Perlu latihan?

Perlu latihan?

Sunday, December 23, 2007

Aku Menjadi Lebih Berani


SAJAK KHAS UNTUK WANITA?

Sajak Aku Menjadi Lebih Berani sememangnya satu sajak yang menarik perhatian saya. Sajak ini menarik kerana sajak ini cuba menonjolkan perasaan wanita terutama dalam sesuatu perhubungan. Wanita sering dianggap kaum yang lemah dan mudah mengalah tetapi dalam sajak ini wanita digambarkan insan yang berhati mulia dan mampu berubah secara positif.

Kalau pelajar teliti sajak ini terutama dalam rangkap pertama cuba menonjolkan perbezaan antara wanita atau penyajak dengan lelaki atau sahabatnya. Perbezaan itu ialah wanita lebih baik hatinya berbanding sahabatnya. Memang dalam rangkap ini tidak dijelaskan siapa sahabat wanita itu tetapi kita boleh membuat andaian bahawa sahabatnya itu seorang lelaki yang tidak baik hatinya. Bukankah lelaki suka mengambil kesempatan?

Rangkap kedua menarik kerana penyajak cuba menyingkap perasaan wanita yang sememangnya tabah terutama dalam aspek fizikal iaitu seksaan fizikal. Kita sering kali mendengar wanita diseksa tetapi mampu bertahan (jangan amalkan sikap ini) tetapi sebenarnya wanita lebih mudah terguris hatinya apabila mendengar ungkapan kata-kata yang tidak menyenangkannya terutama daripada sahabatnya yang bernama lelaki. Wanita sensitif terhadap kata-kata.

Rangkap ketiga menjadi tempat penyajak untuk membuktikan perubahan wanita itu. Sering kali dipermainkan oleh lelaki atau sahabatnya telah menyebabkan wanita itu menjadi lebih matang dan tabah mengharungi kehidupan.

Biasanya baris kedua rangkap kedua sajak ini iaitu sebilah pisaumu aku tidak gentar sering ditanya kerana baris ini memberitahu bahawa wanita tahan seksaan fizikal lebih baik daripada lelaki. Wanita sememangnya tabah mengharungi cabaran hidup.

Manakala rangkap terakhir baris pertama iaitu hati dan rasa mengajarku memberi makna bahawa wanita telah memahami pengalaman lalu dan mengambil iktibar daripadanya. Wanita zaman kini sudah mampu berfikir sendiri.

Kalau saya ditanya pelajar sudah pasti sajak ini menjadi satu sajak yang bakal saya tampalkan di dinding bilik saya (kalau saya wanita). Sajak ini memberi satu semangat baru kepada wanita supaya lebih tabah, matang berfikir dan tidak bergantung kepada lelaki dalam kehidupan mereka.

Untuk lelaki, sajak ini juga membawa satu peringatan. Jangan lukakan hati wanita. Jangan memandang rendah kebolehan wanita. Jangan mempermainkan perasaan wanita kerana wanita itu lebih tinggi darjatnya daripada lelaki yang tidak bermaruah.

Terus belajar pelajar-pelajarku.

Friday, December 14, 2007

Karangan Karya Sastera.....Penting Karangan Ini


Karya sastera mampu mencorakkan minda pembaca.
Berikan komen anda tentang pernyataan tersebut.


Karya sastera merujuk hasil penulisan yang meninggikan budaya sesuatu masyarakat itu. Karya yang berunsur sastera juga dikatakan mempunyai unsur pengajaran positif dan mampu memberi satu kesedaran kepada setiap pembacanya. Sajak, novel, pantun, gurindam, cerpen dan seloka antara contoh karya sastera. Sememangnya karya sebegini berupaya untuk mematangkan pemikiran seseorang itu terutama golongan remaja.

Karya sastera sering mengupas kemelut social yang sudah berlaku, sedang berlaku, dan mungkin bakal berlaku dalam sesebuah masyarakat. Keadaan ini menyebabkan pembaca mengetahui sesuatu kemelut itu dengan lebih baik dan faham impak yang timbul. Pembaca tidak lagi melihat kemelut hanya daripada satu aspek sahaja tetapi memahami dan mengakui pelbagai faktor menjurus kea rah kemelut tersebut. Jelaslah, karya sastera memberi satu informasi yang berguna kepada pembaca dalam melihat kehidupannya.

Lantaran itu, karya sastera mampu memberi kesedaran kepada pembaca. Kesedaran ini timbul setelah membaca karya-karya yang benar-benar mengusik jiwa mereka. Novel Bukit Kepong mampu menyebabkan pembaca tertanya-tanya sebab mereka tidak menyertai pasukan polis atau pembaca mula melihat anggota polis dengan satu pandangan baru yang positif. Jadi, tanpa karya sastera mungkin masyarakat tidak mengalami apa-apa perubahan minda.

Penggunaan bahasa dalam karya sastera memang mengagumkan. Pemilihan katanya begitu indah dan menyentuh naluri kita. Keindahan bahasa itu melambangkan keyakinan masyarakatnya terhadap bahasa sendiri. Kemahiran berbahasa ini sudah pasti memberi impak yang positif kepada pembaca jua. Sesungguhnya, karya sastera menyebabkan pembaca memiliki pengetahuan bahasa yang luas dan berguna dalam kehidupannya serta kerjaya mereka.

Penulis yang menulis karya sastera sering menggunakan pengalamannya sendiri ketika menghasilkan karya mereka. Pengalaman itu mampu dikongsi bersama oleh pembaca. Pengalaman yang baik, sedih, gembira, dan unik ini seolah-olah berlaku antara penulis dan pembaca. Keadaan ini memberi satu bentuk hubungan peribadi antara penulis dan pembaca yang memudahkan sesuatu karya itu difahami oleh pembaca. Situasi ini menghidupakan masyarakat untuk menjadi satu entity yang berperasaan kemanusiaan sejagat. Masyarakat yang tiada pilih kasih dan mementingkan diri.

Namun, tidak dinafikan karya sastera mempunyai kelemahannya. Karya sastera sering dikatakan membosankan, tidak menepati cita rasa remaja, terlalu panjang, sukar difahami, tidak melambangkan realiti kehidupan dan banyak lagi alas an yang diberikan. Keadaan ini menyebabkan karya sastera dipinggirkan oleh masyarakat terutama remaja yang lebih suka sesuatu yang pantas dan mudah difahami. Hari demi hari jumlah pembaca karya sastera semakin menghilang.

Kesimpulannya, karya sastera memang penting dalam kehidupan masyarakat moden. Cuma karya sastera harus berubah paradigma mereka. Karya sastera harus mencari jalan untuk menembusi minda remaja. Kejayaan karya sastera memahami keperluan remaja bakal memastikan karya murni ini terus hidup subur dalam sanubari masyarakat kita. Sanggupkah kita melihat karya sastera hilang di persada dunia ini?

Monday, December 10, 2007

Saya Suka Gunting Rambut?


Anda suka gunting rambut? Saya suka. Malah hampir setiap dua minggu saya akan pergi ke kedai gunting rambut kegemaran saya. Kalau rambut saya terlalu panjang saya akan gelisah. Ketika tidur saya tidak suka helaian rambut saya terkena kuping telinga. Jadi, Tukang Gunting memang sajak yang dekat pada hati saya. Terlalu suka.

Rangkap pertama sajak ini menceritakan tempat Tukang Gunting menjalankan kerjanya. Pokok Semarak Api yang menjadi tumpuan orang ramai menjadi pilihan Tukang Gunting. Sememangnya kawasan yang strategik penting dalam setiap perniagaan. Tukang Gunting juga mampu berfikir seperti seorang ahli perniagaan.

Rangkap kedua lebih ke arah menjelaskan peralatan yang dimiliki oleh Tukang Gunting. Berbekalkan sebilah gunting, cermin yang rosak, sikat yang rosak dan bangku, Tukang Gunting mencari nafkah untuk keluarganya. Semua peralatan yang usang, rosak dan sedikit ini membuktikan betapa pendapatan Tukang Gunting agak kecil.

Manakala dalam rangkap ketiga, penyajak cuba membandingkan Tukang Gunting dengan Pokok Semarak Api daripada aspek semangatnya. Bunga Pokok Semarak Api yang gugur bertaburan itu disamakan dengan kekuatan semangat Tukang Gunting dalam melakukan tugasnya.

Rangkap Keempat menceritakan keadaan Tukang Gunting ketika menunggu kedatangan pelanggannya. Tukang Gunting dianggap merenung masa muda dan merancang masa depannya. Mungkin penyajak cuba menggambarkan Tukang Gunting seorang insan yang mempunyai perasaan dan cita-cita seperti insan lain.

Saya suka dengan rangkap terakhir sajak ini kerana rangkap ini membuktikan betapa Tukang Gunting mengutamakan keluarganya terutama 4 anaknya itu. Tukang Gunting berjanji akan terus bekerja bukan untuk dirinya tetapi untuk keluarganya. Tukang Gunting jenis yang sanggup berkorban.

Sajak ini memang mudah difahami oleh pelajar. Cuma pelajar harus faham bahawa soalan tentang cara-cara meningkatkan pendapatan Tukang Gunting sering ditanya. Soalan mengenai tanda-tanda kemiskinan Tukang Gunting turut menjadi soalan lazim. Begitu juga dengan tempat Tukang Gunting bekerja dan perkara yang dilakukannya ketika menunggu pelanggan.

Manakala rangkai kata di lumpur sungai manusia menjelaskan kawasan itu tumpuan masyarakat. Begitu juga rangkai kata ia tambatkan perahu hidup yang merujuk pekerjaannya dan tempat bekerjanya.

Bila anda nak gunting rambut?

Teruskan belajar pelajar-pelajarku.

Sunday, December 09, 2007

Alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita. Jelaskan langkah-langkah untuk menyelamatkannya



Sejak belakangan ini, pembangunan tanpa limitasi kini merupakan perubahan kian pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab ini. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Jadi, alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita dan langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihan alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran. Hal ini jelas akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibatnya, penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) amat berbahaya kepada masyarakat di jagatraya. Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawalkan oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspen penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini penting sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Dalam pada itu, program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu.Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air” Melalui cara ini, sumber manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka sekali gus dapat memelihara kebersihan alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijaga melalui kempen kesedaran sivik supaya rakyat dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat mencapai matlamatnyai apabila semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar.

Secara tuntas, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan sewajarnya untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya berpeluk tubuh meletakkan masalah ini di atas bahu kerajaan dengan semata-matanya. Kerjasama bagai aur dengan tebing yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna. Hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Hal ini sinonim dengan slogan negara “ Negara Bersih, Rakyat Sihat ”


Karangan ini dihasilkan oleh pelajar saya iaitu Chin Yee

Thursday, December 06, 2007

Belajar Bermula Dengan Minat


Ramai pelajar saya yang mengadu bahawa mereka tidak mampu menguasai BM dengan baik. Pelbagai alasan diberikan oleh mereka kepada saya. Ada yang menggunakan alasan guru BM mereka tidak pandai mengajar. Ada yang menganggap mereka tidak nampak kepentingan BM dalam kehidupan. Ada juga yang terpaksa mengambil BM. Pelbagai alasan yang diberikan oleh mereka ini menyebabkan saya termenung seketika. Memang mudah untuk menyalahkan sesuatu atau orang lain apabila kita gagal melakukan sesuatu perkara itu.

Sudah hampir dua dekad saya mengajar dan selama saya mengajar itu, satu sikap yang ketara wujud dalam diri pelajar yang menguasai BM ialah mereka memang minat terhadap subjek tersebut. Minat dalam erti kata mereka sanggup menghadiri kelas tambahan selain kelas biasa yang dianjurkan oleh guru mereka. Mereka juga sering bertanya soalan yang terbuku di dalam hati mereka. Setiap latihan yang diberikan oleg guru pasti dilakukan oleh mereka tanpa berlengah masa lagi.

Jadi, kalau pelajar semua ingat tahu rahsia utama untuk berjaya dalam BM dan mungkin subjek lain ialah minat kita terhadap subjek tersebut. Lihat sahaja kejayaan yang dimiliki oleh David Beckham atau Nicol David atau Tiger Wood. Saya yakin mereka berjaya kerana mereka meminati bidang sukan yang diceburi. Mereka tidak dipaksa atau disuruh oleh sesiapa tetapi diri mereka yang ingin mencapai sesuatu kejayaan yang sukar dibuat oleh sesiapa. Bola lencongan tendangan percuma Beckham bukan semua orang mampu lakukan. Latihan demi latihan yang dibuat oleh pemain itu tercetus kerana minat yang mendalam.

Tanya diri anda sendiri. Sejauh mana minat anda terhadap BM. Untuk lulus? Untuk memuaskan hati ibubapa? Untuk memastikan diri tidak malu atau untuk diri sendiri. Maksud saya untuk mempelajari BM kerana BM itu penting dalam pembangunan sahsiah diri seseorang. Penguasaan bahasa termasuklah BM pasti menjadi aset penting dalam kehidupan seseorang. Dalam era globalisasi ini bukan sahaja segulung ijazah penting tetapi kelebihan seseorang juga penting dan bahasa mampu memberi satu ciri unik kepada seseorang pelajar. Percayalah pelajar yang menguasai BM dan bahasa lain mampu hidup dalam alaf yang penuh persaingan ini.

Jadi, mulai minggu ini dan minggu seterusnya, saya akan menulis setiap bahagian BM untuk memudahkan pelajar menghadapi SPM 2008. Pelajar pula haruslah menilai dan membuat ketetapan diri. Anda minat atau tidak minat. Kalau minat teruskan membaca. Kalau tidak minat, cari atau teroka cara untuk meminati BM kerana anda semua masih mempunyai masa.

Terus belajar pelajar-pelajarku.

Sunday, November 11, 2007

Bandingkan Latar Masyarakat BK dan KT - Rangka Jawapan


Bandingkan Latar Masyarakat


Beza

Masyarakat polis BK
Masyarakat pemuzik KT



Sama

Masyarakat yang suka menyusahkan orang BK –komunis KT-Datin Salmah

Masyarakat bekerjasama BK-Polis dan Orang Kg KT –Hilmi dan Mamat
Masyarakat kg – BK-Othman KT-Hilmi
Masyarakat yang mengingati agama – BK Othman dan Limah KT Hayati dan Hilmi

Kenapa Watak dan Perwatakan Penting Dalam Novel? - Rangka Jawapan


Kepentingan Watak dan Perwatakan dalam novel

Menjadikan jalan cerita lebih menarik untuk dibaca
Menghidupkan cerita dengan lebih berupa realiti
Mewujudkan konflik dengan watak lain
Menyampaikan tema pengarang lebih jelas menerusi perwatakan watak

Karangan Pelancongan - Peranan Pelajar dalam Menjayakan Kempen Melawat Malaysia.


Pelancongan Peranan pelajar dalam menjayakan kempen melawat Malaysia?

Terlibat dalam aktiviti kempen tersebut.


Melancong di dalam negara


Membeli karf tangan buatan negara

Menulis surat kepada sahabat luar dan dalam negara mengenai keindahan negara

Plot - Cuba fahamkan ok


Plot Plot terdiri daripada permulaan,perkembangan, konflik, puncak dan peleraian. Biasanya soalan SPM akan menyoal aspek Peleraian, Puncak dan Konflik serta Permulaan. Peleraian ialah penutup- jelaskan anda suka atau tidak dengan penutup KT. Jelaskan juga kelebihan penutup novel itu mengikut pandangan anda. Puncak dalam KT ialah pembedahan yang menyaksikan Hilmi tidak mampu meneruskan tanggungjawabnya untuk mengendalikan konsert itu. Konflik memerlukan anda menerangkan masalah-masalah yang wujud seperti tindakan Azizah membuat fitnah terhadap Hilmi, masalah Hilmi dengan Datin dan Hilmi dengan Persatuan Muzik. Permulaan memerlukan anda jelaskan bagaimana Hilmi bertemu dengan Datin dan Hayati serta memperoleh kerja.

Karangan Modal Insan - Contoh Isi


Modal Insan?

Maksudnya –


Golongan remaja yang harus memiliki sikap positif


Sumber manusia yang mampu bersaing dalam dunia globalisasi

Manusia yang memiliki keupayaan untuk membangunkan negara


Peranan keluarga bentuk modal insan

Memberi teladan yang baik

Memberi kemudahan yang sesuai seperti pendidikan dan kewangan

Memberi kasih sayang yang cukup


Peranan kerajaan

Mewujudkan suasana negara yang sesuai untuk perkembangan minda remaja

Mewujudkan peluang kerja yang cukup

Pesanan Saya Buat Anda Semua...Moga Berjaya dan Lakukan Terbaik Untuk SPM 2007 Anda



Sudah pasti ini hari terakhir untuk pelajar-pelajar saya menyiapkan diri mereka untuk SPM. Sudah pasti mereka akan bertanya kepada saya, nasihat terakhir. Jawab saya mudah shaaja, buat yang terbaik dan fikir sebelum anda menulis jawapan.

Dalam hidup ini kita sering diberi peluang untuk membuktikan sesuatu. Kali ini anda semua diberi peluang untuk membuktikan siapa diri anda. Adakah anda mempunyai nilai? Adakah anda mempunyai prospek hidup? Adakah anda akan berjaya mengharungi kehidupan ini?

Sebenarnya, semua pelajar sudah bersedia. Cuma keadaan yang mendesak telah menyebabkan mereka semua tertanya-tanya mengenai keupayaan diri mereka. Keadaan ini menyebabkan ramai yang keliru dan cemas. Pelbagai soalan yang ditanya pada saat-saat akhir ini membuktikan pelajar memang cemas. Mereka seharusnya tenang.

Tenang? Pelajar harus melihat semua soalan-soalan ramalan yang sudah diberikan oleh guru mereka pada saat-saat akhir ini. Tiada lagi masa untuk membaca nota-nota yang panjang itu. Tiada lagi masa untuk melihat kandungan buku teks yang tebal itu. Tidak ada masa lagi untuk berbincang.

Semua nota dan seminar yang diberikan oleh guru-guru anda sudah cukup. Mereka sudah pasti membuat analisis yang lengkap sebelum memberi seminar kepada pelajar-pelajarnya. Untuk saya pula, pelajar seharusnya membaca nota seminar dan memasuki blog untuk pemerhatian terakhir.

Ketika menjawab soalan esok, pastikan anda membaca dan memahami soalan dengan baik. Setiap jawapan anda harus berkaitan dengan soalan yang ditanya. Anda harus berfikir dengan tenang dengan memberikan fokus 100% terhadap soalan BM esok. Jawab dengan tenang dan bijak. Rancang masa anda untuk setiap soalan.

Saya akan sering mendoakan kejayaan anda walaupun saya tiada di samping anda dan saya akan sentiasa berada di samping anda. Percayalah kerana anda pelajar saya buat selama-lamanya.

Selamat Hadapi SPM 2007.

Sudah baca Pusaran dan Peminangan Puteri Gunung Ledang?

Pusaran

Hubungan manusia dengan haiwan?

Mohsin peladang berjaya tetapi tidak mahu anaknya belajar tinggi, kenapa?

Kepercayaan karut dalam masyarakat melayu?

Bukti Pusaran dan Junid rapat?


Peminangan Puteri Gunung Ledang

Sebab sultan ingin kahwin semula?

Syarat-syarat peminangan?

Wakil peminangan sultan yang sebenar?

Peristiwa ganjil yang berlaku?

Sebab puteri memberikan syarat-syarat itu?

Serunai Malam - Fahamkan


Serunai Malam

Kebaikan dan keburukan menjadi guru?

Perbezaan watak Umar dan Safiah?

Cara-cara memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan remaja?

Sajak Anak Laut - Fakta Perlu diketahui


Anak Laut

Maksud kolek?

Bukti-bukti pendapatan nelayan rendah?

Cara-cara meningkatkan taraf hidup nelayan kita?

Sebab-sebab penyajak menyamakan anak laut dengan kolek?

Sajak Jalan-Jalanraya Kotaku - Fakta Penting Difahami


Jalan-jalan raya kotaku

Sikap pengguna jalan raya ?

Cara-cara mengurangkan kemalangan jalan raya?

Cara-cara memandu di jalan raya mengikut sajak ini?

Pertarungan Hang Tuah dan Jebat - Fakta Perlu Difahami


Pertarungan Hang Tuah dan Jebat

Siapa hero?

Sebab-sebab Hang Tuah menentang Hang Jebat?

Sebab-sebab Hang Jebat menentang Sultan?

Tindakan anda untuk menyelamarkan Hang Jebat?

Saturday, November 10, 2007

Bahasa Canggih Untuk Karangan?


Kata-kata Canggih

Eksistensi –kewujudan

Eksistensi masyarakat kita ditentukan melalui sikap toleransi

Elegan – anggun

Dia kelihatan begitu elegan dengan pakaian itu.

Irigasi – pengairan

Sistem irigasi yang baik memastikan tiada bencana alam.

Korelasi – hubung kait

Wujudnya korelasi antara kejadian ragut itu dengan pembunuhan tersebut.

Direktif – arahan

Perdan Menteri telah memberi direktif kepada pekerja sektor awam supaya lebih telus.

Kritikan Sosial Dalam Novel Konserto Terakhir? - Rangka Jawapan


Kritikan Sosial – pengarang menggunakan masalah yang wujud di dalam novel untuk menjelaskan keadaan yang sama berlaku dalam masyarakat kita.

Mementingkan darjat – Datin Salmah

Melupakan ajaran agama – Dato Johari

Masalah perkahwinan lumrah – Azizah dan Hilmi berpisah

Semangat Setiakawan Dalam Novel ? - Rangka Jawapan


Setiakawan – semangat tolong menolong antara sahabat

Mamat tolong Hilmi menulis surat dari kampungnya.

Mamat membantu Hilmi bertemu dengan Hayati di taman bunga sebelum Hayati ke London.

Mamat menemukan Hilmi dengan Encik Bakar.

Bandingkan Watak dan Perwatakan - Rangka Jawapan


Bandingkan watak dan perwatakan?

Sama

Hilmi dan Othman– berasal dari kg di Kedah.

Hilmi dan Othman – beriman kepada Tuhan

Hilmi dan Othman – tabah hadapi cabaran mereka

Perbezaan

Hilmi – bekerja sebagai pemuzik

Othman – bekerja sebagai polis

Hilmi – mati

Othman – menjadi cacat

Hilmi – isterinya hidup

Othman – isterinya menjadi gila

Friday, November 09, 2007

Mariah - Pastikan anda tahu jawapan soalan-soalan di bawah



Mariah

Perkara-perkara buruk yang dilakukan oleh ayah Mariah?

Peristiwa malang yang menimpa keluarga Mariah?

Tindakan anda sebagai Mariah jika menghadapi keadaan yang sama?

Sikap positif yang dimiliki oleh Mariah?

Peranan Cikgu Tini dan Borhan?

Konflik Novel - Rangka Jawapan


Konflik-konflik

Novel yang saya kaji adalah novel Konserto Terakhir yang ditulis oleh Abdullah Hussain.

Terdapat beberapa sebab pengarang menimbulkan konflik antara watak dalam novel ini.
Antaranya adalah konflik menjadikan cerita lebih menarik. Contohnya konflik Hilmi dengan Datin Salmah yang melibatkan hubungan Hilmi dengan Hayati.

Selain itu, konflik dapat memanjangkan cerita. Contohnya konflik Hilmi dan Datuk Johari berakhir apabila Datuk Johari mengetahui bahawa Hilmi ialah anaknya.

Di samping itu, konflik dapat memastikan plot berjalan lancar dan kemas. Contohnya, konflik Hilmi dengan Datin Salmah disambung dengan konflik Hilmi dan Azizah.

Akhir sekali, konflik dapat menguji perwatakan watak utama. Contohnya Hilmi yang berjaya menjadi pemuzik terkenal.

Rangka jawapan ini disediakan oleh pelajar saya YAP.

Unsur Suspens - Rangka Jawapan


Unsur suspens

Novel yang saya kaji adalah novel Konserto Terakhir yang ditulis oleh Abdullah Hussain.

Dalam novel ini terdapat banyak unsur suspens.

Antaranya adalah ketika Datuk Johari menerima surat daripada ayah Hilmi yang memanggil Hilmi untuk pulang ke kampung kerana ayahnya sakit. Rupanya surat itu merupakan surat palsu yang ditulis oleh Mamat.

Selain itu, ketika Konsert Perdana hampir bermula, Hilmi telah hilangkan diri. Rupanya Hilmi telah sakit dan dibawa ke hospital dan Hayati yang mengantikan Hilmi dalam Konsert Perdana.

Akhir sekali, ketika Hilmi dibawa ke hospital, semua orang berasa risau. Malangnya, Hilmi telah sakit tenat dan meninggal dunia.

Rangka jawapan ini disediakan oleh pelajar saya YAP.

Teknik Plot - Rangka Jawapan


Teknik Plot

Novel yang saya kaji adalah novel Bukit Kepong yang ditulis oleh Ismail Johari.

Teknik plot yang digunakan dalam novel ini ialah teknik dialog. Contohnya dialog antara Pon Khalid dengan suaminya tentang lembaga yang dilihat oleh Pon Khalid di luar rumahnya.

Selain itu, pengarang juga menggunakan teknik monolog dalaman. Contohnya, Othman berkata-kata sendirian dalam hati tentang kedudukan Bukit Kepong yang sangat jauh.

Pengarang juga menggunakan teknik pemerian. Pengarang menggambarkan keadaan Othman sebagai berkulit gelap sedikit tetapi tegap.

Di samping itu, teknik suspens juga digunakan dalam novel ini. Contohnya, peristiwa penumpang bas yang ditahan oleh komunis dan semuanya disuruh menanggalkan pakaian mereka.

Akhir sekali, pengarang juga menggunakan teknik kejutan. Contohnya watak Limah yang digambarkan sebagai wanita yang lemah-lembut telah menjadi gila semasa menerima berita palsu tentang kematian Othman.

Rangka jawapan ini disediakan oleh pelajar saya Yap.

Thursday, November 08, 2007

Karangan Rasuah - Rangka Karangan


Amalan Rasuah

Punca dan langkah mengatasi?

Maksud – membantu seseorang dengan mengharapkan bantuan balas.

Makan suap, duit bawah meja, duit kopi

Punca

Sikap mengutamakan kebendaan

Undang-undang yang tidak ketat

Sikap masyarakat yang mengambar rasuah sudah menjadi satu budaya hidup

Langkah atasi

Ketatkan undang-undang

Kempen kesedaran

Menanam sikap bertanggungjawab dalam diri remaja

Menjadikan proses permohonan dan perniagaan lebih telus

Karangan Vandalisme - Rangka Karangan


Maksud – Gejala memusnahkan kemudahan awam terutama tandas dan pondok telefon.

Punca-punca?

Kurangnya kesedaran sivik masyarakat terutama dalam kalangan remaja .

Pengaruh rakan untuk memusnahkan kemudahan awam sebagai tanda menjadi ahli kumpulan.

Kurangnya pengawasan pihak berkuasa terhadap kemudahan awam ini.

Remaja tidak mempunyai apa-apa untuk dilakukan.

Karangan Mat Rempit - Rangka Karangan


Maksudnya – Pelumba haram

Langkah mengatasi?

Ketatkan penguatkuasaan seperti sekatan jalan raya lebih ketat terutama di kawasan berisiko tinggi untuk dijadikan kawasan perlumbaan.

Mengetatkan pemberian lesen motosikal terutama kepada remaja.

Menjalankan kempen kesedaran terutama kesan negatif mat rempit

Menjalankan lebih banyak program untuk remaja seperti mewujudkan litar khas untuk mereka berlumba

Fakta Penting Di Sisi Rinda



§ Kesan peperangan terhadap sesebuah negara dan masyarakat?

§ Kesan psikologi terhadap seseorang?

§ Konsep magis dalam masyarakat?

§ Hubungan persahabatan yang sejati

§ Tindakan bijak dalam menerima kesusahan?

Fakta Penting Virus Zel Untuk Abah


Virus Zel untuk Abah

§ Keluarga penting dalam kesejahteraan anak?

§ Siapa ego?

§ Sikap remaja zaman sekarang?

§ Tindakan anda sebagai sahabat?

§ Tindakan anda sebagai abah?

§ Konsep Ibu Tunggal dalam masyarakat

Tuesday, November 06, 2007

Karangan Pengangkutan Awam


Sistem rangkaian pengangkutan awam di negara ini cuba disatukan tetapi usaha itu masih di peringkat awal untuk menilai kejayaannya.

Terangkan kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam di negara ini.

Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.

Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.

Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.

Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.

Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.

Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak dan sudah lama serta masih gagal diselesaikan. Situasi ini berlaku kerana kurangnya kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menanganinya. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, kerajaan pula terus berdiam diri dan hanya bertindak apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini.

Karangan Semangat Nasionalisme Remaja


Semangat kebangsaan dalam kalangan remaja semakin menipis. Keadaan ini sering dikaitkan dengan perubahan kehidupan masyarakat kita.

Nyatakan usaha-usaha untuk memupuk dan kepentingan memiliki semangat ini kepada remaja.

Semangat kebangsaan merujuk sikap cinta akan negara atau nasionalisme yang mendalam terhadap negara yang tercinta. Sememangnya semangat nasionalisme ini semakin berkurangan terutama dalam kalangan generasi muda kita lantaran corak kehidupan yang semakin berubah selari dengan perubahan zaman. Maka, banyak tindakan yang mampu dilaksanakan untuk memastikan sikap ini terus wujud kerana sikap ini memiliki kesan yang positif.

Tindakan yang pertama ialah subjek sejarah yang diajar di sekolah dilaksanakan secara meluas. Pelajaran sejarah penting ditekankan kerana subjek ini mampu memberi rasa cinta yang meluas dalam diri remaja. Pemahaman tentang sejarah ini menyedarkan remaja mengenai kepentingan memiliki sikap menyintai negara yang mendalam. Jadi, langkah menjadikan subjek sejarah ini mampu menyuntik sikap nasionalisme dalam diri masyarakat terutamanya remaja.

Selain itu, kerajaan boleh menonjolkan pejuang-pejuang negara yang sanggup berkorban demi kedaulatan negara ketika hari Kebangsaan. Penonjolan ini boleh dilakukan melalui penggunaan media massa dengan menyiarkan maklumat diri pejuang-pejuang tersebut beserta kepentingan tindakan mereka dalam menentukan hala tuju kemerdekaan negara pada masa lampau. Langkah ini mampu meningkatkan pemahaman remaja tentang sebab musabab yang membawa kepada pejuang negara itu melakukan sesuatu tindakan yang dipelajari dalam subjek sejarah. Ringkasnya, langkah mempamerkan informasi tentang pejuang-pejuang negara ini mampu meningkatkan semangat remaja untuk meniru semangat yang telah dipamerkan oleh pejuang-pejuang bangsa itu sebelum ini.

Malah, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan boleh menjalankan satu pertandingan yang melibatkan remaja seperti deklamasi sajak, menulis esei, dan pementasan drama yang bertemakan semangat kebangsaan. Aktiviti ini dapat memastikan remaja menyelami dan memahami peristiwa yang dialami oleh pejuang-pejuang negara secara lebih mendalam lagi. Pertandingan yang berunsur sastera ini dapat mendekatkan remaja dengan pejuang-pejuang negara yang sudah lama meninggalkan negara ini. Maka, aktiviti berunsur pertandingan sastera ini memberi satu dimensi baru kepada remaja untuk mencintai negara mereka.

Kerajaan boleh menonjolkan kejayaan negara dalam semua aspek kehidupan masyarakat. Kejayaan ini mungkin diperoleh melalui kejayaan melangsungkan kejohanan sukan, memenangi sesuatu anugerah, dan pencapaian luar biasa rakyat kita dalam sesuatu perkara. Kejayaan rakyat kita mendaki Gunung Everest dan penghasilan kereta nasional mampu meningkatkan sikap cinta akan negara ini selain kemampuan negara dalam menganjurkan Sukan Komanwel suatu masa dahulu. Perkara ini penting ditekankan supaya remaja mempunyai sesuatu perkara yang boleh mereka banggakan dan kaitkan dengan negara apabila berbicara tentang negara sendiri. Sesungguhnya, semua kejayaan negara memberikan satu motivasi yang tinggi kepada remaja untuk turut mencapai kejayaan yang serupa atau menghasilkan kejayaan yang lebih baik lagi.

Sebenarnya, kepentingan utama memiliki semangat cinta akan negara ialah rakyat di negara ini mampu mengukuhkan perpaduan antara mereka. Semua pihak menyedari bahawa perpaduanlah yang menjamin kejayaan mereka di Malaysia ini. Semua memahami bahawa sikap mementingkan negara menyelamatkan negara daripada kancah pergaduhan antara kaum. Jelaslah, semangat cinta akan negara membentuk masyarakat kita menghargai perpaduan dan berfikiran matang.

Kesimpulannya, pemupukan semangat kebangsaan memang menjadi perkara penting dalam pembangunan negara sejak dahulu. Pemupukan ini penting supaya remaja tidak lupa akan perjuangan yang sudah dilakukan oleh generasi terdahulu dan membiarkan pengorbanan mereka menjadi sia-sia belaka. Mungkin remaja sekarang harus merenung dan bertanya kepada diri sendiri, “apa yang mampu mereka sumbangkan kepada negara” dan bukannya “apa yang mampu diberikan oleh negara kepada mereka”.

Karangan Buli


Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar.

Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.

Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kapada masalah kes buli ini.

Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan.

Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.

Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.

Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti-buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.

Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan info yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah.

Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.

Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha

untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.

Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.

Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.