Perlu latihan?

Perlu latihan?

Sunday, January 28, 2007

Antara Hang Tuah dan Hang Jebat




Kali saya ingin bercerita tentang komsas iaitu Pertarungan Hang Tuah dengan Hang Jebat. Saya memang meminati kedua-dua pahlawan Melayu ini. Pada saya kedua-duanya mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Cuma saya rasa sedih kerana salah seorang terpaksa mengorbankan dirinya demi sahabat dan negara tercinta.
Baiklah dalam komsas ini pelajar perlu mengetahui beberapa perkara utama. Pertama, anda harus mengetahui siapakah watak yang boleh dianggap sebagai hero? Jawapan anda boleh jebat atau Tuah. Cuma anda kena nyatakan sebab anda memilih watak tersebut sebagai lebih hero daripada watak yang satu lagi.
Kalau saya sudah pasti saya memilih Jebat kerana saya lebih suka sesuatu yang berbeda daripada kebiasaan. Pada saya Jebat dianggap hero kerana mempunyai pemikiran tersendiri iaitu tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak terutama sekali pihak sultan. Malah, Jebat juga saya anggap hero kerana sanggup berkorban demi sahabatnya. Saya yakin dalam era globalisasi ini sukar untuk menemukan sahabat yang sebegitu setia dan sanggup mengorbankan jiwanya. Tambahan pula, saya rasa Jebat memang layak menjadi hero dalam komsas ini kerana beliau memang berjaya membunuh bukan satu tetapi beratus-ratus nyawa.
Saya yakin ada pelajar saya yang akan menempelak pandangan saya ini dengan alasan Jebat membunuh banyak nyawa yang tidak berdosa. Baiklah saya setuju. Malah, ada yang beranggapan Jebat sepatutnya membunuh sultan bukannya rakyat yang tidak berdosa. Saya juga setuju. Ada juga pelajar yang akan menerangkan kejahatan Jebat kerana bermukah dengan dayang. Saya juga setuju.
Dalam komsas ini turut dipamerkan beberapa rangkai kata yang saya rasa pasti penting untuk peperiksaan SPM tahun ini. Rosak bawang kerana jambaknya merupakan rangkai kata yang sangat penting kerana merujuk nasib rakyat yang menderita jika sultan yang memerintah tidak adil atau berlaku zalim. Komsas ini juga cuba menjelaskan kepentingan rakyat jelata bangun memberontak menentang kezaliman pemerintah yang berlaku zalim terutama sultan yang sanggup menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Tuah tanpa usul periksa.
Saya juga berpendapat pelajar harus memahami sebab Jebat menyerahkan anaknya kepada Tuah. Pada saya mudah sahaja jawapan iaitu Jebat mahu memastikan nasib anaknya terus terbela selepas ketiadaannya di dunia ini. Saya juga berpendapat kemuliaan Tuah di sisi masyarakat menyebabkan tiada seorang pun yang sanggup menjatuhkan amruah anak Jebat di khalayak ramai. Jadi, dalam aspek ini Jebat memang bijak dan Tuah memang seorang sahabat jua.
Jadi, pada pandangan anda, Jebat atau Tuah pahlawan sejati negara?

Thursday, January 25, 2007

Cari dunia kita sendiri


Ramai yang bertanya sebab saya suka naik lrt. Mungkin mereka hairan melihat seorang guru naik pengangkutan awam. Lagipun kebanyakan guru di tempat saya mengajar, menggunakan pengangkutan mereka sendiri. Jadi, balik pada persoalan tadi, apakah sebab saya suka lrt? Terus terang saya katakan saya sendiri tidak tahu. Namun, mungkin sebab ini iaitu ketika berada di dalam lrt, saya berasa saya berada dalam dunia saya sendiri. Dunia yang penuh dengan keheningan naluri saya.

Lagipun saya ada pemandu jadi tidak payah tumpu perhatian ketika menggunakan lrt.

Mungkin itu perkara yang perlu dilihat oleh pelajar. Maksud saya, kita harus mencari dunia kita sendiri. Dunia yang menyebabkan kita melupakan segala-gala yang berada di sekeliling kita. Seolah-olah dunia ini hanya kita seorang sahaja. Umpama dunia ini kita yang miliki. Itulah perasaan saya apabila berada di dalam lrt. Saya rasa tenang(kecuali apabila lrt penuh terutama waktu puncak).

Dunia yang kita cari itu mampu memberikan kita ketenangan untuk menelaah pelajaran. Namun, pelajar jarang menemukan dunia seperti itu. Dunia yang mereka suka biasanya penuh dengan manusia. Penuh dengan bunyi-bunyi yang mampu memecahkan gelas-gelas yang ada di sekitarnya. Penuh kebingitan. Pada saya sukar untuk memahami sesuatu subjek dalam dunia yang bukan kita idamkan.

Jadi, pelajar cari dunia yang sebenar. Bukan dunia yang pura-pura. Cari dunia anda yang sesuai dengan keperluan anda. Sesuai dengan minat anda. Sesuai dengan kebolehan anda. Malah, kalau boleh sesuai dengan masa anda. Kalau anda mampu mencari dunia ini, saya yakin mata pelajaran yang susah pun mampu anda huraikan dengan begitu mudah. Bahasa Melayu, Fizik, atau mungkin Matematik Tambahan umpama makan kacang buat anda.

Berbalik kepada saya, dalam lrt, saya mampu berfikir. Malah lebih baik daripada saya duduk di rumah berjam-jam. Di dalam lrt, minda saya mencetuskan pelbagai ide yang mampu saya gunakan ketika mengajar. Ide itu menyebabkan minda saya terus bercambah. Saya kagum dengan diri saya apabila berada di dalam lrt.

Mungkin ketika berada di dalam lrt itu, diri saya tidak dikenali. Atau, mungkin ketika itu, saya betul-betul menjadi pelajar yang menemukan dunianya sendiri.

Sunday, January 21, 2007

Galakan penggunaan komputer di desa


Tadi saya sempat berbual-bual dengan pelajar kesayangan saya. Ya. Saya pun mesti ada pelajar kesayangan saya. Bukannya saya pilih kasih tetapi atas alasan pelajar ini rajin, baik, bersopan, dan ingin belajar, saya sering memberi perhatian kepadanya. Siapa dia? Ha,ha, itu cerita dalam blog lainlah sebab untuk blog kali ini saya nak bercerita tentang perbincangan kami untuk menarik minat warga desa terutama pelajar kampung untuk mendekati ilmu komputer ini.
Mungkin kerajaan harus memberi pelbagai insentif kepada mereka terlebih dahulu. Kerajaan boleh memberikan potongan harga yang menarik untuk mereka melanggani perkhidmatan internet terutama jalur lebar daripada Telekom Malaysia. Diskaun yang diberi ini mampu memberikan lebih banyak akses kepada pelajar kampung untuk memahami dan menggunakan internet dengan lebih kerap.
Selain itu, harga komputer yang dijual di desa seharusnya dibersi subsidi. Kerajaan mampu melakukan perkara ini kerana kerajaan harus memberi keutamaan kepada pelajar kampung yang memang serba kekurangan. Kerajaan tidak harus berdalih dalam memberi harga istimewa ini kerana sudah pasti akan ada pihak yang menentangnya atas alasan kerajaan pilih kasih.
Mungkin kerajaan melalui badan-badan tertentu seperti Kemas dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung boleh menganjurkan kursus komputer kepada penduduk kampung terutama pelajar. Kursus ini mendedahkan pelajar kampung kepentingan komputer dan penggunaannya. Pengetahuan yang diperoleh sudah pasti akan memberi keyakinan kepada pelajar tersebut untuk terus mendalami ilmu mereka dengan melayari halaman internet.
Kursus ini mampu dijalankan jika kampung tersebut mempunyai tempat khas. Mungkin setiap kampung dibina sebuah bangunan khas yang menempatkan semua kemudahan komputer ini termasuklah akses internetnya. Pihak kerajaan boleh menyumbangkan sumber kewangan untuk pembinaan bangunan seperti ini. semua aktiviti kampung yang lain turut boelh diadakan di bangunan khas ini.
Malahan, kerajaan boleh memberi lebih banyak kemudahan di kampung seperti menggalakkan penggunaan Wifi untuk memastikan setiap kampung menerima akses internet. Penggunaan Wifi yang banyak bergantung kepada gelombang seperti radio sudah pasti lebih menjimatkan daripada membina sistem telekomunikasi yang canggih seperti penggunaan kabel untuk memudahkan akses internet. Penggunaan gelombang radio juga lebih praktikal terutama untuk kawasan pedalaman yang agak sukar diteroka.
Tambahan pula, kerajaan boleh menjalankan kempen kitar semula komputer terutama pengguna komputer di bandar besar yang sering menukar komputer supaya menyumbangkan komputer lama mereka ke dalam skim ini. Komputer lama itu kemudiannya akan diperiksa dan dibaiki sebelum diberi kepada pelajar kampung yang telah dipilih dengan teliti. Penggunaan komputer kitar semula ini sudah pasti mampu mengurangkan bebanan kerajaan terutama dalam aspek kewangan.
Namun, pengawalan yang rapi harus ditekankan terutama oleh pihak ketua kampung untuk memastikan kemudahan ini tidak diselewengkan oleh pelajar kampung. Pemeriksaan yang kerap dan penggunaan yang dipantau setiap masa harus dijalankan oleh penduduk kampung. Semua kemudahan itu juga harus dipastikan berada dalam keadaan yang baik dan boleh digunakan tanpa sebarang masalah.

Wednesday, January 17, 2007

Siapa guru berdedikasi?



Guru tidak berdedikasi? Itulah perkataan yang saya terima sebaik sahaja saya masuk ke dalam kelas tadi. Sebenarnya saya terdengar perbualan dua pelajar saya yang kebetulan duduk di hadapan saya. Mereka sedang berbual mengenai seorang guru yang kebetulan saya kenali. Saya merenung wajah pelajar itu lama-lama dan setelah menyedari diri mereka sedang diteliti, mereka secara serentak menyoal sebab saya memandang mereka sebegitu.
Lantas, saya jelaskan kepada mereka bahawa saya berpendapat semua guru berdedikasi terhadap tugas mereka. Oklah, mungkin ada seorang dua yang begitu tetapi untuk memperkatakan sesuatu perkara tentang guru anda terutama perkara yang tidak baik, saya rasa bukanlah satu perkara yang baik. Malah, memperkatakan keburukan seorang guru ketika seorang guru lain berada di dalam kelas itu, memang sah satu kerja yang tidak bersopan. Habis cerita.
Saya tidak mahu mempertahankan mana-mana guru tetapi saya mahu pelajar semua meneliti beberapa perkara dahulu sebelum membuat tuduhan sebegitu. Pertama, adakah anda menilai guru itu berdasarkan satu insiden sahaja. Maksud saya adakah anda hanya menganggap guru itu garang, malas, atau tidak berdedikasi semata-mata kerana anda melihatnya begitu sekali sahaja. Mungkin hari itu “mood” guru itu tidak baik lalu beliau seolah-olah memperlekehkan tugasnya untuk mengajar.
Kedua, adakah guru itu mempunyai tanggungjawab lain seperti mungkin guru itu guru kelas, guru sukan, guru muzik atau guru disiplin selain bertugas mengajar subjek tertentu di dalam kelas anda. Agaknya beliau baru sahaja menyelesaikan satu masalah disiplin ketika masuk mengajar di kelas anda. Ada kemungkinan, bukan? Biasanya guru lebih banyak melakukan kerja-kerja tadbiran daripada mengajar.
Ketiga, adakah anda sendiri yang mengundang sikap guru terbabit? Saya pernah mengajar sebuah kelas yang semua pelajarnya mengantuk, malas, bercakap, dan bebrual-bual apabila saya masuk ke dalam kelas itu. Saya rasa semangat guru yang meluap-luap untuk mengajar terus padam seperti api kebakaran yang disimbah air. Lenyap sekelip mata.
Namun seperti yang saya katakan saya bukannya mahu mempertahankan diri saya atau mana-mana guru. Cuma saya mengharapkan sedikit pemahaman dan simpati pelajar terhadap tugas kami sebagai guru. Sebenarnya bukan mudah hendak mengajar generasi muda sekarang. Pelajar zaman era globalisasi ini menuntut banyak perkara tetapi tidak sanggup untuk memberikan sesuatu sebagai balasa. Guru pula memang tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak mengajar bersungguh-sungguh walau apapun alasan yang diberikan.
Pelajar bising, pelajar malas, pelajar berbual dan bermain telefon bimbit bukanlah penyebab untuk menjadikan tugas guru semata-mata sebagai pelengkap kehidupan harian pelajar. Guru harus lebih usaha. Guru perlu suntikan semangat yang jitu kerana pendidikan zaman ini menuntut sesuatu yang unik berbanding tahun-tahun lampau.

Tuesday, January 09, 2007

Pak Ismawan yang tabah


Anda tahu apa keinginan remaja zaman moden ini? Mudah sahaja, mereka menunggu peluang untuk memandu kereta. Ya. Saya pasti ramai pelajar saya yang berminat untuk memiliki kereta sendiri. Cuma nasihat saya berhati-hati ketika memandu terutama ketika anda baru memahirkan diri dengan selok-belok pemanduan kerana kecuaian pemandulah yang menyebabkan cerpen tragedi terhasil.
Untuk pengetahuan pelajar, cerpen ini cuba mengorak naluri kemanusiaan terutama kasih sayang seorang ayah. Pak Ismawan kehilangan anaknya Iswan dalam satu kemalangan jalan raya. Iswan telah dilanggar oleh rakan sekolahnya sendiri iaitu George Bulang. Kemalangan itu turut membabitkan Irnawati yang juga rakan karib Iswan. Ingat, tidak semestinya pelajar lelaki dan perempuan yang sering bersama menjadi kekasih. Ok.
Pak Ismawan meneruskan kehidupan tanpa anaknya. Beliau juga penyayang kerana sering menghantar anaknya menjalani latihan kerana Iswan merupakan pemain badminton yang berbakat besar untuk negara. Kegagalan beliau untuk mengambil anaknya pada hari kemalangan itu turut memberi kesan mendalam kepada Pak Ismawan. Mungkin hatinya berdetik bahawa kalau beliau datang mengambil anaknya, sudah pasti anaknya masih wujud ke hari ini.
Pak Ismawan pemaaf kerana sanggup memaafkan George Bulang yang datang meminta maaf daripadanya. Kalau saya, maksud saya kalau anak saya kena marah, siaplah orang yang memarahi anaknya saya itu. Orang itu akan menerima padahnya. Maksud saya pembalasan. Kalau anda bagaimana?
Saya turut tertarik dengan watak Irnawati kerana watak ini mencerminkan sikap tabah seseorang kawan yang kehilangan rakan sejati. Kesanggupan menziarahi ayah kawan yang sudah tiada turut menyentuh hati saya. Memilih raket untuk menjadi barangan kenangannya membuktikan bahawa beliau bukanlah insan biasa yang mementingkan duniawi atau sanggup melupakan sahabat begitu sahaja.
George Bulang dalam cerita ini merupakan watak pemandu yang tidak bertanggungjawab kerana memandu dalam keadaan mabuk. George Bulang tidak bertanggungjawab kerana tidak berani untuk melaporkan kemalangan itu sebaik sahaja peristiwa itu berlaku. George Bulang terpengaruh dengan dunia remaja yang suka berhibur tanpa batasan sehingga menyebabkan nyawa manusia lain melayang.
Menarik cerpen ini kerana Pak Ismawan telah diberi peluang oleh Encik Ikmal untuk memberi ucapan mengenai pengalamannya kehilangan anak dalam satu kemalangan jalan raya. Ucapannya yang datang dari hatinya telah menyentuh semua orang yang berada di dalamd ewan itu. Semuanya menangis. Semuanya menyedari betapa pentingnya sikap berhati-hati ketika memandu. Semuanya sedar kesedihan yang menimpa Pak Ismawan.
Pelajar juga harus sedar bahawa soalan cerpen ini pernah ditanya di dalam kertas SPM. Namun, pelajar harus sedar kemungkinan soalan ini diulang turut wujud. Cuba fikirkan cara-cara untuk mengatasi kemalangan?

Sunday, January 07, 2007

Lambaian Malar Hijau



Dalam banyak cerpen Lambaian Malar Hijau merupakan cerpen yang menyentuh perasaan saya kerana saya sendiri menganggap diri ini pencinta alam. Kisah anak orang asli yang sanggup mempertahankan pokok tualang demi masa depan masyarakatnya membuatkan saya sedar kelemahan diri yang terlalu banyak bergantung pada kemodenan duniawi.
Dalam cerpen ini pelajar harus sedar kepentingan hutan kepada masyarakat terutama orang asli. Hutan membekalkan makanan, tempat tinggal dan sumber rezeki kepada mereka. Jadi, itu sebab orang asli tidak akan miskin selagi ada hutan. Itu sebab Daneng sanggup meninggalkan persekolahannya demi hutan. Cuma langkah Daneng ini kurang tepat kerana pendidikan penting dalam hidup seseorang.
Watak Cikgu Jo juga penting kerana watak ini melambangkan peranan guru yang sebenar. Guru sepatutnya memberi nasihat kepada pelajarnya. Guru perlu mencari "kunci" untuk memberi semangat kepada pelajarnya untuk mencari ilmu. Guru perlu memberikan contoh yang baik kepada pelajaranya. Guru harus mendidik tanpa memilih kasih. Guru seperti Cikgu Jo yang sanggup mengajar di kawasan pedalaman harus diteladani oleh saya.
Cerita ini juga menggunakan teknik imbas kembali kerana Daneng sudah berjaya dalam hidup. Beliau berjaya masuk ke universiti, menerima anugerah datuk dan nobel serta mampu menyelamatkan hutan di desanya. Beliau juga menerima jemputan untuk menjaga hutan Amazon. Malah beliau juga sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Cikgu Jo sudah pasti berumur.
Hutan harus dijaga tetapi persoalannya bagaimana caranya? Mudah sahaja, kerajaan perlu menubuhkan lebih banyak kawasan hutan simpan kekal dan taman negara supaya pembalakan tidak boleh dijalankan. Begitu juga dengan kempen kesedaran tentang kepentingan hutan disebarkan melalui media massa. Jumlah anggota penguatkuasa perlu ditambah dengan ketara untuk memudahkan urusan pengawasan kawasan hutan yang terlalu luas.
Pokok Tualang? Ini pokok kegemaran saya. Mungkin kerana batangnya yang lurus dan tinggi. Mungkin juga pokok lambang kesucian. Anda suka pokok apa?

Wednesday, January 03, 2007

Harapan langkah pertama ke arah kejayaan pelajar


Tadi saya terdengar perbualan rakan sekerja saya dengan seorang pelajar di bilik guru. Kata-kata rakan sekerja itu menarik minat saya. Ketika membaca majalah kerana menunggu kelas, saya memasang telinga.Rakan sekerja saya itu cuba menaikkan semangat pelajar terbabit. Dia cuba memberi motivasi kepada pelajar. Dia cuba memberikan harapan kepada pelajar tersebut.
Setelah sekian lama, pelajar itu bangun dengan satu perasaan ceria. Mungkin kerana dia seolah-olah menerima cahaya baru. Dia melangkah dan membuka pintu dengan penuh tenaga kerana bakal bertemu dengan guru tersebut minggu hadapan dengan satu harapan lagi. Rakan sekerja saya juga melangkah keluar dengan penuh kebanggaan kerana berjaya memberi harapan kepada seorang lagi pelajarnya yang memerlukan bantuan. Saya masih terbayang-bayang jasad mereka walaupun sudah lama kedua-duanya meninggalkan saya bersendirian di bilik guru itu. Satu pertemuan positif memberikan satu perspektif yang baru. Kuasa guru dan keinginan pelajar.
Dalam pengalaman saya mengajar, harapan merupakan satu-satunya perkara yang penting dalam asas kejayaan pelajar. Selain usaha, persiapan, dan strategi menghadapi peperiksaan, pelajar harus mempunyai harapan. Sikap tidak mengalah dengan mudah. Naluri untuk terus berjuang sehingga peperiksaan selesai. Sedihnya sikap sebeginilah yang tiada dalam diri pelajar atau dalam diri guru.
Biasanya pelajar terutama yang lemah akan mengaku kalah lebih awal sebelum mereka melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Dalam minda mereka, sudah menjangka bahawa mereka tidak akan berjaya. Mereka sudah merancang kegagalan mereka sejak awal lagi. Mereka tidak mempunyai harapan langsung untuk berjaya. Masa depan mereka sudah ditentukan. Itulah anggapan mereka.
Jadi apa yang patut pelajar buat? Beri harapan kepada diri anda. Usah mengaku kalah awal-awal. Buat latihan demi latihan. Dengar arahan dan nasihat guru. Buang jauh-jauh herdikan kawan-kawan yang memandang rendah kita. Buat satu persatu perkara yang penting sebelum SPM menjelang.
Ringkasnya, usah mengaku kalah sekarang. SPM masih panjang. Belum terlambat untuk kita berubah dan mengambil langkah yang perlu iaitu belajar. Terus belajar.

Tuesday, January 02, 2007

Antara lebuh raya, motosikal, dan kesesakan


Saya berada di lebuh raya ketika cuti tahun baru dan hari raya korban yang lalu. Biasanya mood saya ketika di jalan raya tidak baik. Kenapa mood saya tidak baik?Saya tidak suka kesesakan lalu lintas. Setiap kali saya tersangkut, pelbagai ungkapan tidak 'sihat" keluar dari mulut ini. Malah, orang yang berada disamping atau mendengarnya pasti terkejut melihat sikap saya itu. Yalah, cikgu Azman mengunakan perkataan #*#*#*

Namun, saya rasa kesesakan di lebuh raya disebabkan oleh pemandu kenderaan itu sendiri. Biasanya mereka tidak mahu menunggu giliran sebaliknya lebih suka memotong dengan menggunakan lorong kecemasan. Keadaan ini sudah pasti akan menganggu kelancaran trafik apabila mereka cuba memasuki lorong biasa semula. Kadangkala saya berdoa kepada tuhan semoga ada polis trafik menunggu di hujung lebuh raya itu untuk memberikan saman kepada mereka yang tergesa-gesa ini.

Bukan sahaja mereka memandu dengan tidak mengikut peraturan, malah ada yang memandu laju walaupun menyedari hari hujan atau jumlah kenderaan terlalu banyak. Mereka memandu gaya pemandu F1 tetapi tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan F1. Masuk ke kiri dan ke kanan lorong tanpa memberi isyarat atau secara kilat sehingga menganggu pemandu lain yang berhemah cara pemanduannya.

Malah, tadi di lebuh raya ada sekumpulan penunggang motosikal yang "cilok" punya cantik antara kenderaan sehingga mampu menganggu perjalanan darah ke jantung saya. Penunggang motosikal ini biasanya kalau berlaku kemalangan sering menyalahkan pemandu kenderaan berat tanpa menyedari mereka yang memulakan kemalangan itu.

Lebuh raya bermasalah? Tidak di perhentian rehat pun sama. Pemandu di negara ini memang patut diberi gelaran juara "parking' dunia. Mana-mana tempat mereka boleh parking walaupun sekangkang kera luasnya tempat itu. Lantas, kereta yang hendak keluar atau masuk terganggu dan menunggu sehingga kereta itu keluar. Bukankah ini mementingkan diri namanya. Ada juga pemandu yang tidak menghiraukan orang lain dengan sengaja membiarkan kereta mereka apabila mereka bergegas ke tandas.
Keadaan di tempat makan turut tidak kurang hebatnya. Masing-masing berebut-rebut untuk menghilangkan rasa haus dan kelaparan tanpa ada rasa tanggungjawab. Ketika membayar mereka sering memotong barisantanpa sebarang ungkapan maaf. Manakala keadaan meja dan lantai agak kotor terutama apabila jumlah pengunjung terlalu ramai berbanding pekerja yang bertugas untuk membersihkannya. Lalat seperti raja di kawasan ini.
Pernah pergi ke tandas ketika hari raya atau cuti umum? Rasanya semua sedar betapa panjangnya barisan terutama di tandas wanita. Saya hanya sempat menoleh sekejap. Mungkin tandas wanita harus lebih luas berbanding dengan tandas lelaki. Rasa kasihan turut saya halakan kepada pengguna bas ekspres kerana mereka terpaksa menggunakan masa yang terhad untuk membeli makanan, ke tandas dan berehat sekejap. Bayangkan.

Saya banyak komen? Sudah pasti pelajar akan menjawab, Cikgu Azman ini Malaysia dan memang begitu keadaannya. Namun, kita seharusnya berubah. Mentaliti kita perlu berubah paradigmanya. Bukan sahaja berbangga mempunyai bangunan yang tinggi, lapangan terbang yang luas dan pusat pentadbiran yang lengkap tetapi mentaliti yang selaras dengan perubahan zaman. Mentaliti sekarang ialah kita harus mengutamakan hak orang lain seperti kita utamakan hak kita sendiri.

Mentaliti zaman sekarang memerlukan semua pihak memberikan kerjasama. Pihak polis mengawasi perjalanan lebuh raya. Pengusaha tol pula memastikan kemudahan dan kelancaran kenderaan berjalan baik. Pengguna pula mematuhi peraturan dan memandu secara berhati-hati. Barulah perjalanan di lebuh raya lebih baik dan lancar serta kemalangan mampu dikurangkan. Ini tidak semua buat hal sendiri.

Maksud saya, kalau kita hendak melakukan semua perkara itu, boleh. Cuma kalau orang lain melakukan perkara yang sama kepada kita, janganlah "hon" mereka bagai nak gila atau memarahi mereka sebagai tidak bertanggungjawab kerana kita pun sama. Atau mungkin kita hanya menggunakan peraturan tertentu apabila perkara itu tidak melibatkan kesalahan diri kita dan tidak menggunakan peraturan itu apabila kesalahan itu dilakukan oleh kita.

Atau mungkin ketika cuti umum, kita semua duduk di rumah. Biar lebuh raya kosong. Satu cadangan yang baik.