Perlu latihan?

Perlu latihan?

Tuesday, May 29, 2007

Sura Pandaki...siapa itu?


Kisah bermula dengan Sura Pandaki menyuruh anaknya Darsa Singa supaya pergi bertapa. Laksanama yang sedang berada di dalam hutan telah secara tidak sengaja memenggal kepada Darsa Singa. Sura Pandaki yang marah telah menyamarkan dirinya menjadi wanita cantik dan menggoda Seri Rama yang tidak termakan goda kerana dia sudah berkahwin dengan Sita Dewi. Lantas Seri Rama menyuruh Sura Pandaki pergi ke arah di sebalik bukit jika dia benar-benar ingin bersuami kerana Laksamana berada di situ.

Apabila Sura Pandaki sampai, Laksamana sedang bertapa. Sura Pandaki cuba menganggu Laksamana tetapi gagal sehinggalah dia menukar rupanya menjadi raksaksa yang menangkap Laksamana. Apabila dirinya ditangkap, Laksamana terus mengeluarkan pedangnya dan merompongkan hidung Sura Pandaki.

Sura Pandaki balik ke rumahnya dengan segera dan enggan bertemu dengan Maharaja Rawana kerana hidungnya sudah romping. Maharaja Rawana datang sendiri dan berasa marah melihat keadaan adiknya yang seperti itu dan ingin membalas dendam. Sura Pandaki menerangkan Laksamana telah membunuh anaknya dan mencederakan dirinya kerana Sura Pandaki enggan mengahwininya.

Maharaja Rawana telah membawa Teki dan Martanja pergi ke dalam hutan untuk bertemu dengan Seri Rama. Teki dan Martanja telah menukar rupa menjadi kijang emas dan perak untuk menarik perhatian Sita Dewi. Seri Rama pergi menangkap kijang-kijang itu setelah diminta oleh isterinya. Sebelum pergi Seri Rama telah meminta Laksamana menjaga keselamatan isterinya. Laksamana telah membuat satu garisan yang mengelilingi rumah Sita Dewi untuk menghalang kuasa jahat memasukinya.

Maharaja Rawana telah meniru suaranya Seri Rama seolah-olah Seri Rama meminta tolong. Sita Dewi telah mengarahkan Laksamana pergi membantu suaminya. Apabila Laksamana pergi, Maharaja Rawana telah menukar rupanya menjadi Brahman. Sita Dewi telah memberi bunga kepada Maharaja Rawana yang terus menarik Sita Dewi keluar dari garisan itu dan membawanya lari.

Di pertengahan jalan, Jentayu Kasubarasa telah ternampak mereka dan menghalang Maharaja Rawana tetapi telah dibunuh oleh maharaja itu dalam satu pertarungan. Sita Dewi pula telah memotong pakaiannya sedikit demi sedikit untuk memudahkan suaminya dan Laksamana menjejakinya.

Seri Rama yang berasa marah kerana gagal menangkap kijang-kijang itu telah memanah hingga mati kijang-kijang itu. Dia berasa terkejut apabila menemui Laksamana dan mereka terus balik ke rumah. Mereka berdua sedar bahawa diri mereka sudah tertipu. Apabila mendapati isterinya sudah hilang, Seri Rama pengsan beberapa hari.
Cuba fahamkan perkara berikut:
Apakah kelebihan yang ada pada Maharaja Rawana?
Mengapakah Seri Rama menangis dan pengsan apabila mengetahui isterinya hilang?
Apakah pengajaran-pengajaran yang ada dalam cerita ini?
Perkara-perkara ganjil yang berlaku dalam cerita ini?

Monday, May 21, 2007

Pentingkah Internet dalam kehidupan kita...cuba renungkan


Internet mampu menyebarkan maklumat dengan meluas dan murah. Namun, menyebar luaskan maklumat melalui internet boleh menjadi ancaman kepada adat, norma, dan nilai masyarakat sesebuah negara.

Ulaskan pernyataan di atas.

Internet merupakan satu penemuan teknologi yang mula mendapat tempat di kalangan manusia kini. Malah penggunaan internet sudah dianggap sebagai satu perkara lumrah kehidupan. Mereka yang tidak tahu menggunakan internet dianggap sudah ketinggalan dalam zaman yang penuh cabaran ini. Penggunaan internet telah menyebabkan penyebaran maklumat menjadi lebih meluas dan murah sehingga memberi pelbagai kesan kepada kehidupan manusia.


Penyebaran maklumat secara meluas dan murah telah memberi satu identiti kepada internet iaitu sebagai penyebar berita palsu atau khabar angin. Penggunaan internet dalam soal ini amat ketara terutama oleh golongan yang mahu melihat kemusnahan sesebuah negara. Penyebaran khabar angin amat berkesan melalui internet kerana penggunaannya yang meluas dan mudah terutama di kalangan remaja. Internet juga tidak mempunyai sistem penapisan yang ketara atau berkesan seperti media massa yang lain.

Masyarakat juga sudah taksub dengan penggunaan internet dengan tidak lagi mengamalkan aktiviti kunjung mengunjungi satu sama lain terutama antara jiran atau sahabat. Hubungan “siber” (cyber) lebih meluas sekarang terutama dengan adanya program dalam internet yang memudahkan seseorang itu berbual dengan orang lain tanpa perlu bersemuka dengannya. Interaksi antara jiran bukan sahaja terhapus malah hubungan ini boleh menyebabkan berlakunya penipuan dan perkara yang kurang baik kerana ketiadaan pengenalan diri yang jelas.

Malah yang mengejutkan sekarang ialah sudah wujud budaya mengirim kad melalui internet dan bukan melalui kad yang dipenuhi dengan tulisan tangan seseorang. Budaya menulis dan menghantar kad akan semakin hilang ditelan zaman dan diambil oleh kad elektronik yang lebih canggih dan mengikut peredaran masa. Kemungkinan hilangnya budaya menghantar kad ketika menyambut hari lembaran tidak dapat dinafikan lagi.

Internet merupakan tempat tumpuan manusia mendapatkan bahan yang berunsur lucah. Penggunaan internet dalam aspek ini amat memalukan dan memang bertentangan dengan budaya manusia sejagat. Cuma yang menyedihkan ialah semakin ramai golongan remaja malah kanak-kanak yang melihat bahan lucah ini atau terlibat sama dalam penyebarannya. Penggunaan internet bukan sahaja setakat menyebarkan bahan lucah tetapi penggunaan imej digital internet turut meningkatkan gejala ini dengan menggunakan muka orang lain dan badan orang yang lain pula.

Kerajaan mengawal pembacaan beberapa buah buku dan majalah serta berita di negara ini demi menjaga keamanan negara. Namun dengan adanya internet semua buku, bahan atau berita yang diterbitkan tidak lagi mampu dikawal oleh kerajaan kerana internet tidak mempunyai sempadan dan sukar untuk dikawal. Keadaan ini menyebabkan masyarakat mudah disogok dengan buku dan berita yang tidak tepat atau kurang sesuai dengan peringkat umur mereka sehingga boleh menimbulkan satu keadaan yang mengancam keselamatan negara.

Berkaitan dengan penerbitan buku di atas, internet secara tidak langsung turut melanggar undang-undang harta intelek iaitu penulis buku atau syarikat penerbit buku. Penerbitan buku dalam internet biasanya dibuat tanpa kawalan dan ini boleh menyebabkan kerugian terutama kepada penulis dan penerbit buku tersebut. Keadaan ini jika tidak dikawal akan menyebabkan tiada lagi penulis atau penerbit yang mahu menerbitkan buku mereka untuk tatapan pembaca biasa.


Bukan sahaja buku dan berita yang tidak sihat boleh ditemui dalam internet tetapi penyiaran iklan yang tidak sesuai turut ada di dalam sistem canggih itu. Penyebaran iklan yang tidak sihat atau tidak dikawal oleh pihak berkuasa boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat. Bagaimana perkara atau iklan ini boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat? Kita semua sedia maklum bahawa masyarakat terutama remaja suka meniru sesuatu terutama yang mereka nampak atau dengar. Jadi di sinilah peranan iklan yang tidak sesuai di internet berlaku.

Masalah penggunaan internet yang tidak sihat ini perlu dikawal oleh kerajaan dengan bersungguh-sungguh. Keengganan kerajaan bertindak tegas dalam soal ini boleh membawa kesan buruk kepada negara dalam jangka masa panjang. Masyarakat pula perlu lebih pandai menapis dan memilih bahan dalam internet agar mereka tidak terpedaya dengan golongan tertentu yang cuba menghancurkan keamanan negara kita.

Friday, May 18, 2007

Budaya tidak penting?




Negara kita mempunyai pelbagai kaum yang mengamalkan budaya atau adat resam mereka yang tersendiri. Budaya atau adat resam ini telah menjadi satu identiti kepada kaum tersebut.

Pada pendapat anda, apakah kepentingan budaya atau adat resam ini kepada masyarakat dan negara kita.

Salah satu kelebihan negara kita ialah masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita mempunyai kaum Melayu, Cina, India, dan berdozen-dozen kaum minoriti yang lain terutama di Sabah serta Sarawak. Situasi ini menyebabkan negara kita mempunyai pelbagai adat atau budaya yang menarik untuk diperhatikan. Malah, adat atau budaya yang unik ini mempunyai banyak kepentingan jika dihargai dengan sewajarnya.

Sebenarnya, budaya yang unik ini memang wajar dihargai kerana budaya inilah yang menonjolkan sesuatu kaum itu. Tanpa budaya ini sesuatu kaum itu akan kehilangan identitinya buat selama-lama. Budaya yang diamalkan itu seperti memakai pakaian tradisional, makan menggunakan tangan, pergi ke kubur ketika hari raya dan sebagainya turut menimbulkan rasa bangga kepada pengamal budaya kaum itu. Individu yang terbabit akan berasa mereka telah berjaya mengekalkan budaya turun-temurun nenek moyang mereka selama ini.

Selain itu, tindakan individu tertentu menghargai budaya ini menjadi satu cara yang paling mudah untuk mempamerkan rasa mengormati generasi tua daripada generasi muda. Budaya memakai pakaian tradisional menjadi satu kaedah yang mudah untuk diamalkan oleh remaja dalam usaha mereka mengekalkan budaya tradisional ini. Remaja bukan sahaja mamu membuktikan rasa hormat mereka tetapi turut menerima penghargaan generasi tua lantaran sanggup mengekalkan budaya.

Salah satu kepentingan mengekalkan budaya ialah budaya mempunyai nilai-nilai murni dan sikap menghormati. Kedua-dua sikap ini sudah hampir terkikis daripada diri remaja negara ini. Remaja sudah mula memanggil ibu bapa mereka dengan nada yang kasar, lari dari rumah, dan suka memarahi orang tua. Jadi, pengekalan dan pengamalan budaya ini sudah pasti akan menonjolkan rasa hormat dan sikap atau jati diri remaja yang murni. Remaja akan menjadi individu yang terbilang.

Malah, sikap menghargai budaya memastikan sesuatu budaya kaum itu tidak akan luput ditelan zaman. Lihat sahaja budaya bekerjasama menjalankan kenduri sudah mula hilang sedikit demi sedikit lantaran masyarakat kita lebih suka menggunakan perkhidmatan katering. Atas alasan mudah, kita sudah melupakan budaya bekerjasama ketika mengadakan kenduri yang mempunyai banyak impak positif tetapi penat itu. Usaha mengekalkan budaya kaum sudah pasti akan mengembalikan nostalgia majlis kenduri yang dijalankan secara meriah.

Tambahan pula, pengamalan budaya ini memastikan peraturan dan saling bergantung anggota masyarakat diamalkan. Untuk mencapai perpaduan, semua kaum harus mengekalkan budayanya kerana melalui budayalah kita bersatu. Sikap hormat antara satu sama lain menyebabkan kita tidak akan cuba menyakiti kaum lain atas perkara-perkara yang remeh. Sebaliknya, penghargaan terhadap budaya menguatkan semangat perpaduan kita.

Kesimpulannya, budaya atau adat sesuatu kaum itu merupakan satu khazanah yang arus dipertahankan oleh rakyat negara ini. Usahlah kita terlalu memandang ke arah kemodenan sehingga menganggap budaya sendiri sudah lapuk atau tidak sesuai lagi. Kita harus melihat budaya sebagai satu alat yang mampu membentuk kita ke arah kemodenan yang lebih baik lagi iaitu kemodenan rohaniah dan kebendaan. Mungkin selepas menguasai budaya barulah kita boleh menganggap diri kita sudah mencapai kemodenan hidup.

Tuesday, May 15, 2007

Kemelut yang dihadapi oleh badan kebajikan di negara ini



Badan kebajikan atau sukarela merupakan satu usaha murni yang dijalankan oleh segelintir masyarakat. Mereka sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Cuma badan kebajikan ini masih mengalami pelbagai masalah yang membantutkan usaha kebajikan mereka.

Jelaskan masalah-masalah yang dihadapi oleh badan kebajikan.



Badan kebajikan atau sukarela merupakan satu badan yang cuba membantu masyarakat yang memerlukan bantuan. Negara kita masih mempunyai banyak pihak yang memerlukan pertolongan seperti golongan cacat, ibu tunggal, anak yatim, orang tua, dan golongan daif. Kewujudan badan kebajikan seolah-olah memberi sedikit cahaya kepada golongan terpinggir ini untuk meneruskan kehidupan mereka yang sukar itu. Namun, badan kebajikan sendiri mempunyai pelbagai masalah yang mampu membantutkan usaha murni mereka itu.

Masalah yang paling serius mereka hadapi ialah masyarakat negara ini tidak suka membabitkan diri mereka dalam sebarang aktiviti kebajikan. Rakyat negara ini lebih suka melihat atau menganggap tugas itu sudah dilakukan oleh orang lain. Mereka tidak mahu terlibat turut dipengaruhi oleh faktor masa dan kewangan yang tidak mampu diberikan oleh badan kebajikan. Akibatnya, aktiviti badan kebajikan ini dijalankan oleh segelintir masyarakat yang sudah berusia dan kekurangan tangan untuk menjalankan aktiviti mereka.

Ketiadaan sokongan masyarakat untuk melibatkan diri ini boleh dikaitkan dengan imej badan kebajikan yang dipandang rendah. Ada pihak menganggap badan kebajikan hanya untuk mereka yang tidak mempunyai impian besar atau tanggungan keluarga. Malah, ada badan kebajikan yang dianggap oleh masyarakat sebagai mengambil kesempatan dengan memperoleh wang tetapi tidak menyalurkannya kepada mereka yang memerlukan. Jadi, badan kebajikan dianggap kerjaya yang tidak berstatus tinggi.

Malah, badan kebajikan agar sukar untuk memperoleh sumber kewangan pada masa kini. Masalah ini timbul ekoran berlakunya pelbagai dakwaan seperti badan kebajikan menggunakan wang itu untuk kepentingan pekerjanya dan tidak digunakan untuk membantu masyarakat yang memerlukan. Memang kes seperti ini pernah berlaku tetapi untuk menuding jari ke arah kepada semua badan kebajikan merupakan satu langkah yang kurang bijak. Masyarakat seharusnya memberi peluang supaya badan kebajikan dapat menjalankan tugas mereka.

Tambahan pula, badan kebajikan terpaksa mematuhi pelbagai saluran dan kebenaran sebelum mampu menjalankan aktiviti mereka. Lesen badan kebajikan harus diperbaharui dan aktiviti mereka seperti derma perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa. Memang peraturan ini diwujudkan untuk mengawal penyelewengan berlaku tetapi pihak berkuasa harus memudahkan urusan badan kebajikan mereka. Malah, pihak berkuasa seharunya menyediakan bangunan khas untuk badan kebajikan menjalankan aktiviti mereka tanp perlu membayar apa-apa. Namun, semua ini tidak diperoleh oleh badan kebajikan.

Kesimpulannya, badan kebajikan di negara ini memang dalam situasi yang bahaya. Pertubuhan ini tidak lagi mempunyai apa-apa selain meminta belas kasihan masyarakat untuk turut membantu. Masyarakat harus menyalurkan bantuan berupa kewangan atau tenaga untuk memastikan usaha murni mereka ini akan berterusan kerana tanpa badan kebajikan nasib golongan terpinggir ini akan menjadi lebih menyayatkan.

Friday, May 11, 2007

Pencemaran alam terus berlaku? Apakah impaknya...


Pencemaran alam telah menjadi agenda utama Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu. Situasi ini membuktikan betapa kroniknya kemelut ini.

Jelaskan kesan-kesan isu ini dan langkah menanganinya.

Pencemaran alam memang telah menjadi satu ancaman utama dalam pembangunan manusia sejagat. Tindakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengakui berlakunya perubahan cuaca dunia akibat pencemaran yang dilakukan oleh manusia telah membuktikan masalah ini semakin kronik. Pencemaran alam memang disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri sehingga menyebabkan banyak impak negatif yang timbul.Agaknya manusia tidak serik melihat kemusnahan yang mereka lakukan selama ini?
Bencana alam semakin menjadi-jadi terutama di Kuala Lumpur. Kawasan tanah runtuh di Ampang dan Puchong suatu ketika dahulu begitu menakutkan masyarakat di sini. Banjir kilat yang pasti berlaku sebaik sahaja hujan turun menyebabkan masyarakat berjaga-jaga setiap kali musim hujan menjelang. Keadaan ini menyebabkan kehidupan masyarakat dalam risiko dan menimbulkan rasa takut dalam perasaan mereka. Sekali hujan,sekali banjir, sekali Kuala Lumpur berubah.
Tambahan pula, kejadian tanah runtuh dan banjir serta jerebu membawa keadaan kesihatan masyarakat yang kurang baik.Kejadian demam, batuk dan wabak penyakit yang merebak menyebabkan kos rawatan perubatan masyarakat kita terus meningkat. Keadaan ini sudah pasti membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa memikirkan keseinambungan hidup selain mendapatkan rawatan penyakit mereka. Jadi,pencemaran alam memang memberi impak yang ketara dalam kehidupan kita.
Lantaran itu, masyarakat kita terutama generasi muda yang dilahirkan ialah generasi yang sudah terdedah dengan pencemaran alam.Generasi muda kita ialah generasi yang sudah ‘sakit’. Jadi, tidaklah kita terkejut apabila kita sering mendapat khabar tentang golongan belia yang tidak mampu untuk mengharungi cabaran alam yang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi. Generasi muda mudah berasa penat dan tidak mampu menyelesaikan masalah fizikal yang mereka tempuhi.Mungkin juga generasi muda kita kekurangan kemahiran mendengar atau mempunyai penyakit lelah sejak kecil.
Imej negara sudah pasti akan terjejas terutama pada mata masyarakat antarabangsa. Pada mereka sikap masyarakat negara ini yang tidak peka yang menyebabkan alam kita tercemar begitu teruk. Kita dipandang sebagai masyarakat materialistik kerana terlalu ghairah memusnahkan alam semata-mata untuk mengaut keuntungan kebendaan. Kehadiran pelancong turut berkurangan bukan sahaja imej negara tetapi kurangnya kawasan untuk dilawati akibat pencemaran alam ini.
Mungkin langkah yang terpenting dalam menangani isu ini ialah kerajaan menguatkuasakan akta yang lebih tegas dan berat hukumannya. Kerajaan hendaklah berani mengambil tindakan bersama-sama menghukum pesalah pencemaran alam ini tanpa rasa segan silu. Kerajaan perlulah mempamerkan sikap yang telus dalam memastikan alam kita terus terbela. Kerajaan merupakan benteng pertama negara dalam menentang pencemaran alam.
Kesimpulannya, semua pihak harus menjadikan alam sebagai fokus perjuangan mereka. Alam bukanlah hak kita tetapi alam warisan yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang. Jadi, alam bukan satu anugerah tetapi satu tanggungjawab yang memerlukan pengorbanan masyarakat untuk memastikan alam terus menerus diwarisi oleh manusia sejagat. Mungkin kali ini kita akan berjaya menangani kemelut yang semakin mencengkam ini.

Sunday, May 06, 2007

Untuk tatapan pelajar-pelajar saya yang menghadiri seminar ...moga anda berjaya...
















Khazanah Alam kita


KHAZANAH BUMI/HUTAN


Usaha-usaha mengekalkan
· Mengawal pembangunan di kawasan ini
· Mengetatkan undang-undang yang sedia ada dan menggubal yang baru
· Menambah anggota ranjer hutan untuk mengawasi hutan negara
· Menjadikan kawasan ini Taman Negara
· Penggunaan teknologi tinggi bagi mengurangkan kehilangan kawasan khazanah ini
· Mengadakan kempen kesedaran terhadap masyarakat mengenai kepentingan khazanah ini
· Menubuhkan institut penyelidikan perhutanan seperti FRIM

Sumbangan kepada negara
· Menambah pendapatan negara dan mengembangkan ekonomi negara
· Memberi atau membuka lebih banyak peluang pekerjaan
· Memastikan generasi akan datang mampu mengenali khazanah negara dan menghargainya

Permainan tradisional penting


PERMAINAN TRADISIONAL

Fungsi
· Mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat
· Untuk berhibur dan bergembira
· Mencungkil kemahiran dan meningkatkan minda
· Meninggikan budaya atau permainan tradisi
Usaha bagi menghidup dan mengekalkan
· Menjadikan permainan ini satu pertandingan peringkat nasional
· Berusaha menanam minat di kalangan golongan muda
· Menonjolkan permainan ini kepada negara luar atau pelancong asing

Fakta Sukan...

SUKAN

Faedah-faedah bersukan
· Menyihatkan badan dan mengurangkan risiko penyakit
· Meningkatkan lagi keyakinan diri dan keupayaan melakukan sesuatu
· Mengelakkan pembabitan dalam aktiviti yang kurang sihat seperti dadah dan lepak
· Dapat bertemu dan berinteraksi dengan pelbagai lapisan


Usaha-usaha meningkatkan mutu sukan negara
· Melantik jurulatih asing untuk meningkatkan kemampuan ahli sukan negara
· Mendirikan pelbagai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa
· Menawarkan diri
menjadi tuan rumah kejohanan sukan bertaraf dunia
· Memberi pelbagai insentif kepada ahli sukan yang berjaya
· Mengadakan pelbagai program sukan di peringkat bawah (muda)

Umum
· Kejohanan Piala Thomas dan Bola Sepak Piala Dunia dan Eropah 2000

Saturday, May 05, 2007

Tiada kerja, satu masalah


Isu pengangguran telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama golongan siswazah. Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja melibatkan siswazah tetapi golongan lain juga.


Jadi, apakah punca-punca wujudnya pengangguran dan apakah cara-cara mengatasinya.



Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke negara ini. Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama golongan siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap menjadi satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan umum negara diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan. Jadi, apakah punca-punca yang medorong isu ini berlaku


Sudah pasti punca utama berkaitan dengan keadaan ekonomi negara yang merudum. Situasi ini menyebabkan banyak syarikat atu kilang terpaksa gulung tikar dan membuang pekerjanya. Bukan sahaja mereka dibuang kerja tetapi mereka juga sukar untuk memperoleh kerja dalam tempoh yang terdekat akibat tiadanya aktiviti ekonomi di negara. Malah ekonomi dunia bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi negara tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih seperti peristiwa kejatuhan ekonomi pada akhir dekad 90-an.


Selain itu, penganggurn turut disebabkan oleh sikap belia yang tidak mempunyai kemahiran. Belia kita hanya didedahkan dengan konsep teori baik ketika di sekolah mahupun ketika di universiti. Akibatnya, belia kita kekurangn kemahiran berfikir, menganalisa sesuatu, berbicara dalam pelbagai bahasa, dan mempunyai kemahiran berinteraksi dengan masyarakat. Biasanya, majikan akan memilih pekerja yang mereka beranggapan mempunyai keunikan yang tertentu terutama penguasaan bahasa asing dan pengetahuan komputer.


Mungkin juga faktor malas menjadi pendorong wujudnya masalah ini. Sikap belia yang hidup ketika era pembangunan pesat menyebabkan belia mengambil konsep tunggu dan lihat. Mereka hanya bertindak apabila keadaan mendesak atau sudah terlewat. Mereka menganggap pertumbuhan ekonomi negara akan berterusan maju tanpa sebarang masalah. Mereka juga sudah terlalu lama menerima bantuan kerajaan seperti pemberian biasiswa dan menganggap kerajaan akan memberi mereka pekerjaan selepas tamat belajar.


Dalam usaha mengatasi ekonomi negara yang merudum, kerajaan telah menghantar rombongan perdagangan ke luar negara untuk menarik lebih banyak modal asing ke Malaysia. Rombongan ini cuba mengiklankan kelebihan negara jika pemodal asing itu sanggup menanam modal mereka di negara ini. Malah, kerajaan telah cuba menjalankan beberapa projek mega untuk memastikan ekonomi negara berjalan rancak semula. Projek Pembangunan Johor Selatan dan Kereta Api Laju KL-Singpura dijangka mampu meninggikan petrumbuhan ekonomi negara selain mengurangkan pelbagai cukai.


Selain itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan golongan belia seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan penubuhan institut kemahiran dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini mampu menyediakan atu sumber manusia yang mempunyai kemahiran tinggi untuk bersaing dalam era globalisasi. Kewujudan buruh yang berkemahiran tinggi ini turut menjadikan negara sasaran utama pelabur asing kelak.


Kerajaan turut memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya kepada golongan belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk mendapatkan pinjaman peribadi untuk membantu belia memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan. Langkah drastik ini memastikan lebih banyak industri kecil dan sederhana mampu diwujudkan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam tempoh terdekat ini. Belia yang tidak bekerja akan mengambil peluang ini untuk mencuba nasib mereka sebagai ahli perniagaan.


Sebenarnya, masalah pengangguran ini bukanlah satu isu baru. Cuma masyarakat harus berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran diri mereka. Dunia pekerjaan sering berubah mengikut teknologi dan mereka yang sering meningkatkan kemahiran sahaja mampu duduk di tempat yang sama sepanjang hidup mereka. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.






Wednesday, May 02, 2007

Iklan sangat penting dalam hidup kita?



Iklan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden. Kerap kali kita mendengar komen mengenai pengaruh iklan dalam masyarakat kita.

Pada pandangan anda, apakah pengaruh-pengaruh positif dan negatif yang dibawa oleh iklan terhadap masyarakat.


Sememangnya iklan sudah menjadi sebahagian lumrah kehidupan manusia sejagat pada era globalisasi ini. Iklan jelas terpampang di mana-mana seperti akhbar, poster, papan iklan gergasi, dan radio. Situasi ini seolah-olah membuktikan betapa kuatnya pengaruh iklan dalam kehidupan kita. Jadi, iklan memang membawa pengaruh-pengaruh positif dan negatif terhadap kehidupan insan di dunia ini.

Pengaruh positif iklan ialah iklan menyebabkan pengguna mempunyai pilihan untuk membuat pembeliannya. Kewujudan iklan menyebabkan pengguna mengetahui betapa banyaknya produk yang sama tetapi berlainan jenama dihasilkan pada zaman ini. Pengguna akan menggunakan semua maklumat yang ada di dalam iklan untuk membuat pilihan terbaik mereka. Iklan memastikan pengguna membeli produk yang terbaik mengikut keperluan mereka.

Selain itu, iklan menyebabkan wujudnya persaingan yang sihat antara pengeluar sesuatu produk itu. Kalau kita kaji, pengeluar sesuatu produk itu akan cuba menghasilkan iklan yang terbaik mengikut kemampuan mereka untuk menarik minat pembeli. Keadaan ini menyebabkan semua pihak cuba menonjolkan kelebihan produk mereka berbanding produk pesaing. Jelaslah, iklan menyebabkan pengeluar memastikan produk mereka menepati mutu seperti yang tersiar di dalam iklan mereka itu.

Namun begitu, iklan turut memiliki wajah negatifnya. Iklan sering mempergunakan wanita terutama wanita seksi untuk melariskan jualan produk mereka. Malah, ada produk yang tidak mempunyai kaitan dengan wanita tetapi menggunakan wajah wanita seksi untuk iklan tersebut. Penggunaan model lelaki yang tampan dan sasa turut diekploitasikan oleh iklan. Keadaan ini seolah-olah memberi makna palsu seperti penggunaan produk ini akan menghasilkan wajah sebegitu atau penggunaan produk ini menyebabkan wanita sebegini akan tertarik kepada seseorang. Bayangkan pengaruhnya kepada remaja kita?

Tambahan pula, kewujudan iklan menyebabkan harga barangan akan meningkat. Kos untuk menghasilkan sesuatu iklan amat tinggi kerana penggunaan model, teknologi dan krew penerbitan yang berpengalaman. Malah, iklan yang disiarkan di media massa terpaksa membayar kos masa penyiaran yang terlalu mahal. Keadaan ini menyebabkan pengeluar akan meninggikan harga produk mereka untuk memastikan iklan dapat dihasilkan.

Iklan turut menghasilkan satu kumpulan pengguna yang hanya mementingkan jenama. Pegguna jenis ini sudah taksub dengan iklan jenama tertentu dan hanya membeli atau menggunakan produk jenama tersebut tanpa memikirkan baik buruknya kepada diri mereka. Iklan telah menghasilkan satu budaya pengguna yang mementingkan status diri mereka pada pandangan masyarakat. Pengguna mahu diri mereka dipandang tinggi dan dihormati apabila menggunakan sesuatu jenama itu.

Malahan, iklan turut menyebabkan pengguna memberi barangan yang tidak mereka perlukan. Pembelian mereka semata-mata atas dasar melihat iklan yang menarik. Penayangan iklan telah menyebabkan mereka tertarik dan membeli barangan itu walaupun barangan itu tidak mereka perlukan untuk satu tempoh yang lama. Sikap ini menjurus ke arah pembaziran dan pembelian yang boleh menyebabkan pengguna berhutang atau mengalami masalah kewangan.

Kesimpulannya, iklan mempunyai dua peranan. Satu untuk memberitahu dan satu lagi untuk memusnahkan. Mungkin pengguna perlu bersikap bijak dengan membuat penilaian rasional selepas melihat sesuatu iklan. Pengguna tidak harus terburu-buru membeli selepas melihat iklan. Atau mungkin iklan harus diharamkan.