Sunday, April 29, 2007

Kepentingan lebuh raya negara kita


Negara kita dianggap mempunyai rangkaian lebuh raya yang termoden di Asia Tenggara. Kemudahan ini telah mampu memberi satu peluang ekonomi kepada rakyat negara ini.

Jelaskan peranan yang mampu dimainkan oleh lebuh raya di negara ini.

Negara kita dianggap antara negara termoden dalam pembinaan lebuh raya terutama di rantau Asia Tenggara. Negara kita memang memiliki rangkaian lebuh raya yang mengagumkan masyarakat luar. Antara lebuh raya yang terkenal di negara kita ialah Lebuh raya Utara-Selatan, Lebuh raya Timur-Barat, dan Lebuh raya Sprint. Sememangnya lebuh raya mempunyai pelbagai peranan dalam sesebuah negara itu.

Pembinaan lebuh raya memastikan perjalanan antara bandar ke bandar atau negeri ke negeri menjadi mudah. Keadaan lebuh raya yang menghubungkan semua kawasan ini menyebabkan semua tempat mampu dihubungi tanpa sebarang masalah. Keinginan seseorang untuk pergi dari satu tempat ke tempat yang lain mampu dilaksanakan tanpa sebarang masalah yang banyak. Tanpa lebuh raya tempoh yang lebih lama diperlukan dalam keadaan yang lebih memenatkan.

Lebuh raya mempunyai lebih daripada tiga lorong. Keadaan ini menyebabkan pemandu boleh memandu dengan lebih selamat kerana kadar kemalangan mampu dikurangkan. Kemalangan turut dapat diatasi kerana mempunyai kawasan yang luas apabila berlaku sebarang kecemasan. Pemanduan yang selesa memastikan kemalangan sifar kerana pengguna lebuh raya dalam keadaan cergas dan ceria.

Malah, pembinaan lebuh raya mampu menjana pertumbuhan ekonomi sesebuah kawasan. Lebih banyak industri atau perniagaan diwujudkan kerana pengguna boleh sampai ke kawasan terbabit tanpa sebarang masalah. Kawasan yang sukar dihubungi menjadi kawasan yang mudah dikunjungi tanpa masalah. Keadaan ini membawa kepada wujudnya kawasan-kawasan bandar baru di sepanjang lebuh raya. Pembinaan kawasan kilang di sepanjang lebuh raya sudah menjadi satu fenomena biasa.
Tambahan pula, pembinaan lebuh raya turut memberi peluang kerja kepada masyarakat. Pembinaannya memerlukan sumber manusia yang ramai dalam tempoh tertentu. Penyelenggaraannya turut memerlukan pekerja yang banyak dalam tempoh yang panjang pula. Semua ini menyebabkan lebuh raya memberi impak positif dalam bidang pekerjaan negara kita.

Tanpa kita sedari pembinaan lebuh raya memberikan imej moden terhadap negara. Masyarakat luar akan menilai pembangunan sesebuah negara itu melalui kemajuan infrastrukturnya seperti lebuh raya. Kemodenan dalam lebuh raya terjelma dalam sikap masyarakat dan pemimpin negara kita yang memang dahagakan pembangunan yang positif.

Jadi, pembinaan lebuh raya memang baik untuk pembangunan ekonomi negara terutama dalam era moden ini. Semua produk mampu digerakkan dalam tempoh yang pantas dan murah melalui lebuh raya. Rakyat negara ini turut menikmati pelbagai kemudahan yang tersedia ada di lebuh raya itu.

Friday, April 27, 2007

Peranan agensi kerajaan


Setiap negara mempunyai agensi kerajaan mereka yang tersendiri. Walaupun agensi kerajaan sering dikritik oleh masyarakat tetapai agensi ini masih berperanan dalam negara kita.

Pada pandangan anda, apakah peranan yang mampu dimainkan oleh agensi kerajaan di negara ini.


Sememangnya agensi kerajaan sering menjadi kritikan masyarakat terutama apabila perkhidmatan yang diberikan oleh pekerja kerajaan itu tidak memenuhi kehendak mereka. Namun untuk menyalahkan pekerja agensi awam sepenuhnya dalam memberikan perkhidmatan yang telus dan berkualiti bukanlah satu tindakan yang bijak. Agensi kerajaan memang mempunyai peranan yang banyak dan penting terutama dalam memastikan pembangunan negara berjalan mengikut jadual.

Peranan terpenting agensi kerajaan adalah untuk memastikan semua program kerajaan berjalan dengan lancar. Agensi kerajaan merupakan pelaku yang paling hampir dengan rakyat. Pemimpin negara akan mengagih-agihkan peranan tertentu kepada agensi kerajaan untuk dijelmakan dalam bentuk program kepada rakyat. Pegawai-pegawai agensi kerajaan akan merangka pelbagai program berdasarkan harapan pemimpin negara. Jadi, tanpa agensi kerajaan perancangan yang dilakukan oleh para pmimpin negara akan gagal.

Selain itu, agensi kerajaan berperanan untuk memberi penerangan dan bantuan teknikal kepada rakyat mengikut tugas mereka. Pekerja agensi kerajaan yang terlatih akan menyalurkan pengetahuan mereka kepada rakyat yang dapat merealisasikan impian negara itu. Maklumat yang diberikan oleh pekerja agensi kerajaan memastikan rakyat tidak melakukan kesilapan dalam menjalankan sesuatu aktiviti. Contohnya, pekerja MARDI akan membantu petani menanam tanaman padi yang baik berdasarkan teknik penanaman, benih bermutu dan penyemburan baja yang sesuai.

Secara amnya, agensi kerajaan membantu meningkatkan taraf kehidupan rakyat di negara ini. Semua program yang diatur oleh agensi kerajaan berhasrat untuk memastikan taraf hidup rakyat berubah dengan lebih baik. Kemas berperanan membantu penduduk kampung mempunyai pendidikan awal yang baik dan kemahiran tambahan seperti menjahit dan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan. Agensi kerajaan bertindak sebagai pemangkin dalam memajukan rakyat di negara ini.


Agensi kerajaan juga berperanan untuk menyebarkan manifesto kerajaan kepada rakyat. Semua dasar dan harapan pemimpin negara disalurkan kepada rakyat melalui agensi kerajaan. Keadaan ini memastikan rakyat memahami dan bersedia untuk bekerjasama menjayakan sesuatu dasar kerajaan itu. Tanpa bantuan rakyat usaha kerajaan akan menjadi sia-sia. Agensi kerajaan menjadi mata dan telinga pemimpin negara.

Kesimpulannya, agensi kerajaan mempunyai peranan yang cukup bermakna dalam pembangunan negara. Agensi kerajaan memerlukan semua tenaga yang ada untuk menjayakan rancangan pemimpin kita. Cuma rakyat harus memberikan sedikit sokongan untuk meringankan beban mereka dalam menjalankan tanggungjawab berat itu. Bersatu teguh bercerai roboh harus menjadi renungan kita semua dalam perkara ini.

Sektor Perumahan banyak kemelut?



Rumah dianggap penting dalam kehidupan seseorang. Menurut kajian pembelian rumah merupakan pembelian terpenting dalam hidup seseorang.

Jadi, pada pandangan anda apakah masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh sektor perumahan dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.

Setiap hari kita pasti dapat melihat iklan-iklan projek perumahan di dalam akhbar. Iklan-iklan ini begitu menarik dan mampu membuatkan setiap daripada kita ingin memiliki rumah tersebut. Gambar, reka bentuk rumah, dan suasana yang dipaparkan oleh pemaju perumahan dalam iklan itu memang mengagumkan sesiapa sahaja. Cuma, sektor perumahan kita mempunyai pelbagai masalah yang mampu mengugat kemajuannya.

Masalah pertama yang dihadapi oleh sektor perumahan negara ialah rumah kos murah terlalu sedikit bilangannya yang dibina setiap tahun. Situasi ini wujud kerana projek perumahan kos rendah tidak memberikan pulangan yang banyak berbanding dengan projek perumahan kos mewah. Jadi, pasaran perumahan negara banyak dipenuhi oleh rumah kos mewah. Pengguna tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membli rumah yang lebih mahal daripada kemampuan mereka. Rakyat terus menderita akibat sikap tamak segelintir pengusaha projek perumahan.

Bukan sahaja projek perumahan kos rendah kurang, ada projek perumahan yang tidak mampu disiapkan oleh pemaju pada masa yang ditetapkan. Keadaan ini menyebabkan pengguna terpaksa membayar kos pinjaman perumahan mereka dengan pihak bank dan dalam masa yang sama terpaksa menyewa lagi. Sikap acuh tak acuh pemaju dalam menyelesaikan tanggungjawab mereka memang mengecewakan masyarakat. Pemaju sering menyalahkan kegawatan ekonomi dan kekurangan sumber manusia sebagai penyebab kelewatan mereka tanpa mahu bertanggungjawab terhadap kesusahan yang dialami oleh pengguna.

Malah, mutu rumah yang dihasilkan jauh daripada memuaskan. Pemaju perumahan menyiapkan tugas mereka secepat mungkin dengan mengenepikan kualiti rumah yang dibina. Situasi ini wujud turut berkait rapat dengan sikap tamak mereka untuk mengaut keuntungan berlipat ganda dalam masa yang singkat. Jaminan untuk membaiki kerosakan pula terlalu singkat dan menyebabkan pengguna terpaksa membayar sendiri kerosakan yang berlaku walaupun baru berpindah ke rumah baru mereka.

Sikap bank dalam pemberian pinjaman perumahan turut dikesali oleh masyarakat. Pihak bank mengenakan pelbagai syarat yang ketat untuk seseorang memperoleh pinjaman perumahan berbanding pinjaman pembelian kereta. Ada pihak bank yang memberi pinjaman yang lebih baik kepada pembeli yang membeli rumah kos mewah daripada kos rendah terutama aspek bayaran bulanan yang rendah. Pihak bank sewajarnya memberi pinjaman kepada rakyat yang berhak mengikut tangga gaji mereka dan berkeluarga kerana rumah merupakan komponen penting dalam pembentukan keluarga bahagia berbanding kereta.



Jadi, sektor perumahan negara memang harus dirombak. Pelbagai pindaan terutama untuk menjaga kebajikan pengguna harus dilakukan seperti mudah menerima pinjaman, tempoh jaminan perumahan daripada kerosakan yang lebih panjang, dan perlindungan pampasan apabila rumah gagal disiapkan oleh pemaju.

Tuesday, April 24, 2007

Tahun Melawat Malaysia


Tahun 2007 telah diisytiharkan Tahun Melawat Malaysia. Pelbagai program telah dirangka untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Namun, masih banyak usaha harus dilakukan ke arah ini.

Jelaskan langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk menarik kehadiran pelancong ke negara kita.

Industri pelancongan memang membawa banyak impak positif kepada rakyat dan negara ini. Usaha kerajaan memperkenalkan Tahun Melawat Malaysia 2007 dianggap sebagai pencetus kehadiran pelancong ke negara ini pada tahun ini. Cuma, lngkah menjadikan 2007 sebagai tahun melawat negara ini harus dipanjangkan dengan mewujudkan lebih banyak program atau langkah sampingan yang bersesuaian untuk menarik pelancong datang.

Satu langkah yang paling mudah ialah kerajaan memberi diskaun dan insentif kepada pengusaha industri pelancongan. Pengusaha hotel, bas pelancongan, agensi pelancongan dan pusat-pusat kraf tangan boleh diberikan potongan cukai ke atas keuntungan yang mereka peroleh. Langkah ini membolehkan pengusaha industri ini memberikan harga yang lebih menarik kepada pelancong untuk melancong ke negara kita. Tindakan ini turut mampu memberi peratuan keuntungan yang lebih baik kepada pengusaha dan pelancong menerima pakej yang memuaskan.

Selain itu, kerajaan terutama di pusat-pusat tumpuan pelancong memberi perhatian lebih terhadap tahap kebersihan tandas dan tempat makan. Ada rungutan pelancong yang terpampang di dada akhbar mengenai tahap kebersihan tandas negara ini yang begitu menjijikkan mereka. Fenomena ini sudah pasti menjatuhkan imej negara dan pelancong itu tidak akan kembali lagi ke negara ini setelah mengalami trauma melihat keadaan tandas kita yang tidak memuaskan mereka. Pelancong bukan sahaja ingin menikmati keunikan tetapi suasana nyaman dan bersih sesebuah negara itu.

Tambahan pula, sistem pengangkutan negara perlu ditingkatkan kadar kecekapannya. Penyedia pengangkutan awam seperti bas, sistem transit aliran ringan (LRT), dan teksi harus diberi kursus untuk memastikan mereka mengikut jadual yang sudah ditetapkan. Pelancong lebih suka jika mereka tidak menghadapi masalah untuk pergi ke satu destinasi dengan mudah dan sistematik. Malah, sikap pemandu teksi dan bas kita harus berubah iaitu lebih memberi perkhidmatan yang mesra dan berpengetahuan daripada cuba mengaut keuntungan jangka pendek dengan mengenakan tambang yang mahal. Suasana ini sudah pasti menarik minat pelancong untuk kembali semula ke negara kita.

Destinasi pelancong negara harus ditambah. Negara kita mempunyai pelbagai daya tarikan seperti hutan rimba, gunung-ganang, pantai dan laut yang menarik serta pembangunan yang mengagumkan. Kementerian Pelancongan harus menjadikan semua daya tarikan ini satu kemestian untuk pelancong mengalaminya. Pakej yang tersendiri untuk setiap kawasan harus dicipta dan mampu memberi banyak pilihan kepada pelancong. Jadi, pelancong yang datang boleh membuat pilihan untuk diri mereka dan keluarga mereka. Kita harus ingat semakin ramai pelancong yang mengunjungi negara ini, semakin baik kesannya terhadap ekonomi negara kita.

Kesimpulannya, sektor pelancong memang mudah untuk dibangunkan jika semua pihak menyedari kepentingannya. Negara kita yang memang kaya dengan pelbagai daya tarikan ini harus dipakejkan menjadi pusat pelancongan asia. Kita harus pandai menilai dan memahami keperluan pelancong asing jika mahu menerima kehadiran pelancong yang ramai ke negara ini.

Saturday, April 14, 2007

Dasar Penswastaan Negara?




Negara kita telah memperkenalkan Dasar Penswastaan. Ada pelbagai impak dasar ini kepada negara walaupun mendapat bantahan pada peringkat awal pelaksanaannya.

Terangkan kebaikan-kebaikan dasar ini.


Dasar penswastaan telah dimulakan dalam era pemerintahan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed pada pertengahan 80-an. Dalam dasar ini agensi kerajaan telah dijual kepada syarikat untuk diuruskan sebagai sebuah syarikat. Dasar ini walaupun telah menerima pelbagai kritikan pada peringkat awalnya telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa kerana kejayaannya dalam beberapa aspek terutama kewangan.

Kebaikan dasar ini yang ketara ialah kerajaan mampu mengurangkan perbelanjaannya dalam menguruskan negara. Peruntukan yang sepatutunya diberikan kepada agensi kerajaan yang sudah diswastakan itu boleh disalurkan untuk kegunaan projek pembangunan lain yang lebih penting. Keadaan ini memastikan bebanan kewangan negara tidak menjadi satu alasan untuk tidak menjalankan sesuatu projek pembangunan. Dasar ini turut memastikan semua projek pembangunan berjalan lancar.

Malah, tahap perkhidmatan agensi kerajaan yang sudah diswastakan itu akan meningkat dengan drastik. Peningkatan ini berkaitan dengan konsep keuntungan yang dipentingkan dalam pengurusan sesebuah syarikat. Agensi yang telah diswastakan itu akan memperoleh keuntungan jika prestasi pekerja dan perkhidmatan mereka ditingkatkan pada satu tahap yang jauh berbeza sebelum daripada dasar penswastaan dilaksanakan. Justeri itu, mutu perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat akan meningkat dan menguntungkan mereka.

Peningkatan tahap perkhidmatan ini secara tidak langsung telah menyebabkan wujudnya satu persaingan sihat antara pekerja dalam agensi yang baru diswastakan atau di dalam negara secara amnya. Persaingan ini akan menghasilkan satu budaya kerja yang luar biasa sehingga menyebabkan produktiviti sesebuah agensi yang sudah diswastakan itu bertambah dengan baik. Pekerja akan bersaing untuk memastikan mereka terus relevan di dalam agensi yang diswastakan tersebut.

Tambahan pula, persaingan yang sengit ini sudah pasti menyebabkan peluang pekerjaan bertambah kerana sudah pasti lebih banyak peluang ekonomi terbuka dalam dunia yang penuh persaingan. Pelbagai idea baru turut terhasil melalui persaingan ini yang memerlukan satu tahap kemahiran kerja yang tinggi. Aspek ini mendorong pelbagai jenis pekerjaan baru terhasil di negara ini.

Selain itu, dasar ini memberi satu suntikan baru kepada imej negara. Masyarakat luar akan melihat Malaysia sebuah negara yang cekap dan efektif terutama dalam menguruskan negara. Kemampuan negara terjelma melalui sistem pentadbiran yang sistematik, pengangkutan awam yang menyeluruh, kemudahan bertaraf antarabangsa, dan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan tinggi. Negara akan dianggap sebagai negara contoh dalam perbandingan pembangunannya.

Secara amnya, memang dasar ini membawa kebaikan yang tidak terhingga. Syarikat seperti TELEKOM, TNB, dan POS MALAYSIA merupakan agensi kerajaan yang telah diswastakan dan telah menunjukkan peningkatan dalam perkhidmatan mereka. Perubahan ini dijangka akan terus berlaku dalam tahun-tahun mendatang kerana sudah pasti mereka akan bersaing dengan syarikat-syarikat lain yang turut mahu mengaut keuntungan seperti mereka.

Wednesday, April 11, 2007

Kawasan rekreaksi penting kepada masyarakat


Kerajaan telah mewajibkan pemaju perumahan untuk mewujudkan kawasan rekreaksi di kawasan perumahan. Tindakan ini telah menerima sambutan baik masyarakat.

Huraikan kesan-kesan positif yang timbul daripada pengenalan peraturan ini.


Taman rekreasi merupakan satu kawasan lapang yang penting terutama di kawasan perumahan. Usaha kerajaan mewajibkan setiap projek perumahan mempunyai taman rekreasi merupakan satu langkah bijak kerajaan. Tindakan ini sepatutnya dilakukan sejak dahulu kerana kewujudan taman rekreasi memastikan pelbagai impak positif muncul.

Sudah pasti kebaikan yang ketara ialah taman ini menjadi tempat permainan kanak-kanak. Kita semua sedia maklum bahawa dalam dunia yang penuh cabaran ini, ibu bapa sibuk bekerja sehingga menyebabkan anak-anak bersendirian di rumah. Jadi, kewujudan taman rekreasi di kawasan perumahan menjadi satu medan untuk golongan kecil ini bergembira dan melepaskan perasaan mereka sebagai kanak-kanak. Hidup kanak-kanak terkongkong di rumah tetapi bebas di taman rekreasi.

Malah, kewujudan taman rekreasi ini menjadi tempat berkumpul dan mengeratkan hubungan antara jiran tetangga. Kebiasaannya ibu bapa akan menghantar anak-anak mereka bermain di taman ini dan sementara menunggu anak-anak bermain, ibu bapa akan berbual dengan jiran-jiran yang turut menunggu anak-anak mereka. Interaksi ini memastikan hubungan antara masyarakat lebih mesra dan terjalin rapat.

Malahan, taman rekreasi boleh dijadikan tempat untuk menjalankan sesuatu majlis yang bercorak kejiranan. Majlis seperti majlis perkahwinan, pesta kejiranan, dan rumah terbuka boleh dijalankan di kawasan taman rekreasi itu. Kawasannya yang luas dan selalunya di tengah-tengah kawasan perumahan memudahkan semua pihak datang dan terlibat dalam majlis itu. Dalam masa yang sama kos majlis mampu dikurangkan berbanding majlis yang diadakan di dewan serba guna atau dewan hotel.

Mungkin satu lagi kebaikan taman rekreasi ialah kawasan ini boleh menjadi tempat menghilangkan penat setelah bekerja. Suasananya yang tenang dengan kehijauan dan mungkin ada tasik di sekitarnya memberi satu perasaan hening yang diperlukan oleh manusia setelah penat bekerja di pejabat. Keadaan ini dapat mengurangkan tekanan di pejabat dan memastikan seseorang itu memperoleh tenaga untuk meneruskan kehidupannya.

Akhir sekali, kawasan rekreasi ini memastikan wujudnya kawasan hijau di sesebuah kawasan perumahan itu. Kawasan hijau ini turut membuktikan kesegaran dan suasana nyaman masih wujud di kawasan perumahan tersebut. Tambahan pula, kawasan perumahan akan lebih menarik kalau mempunyai taman rekreasi. Habitat serangga yang kecil turut terhasil dengan kewujudan taman ini.

Kesimpulannya, kawasan rekreasi bukanlah satu pilihan tetapi wajib dibina oleh pemaju perumahan. Kerajaan harus memantau perkara ini supaya pemaju perumahan tidak berdolak-dalih dalam pembinaannya. Kerajaan perlu bertegas dalam isu ini kerana sudah agak lama isu ini dibiarkan tanpa diberi perhatian oleh kerajaan. Malah, pemaju perumahan seharusnya menggunakan taman rekreasi sebagai unsur penting dalam mengiklankan projek perumahan mereka.

Monday, April 09, 2007

Hutan Negara Pupus


Hutan negara kita semakin pupus lantaran sikap sesetengah masyarakat yang menjalankan aktiviti pembalakan terutama secara haram. Pelbagai usaha telah dilakukan tetapi masih gagal.

Jelaskan langkah-langkah yang mampu diambil oleh kerajaan dalam menangani kemelut ini.


Sememangnya hutan negara sedang mengalami proses kemusnahan yang mahu hebat. Setiap hari akhbar akan menyiarkan kemusnahan hutan, hidupannya dan impak sampingannya seperti kejadian banjir serta tanah runtuh. Cuma, masyarakat masih belum menyedari dan mengambil pengajaran daripada berita-berita yang menyedihkan ini. Kerajaan pula memang mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan hutan negara terus wujud dalam tempoh 100 tahun akan datang dengan melakukan pelbagai langkah drastik.

Sebenarnya, tindakan yang paling mudah ialah kerajaan mewartakan semua kawasan hutan sebagai Taman Negara dan Hutan Simpan Kekal. Tindakan secara undang-undang ini memastikan kawasan hutan itu akan terus terpelihara tanpa ada usaha untuk menebangnya demi mengaut keuntungan jangka pendek. Peruntukan undang-undang turut memberi satu peringatan yang jelas bahawa kerajaan memang serius dalam usahanya untuk mengawal kemusnahan hutan.

Tindakan ini dipanjangkan terhadap pesalah yang memusnahkan hutan negara. Hukuman yang dikenakan haruslah lebih berat yang melibatkan hukuman penjara dan denda. Pesalah turut dimaklumkan kesalahannya di dalam media massa untuk memberi peringatan kepada masyarakat. Sikap tegas dan telus kerajaan dalam melaksanakan undang-undang memberi impak yang ketara dalam usaha menangani kemusnahan hutan.

Malah, kerajaan boleh mewajibkan semua pokok yang ditebang atas sebarang aktiviti ekonomi seperti projek perumahan, pembalakan, dan pembinaan empangan diganti secepat mungkin. Kerajaan boleh mengenakan syarat bahawa setiap pokok yang ditebang harus diganti dengan dua atau tiga batang pokok. Langkah ini akan menyebabkan semua ahli perniagaan berfikir dua kali sebelum bersetuju untuk menjalankan sebarang projek atau berhati-hati dalam tindakan mereka menebang pokok yang berada di dalam kawasan projek mereka.

Langkah ini boleh dilanjutkan dengan menjalankan kempen kesedaran terutama dalam kalangan remaja. Pihak kerajaan seharusnya menjalakan kempen di sekolah-sekolah dengan menerangkan peri pentingnya hutan dalam ekosistem kita terutama ketika dunia sedang mengalami perubahan cuaca ini. Remaja yang sudah memahaminya akan lebih bijak bertindak apabila mereka menjadi dewasa atau terlibat dalam projek pembangunan yang memerlukan satu kawasan hutan dimusnahkan. Lagipun, remajalah yang akan menjadi warisan hutan negara kita.

Selain itu, pasukan penguatkuasa terutama renjer hutan harus ditambah jumlahnya. Kawasan hutan yang terlalu luas agak sukar untuk dipantau oleh kaki tangan yang kecil bilangannya. Penggunaan teknologi seperti kapal terbang, satelit dan helikopter untuk tujuan pengawasan turut memudahkan kerja kerana kawasan hutan negara memang luas. Pengawasan yang cekap mampu memastikan kawasan tidak dicerobohi begitu mudah.

Kesimpulannya, masalah hutan negara memang serius dan semua pihak harus bertanggungjawab. Usah kita semua menuding jari tanpa mahu menerima kesilapan yang telah berlaku. Semua pihak harus duduk semeja dan mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut yang memang sukar diatasi ini. Tanpa kerjasama semua terutama masyarakat, hutan kita pasti akan lenyap.

Friday, April 06, 2007

Industri kraf tangan negara


Penduduk desa telah dinasihatkan supaya membuat barangan kraf tangan untuk dijual kepada masyarakat. Namun, masih ada pihak yang mempertikaikan usaha mereka ini.

Jelaskan sebab-sebab mereka berpendapat usaha penduduk desa ini sia-sia.

Penduduk desa sudah mula memberikan perhatian terhadap penghasilan kraf tangan terutama untuk dijual. Sikap positif mereka ini telah didorong oleh tindakan kerajaan yang giat memberi galakan supaya mereka menjalankan aktiviti kraf tangan ini untuk menambah pendapatan mereka. Cuma yang menyedihkan ialah masih ada suara-suara sumbang yang menganggap tindakan penduduk desa ini tidak akan berjaya. Jadi, apakah pencetus yang menyebabkan ada segelintir pihak yang memandang rendah usaha penduduk desa ini?

Anggapan yang paling mudah ialah golongan ini memandang rendah mutu kerja penduduk desa. Pada firasat mereka, kualiti yang diperlihatkan selama ini masih di takuk lama yakni tiada perubahan drastik seperti reka bentuk dan penggunaan warna produk. Mereka menganggap aktiviti sampingan penduduk desa yang memang tidak mengutamakan kualiti. Pada mata golongan ini, kualiti barangan luar negara sahaja yang lebih baik walaupun anggapan mereka itu jauh daripada kebenarannya.

Faktor yang kedua sudah pasti aspek pemasaran kraf tangan penduduk desa itu sendiri. Pihak yang memandang rendah aktiviti ini mengutarakan ketiadaan usaha-usaha konkrit untuk memasarkan hasil kraf tangan ini terutama di pasaran antarabangsa. Ketiadaan usaha ini atau lebih tepat lagi agensi khas untuk memasarkan kraf tangan telah membantutkan pasaran kraf tangan negara. Mereka mahu kerajaan menubuhkan sebuah agensi khas untuk tujuan pemasaran sahaja.

Selain itu, kekurangan pelancong asing di negara ini turut menjadi alasan golongan yang menentang usaha membuat kraf tangan ini. Jumlah pelancong asing yang kecil dan kekurangan minat dalam kalangan pelancong tempatan untuk membeli hasil kraf tangan pada mereka telah menyebabkan usaha ini tidak perlu diteruskan atau diberi galakan. Mereka berpendapat jumlah pelancong asing yang lebih ramai harus disediakan sebelum usaha kraf tangan ini diberi galakan yang menyeluruh.

Alasan yang agak mengelirukan ialah ketiadaan sokongan kerajaan dalam usaha meningkatkan industri kraf tangan negara. Golongan ini berpendapat kerajaan tidak memberi galakan yang secukupnya seperti ketiadaan pelepasan cukai keuntungan atau memberi bantuan teknikal dalam usaha menembusi pasaran luar negara. Mungkin golongan ini terlalu bergantung kepada kerajaan tanpa berusaha sendiri untuk mencari jalan atau rakan niaga di luar negara dalam usaha mengembangkan pasaran kraf tangan negara.

Kesimpulannya, agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti KEMAS, Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan harus memandang serius tanggapan negatif segelintir masyarakat kita ini. Agensi kerajaan itu haruslah proaktif dalam membuat perancangan untuk menangani pandangan negatif mereka ini. Mungkin agensi kerajaan ini harus menggunakan pendekatan yang baru atau berbeza dalam usaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa kraf tangan negara memang berpotensi untuk dikembangkan secara komersial.

Tuesday, April 03, 2007

Kenapa sepi tanpa berita


Sepanjang bulan Mac, saya menyepi tanpa menyumbang apa-apa di dalam blog ini. Ramai pelajar bertanyakan hal ini kepada saya. Banyak kali saya hanya berdiam diri sahaja. Mungkin kerana saya mempunyai alasan sendiri. Ya, kali ini saya ceritakan alasan saya itu.


Alasan saya mudah sahaja. Saya berasa sedih kerana bulan itu pelajar-pelajar saya menerima keputusan peperiksaan SPM. Kebiasaannya, pelajar yang berjaya akan bertemu atau menelefon saya tetapi pelajar yang gagal yang saya risaukan. Bimbang mereka bersendirian menerima kegagalan mereka. Kecewa sebab saya gagal sempurnakan hasrat mereka. Risau apabila saya memikirkan masa depan mereka.


Jadi, selama sebulan itu, saya menyepi dan berdiam diri. Kadangkala, saya berharap ada pelajar yang gagal itu akan menelefon atau menghantar emel kepada saya. Harapan menunggu itu ada jua balasan tetapi tidak ramai. Ada yang menerima kegagalan mereka dengan baik. Ada juga yang terpaksa saya bimbing. Ada yang terus bersedih sehingga ke hari ini. Siapa kata kerja guru mudah? Orang itu sepatutnya pergi bertemu pelajar-pelajar saya yang gagal itu dan ibu bapa mereka.


Sebenarnya semua orang ingin kejayaan dalam SPM tetapi kegagalan bukan bermakna seseorang itu gagal. Sikap masyarakat yang terlalu menekankan aspek kejayaan peperiksaan turut menyebabkan pelajar zaman ini tertekan. Bayangkan perasaan anda membaca kejayaan pelajar mendapat berbelas-belas A tetapi anda hanya mendapat satu atau dua A sahaja.


Kegagalan seharusnya dilihat sebagai satu halangan sementara. Analisa kegagalan itu dan mengambil jalan untuk mengatasinya. Ada banyak jalan menuju ke arah kejayaan. Peperiksaan bukan satu-satunya jalan itu. Mungkin kita harus memberi ruang kepada pelajar-pelajar yang gagal ini masa dan kebebasan untuk menentukan hala tuju mereka.


Nasihat saya, mudah. Cari saya, emel saya , telefon saya dan berbual dengan saya. Tugas guru bukan setakat di bilik darjah tetapi lebih daripada itu.


Moga anda berjaya

Karangan Perindustrian


Negara kita telah mengutamakan perindustrian untuk mencapai era negara moden. Kerajaan telah menjalankan pelbagai dasar untuk meningkatkan tahap industri negara.

Terangkan kebaikan-kebaikan yang terjelma melalui langkah kerajaan ini.

Sememangnya negara kita telah memberi penekanan yang ketara terhadap aspek perindustrian terutama sejak awal tahun 80-an yakni era pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed. Penekanan ini sejajar dengan dasar kerajaan kita untuk mencapai tahap negara maju menjelang tahun 2020. Namun, perindustrian memang membawa pelbagai kebaikan kepada negara dan rakyat tanpa sebarang pertikaian lagi.

Kebaikan yang dibawa oleh perindustrian terhadap negara ialah dasar ini menyebabkan negara kita mampu mengurangkan import terutama barangan tertentu. Pengurangan import ini berupaya dilakukan kerana sektor industri negara telah berjaya menghasilkan produk tersebut pada harga yang lebih murah. Situasi ini turut memberi kesan terhadap sumber kewangan negara kerana kurang wang diperlukan untuk membayar harga barangan yang diimport. Lantas, wang tersebut mampu digunakan untuk pembangunan sektor lain.

Jadi, sumber kewangan negara yang berlebihan itu digunakan untuk meninggikan taraf hidup rakyat. Peningkatan taraf hidup ini dikaitkan dengan terhasilnya kemudahan-kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, dan pengangkutan yang bertaraf tinggi kepada rakyat. Semua kemudahan ini dinikmati oleh rakyat negara kita tanpa perlu membayar kos yang lebih mahal. Kemudahan ini turut memudahkan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian mereka.

Selain itu, penubuhan kilang menjadi antara intipati perindustrian. Kilang terpaksa dibina untuk menghasilkan pelbagai produk mengikut permintaan masyarakat antarabangsa. Justeru, perintaan terhadap bahan mentah negara akan meningkat. Hasil bahan mentah negara seperti bijih timah, getah, dan kayu akan meningkat selaras dengan perkembangan industri produk tersebut. Harga komoditi negara itu sudah pasti akan turut meningkat dengan mendadak yang menguntungkan rakyat negara ini.

Malah, penubuhan kilang ini sudah pasti memerlukan bilangan sumber manusia yang banyak. Rakyat negara ini akan mempunyai pekerjaan yang banyak atau boleh membuat pilihan. Kewujudan peluang pekerjaan ini sudah pasti menyaksikan negara ini mempunyai satu dimensi rakyat yang tidak bimbang tentang masa depan mereka kerana yakin kemampuan sektor perindustrian untuk terus berkembang dalam tempoh yang panjang.

Lantaran itu, semua perkara yang dinyatakan di atas telah menyebabkan imej negara turut meningkat. Masyarakat antarabangsa melihat negara kita sebagai sebuah negara yang mempunyai aktiviti ekonomi yang kukuh dan stabil. Pada mata mereka, negara kita telah berjaya menghasilkan satu bentuk kehidupan yang lebih baik daripada negara-negara jiran atau negara di benua lain yang masih berada di tahap yang menyedihkan. Imej yang baik di persada dunia ini sudah pasti memberi kesan psikologi terhadap rakyat negara kita yang berasa bangga tinggal di Malaysia.

Kesimpulannya, sektor perindustrian mampu membawa pelbagai impak positif kepada rakyat negara ini. Cuma dalam keghairahan kita menempa kejayaan dalam bidang ini, semua pihak harus menyedari impak negatif yang turut mampu terhasil akibat sektor ini. Mungkin kita harus merenung secara mendalam penekanan kita dalam bidang ini sebelum impak yang buruk menjadi ketara menjelang alaf mendatang.