Wednesday, August 22, 2007

Semangat Kejiranan Kita Mula Menghilang


Semangat kejiranan kita mula menghilang.
Huraikan kepentingan semangat ini diwujudkan semula.

Jiran ialah seseorang yang tinggal berhampiran dengan kita dan tidak mempunyai hubungan keluarga tetapi menjadi tempat pertama untuk kita mengadu hal serta meminta bantuan apabila memerlukannya. Semangat ini memang sudah semakin berkurangan terutama di kawasan bandar besar dan golongan muda. Lantaran itu, semangat ini harus ditunaskan semula kerana memiliki banyak kelebihannya.

Semangat ini memastikan hubungan antara kaum semakin kukuh dalam alaf globalisasi ini. Dalam semangat ini semua aktiviti dilakukan tanpa mengira warna kulit seseorang itu. Individu itu dijemput untuk menghadiri sesuatu majlis itu kerana individu itu ialah jiran yang hampir dengan kawasan terbabit. Jadi, sikap ini memang harus diwujudkan semula supaya perpaduan kaum terus dapat dijalin kukuh antara kita.

Selain itu, kepentingan semangat ini ialah kita boleh meluahkan masalah atau meminta bantuan apabila diperlukan. Bayangkan apabila kita memerlukan sesuatu atau terpaksa meninggalkan rumah kosong beberapa minggu, siapakah yang sudai memberikan bantuan kalau bukan jiran? Sudah pasti kita akan meminta jiran kita kerana mereka yang lebih kita percayai setelah mengenali mereka beberapa tahun. Jelaslah, semangat kejiranan ini membantu kehidupan masyarakat terutama mereka yang sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Hubungan yang rapat antara jiran menyebabkan semua masalah terutama masalah sosial mampu dibendung. Peningkatan jenayah dan budaya tidak sihat di kawasan tertentu sering dikaitkan dengan kegagalan masyarakatnya untuk mengamalkan semangat kejiranan ini. Penjenayah lebih suka melakukan aktiviti mereka di kawasan yang rendah semangat jirannya kerana aktiviti mereka sukar dikesan. Sesungguhnya, penjenayah lebih mahir untuk mengeksploitasi kelemahan kita dalam memahami kepentingan kejiranan.

Malah, jiran menjadi satu bukti kewujudan institusi masyarakat kerana jiran asas pembentukan masyarakat. Tanpa jiran masyarakat tidak akan wujud kerana masyarakat terhasil melalui hubungan rapat antara manusia yang saling berjiran. Sudah pasti masyarakat tidak akan dapat berfungsi dengan baik tanpa semangat murni ini. Oleh itu, jiran harus wujud dalam sesebuah negara seperti Malaysia yang berbilang bangsa.

Kesimpulannya, semangat kejiranan ini perlu diluaskan konsepnya dan tidak terhad sebagai seseorang yang tinggal bersebelahan kita. Kerajaan perlulah mengambil inisiatif awal dengan membuat kempen yang menghuraikan peri pentingnya konsep ini kepada masyarakat di seluruh negara ini. Masyarakat pula haruslah lebih positif dan menerima jiran mereka tanpa prasangka buruk terlebih dahulu. Dalam kehidupan moden ini, jiranlah tempat kita bergantung hidup. Hargailah jiran anda.

1 comment:

tiyya said...

thnks for the great essay mr.
u help me a lot.