Sunday, February 25, 2007

Banjir


Kali ini kita bincang mengenai bencana alam pula. Kejadian banjir yang melanda negara kita awal tahun ini telah menyebabkan skop karangan ini mula mendapat perhatian pelajar. Ramai yang mula bertanyakan saya mengenai bencana alam ini. Jadi, para pelajar harus banyak membawa mengenai kesan bencana alam, langkah-langkah mengatasinya, dan masalah-masalah yang timbul dalam merancang langkah pencegahan tersebut.

Saya sertakan satu contoh karangan banjir untuk tatapan anda semua.



Banjir telah melanda negara ini.

Huraikan langkah-langkah yang positif untuk menangani fenomena alam ini.


Banjir yang melanda negara kita telah mengejutkan pelbagai pihak. Masing-masing sibuk mengutarakan pendapat mereka tentang faktor-faktor yang mendorong wujudnya fenomena alam ini. Mereka berpendapat pandangan mereka lebih tepat. Sebenarnya, banyak perkara yang mampu dilakukan untuk menangani mala petaka ini sebelum, semasa dan selepas.

Kerajaan seharusnya memastikan sistem perparitan dalam keadaan baik. Pihak berkuasa tempatan haruslah menjalankan pemeriksaan parit dan longkang di kawasan yang memang dianggap berisiko tinggi untuk menerima banjir. Sikap telus dalam aspek ini memastikan aliran air tidak akan terganggu atau tersumbat. Seterusnya, air tidak boleh bertakung sebegitu mudah. Sistem perparitan yang baik juga memastikan air mudah surut selepas banjir.

Malah, kerajaan seharusnya menubuhkan pusat kajian banjir kebangsaan. Pusat ini berperanan untuk menyelaraskan semua aktiviti berkaitan dengan banjir. Pusat ini bertanggungjawab mengeluarkan amaran banjir dan memastikan setiap bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir dengan lancar. Dengan kewujudan pusat ini semua perancangan dan tenaga tidak dibazirkan tetapi digunakan sebaik mungkin. Malah, pusat kebangsaan banjir ini juga mampu memastikan tidak berlaku penyelewengan dalam pemberian bantuan banjir.

Malahan, semua pasukan keselamatan seperti polis, tentera, dan pasukan pertahanan awam perlu bersedia. Semua cuti mereka harus dibekukan ketika musim hujan. Mereka juga harus diberi latihan untuk mengendalikan mangsa-mangsa banjir atau keadaan banjir dengan lebih cekap lagi. Penggunaan peralatan moden dan cukup seperti bot dan helikopter harus ditingkatkan. Persediaan ini memastikan semua mangsa akan terselamat kerana mereka akan diselamatkan oleh pasukan yang sudah terlatih dalam situasi bahaya seperti banjir.

Kutipan derma harus dijalankan oleh kerajaan beberapa bulan sebelum musim hujan berlaku. Kutipan derma ini penting supaya semua masyarakat negara berkongsi masalah negara tanpa memilih kaum. Wang derma yang sudah dikutip boleh digunakan untuk merancang strategi yang mampu untuk menyekat masalah banjir ini daripada berlanjutan. Kutipan derma ini juga membantu kerajaan kerana kewangan kerajaan tidak akan terjejas lantaran rakyat sendiri sanggup berkorban demi kebajikan rakyat senegara.
Selain itu, kerajaan seharusnya menjalankan kempen kesedaran terhadap isu ini melalui media massa. Dalam kempen itu, pelbagai cara atau kaedah menghadapi banjir dijelaskan kepada rakyat. Pengetahuan ini mampu digunakan oleh mangsa-mangsa banjir dengan lebih bijak demi keselamatan mereka.. Kemahiran ini juga memastikan mangsa-mangsa banjir mengetahui cara-cara mendapatkan maklumat seperti kewujudan pusat-pusat bantuan banjir dan keadaan cuaca semasa. Pengetahuan ini memastikan mangsa-mangsa banjir tidak panik.


Kesimpulannya, banjir memang sukat diatasi tetapi sikap berwaspada mampu mengurangkan impak bencana ini. Semua pihak tanpa perlu menuding jari haruslah memainkan perana mereka dalam isu ini. Rakyat seharusnya lebih bersikap proaktif dengan membuat persediaan awal mereka sendiri tanpa bergantung kepada kerajaan. Kita tidak mahu pelbagai masalah wujud selepas bencana ini surut.Mungkin peribahasa ‘Sediakan payung sebelum hujan’ boleh menjadi renungan semua.




Friday, February 16, 2007

Resah ketika cuti sekolah?


Esok cuti sekolah bermula. Maknanya saya tidak akan bertemu dengan pelajar-pelajar saya untuk sekian lama. Mungkin ada pelajar yang akan ketawa apabila mendengar saya berasa sedih apabila membaca bahagian ini. Biar betul cikgu azman akan terasa kehilangan pelajar apabila sekolah bercuti. Nampaknya sangkaan mereka terhadap saya salah kerana saya memang rasa sedih.

Kenapa saya sedih? Sudah pasti kerana tidak mendengar suara dan gelagat pelajar-pelajar yang menarik. Ya. Saya mengaku saya terhibur melihat telatah pelajar yang memang menciutkan hati terutama apabila melihat mereka ketawa, senyum, dan memerah otak cuba memahami konsep bahasa yang cuba saya terangkan kepada mereka. Menarik apabila melihat reaksi mereka setiap kali saya memperkatakan perkara yang “luar biasa’. Kerana cuti, semua itu tidak akan kedengaran lagi.

Salah satu telatah yang masih saya ingat sampai bila-bila ialah apabila anda pelajar terutama pelajar tingkatan 1 yang menyangka saya bukan orang Melayu. Entah atas sebab apa mereka beranggapan demikian, tidaklah saya ketahui. Mata saya memang besar. Muka saya pun besar. Kulit saya tidaklah putih. Jadi, apabila mereka bertanya emak dan ayah saya pantas saya menjawab emak saya orang Jepun dan ayah saya Korea. Mereka hanya mengangguk tanda takjub.

Minggu seterusnya, mereka bertanya lagi. Kalau ayah saya Korea dan emak saya Jepun, bagaimanakah saya boleh tinggal di sini? Jadi, saya jawab datuk saya orang Malaysia. Mereka mengangguk lagi. Saya tersenyum. Mereka turut tersenyum. Di dalam kepala mereka sudah ada pertanyaan tambahan. Wajah mereka sangat “cute”. Cuba anda semua bayangkan pelajar tingkatan satu.

Pernah sekali saya menjadi wakil pelajar lelaki untuk memberikan hadiah hari jadi kepada pelajar wanita yang diminatinya. Saya betul-betul terkejut apabila diminta berbuat demikian. Jawab pelajar lelaki itu, dia agak segan dan tidak pasti pelajar wanita itu akan menerima atau tidaknya. Jadi, dia meminta bantuan saya. Bayangkan di dalam kelas, saya memanggil pelajar wanita itu dan membaca kad pelajar lelaki itu. Nasib baik, pelajar lain memahaminya. Kalau tidak mesti kecoh jadinya. Agaknya bagaimana hubungan mereka berdua? Harap baik.

Pernah sekali, pelajar-pelajar saya menyanyikan lagu hari jadi untuk saya di dalam kelas. Ada guru lain yang mengingatkan mereka lalu mereka nyanyi beramai-ramai yang menyentuh jiwa saya. Rasa hati nak menangis tetapi saya tahan sebab kalau saya menangis di dalam kelas, tentu seluruh Malaysia tahu sebab SMS pelajar. Nasib baik tiada kek sebab saya memang suka makan kek. Terlalu suka.

Pernah sekali saya melihat kemalangan yang melibatkan pelajar saya. Biasalah pelajar lelaki suka menunggang motosikal. Mereka menunggang bak gila. Nasib baik hanya bergesel sahaja dengan kereta. Hanya kakinya sahaja yang terasa sakit. Motosikal hanya kemek dan calar sedikit. Saya duduk bersama-samanya seketika. Dia memandang saya dan saya memandang dia. Mungkin dia masih terkejut dan saya sendiri tidak tahu nak buat apa-apa ketika itu. Pemandu kereta terbabit hanya menggelengkan kepalanya.

Agaknya semua itu menjadi sebab saya mengajar. Agaknya itu sebab saya mengajar lebih sedekad ini. Agaknya itu sebab saya akan merindui pelajar saya cuti ini. Agaknya itu sebab saya dipanggil Cikgu. Selamat Tahun Baru Cina kepada pelajar Tionghua. Moga rezeki anda semua baik belaka.

Saya menunggu kelas bermula semula.

Sunday, February 11, 2007

Karangan peribahasa “beringat sebelum kena dan berjimat sebelum habis”


Ramai pelajar yang bertanya kepada saya tentang karangan jenis peribahasa. Saya beranggapan bahawa karangan jenis ini memang baik dan boleh memberi peluang kepada pelajar untuk mendapat markah yang baik. Cuma saya harap kalau bentuknya dalam gaya cerita, elok dibiarkan sahaja jenis karangan ini.


Jadi untuk blog kali ini saya sertakan satu contoh karangan peribahasa itu.


Karangan Peribahasa


Masyarakat perlu mengamalkan sikap “beringat sebelum kena dan berjimat sebelum habis” dalam kehidupan mereka.
Pada pendapat anda, bagaimanakah peribahasa ini dapat diamalkan dalam usaha menangani masalah kegawatan ekonomi? Nyatakan.


Peribahasa merupakan warisan budaya masyarakat kita yang perlu dipelihara. Dalam aspek peribahasa masyarakat cuba memberi nasihat, kritikan, dan menyampaikan sesuatu maksud dengan penuh tersirat tetapi mampu memberi impak yang mendalam terhadap seseorang. Dalam peribahasa “beringat sebelum kena dan berjimat sebelum habis ini” membawa maksud peri pentingnya sikap berwaspada dan berjimat cermat dalam kehidupan supaya tidak susah pada kemudian hari.
Sebenarnya dalam konteks kehidupan seharian, peribahasa ini mengingatkan kita supaya tidak melakukan pembaziran terhadap keperluan harian, makanan, dan pakaian. Maknanya, kita tidak terpengaruh oleh iklan dan jenama produk apabila membeli keperluan tersebut. Sikap ini boleh dipanjangkan dalam penjimatan penggunaan elektrik, air, dan telefon. Tindakan yang paling mudah ialah kita memastikan suis lampu dan kipas dipadamkan jika tidak digunakan.
Tambahan pula, sikap melalui peribahasa ini mampu diteruskan ketika berbelanja dengan membuat perancangan perbelanjaan terlebih dahulu. Dalam membuat perancangan perbelanjaan itu, kita perlulah mengutamakan pembelian keperluan asas daripada kehendak seseorang. Kita juga perlu membuat perbandingan harga dan mutu barangan tanpa terburu-buru membuat keputusan membelinya. Bukan sahaj amembeli keperluan asas, kita juga harus berbelanja mengikut kemampuan dan tidak mengikut perasaan atau orang lain.
Kalau kita kaji secara mendalam, peribahasa ini turut menekankan keperluan menabung untuk masa depan atau ketika kecemasan seperti kemalangan. Jadi, seseorang itu perlulah membuat simpanan sebahagian daripada pendapatan yang diterima. Menurut kajian, seseorang itu perlulah menyimpan sepuluh peratus daripada pendapatannya. Sikap menabung ini turut mampu memberi keyakinan kepada seseorang tentang masa depannya.
Seterusnya, penggunaan kad kredit harus dikawal atau dipantau dengan lebih teliti. Penggunaan kad kredit memberi galakan kepada kita untuk berbelanja berlebihan kerana penggunaannya tidak melibatkan wang kertas. Sikap tidak mengawasi baki pembayaran kad kredit menyebabkan seseorang itu terpaksa membayar kadar bunga yang tinggi sehingga menyebabkan kadar hutang terus meningkat. Memang kad kredit memudahkan manusia tetapi kad inilah juga yang bakal memusnahkan manusia jika kita tidak berhati-hati.
Langkah seterusnya ialah kita harus mengutamakan produk tempatan daripada luar negara ketika berbelanja. Secara amnya, produk tempatan lebih murah harganya dan setanding mutunya berbanding barangan luar negara. Namun tidak dinafikan ada sesetengah pihak yang beranggapan produk luar negara lebih baik. Tindakan bijak memilih barangan tempatan turut memberi galakan perkembangan ekonomi negara.
Kesimpulannya, peribahasa ini memang tepat dan sesuai untuk menjadi amalan masyarakat era globalisasi ini. Cabaran ekonomi yang semakin genting menyebabkan kita harus memiliki sikap yang diungkapkan oleh peribahasa ini. Jadi, peribahasa bukan sahaja untuk mainan bahasa seseorang tetapi juga untuk kegunaan sesuatu yang realiti.

Thursday, February 08, 2007

Sajak Aku Menjadi Lebih Berani


Sajak Aku Menjadi Lebih Berani merupakan sajak yang berjiwa wanita. Sebab saya berpendapat sedemikian kerana penulis sajak ini wanita dan unsur-unsurnya banyak berbau wanita. Jadi, ini memang bertemakan wanita terutama wanita zaman kini yang menghadapi cabaran yang maha hebat. Saya harap pelajar perempuan saya akan mendapat banyak pengajaran melalui sajak ini.

Pertama sekali sajak ini menonjolkan sikap wanita yang berhati ikhlas dalam perhubungan. Dalam persahabatan wanita lebih bersikap menerima daripada menunjukkan sesuatu. Dalam sajak ini wanita itu memahami sikap rakannya yang mengambil kesempatan atau berbohong dalam perhubungan mereka.

Dalam rangkap kedua penyajak cuba menunjukkan betapa wanita begitu sensitif jiwanya. Wanita boleh menerima tindakan fizikal kawannya tetapi sukar menelan kenyataan apabila kawannya meluahkan kata-kata yang memedihkan jiwa apabila mendengarnya. Mungkin disebabkan naluri wanita yang begitu mudah terusik menyebabkan wanita ini dianggap lemah tetapi mereka mampu menangkis cabaran lain.

Usah lupa, perbezaan antara aku dengan kau. Saya selalu tekankan di dalam kelas. Anda kena faham dan catatkan perbezaan itu. Begitu juga dengan maksud rangkai kata hati dan rasa mengajarku.

Mungkin rangkap ketiga paling menarik dikaji iaitu rangkap ini seolah-olah memberi harapan agar wanita tidak takut. Diri wanita harus tabah meneruskan kehidupan kerana mereka sudah banyak belajar daripada pengalaman. Pengalaman ditipu, pengalaman dipermainkan, dan pengalaman dibiarkan keseorangan untuk menjadi satu aset kepada wanita menerima diri mereka untuk hidup di dunia ini dengan sebaik mungkin.

Sajak ini turut memperjuangkan hak wanita atau lebih tepat emansipasi wanita. Hak mereka untuk berjaya dalam pelajaran, hak mereka untuk berkerjaya, hak untuk memilih sahabat, dan hak untuk berdikari. Semua ini menjadi lambang wanita era moden ini. Kini, ramai wanita yang memiliki kereta sendiri, rumah sendiri dan hidup sendirian. Bukan bermakna mereka sombong tetapi bukti mereka juga mampu hidup seiring kaum lelaki.

Bagi saya wanita yang digambarkan di dalam sajak ini amat menarik kerana wanita menarik pada firasat saya ialah wanita yang tahu keinginannya. Dia juga tahu kerjayanya. Dia juga sedar tanggungjawabnya dalam persahabatan. Dan dia juga mampu berdikari dalam dunia yang tidak pernah berbudi terhadap kaum hawa ini. Mungkin sajak ini mampu menjadi satu nasihat yang berguna untuk renungan pelajar perempuan semua. Simpan azam anda untuk berjaya dalam SPM.

Pen + Ular + An ?


Minggu lalu ketika di dalam LRT, dua orang pelajar saya berbuat lawak dengan saya. Lawaknya begitu menarik sehingga saya masih ingat ke hari ini. Malah saya sering bercerita kepada pelajar-pelajar yang lain. Mungkin ini antara sebab saya suka mengajar pelajar.

Kata mereka ada pertanyaan yang ingin mereka tanya. Saya bingkas menjawabnya dengan anggukan kepala tanda setuju. Kata mereka, apakah maksud pen campur ular campur an. Sebaik sahaja mendengar pertanyaan itu, minda saya segera melayang. Dalam hati saya bergolak dengan pelbagai jawapan. Pada saya, mereka bertanyakan soalan teka-teki. Saya memang lemah dalam permainan ini. Mereka berdua hanya ketawa mungkin gembira kerana melihat aksi saya yang keliru sedangkan di dalam kelas saya asyik mengaku mahir dalam bahasa.

Setelah beberapa minit, saya menyerah kalah. Mereka ketawa terbahak-bahak. Agaknya misi mereka sudah berjaya. Mereka sudah berjaya mengalahkan Cikgu Azman yang mengaku dirinya maha mengetahui dalam aspek bahasa. Saya masih terpinga-pinga macam baru lepas menyelesaikan soalan Matematik Tambahan.

Rupa-rupanya soalan mereka bukannya teka-teki. Soalan mereka sebenarnya berbunyi PENULARAN iaitu bermaksud merebak atau berleluasa. Mereka sengaja menggunakan konsep campur untuk mengelirukan saya. Ya, saya mengaku itu satu lawak yang akan terus saya ingat dalam sanubari ini. Lawak yang membuka hati ini kepada kebijaksanaan pelajar saya menggunakan konsep ceria untuk memahami sesuatu aspek bahasa itu. Satu teknik yang baik dan meyakinkan.

Saya harap lebih banyak soalan sebegitu diberikan oleh pelajar supaya kelas kita lebih ceria dan menarik. Belajar akan menjadi lebih mudah.

Sunday, February 04, 2007

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung


Peribahasa merupakan bahagian yang perlu diberi penekanan oleh pelajar. Kenapa? Mudah sahaja soalan karangan peribahasa menjadi antara satu soalan utama dalam peperiksaan. Biasanya soalan peribahasa ini memerlukan pelajar mengaitkannya dengan amalan kehidupan manusia atau sebuah cerita. Nasihat saya kalau soalan peribahasa itu bercorak cerita, biarkan sahaja melainkan anda memang mempunyai bakat dalam penulisan cerpen.

Baiklah. Kali ini saya kaitkan peribahasa di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung sering dikaitkan dengan menghormati budaya dan undang-undang sesebuah negara itu. Peribahasa ini bernada global kerana mengutamakan seseorang itu menghargai budaya dan peraturan sesebuah negara. Tambahan pula, peribahasa ini sering ditanya terutama dalam soalan karangan.

Peribahasa ini juga boleh dikaitkan dengan peri pentingnya undang-undang dalam kehidupan manusia. Undang-undang dicipta untuk memastikan kehidupan manusia tidak mengalami sebarang masalah. Bayangkan kalau manusia tidak mempunyai undang-undang? Sudah pasti kehidupan menjadi celaru. Betul tak? Sesiapa sahaja mampu melakukan apa-apa perkara yang dia inginkan.

Selain itu,peribahasa ini cuba mengangkat martabat budaya dan peraturan serta undang-undang manusia itu ke tahap yang lebih tinggi. Peribahasa ini cuba memberi satu pandangan yang lebih murni terhadap tatahukum di negara ini. Pada saya ini saya pendekatan yang baik dan berbeza kerana peribahasa biasanya lebih kepada tindakan seseorang. Penggunaan peribahasa ini seolah-olah mengajar secara tersirat kepentingan mematuhi undang-undang itu.

Namun, pelajar harus ingat bahawa ada budaya itu yang sudah luput ditelan zaman. Masyarakat Melayu contohnya, sudah jarang mengadakan kenduri secara bergotong-royong kerana mereka lebih suka menggunakan perkhidmatan katering yang lebih mudah dan berstatus. Lagipun, masyarakat sekarang sudah sibuk untuk menguruskan perkara sedemikian.

Malah, peribahasa ini mengingatkan saya keadaan sebuah negara yang pernah saya lawati. Negara itu ialah Nepal. Ya, negara yang terkenal dengan gunung-ganangnya. Ketika di sana, saya dapati rakyatnya suka sangat meludah. Kadangkala saya takut untuk berjalan kerana bimbang kasut saya akan terkena air liur mereka. Namun, itu budaya mereka yang harus seseorang pelancong hormati. Saya tidak seharusnya berasa tidak selesa kerana ketika itu saya berada di negara mereka. Saya sepatutnya menghormati budaya mereka kalau saya menghayati peribahasa ini. Bukankah itu sepatutnya?