Perlu latihan?

Perlu latihan?

Thursday, January 25, 2007

Cari dunia kita sendiri


Ramai yang bertanya sebab saya suka naik lrt. Mungkin mereka hairan melihat seorang guru naik pengangkutan awam. Lagipun kebanyakan guru di tempat saya mengajar, menggunakan pengangkutan mereka sendiri. Jadi, balik pada persoalan tadi, apakah sebab saya suka lrt? Terus terang saya katakan saya sendiri tidak tahu. Namun, mungkin sebab ini iaitu ketika berada di dalam lrt, saya berasa saya berada dalam dunia saya sendiri. Dunia yang penuh dengan keheningan naluri saya.

Lagipun saya ada pemandu jadi tidak payah tumpu perhatian ketika menggunakan lrt.

Mungkin itu perkara yang perlu dilihat oleh pelajar. Maksud saya, kita harus mencari dunia kita sendiri. Dunia yang menyebabkan kita melupakan segala-gala yang berada di sekeliling kita. Seolah-olah dunia ini hanya kita seorang sahaja. Umpama dunia ini kita yang miliki. Itulah perasaan saya apabila berada di dalam lrt. Saya rasa tenang(kecuali apabila lrt penuh terutama waktu puncak).

Dunia yang kita cari itu mampu memberikan kita ketenangan untuk menelaah pelajaran. Namun, pelajar jarang menemukan dunia seperti itu. Dunia yang mereka suka biasanya penuh dengan manusia. Penuh dengan bunyi-bunyi yang mampu memecahkan gelas-gelas yang ada di sekitarnya. Penuh kebingitan. Pada saya sukar untuk memahami sesuatu subjek dalam dunia yang bukan kita idamkan.

Jadi, pelajar cari dunia yang sebenar. Bukan dunia yang pura-pura. Cari dunia anda yang sesuai dengan keperluan anda. Sesuai dengan minat anda. Sesuai dengan kebolehan anda. Malah, kalau boleh sesuai dengan masa anda. Kalau anda mampu mencari dunia ini, saya yakin mata pelajaran yang susah pun mampu anda huraikan dengan begitu mudah. Bahasa Melayu, Fizik, atau mungkin Matematik Tambahan umpama makan kacang buat anda.

Berbalik kepada saya, dalam lrt, saya mampu berfikir. Malah lebih baik daripada saya duduk di rumah berjam-jam. Di dalam lrt, minda saya mencetuskan pelbagai ide yang mampu saya gunakan ketika mengajar. Ide itu menyebabkan minda saya terus bercambah. Saya kagum dengan diri saya apabila berada di dalam lrt.

Mungkin ketika berada di dalam lrt itu, diri saya tidak dikenali. Atau, mungkin ketika itu, saya betul-betul menjadi pelajar yang menemukan dunianya sendiri.

2 comments:

Anonymous said...

Hi, cikgu Azman!!!saya AH Tan la...haha, masig ingat saya??apa khabar?lama tak jumpa loh!
yalo, naik LRT memang bagus, tak perlu bazir masa cari tempat letak kereta, sampai destinasi hanya turun dari lrt sudah sampai...aii...dulu hari hari guna lrt utk pgi sekolah, pgi tution...

Anonymous said...

cikgu~~~ajar kat ilmutek la...masih ingat ilmutek kat mana???