Tuesday, October 31, 2006

Pusaran bukti haiwan dan manusia saling memerlukan


Kalau ada orang mengatakan bahawa anak saya kembar dengan haiwan sudah pasti orang itu akan menjadi sasaran penangan saya yang kuat ini. Mana boleh manusia disamakan dengan haiwan? Itulah antara persoalan yang begitu ketara dalam Cerpen Pusaran. Saya sendiri meminati cerita ini kerana jalan ceritanya yang menarik dan penuh dengan imbasan zaman kanak-kanak saya.

Dalam cerpen ini konsep percaya amalan karut masih tebal dalam pemikiran masyarakat kita terutama orang Melayu. Apabila Pak cik Kar mengatakan bahawa Junid dan Pusaran kembar, masyarakat kampung mula mempercayainya. Kita harus sedar kepercayaan yang menebal ini berpunca daripada amalan mempercayai bomoh sebagai sebahagian pemimpin masyarakat Melayu. Malah, bomoh sudah menjadi sebahagian budaya orang Melayu itu sendiri. Bomoh juga sering dikaitkan dengan unsur-unsur yang tidak dapat difikirkan oleh minda saintifik dan penyakit-penyakit ganjil yang dialami oleh seseorang itu.

Dalam cerpen ini kepentingan amalan agama turut digambarkan melalui upacara korban yang diamalkan oleh penduduk kampung. Korban pada masyarakat Melayu dikaitkan dengan rasa syukur atas nikmat Tuhan. Korban juga menjadi tanda kerjasama antara masyarakat. Korban juga merupakan sebahagian konsep memberi kepada yang memerlukan.

Pelajar harus memikirkan sebab Mohsin tidak membenarkan anaknya belajar lebih daripada Darjah Enam? Antaranya Mohsin mahu mereka bekerja di kebun kelapanya, sawah padinya atau menjaga ternakannya. Mohsin juga menganggap ilmu itu cukup setakat tahu membaca, mengira, dan menulis. Mungkin ini konsep minda orang kampung terhadap pentingnya pendidikan itu. Hanya cukup makan sahaja.

Namun, kalau dikaji lebih mendalam, Mohsin lambang petani berjaya kerana mempunyai kebun kelapa, sawah padi, dan ternakan. Malah, dia mampu mengorbankan haiwan turut menjadi bukti betapa berjayanya hidup beliau di kampung itu. Beliau bukan sahaja rajin tetapi pandai menguruskan “perniagaannya” dengan berkesan sekali. Usah lupa juga, Mohsin penyayang kerana sanggup membatalkan upacara korban itu setelah diberi nasihat oleh lebai kampung itu dan melihat kesungguhan Junid merayu.

Junid dan Pusaran digambarkan sebagai makhluk Tuhan yang berbeza tetapi saling memerlukan. Mereka pernah cuba dipisahkan oleh Mohsin tetapi gagal. Junid demam manakala Pusaran tidak “galak” iaitu tidak cergas dan tiada selera makan. Keakraban ini seolah-olah membuktikan kata-kata Pak cik Kar itu.

Mungkin cerpen ini cuba membawa pelajar memahami erti hubungan luar tabii yang jarang-jarang kita lihat iaitu manusia dan haiwan mampu hidup bersama. Kita memerlukan haiwan itu satu kenyataan tetapi hakikatnya haiwan tidak memerlukan kita untuk mereka hidup. Jadi, manusia harus menghormati haiwan lebih bermakna. Kita tidak seharusnya melihat haiwan sebelah mata tetapi menganggap mereka ciptaan Tuhan yang perlu diberi pertimbangan seperti manusia biasa.

Monday, October 30, 2006

Siapa hero, Jebat atau Tuah?



Dalam Pertarungan Hang Tuah dengan Jebat ada beberapa perkara penting yang perlu pelajar semua fahami. Pertama ialah siapakah pada pandangan pelajar merupakan watak hero atau pahlawan dalam cerita ini. Sudah pasti jawapan pelajar semua berbeza. Bukan? Pada pandangan saya kedua-duanya memang hero.

Kenapa saya mengatakan bahawa Tuah merupakan hero dalam cerita ini? Mudah sahaja, beliau setia kepada sultan walaupun sultan pernah menitahkan beliau dibunuh dan kedua beliau sanggup membunuh sahabatnya kerana diarahkan begitu oleh sultan. Saya juga menganggap Tuah hero kerana beliau sanggup menegakkan keadilan dengan membunuh sahabatnya. Paling penting Tuah mngutamakan rakyat daripada sahabatnya sendiri.

Jebat pun hero kerana beliau sanggup mempertahankan sahabatnya yang difitnah. Beliau juga dianggap hero oleh saya kerana sanggup menentang pemerintah yang dianggap sebagai zalim dan tidak menggunakan akal untuk menjatuhkan hukuman. Beliau juga saya anggap hero kerana sanggup membiarkan dirinya dibunuh oleh Tuah walaupun beliau memiliki keris Taming Sari.

Dalam cerita ini, pelajar harus juga memahami cara-cara yang boleh dilakukan oleh Tuah untuk menyelamatkan sahabatnya. Pada saya, Tuah seharusnya memberi peluang Jebat melarikan diri ke tempat yang jauh. Tuah juga seharusnya memohon Sultan supaya mengurangkan hukuman terhadap Jebat atau membicarakan Jebat bukannya membunuh. Tuah juga pada pandangan saya harus memikirkan sebab Jebat menderhaka dan membantunya menentang Sultan yang tidak pandai memerintah itu.

Selain itu, pelajar harus memikirkan sebab Jebat menyerahkan anaknya kepada Tuah. Kalau lelaki, Jebat berharap Tuah akan menjaganya. Penyerahan ini dilakukan kerana Jebat berpendapat masa depan anaknya lebih cerah kalau dipelihara oleh Tuah. Lagipun, anaknya akan selamat kerana tiada siapa yang berani menentang Tuah untuk membunuh anak Jebat. Saya juga menganggap penyerahan ini lambang persahabatan mereka yang erat.

Satu kosa kata yang menarik minat saya ialah rosak bawang kerana jambaknya. Ungkapan ini diungkap oleh Jebat kerana pada beliau sultan yang tidak berwibawa ketika memerintah akan membawa kesusahan kepada rakyatnya. Jadi, pada beliau Sultan seperti ini boleh ditentang demi kebaikan rakyat keseluruhannya.

Ketika mengajar, ramai pelajar bertanyakan saya adakah tindakan Jebat itu tepat? Entahlah saya sendiri tidak pasti tetapi kalau dikaji teliti saya rasa Jebat sepatutnya menggunakan kaedah lain untuk menentang Sultan itu. Jebat boleh tidak mematuhi semua arahan Sultan atau Jebat boleh membunuh Sultan itu sahaja. Jebat tidak seharusnya membunuh rakyat terutama wanita yang tidak berdosa untuk mencapai tujuan penentangnnya.

Sebenarnya, cerita ini banyak memberi pengajaran kepada kita semua. Perkara paling penting ialah sahabat. Manusia yang tidak mempunyai sahabat pada pandangan saya bukanlah manusia yang menghargai erti kemanusiaan. Manusia yang tanpa sahabat merupakan manusia yang penuh kesunyian. Manusia tanpa sahabat umpama rumah tiada penghuni.

Cuba lihat siapa sahabat anda? Sanggupkah anda mempertahankan sahabat anda?

Sunday, October 29, 2006

Dilema kebanjiran tenaga buruh asing di Malaysia


Sebenarnya kehadiran tenaga kerja asing di negara kita memang membawa pelbagai kesan. Ada pihak yang melihatnya kesan negatif dan ada juga yang melihatnya sebagai kesan positif. Mungkin perkara ini memerlukan penelitian yang lebih mendalam daripada semua pihak terutama kerajaan.

Satu perkara yang kita semua harus akui ialah pekerja asing ini telah memberi sumbangan terhadap pertumbuhan ekonomi negara kita. Lihat sahaja sektor pembinaan negara yang memerlukan pekerja yang ramai. Bangunan-bangunan yang tinggi di ibu kota semuanya didirikan hasil titik peluh pekerja asing yang sanggup bekerja keras dengan bayaran yang minimun mungkin.

Bukan itu sahaja, sektor pembuatan negara terutama industri kecil dan sederhana mampu bersaing dengan negara-negara lain kerana menggaji pekerja asing. Kadar upah yang secara relatifnya rendah berbanding mengupah pekerja tempatan menyebabkan sektor industri kita mampu mengeksport barangan lebih murah ke negara-negara lain. Keadaan ini secara tidak langsung turut menjana pertumbuhan pesat eksport negara.

Kehadiran pekerja asing ini turut meningkatkan imej negara sebagai sebuah negara yang membangun. Kalau kita kaji secara teliti, semua rakyat negara maju tidak lagi suka melakukan kerja-kerja yang kotor, tidak berstatus, dan memerlukan kudrat yang tinggi. Jadi, sikap yang diamalkan oleh rakyat kita ini selaras dengan ciri-ciri negara maju yang lain. Kekosongan dalam sektor ini yang menyebabkan pekerja asing membanjiri negara kita.

Namun, kesan positif yang dihasilkan itu turut mengundang bencana terhadap negara kita. Kalau kita selidik, jumlah pekerja asing yang memasuki negara kita ramai yang tidak berdaftar atau lebih tepat masuk secara haram. Keadaan ini menyebabkan timbulnya pelbagai gejala tidak sihat yang sering dikaitkan dengan mereka. Kesukaran untuk mengenal pasti dan mengawal kebanjiran pekerja asing secara haram ini telah memeningkan kerajaan. Pelbagai langkah telah dicuba tetapi hasilnya masih tidak meyakinkan kita.

Kemunculan pekerja asing turut menimbulkan persoalan budaya. Kebanyakan pekerja asing ini datangnya daripada Indonesia, Vietnam, Myammar, India, Filipina, dan Thailand yang telah mengasimilasikan budaya mereka ke dalam budaya kita. Lihat sahaja kelakuan mereka ketika berada di tempat-tempat awam yang jauh berbeza dengan budaya masyarakat tempatan. Dalam keghairahan kita menerima mereka, kita juga harus sedar perbezaan budaya yang wujud antara kita dengan mereka.

Persoalan budaya ini kalau dipanjangkan turut membeir kesan terhadap remaja kita. Remaja kita sudah pasti akan terpengaruh dengan kehadiran budaya baru ini. Mungkinkah bahasa kita akan bertukar seiring dengan wujudnya bahasa asing ini? Mungkin perkara itu tidak akan berlaku tetapi sedikit sebanyak kita akan menerima kesannya jua.

Isu penderaan pekerja asing terutama pembantu rumah turut mengejutkan kita. Keadaan ini bukan sahaja menjatuhkan imej negara malah membuktikan betapa masalah pekerja asing ini tidak ditangani dengan sistematik. Ketiadaan peruntukkan yang kuat untuk menjaga nasib pekerja asing telah banyak kali menjadi perhatian media massa. Pekerja asing tiada mempunyai tempat untuk mengadu hal mereka. Mungkin kerajaan harus mengambil langkah lebih keras dalam menangani isu penderaan ini.

Maka, isu pekerja asing bukanlah satu isu yang mudah ditangani. Kemelut ini memerlukan satu badan bertindak khas untuk memastikan semua pihak menerima pembelaan yang sewajarnya. Kita tidak boleh menganggap pekerja asing satu masalah sementara sahaja tetapi satu masalah yang hanya menanti masa untuk meletup menjadi isu yang lebih besar dan bahaya.

Saya suka jadi artis?


Saya berpendapat hidup sebagai artis mempunyai kenikmatannya. Malah, saya rasa ketika kecil saya sendiri terfikir untuk menjadi artis. Mungkin saya sesuai menjadi pelakon? Atau mungkin saya sesuai menjadi penyanyi? Entahlah yang pasti kerjaya artis ini memang menjadi perhatian masyarakat yang ingin mengetahui perkembangan hidup mereka. Media massa pula sering memaparkan isu artis pada dada akhbar mereka.

Justeru itu, ramai pihak terutama remaja akan menjadikan artis sebagai idola mereka. Artis dianggap sebagai alat untuk menjadikan impian remaja menjadi kenyataan. Bagaimana impian remaja ini menjadi kenyataan? Mudah sahaja mereka akan meniru cara berpakaian, bertutur, dan ada yang mengikuti seluruh kehidupan artis kesayangan mereka itu tanpa ada sebarang pemikiran rasional. Maksud saya adakah peniruan itu sesuai dengan budaya dan kehidupan remaja itu sendiri?

Ambil contoh sahaja artis barat atau tempatan yang berpakaian mencolok mata. Remaja yang tidak berfikiran rasional akan terus menirunya tanpa memikirkan umur mereka yang masih muda, peraturan pihak sekolah dan perasaan ibu bapa mereka. Pada remaja, peniruan cara berpakaian itu sudah menjadi bukti betapa setianya mereka terhadap artis itu. Adakah ini satu peniruan yang baik?

Malah ada artis yang turut terbabit dalam kegiatan jenayah dan gejala yang tidak sihat tetapi masih diminati oleh remaja. Banyak alasan yang diberikan oleh mereka seperti suara atau lakonan mereka sungguh menarik. Persoalannya sekarang ialah remaja harus pandai memisahkan antara realiti dengan lakonan. Remaja harus bijak mengambil perkara yang positif dan bukannya meniru membabi-buta sahaja.

Kegilaan remaja terhadap artis turut menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran. Saya percaya ramai pelajar saya lebih suka membicarakan persoalan artis daripada watak protagonis dalam Konserto Terakhir. Isu yang menyentuh artis lebih sensasi dan menimbulkan rasa teruja yang meluap-luap di dalam hati remaja. Jadi, pada remaja persoalan protagonis ke, antagonis ke atau watak bundar hanyalah isu sampingan belaka. Artis mampu melalaikan tanggungjawab remaja terhadap pelajaran.

Jadi, bagaimana sikap mendewa-dewakan artis ini mampu dibendung? Mudah sahaja, artis harus menunjukkan contoh teladan yang positif. Mereka harus ingat sebagai artis mereka akan terus menjadi sasaran remaja. Artis harus mendukung wawasan negara untuk mendidik remaja. Artis sama juga seperti guru mempunyai peranan untuk mendidik remaja. Bezanya, kehidupan artis penuh sensasi. Bukannya seperti guru yang tidak pernah dicari oleh juru gambar akhbar untuk mencuri wajahnya.

Cuma, untuk menyalahkan artis sahaja pun kurang tepat kerana artis sebenarnya mempunyai peranan besar bukan setakat memberi hiburan kepada masyarakat. Kehidupan artis yang menjadi tumpuan remaja harus disalurkan ke arah aktiviti yang berkesan. Artis sepatutnya digunakan untuk memancing remaja ke arah kehidupan yang bermakna. Macam kata saya pada awal blog ini iaitu artis boleh menjadi idola kita. Cuma idola yang bagaimana kita mahukan. Positif atau negatif?

Saturday, October 21, 2006

Jasa Penulis kepada masyarakat dan negara?


Untuk pengetahuan pelajar, penulis memang membawa banyak faedah kepada masyarakat. Konsep penulis yang saya gunakan dalam persoalan ini ialah orang yang menulis sajak, cerpen, berita, novel, dan apa-apa yang berkaitan dalam bidang penulisan. Malah, saya sendiri pun terlibat dalam bidang yang saya anggap penuh dengan prospek ini.

Penulis menulis bukan sahaja untuk mencari keagungan diri mereka tetapi untuk menyedarkan orang lain tentang masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Pengalaman atau cerita yang mereka karang itu cuba memahami masalah dan isu yang melanda masyarakat atau sesebuah negara. Ambil contoh, Bukit Kepong yang menyaksikan pengarangnya cuba menggarap apabila masalah kekejaman telah meragut kebahagiaan satu keluarga yang bahagia.

Penulisan turut memberi satu ruang kepada penulis untuk menyampaikan idea mereka atau cadangan mereka mengenai sesuatu perkara. Bukit Kepong banyak menyelitkan unsur-unsur ini seperti mengajar kita supaya bekerjasama ketika menghadapi musuh negara. Tanpa kerjasama sudah pasti negara akan menuju ke arah kemusnahan. Pengarang akan cuba memberikan pendapat mereka secara tersirat di dalam buku atau karya mereka.

Sementara itu, sajak Di Kota Kecilku begitu menyayatkan hati saya kerana sajak ini menyedarkan betapa pentingnya mengenang asal-usul kita. Kampung halaman usah dibuang jauh-jauh. Pengorbanan ibu bapa dan orang lain harus dihargai. Sajak ini cuba mengajar remaja supaya menyedari betapa pentingnya rasa penghargaan terhadap sesuatu itu. Sesungguhnya, penulis menanam sikap positif ke dalam jiwa masyarakat.

Penulis yang banyak berkarya sudah pasti memberi dorongan kepada masyarakat untuk membaca. Sikap membaca sudah pasti memberikan imej yang baik dan memberi nafas baru terhadap industri penerbitan buku di negara ini. Masyarakat yang suka membaca juga mampu mempunyai minda yang terbuka dalam menerima pelbagai idea baru dunia. Lihat sahaja orang Jepun yang suka membaca, negara mereka begitu maju dan mampu melakukan banyak perkara yang kita sendiri kagum.

Malah, penulis juga boleh menjadi idola kepada remaja. Gaya tersendiri A.Samad Said mungkin telah memberikan ilham kepada remaja untuk menulis. Peluang kerjaya dalam bidang ini masih terbuka luas. Remaja yang suka membaca sudah pasti tidak menghabiskan masa sia-sia seperti melepak dan menghabiskan masa di depan komputer.

Cuma satu perkara yang masih memeningkan minda saya ialah masyarakat enggan membaca. Mereka tidak mahu membeli buku, majalah, atau apa-apa bahan bacaan pun. Mereka lebih suka membelek-belek sahaja dan membaca secara percuma di kedai-kedia buku. Mereka tidak segan-silu membaca secara percuma. Mungkin mereka tidak sedar bahawa mereka sedang memeras peluh penulis secara percuma jua.

Friday, October 20, 2006

Hari Terakhir Mengajar


Hari ini merupakan hari terakhir saya menemui pelajar saya. Hari ini agak emosional buat saya. Malah, ada juga beberapa pelajar yang gugur air matanya. Saya masih mampu menahan derita. Cerahan lampu kamera menyuluh bilik guru. Ramai yang mengambil kesempatan untuk mengabadikan kenangan mereka bersama guru. Hati saya mula tergetar.

Ini merupakan salah satu peristiwa yang menyebabkan saya gembira menjadi guru. Suara-suara terima kasih pelajar mengegar telinga ini. Sentuhan salam mereka memberi satu kejutan tenaga kepada saya. Senyuman manis mereka memberi saya satu harapan tentang generasi muda Malaysia. Harapan yang penuh kepastian sejati. Saya sering tergambarkan suasana ini sebelum menyertai perkhidmatan ini suatu masa dahulu. Begitu nyata gambarannya.

Dalam suasana ceria berbaur sedih ini, saya melihat satu demi satu pelajar saya hilang dari kelas saya. Kini, saya bersendirian seketika. Hanya dinding yang menjadi teman. Hanya lampu kalimantan yang menyinari muka saya. Namun, saya masih enggan berganjak dari kelas itu. Rasa berat untuk meninggalkannya. Yelah, hampir dua tahun bersama mereka dan kini mereka sudah tiada.

Ketika berjalan menuju ke LRT, langkah saya terasa berat. Sekali-sekala, suara pelajar mengucap terima kasih masih kedengaran. Saya hanya mampu mengangkat tangan tanda reaksi. Senyuman turut saya lemparkan. Langkah kaki saya terus kaku seolah-olah menyedari kesedihan yang mula membakar hati saya. Hujan yang turun tadi memberi satu dimensi yang penuh kepiluan di dalam sanubari ini. Lantas, air mata saya mula mengalir sedikit demi sedikit tanpa sekatan lagi.

Untuk semua pelajar saya, sekalung ucapan terima kasih saya campakkan kepada kamu semua. Terima kasih kerana sudi memasuki kelas saya. Terima kasih kerana memberi sokongan dan kerjasama kepada saya. Terima kasih kerana sanggup mendengar kuliah dan celoteh saya. Terima kasih juga kerana sanggup menerima saya sebagai guru anda. Terima kasih atas segala-galanya.

Moga kita bertemu pada masa dan tempat yang berbeda. Moga anda semua berjaya dalam SPM 2006.

Tuesday, October 17, 2006

Kempen Budi Bahasa wajar dijalankan?


Saya menggunakan perkhidmatan LRT apabila pergi dan balik dari mengajar. Jadi, ketika menunggu LRT, saya sering terserempak dengan pelajar-pelajar saya. Ada yang berani dan berbual dengan saya. Ada juga yang hanya tersenyum sahaja. Namun, ada yang terus melambai-lambai ke arah saya. Apabila saya fikirkan semua itu, hati saya rasa gembira. Penat mengajar tiba-tiba hilang.

Cuma kali ini cerita saya bukan tentang kegembiraan saya tetapi sikap remaja kini yang mungkin sudah melupakan sedikit budi bahasa. Maklumlah zaman globalisasi yang penuh dugaan ini, remajanya mestilah canggih. Bukan sahaja remaja canggih, sikap mereka pun canggih. Kadangkala saya sendiri terkejut dengan gaya mereka.

Sekali itu, sebaik sahaja saya sampai di platform menunggu LRT sekumpulan pelajar menghampiri saya sambil menggayakan tangan mereka umpama penyanyi RAP yang terkenal. Saya terpinga-pinga melihatnya. Pelajar-pelajar saya pula ketawa melihat reaksi saya. Dulu, apabila saya bertembung dengan guru, kata-kata salam atau selamat pagi kedengaran. Kini suara-suara RAP pula terutama YO Brother.

Mungkin kerajaan perlu mengadakan kempen untuk menyedarkan remaja peri pentingnya budi bahasa kita. Kempen terutama penyiaran iklan haruslah menggunakan remaja sebagai fokur utama pengajarannya. Remaja ditegaskan supaya menghargai dan mengamalkan amalan budi bahasa yang luhur bukannya yang diimport dari luar negara.

Peranan ibu bapa turut penting dalam mendidik anak. Ibu bapa yang berbudi bahasa memainkan usaha awal untuk menyemai rasa berbudi bahasa ini. Remaja yang tidak dididik sejak kecil akan menganggap budi bahasa sudah lapuk dan tidak mengikuti peredaran zaman. Pada mereka, siapa lagi yang mahu menunduk kepala dan bahu tanda hormat apabila melintas di hadapan orang tua? Mereka pastinya tidak mahu.

Diri remaja juga perlu diteliti kerana remaja yang mempunyai jati diri yang tinggi tidak akan mudah menerima unsur asing tanpa menapisnya. Remaja yang mudah menyerah dan tidak memikirkan sebab dan akibat secara mendalam menjadi remaja yang mudah diperkotak-katikkan oleh budaya asing ini. Remaja yang berjati diri tinggi sudah pasti mempunyai budi bahasa yang sopan.

Masyarakat turut harus dipersalahkan kerana membiarkan remaja menjadi sukar dikawal. Kita tidak mendengar kesungguhan masyarakat untuk membendung sikap remaja yang tidak berbudi bahasa ini. Masyarakat menganggap remaja yang tidak berbudi bahasa merupakan masalah dalaman sesebuah keluarga. Mereka lebih suka menutup sebelah mata dan berharap anak mereka tidak sebegitu.

Penyiaran filem terutama filem barat turut menyebarkan budaya kuning yang terus mengikis budi bahasa masyarakat kita. Filem-filem yang ditayangkan terus sahaja diterima budayanya oleh remaja kita tanpa memikirkan kesesuaian dengan budaya kita. Memang semu orang ingin kemajuan tetapi adakah pemodenan itu turut membuang identiti bangsa dan kesopanan kita? Mungkin itu yang kurang di dalam hati remaja dan masyarakat kita secara amnya.

Salah remaja? Mungkin tidak kerana media massa begitu lantang memaparkan budaya barat yang langsung tidak memikirkan budi bahasa. Tiada lagi tanda hormat kepada ibu bapa atau guru. Sebaliknya golongan ini dipanggil mengikut nama tanpa segan silu. Remaja seolah-olah dirasuk apabila menggunakan ungkapan-ungkapan barat ini.

Entahlah, kalau saya remaja mungkin saya juga berkelakuan sebegitu. Saya setuju kalau remaja berpendapat tanda hormat itu hanya luaran tetapi lebih penting sama ada mereka maksudkan atau hanya berpura-pura. Buat apa hormat di depan kalau di belakang mengutuk guru atau ibu bapa balas pelajar-pelajar saya. Itu saya tidak pasti.

Mungkin sebab umur saya sudah menuju ke arah era senja, minda saya berfikiran seperti orang tua. Mungkin. Cuma, budi bahasa penting dalam hidup seseorang terutama ketika kemanusiaan semakin menghilang ini. Percayalah pelajar-pelajarku.

Sunday, October 15, 2006

Pertanian dianggap bidang kelas kedua?

Bidang pertanian merupakan bidang yang saya kagumi. Rasa itu timbul kerana melihatkan kegigihan peladang mengerjakan tanah mereka dengan peluh yang mencurah-curah. Lagipun, tidak ramai masyarakat kita yang suka bekerja begitu kini. Remaja lebih suka bekerja di pejabat yang berhawa dingin. Mungkin kita semua harus melihat sektor ini lebih telus lagi.

Pertanian mampu menjana ekonomi negara kerana hasil sektor ini boleh dieksport ke luar negara dengan banyak. Negara jiran kita Singapura merupakan antara pembeli utama sayur negara. Sudah pasti ini memberi kelebihan kepada kita dalam imbangan eksport. Malah, kejayaan sektor ini sudah pasti membuka peluang industri lain seperti pembuatan jentera dan penghasilan produk sampingan lain.

Saya juga beranggapan bahawa sektor ini memberi unsur kehijauan negara. Memang saya tidak nafikan tanah akan diterangkan untuk membuka kebun atau ladang sayur tetapi sekurang-kurangnya tanah kita masih berwarna hijau. Kalau dibina rumah sudah pasti kehijauan itu hilang tetapi ladang sayur memastikan udara kita masih bersih dan segar. Tambahan pula, tiada pencemaran alam atau kemusnahan bentuk muka bumi yang ketara berlaku.

Negara kita mula memberi perhatian sektor ini selepas kegawatan ekonomi yang melanda negara era 1990-an. Kerajaan mula menyedari bahawa sektor ini mampu mengurangkan pengantungan negara terhadap bahan import terutama makanan. Kalau negara mengalami kemelesetan ekonomi, sekurang-kurangnya rakyat negara kita masih mempunyai makanan yang cukup lantaran sektor pertanian kita dimajukan.

Malah, negara kita bukan sahaja mempunyai Program Buku Hijau malah kini mempunyai Dasar Pertanian Negara. Usaha kerajaan ini membuktikan betapa pertanian sudah menjadi sesuatu perkara penting dalam memastikan pembangunan negara tidak terganggu lagi. Dasar ini juga seolah-olah memberi status baru kepada peladang yang suatu ketika dahulu dianggap kerjaya yang mengotorkan.

Peluang pekerjaan turut meningkat dengan pembukaan ladang sayur. Biasanya, aktiviti di ladang sayur memerlukan tenaga buruh yang ramai. Situasi ini memastikan rakyat negara ini diperlukan dalam memastikanm hasil pertanian dapat sampai ke tangan pengguna dengan cepat dan segar. Jadi, kurang pengangguran.

Bidang ini boleh dimajukan melalui penggunaan teknologi dan sains seperti penggunaan jentera yang lebih moden dan sesuai. Penggunaan baja dan teknik baru penanaman turut membolehkan hasil tanaman lebih banyak. Penggunaan teknologi penting dalam era pertanian moden.
Institusi pengajian tinggi awam turut berperanan memajukan sektor ini melalui pengenalan pelbagai kursus pertanian. Lebih banyak tempat dan peluang belajar pertanian dibuka di negara ini. Tenaga pengajar dan kemudahan lain seperti pinjaman turut ditambah lebih banyak. Keadaan ini memastikan negara melahirkan peladang yang bukan sahaja muda tetapi mempunyai kemahiran yang cukup untuk bertani.

Kempen kesedaran mengenai pertanian harus disebarkan melalui penggunaan media massa. Pertanian harus digambarkan sebagai satu kerjaya yang berprestij dan menguntungkan seseorang. Peladang yang berjaya harus diketengahkan dan menerangkan kehidupan mereka sudah menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang ini.

Kemudahan pinjaman bank harus diberi kepada sesiap yang ingin membuka ladang. Pihak bank perlu melonggarkan syarat-syarat pinjaman selaras dengan bantuan teknikal untuk memastikan pinjaman itu digunakan sebaik mungkin oleh peladang. Kerjasama pihak bank ini memastikan setiap peladang berupaya untuk meluaskan keluaran dan memasarkan hasil pertanian mereka secara sistematik.

Mungkin sudah sampai masanya, kita semua memberi tumpuan terhadap sektor ini. Pertanian bukan sahaja meliputi tanaman tetapi ternakan. Kejayaan negara kita banyak bergantung pada keupayaan kita untuk menghasilkan masakan yang cukup untuk keperluan sendiri tanpa bergantung kepada negara lain.

Thursday, October 12, 2006

Karangan Bencana Alam?


Saya mendapati soalan karangan banyak yang menyentuh tentang isu bencana alam. Mungkin pelajar harus meneliti isu banjir, gempa bumi, dan taufan. Pelajar juga harus mengaitkannya dengan kesan-kesan dan langkah-langkah mengatasinya. Nampaknya agak soalan ini memerlukan kemahiran menulis yang baik. Mungkin juga pelajar cuba kaitkan soalan ini dengan karangan jenis fakta atau ceramah.

Sebenarnya Malaysia merupakan negara yang jarang dilanda bencana alam yang buruk. Memang kejadian tsunami tempoh hari telah membuka mata sebilangan rakyat negara ini. Namun, negara kita lebih banyak menghulurkan bantuan kemanusiaan terhadap negara-negara lain yang menerima malapetaka buruk ini. Agaknya, ketulusan hati rakyat negara ini telah menjadikan kehidupan kita lebih harmoni.

Peranan Malaysia yang paling utama ialah negara sering menghulurkan bantuan kecemasan ke negara-negara terbabit. Bantuan kecemasan ini biasanya diketuai oleh pasukan SMART negara yang mengadakan usaha mencari mangsa-mangsa yang masih terselamat selepas sesuatu bencana. Pasukan SMART kita telah banyak melakukan usaha menyelamat seperti di Iran, Pakistan, dan Sumatera.

Selain menghulurkan bantuan kecemasan menyelamat, negara kita sering memberi bantuan dalam bentuk keselamatan. Biasanya pasukan tentera kita akan dikerah ke negara-negara yang mengalami bencana untuk melakukan kerja-kerja pemulihan dan penguatkuasaan undang-undang. Penghantaran tentera kita sejajar dengan kemampuan mereka ditambah kecanggihan peralatan serta imej tentera kita yang disegani oleh masyarakat dunia.

Malaysia juga berperanan membantu negara-negara yang mengalami bencana ini dengan bantuan ekonomi. Kerajaan menghantar pegawai-pegawai perancang ekonomi bersama-sama ahli perniagaan tempatan untuk menghidupkan semula aktiviti ekonomi yang sudah lumpuh di kawasan bencana itu. Hubungan ekonomi ini memastikan masa depan penduduk terbabit bertambah baik.

Malah, Malaysia juga mampu menghulurkan bantuan perubatan. Doktor-doktor pakar dihantar untuk memberi rawatan terbaik kepada mangsa-mangsa bencana dan mendirikan pusar rawatan atau hospital sementara. Kehadiran doktor negara telah memastikan lebih banyak nyawa mampu diselamatkan.

Pendidikan merupakan aspek yang sering menerima kesan selepas berlakunya sesuatu bencana alam. Biasanya sekolah-sekolah dan kemudahan pendidikan terutamanya buku-buku akan musnah. Malaysia sering menghantar tenaga pengajarnya untuk memastikan remaja di negara terbabit tidak ketinggalan dalam menuntut ilmu.

Sebenarnya, negara kita telah menghasilkan satu imej yang baik pada masa masyarakat dunia terutama dalam aspek bantuan kemanusiaan ini. Kemampuan kita mewujudkan rangkaian bantuan mula dikagumi. Jadi, tidak hairanlah semakin banyak pertubuhan bantuan kemanusiaan ditubuhkan di negara ini dalam usaha meningkatkan imej negara.

Tuesday, October 10, 2006

Karangan Merokok


Dalam soalan karangan SPM 2006, saya berpendapat ada beberapa skop yang perlu diberi perhatian. Dalam blog kali ini saya ingin jelaskan permasalahan merokok terutama dalam kalangan remaja yang bersekolah. Penekanan skop ini amat penting kerana usaha kerajaan melalui Kempen TAK NAK nampaknya kurang berkesan impaknya.

Saya secara peribadi tidak merokok. Ayah saya sejak kecil melarang saya dan adik saya merokok. Ayah saya sering menegah kami melakukan aktiviti yang padanya membazirkan dan membuang wang sahaja. Jadi, terus terang saya tidak memahami sebab remaja suka merokok. Cuma sejak mula terlibat dalam bidang pendidikan pemahaman saya terhadap gejala ini semakin jelas. Remaja era ini perlu mempunyai jati diri yang kukuh untuk membendung gejala rokok daripada menerobos ke jiwa mereka.

Pertanyaan pertama ialah punca yang mendorong remaja merokok? Sudah pasti peranan media massa dalam hal ini begitu ketara. Remaja melihat aksi pelakon yang sasa dengan rokok di tangan. Lakonan mereka yang meyakinkan telah memberi satu ilham kepada remaja untuk merokok. Peniruan gaya ini membuktikan remaja juga sama seperti pelakon sasa itu.

Kurangnya perhatian ibu bapa turut mendorong masalah ini timbul. Biasanya ibu bapa tidak mahu memeriksa perbelanjaan anak-anak mereka. Wang saku ke sekolah sering digunakan oleh remaja untuk membeli rokok. Malah, ibu bapa segan untuk memeriksa beg sekolah atau bilik anak mereka untuk mengesan kelakuan negatif ini. Mungkin ibu bapa terlalu percaya akan anak mereka.

Pemilihan rakan yang tidak tepat memudahkan kelakuan sumbang ini berlaku. Remaja biasanya tidak tahu memilih kawan iaitu mereka suka memilih kawan yang membawa ke arah kemungkaran. Remaja yang bermasalah, ponteng, lepak, dan merokok menjadi pilihan remaja. Pada remaja inilah kawan yang melambangkan kebebasan sejati.

Malah, ada pihak sekolah yang sengaja membiarkan aktiviti merokok ini di kawasan berhampiran sekolah mereka. Memang pihak sekolah tidak bertanggungjawab kalau mereka merokok di luar kawasan sekolah namun tindakan tegas harus dikenakan kepada pelajar yang merokok tanpa mengira kawasan. Sikap sekolah yang berlembut memberi semangat kepada remaja ini untuk terus merokok kerana menganggpa mereka kebal dan mempunyai lesen untuk merokok di luar pagar sekolah.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengharamkan terus merokok di negara ini. Jadikan amalan merokok satu kesalahan jenayah yang boleh ditahan di penjara atau dikenakan denda maksima. Begitu juga ibu bapa perlu merenung dan melihat anak-anak mereka dengan lebih telus tanpa berasa malu untuk mengenakan hukuman jika anak mereka terbabit dalam gejala ini. Bukankah melentur buluh biarlah daripada rebungnya.