleh bercakap-cakap. Mereka seolah-olah menyindir sultan dan rombongan peminangan itu kerana yakin akan dapat berkahwin dengan puteri gunung Ledang.
Di hujung taman itu terdapat sebuah balai yang aneh juga kerana tiangnya diperbuat daripada tulang dan atapnya daripada rambut. Ada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya Dang Raya Rani iaitu pengetua gunung itu. Tun Mamat telah menerangkan tujuan mereka dan Dang Raya Rani hilang setelah mendengarnya. Selang beberapa ketika, muncul seorang lagi wanita tetapi kali ini wanita itu tua dan bongkok. Menurutnya tuan puteri bersetuju untuk berkahwin dengan Sultan jika baginda memenuhi semua syarat puteri seperti membina jambatan emas dan perak, hati kuman dan hati nyamuk sebanyak tujuh dulang, air mata dan air pinang muda setempayan, darah raja dan puteranya semangkuk.
Sultan Melaka yang mendengar semua syarat puteri itu telah membatalkan rancangan baginda kerana tidak sanggup mengambil darah puteranya.

Perkara Penting dalam cerita ini ialah:

Sebab Sultan Ingin Mengahwini Puteri Gunung Ledang
Wakil Peminangan Sultan
Halangan-Halangan Yang Berlaku
Peristiwa-Peristiwa Ganjil Yang Berlaku
Syarat-Syarat Peminangan Puteri
Sebab Puteri Mengenakan Syarat
Sebab Sultan Melaka Membatalkan Hasratnya Berkahwin



Pastikan anda semua memahaminya ok...