Thursday, August 31, 2006

Kerana Manisnya Epal



Saya mempunyai satu impian. Itulah yang saya katakan kepada pelajar saya ketika memulakan cerita cerpen Kerana Manisnya Epal. Tambah saya, jauh dilubuk hati ini saya ingin menikmati pengalaman memetik epal di ladang. Mendengar bunyi epal bercerai daripada tangkainya. Mendengar bunyi epal dimasukkan ke dalam bakul sambil memandang kawasan ladang yang penuh dengan pokok-pokok epal merupakan impian terakhir saya di dunia ini.

Jadi, apabila saya membaca cerpen ini terasa ceritanya begitu dekat dengan hati ini. Kisah ini turut memaparkan sikap anak-anak zaman kini yang sanggup membiarkan ibu bapa mereka bersendirian atau memandang rendah kerjaya ayah mereka. Selain itu, kesanggupan mencari ilmu di negara orang turut menjadi cerita yang menarik minat saya.

Baiklah, elok kalau kita renung Buchanan dahulu kerana watak ayah yang sudah tua ini memang menarik hati saya. Lelaki tua ini memang janji menjaga ladang epalnya kerana ladang itu merupakan warisan keluarga dan mempunyai banyak nostalgia mendidik anak-anaknya. Malah, ladangnya mempunyai berjenis-jenis epal. Saya masih tidak percaya ada banyak epal di dunia ini kerana saya hanya mengenal epal merah, hijau dan itu sahaja.

Buchanan juga menarik kerana dia sanggup menerima dua wanita yang berbeza bangsa di dalam hidupnya. Mungkin kerana desakan kesepian di rumah atau memerlukan pekerja, Buchanan sanggup menerima mereka. Atau mungkin lelaki ini memang suka melatih golongan muda memahami erti kehidupan.

Watak Mazlina merupakan wanita yang sering saya bayangkan di dalam kelas saya. Maksud saya, Mazlina merupakan anak orang kaya yang tidak tahu membuat kerja. Dia langsung tak tahu hendak melakukan kerja hari pertama di ladang epal. Namun, dia sanggup mempelajari sastera Inggeris. Satu sikap yang jarang kita lihat ada dalam hati pelajar. Biasanya kalau pelajar melayu, sudah pasti dia akan mengambil sastera melayu atau pelajar cina akan mengambil sastera cina.

Beralih kepada watak Yvonne. Gadis yahudi ini berasal dari Rusia. Dia mengambil jurusan alam sekitar atau ekologi. Dia digambarkan sebagai lebih berani kerana mampu mengangkat senapang untuk menghalang kemaraan tentera yang ingin mengambil tanah itu. Paling menarik tentang gadis ini ialah sikapnya yang suka bersolek sebelum memulakan kerja di ladang epal. Bayangkan wajahnya ketika bekerja keras di ladang. Adakah anda sanggup berbuat demikian?

Cerita ini juga menarik kerana suasananya di luar negara, British Columbia. Perubahan musim turut menyebabkan kita berasa teruja untuk berada di ladang ini. Rasa dingin dan fros yang menyerang waktu malam dan awal pagi memang menjadi satu pengalaman yang menarik kepada sesiapa yang membaca cerpen ini.

Agaknya, kalau anda menjadi anak Buchanan, apakah yang bakal anda lakukan?

Saya rasa kita harus menghormati ibu bapa kita tanpa mengira keadaan mereka. Maksud saya sudah pasti setiap ibu bapa mempunyai pandangan yang berbeda daripada anaknya. Sebagai anak, kita harus cuba menghormatinya. Moga kita semua akan terus menghormati ibu bapa kita.

Tuesday, August 29, 2006

Jalan-jalan raya Kotaku


Salah satu sajak yang paling saya suka ialah Jalan-jalan raya Kotaku. Sajak ini seolah-olah menggambarkan keadaan pengguna jalan raya di negara kita. Sajak ini juga mengingatkan saya betapa bahayanya memandu di Kuala Lumpur terutama kalau anda semua menghayati sajak ini. Malah, saya berpendapat penulis sajak ini memang menulis berdasarkan pengalamannya. Saya yakin.

Sajak ini cuba menerangkan sikap-sikap pengguna jalan raya terutama pada rangkap pertama dan kedua. Pengguna jalan raya digambarkan sebagai sudah terlalu bosan menunggu di jalan raya terutama ketika kesesakan. Rasa bosan ini menyebabkan pengguna tidak lagi mempunyai rasa sabar setiap kali kenderaan mereka berhenti akibat kesesakan jalan raya. Rasa sombong yang timbul berlaku ekoran mereka tidak mahu dipotong lantaran sudah lama di jalan raya. Akibatnya setiap kali berlaku masalah seperti perlanggaran kecil, sudah pasti pengguna menyelesaikannya dengan kekerasan. Pembuli jalan raya.

Dalam sajak ini, saya rasa rangkap ketiga merupakan bahagian penting kepada saya kerana dalam rangkap ini penyajak mengemukakan cara-cara untuk memandu di bandar. Katanya kalau nak memandu di bandar, pengguna perlu banyak mengeluarkan kata kesat, memandu dengan laju dan tidak lagi mengamalkan sikap kesopanan. Ringkasnya, pengguna di bandar harus lebih tegas atau ganas.

Seperti yang saya katakan di dalam kelas saya, kita perlu mengeluarkan sebelah tangan kita di pintu kereta sambil menayangkan tatoo yang ada di lengan itu. Kalau boleh memegang sepuntung rokok. Sebelah tangan lagi memegang setering kereta. Di belakang tempat duduk pula ada kayu hoki tetapi daripada plastik atau yang diisi dengan udara. Itulah caranya untuk memandu dengan lancar di bandar. Harap bukanlah.

Sebenarnya, sajak ini cuba membuatkan kita merenung keadaan jalan raya kita. Semakin lama semakin sesak, meningkatnya kadar kemalangan, dan kesannya dalam kehidupan manusia. Ringkasnya manusia semakin hilang ciri-ciri kemanusiaannya apabila melangkah masuk ke dalam kereta dan menuju ke jalan raya.

Cara mengatasinya? Mungkin kita harus mengawal jumlah kereta? Atau kita meningkatkan had umur pemandu? Atau haruskah kita melebarkan jalan raya yang sedia ada? Atau meningkatkan sistem pengangkutan awam? Atau mungkin kita tidak perlu memandu langsung?

Semua pertanyaan di atas saya tidak pasti mampu menyelesaikan masalah jalan raya kita namun ada satu perkara yang saya pasti. Perkara itu ialah memandu di jalan raya kita memang memerlukan kemahiran. Bukankah anda semua bersetuju?

Friday, August 18, 2006

Seminar amat penting


Hari Isnin dan Ahad minggu berikutnya saya akan membuat satu seminar khas untuk pelajar-pelajar di tempat saya mengajar. Mungkin ramai akan bertanya sebab saya membuat perkara itu terutama masa peperiksaan mengikut pelajar masih jauh (sebenarnya tidak). Bagi saya seminar peperiksaan penting tidak kira masa seminar itu dilaksanakan. Dalam seminar, pelbagai perkara boleh membuka mata pelajar.
Seminar secara am memberi peluang kepada pelajar untuk menerima kenyataan bahawa peperiksaan memang semakin hampir. Perasaan ini memberi satu kesedaran yang membolehkan pelajar meneliti persiapan mereka sebelum ini. Perasaan ini turut memberi satu penilaian peribadi kepada diri seseorang.
Biasanya guru akan menekankan beberapa perkara penting yang masih kurang difahami oleh pelajar terutama dalam aspek bahasa seperti penggunaan cakap ajuk, pindah dan kemungkinan penekanan aspek KOMSAS. Sekali lagi, penekanan guru ini memberi satu imbas muka kepada pelajar mengenai peperiksaan yang bakal menjelang.
Kewujudan seminar turut memudahkan guru untuk memecahkan pengajarannya pada beberapa aspek seperti penekanan saya kali ini ialah KOMSAS T4, Peribahasa, dan Tatabahasa. Seminar ke-2 menjelang peperiksaan pula boleh dijuruskan aspek yang berbeda pula. Jadi, seminar memberi peluang kepada pelajar untuk memahami sesuatu perkara dengan lebih sistematik dan berkesan.
Namun perkara yang paling penting dalam seminar ialah soalan yang diberi penekanan oleh seseorang guru. Biasanya seseorang guru akan membuat analisis soalan-soalan yang bakal keluar dalam peperiksaan itu. Analisis ini dilakukan berdasarkan soalan-soalan lalu dan kekerapan soalan-soalan itu keluar dalam peperiksaan di sekolah-sekolah lain terutama sekolah berimej tinggi dalam kadar kelulusan mereka.
Jadi, kepada semua pelajar saya, sila tulis dan faham semua penerangan yang bakal anda terima dalam dua tiga hari nanti. Sebaik sahaja balik ke rumah, sila kaji dan buat penilaian peribadi mengenai perkara yang didengar di dalam kelas itu. Mungkin anda akan menemukan sesuatu perkara yang menarik dalam persiapan anda menghadapi peperiksaan.
Ringkasnya, menghadiri seminar merupakan salah satu cara menghadapi peperiksaan SPM. Memang tidak dinafikan pelajar terpaksa memilih seminar kerana kini sudah ada banyak seminar yang dianjurkan terutama oleh pihak swasta. Pemilihan seminar menjurus kepada masa, jarak tempat seminar, dan guru atau penceramah yang terbabit. Jadi, tepuk dada tanya selera.
Selamat berseminar.

Monday, August 14, 2006

Simplisiti satu cara belajar KOMSAS


Salah satu perkara yang sering saya dengar ketika mengajar ialah pelajar memuji kemahiran saya untuk memahami sesuatu sajak, cerpen, novel mahupun prosa klasik. Pelbagai cara digunakan oleh pelajar untuk mendapatkan rahsia saya itu. Semuanya mahu menjadi pengkaji sastera yang berkaliber. Semuanya mahu jalan mudah. Semuanya nak cepat. Agaknya itu sebabnya makanan segera sekarang diminati oleh pelajar.

Mungkin jawapan saya akan mematahkan semangat pelajar kerana jawapan saya hanya satu dan itulah sahaja. Cara untuk memahaminya sesuatu sastera itu ialah memahami asasnya. Memahami secara menyeluruh. Melihatnya dengan satu pandangan yang mudah. “Kalau anda mendapati sesuatu sastera itu rumit atau kompleks, maknanya kamu belum lagi memahaminya. Simplisiti merupakan asas semua perkara termasuklah sastera,” kata saya kepada seorang pelajar yang beria-ia hendak mengetahui rahsia itu. Mulutnya hanya terlopong mungkin menganggap saya ini terlalu berfalsafah. Memang itu telahannya.

Dalam hidup, semuanya mesti mudah. Usah susahkan orang.Usah susahkan sesuatu perkara. Usah besarkan sesuatu kejadian. Usah berbelanja boros. Usah mencari masalah. Bukankah itu asas kehidupan. Hidup yang mudah lebih senang dikawal. Tiada masalah. Tiada sakit kepala untuk memikirkannya.

Jadi, apabila belajar sastera, cuba fikirkannya sebagai sesuatu yang mudah. Anggap sahaja sastera perkara yang paling anda minati di dalam dunia ini. Mungkin perkara itu kawan baik anda, mungkin juga kereta kegemaran anda, atau MP3 yang bakal anda miliki. Kalau anda sudah tetapkan, kamu sudah melakukan langkah pertama ke arah memahami sastera.

Kemudian, beri penghayatan 100 peratus. Maksud saya tiada gangguan. Rakan sebelah usah hiraukan. Telefon bimbit dimatikan. Pen dan kertas serta nota tersedia di depan untuk menari-nari bersama penerangan guru. Pandangan anda hanya kepada guru. Beliau merupakan orang terpenting di dalam kelas. Bukannya yang berada di sebelah anda itu.

Penerangan guru biasanya bermula dengan konsep penting seperti tema, kepentingan soalan untuk SPM dan kaitannya dengan keadaan semasa. Sesuatu genre sastera itu mesti mempunyai kosa kata yang menjadi sasaran pembuat soalan. Guru akan memastikan pelajar mendapat semua maklumat ini. Guru akan cuba menerangkan semua makna dan ayat yang penting untuk ditekankan oleh pelajar

Penerangan guru akan ditamatkan dengan menghuraikan semula semua perkara yang dianggapnya penting untuk direnung dan diteguhkan oleh pelajar. Mereka yang tidak menuruti penerangan guru akan tersekat di tengah jalan dan melupakan fokus pelajaran pada hari itu. Guru akan menutupkan kuliahnya dengan mengaitkan kuliahnya terhadap peperiksaan. Inilah intipati yang bakal diberikan oleh seseorang guru ketika mengajar.

Mudah bukan untuk belajar. Saya yakin pelajar saya akan menggeleng-gelengkan kepalanya. Memang sesuatu yang mudah itu sukar diamalkan tetapi sesuatu yang sukar dan menyusahkan mudah menarik minat seseorang. Biasalah, saya sudah melihatnya lebih sedekad yang lalu. Namun, saya yakin ada pelajar saya yang akan memahaminya dan mula menyedari betapa mudahnya belajar. Sesenang ABC. Alah bisa tegal biasa, kan.

Moga anda semua berjaya menemukannya.

Sunday, August 06, 2006

Kesihatan lebih penting daripada peperiksaan?


Ketika kelas tambahan tadi, saya dapati ada seorang pelajar asyik bersin. Sebaik sahaja selesai kelas itu, saya memanggilnya. Lantas, saya menasihatinya supaya banyak berehat sebab saya yakin dia akan mendapat demam. Katanya, dia tidak boleh berehat kerana katanya SPM semakin hampir dan banyak perkara yang belum dihafalnya. Saya hanya memerhatikannya sehingga pelajar itu keluar dari kelas saya. Kagum saya melihat keazamannya tetapi sedih melihat ketidakbijaksananya menangani situasi peperiksaan.

Pada pendapat saya kesihatan maha penting. Ya, saya akui saya meletakkan kesihatan melebihi segala-galanya. Malah, kesihatan kepada saya merupakan perkara paling penting dalam kehidupan seseorang. Tanpa kesihatan, semua tugasan tidak akan menjadi. Tanpa kesihatan, semua masalah akan muncul satu demi satu dan sukar untuk kita menyelesaikannya secara bijak.
Mungkin dalam mengejar kejayaan pelajaran kita sering lupa peri pentingnya menjaga kesihatan. Cuba bayangkan kita sedang berada di hospital kerana sesuatu sakit yang mampu dielakkan ketika peperiksaan utama sedang berjalan. Bukankah itu sesuatu yang ironi. Berusaha dengan tekun untuk menjawabnya tetapi dihalang kerana terlantar di hospital. Memang peperiksaan di hospital dibenarkan tetapi kalau sudah tidak boleh bergerak, tiada peperiksaan di dunia pun yang boleh dijalankan.
Sebenarnya, kita boleh menjaga kesihatan dengan lebih baik kalau kita mempunyai sedikit perancangan. Bukankah baik kalau ketika belajar, kita sediakan minuman di sebelah. Habis satu bab, satu gelas air. Atau habis satu latihan, kita menghirup air. Bukankah air penting dalam kehidupan manusia? Cuma pastikan bukannya air bergula. Lain pulak simpton penyakit yang akan melekat.
Bukan sahaja air kosong penting tetapi tidur yang cukup. Pastikan kita mempunyai 7 atau 8 jam sehari. Pelajar mungkin bertenaga walaupun tidak tidak semalamam tetapi kesannya akan berlaku selepas dua atau tiga hari. Sistem imunisasi pelajar akan lemah dan mudah diserang selesema. Saya biasanya menjelang jam 11 malam sudah mula bersiap dan pasti 11.30 malam saya sudah dibuai mimpi indah. Tabiat saya ini tidak mengira hari minggu ke, hari cuti ke atau hari raya. Saya harus mempunyai 6-7 jam tidur.
Pengambilan vitamin pun agak penting. Cuma pastikan vitamin itu sesuai dengan kita kerana di pasaran terdapat banyak jenis vitamin yang dijual. Nasihat doktor dan ibu bapa juga harus diberi perhatian. Pengambilan vitamin mampu memberi sedikit perlindungan kepada pelajar terutama ketika menangani stres yang semakin meningkat menjelang peperiksaan.
Akhir sekali, saya yakin persepsi seseorang terhadap sesuatu perkara turut mempengaruhi kesihatannya. Mungkin pelajar perlu lebih ceria dan berfikiran positif terhadap sesuatu perkara. Usah memikirkan hal-hal negatif sahaja seperti banyak bab belum habis, soalan peperiksaan sangat susah, dan kerja rumah yang banyak. Sebaliknya fokus perkara positif seperti sudah menghadiri kelas tambahan, sudah menghabiskan banyak bab, dan membuat latihan setiap minggu. Berfikiran positif memberi kesan positif terhadap kesihatan seseorang.
Kini, kelas semakin kosong. Hanya tinggal beberapa orang pelajar yang sedang mengemaskan beg mereka. Ada yang tersenyum ke arah saya. Satu senyuman saya balaskan. Hati terasa ceria. Lalu saya melangkah keluar perlahan menuju ke stesen LRT. Terasa gembira selesai menjalankan tugas sebagai seorang guru untuk hari ini. Esok ada kelas lagi.

Tuesday, August 01, 2006

Bila kali terakhir kita memuji seseorang?


Ketika mengajar tadi saya memuji seorang pelajar kerana mampu menyelesaikan latihan saya dengan baik. Ada seorang pelajar yang duduk di belakang pelajar yang saya puji itu memanggil saya kemudiannya dan bertanya. "Cikgu kenapa asyik puji dia. Bukannya susah soalan itu? Pertanyaan pelajar itu masih kedengaran di cuping telinga saya ini ketika balik menaiki LRT petang tadi. Saya tersenyum kerana satu pujian sahaja sudah cukup menimbulkan masalah.
Namun, adakah salah saya berikan pelajar itu satu pujian? Saya rasa tidak salah dan saya akan lakukannya setiap kali kalau saya berpeluang melakukannya. Memanglah latihan yang saya berikan itu tidaklah sesukar yang dijangkakan tetapi kemampuan pelajar itu menyelesaikannya memang menarik perhatian saya. Itulah kali pertama, saya melihat dia mampu menyelesaikan latihan BM tanpa bantuan saya. Menariknya, semua jawapannya memang tepat.
Pelajar terbabit memerlukan sokongan moral saya sebagai gurunya. Dia sudah lama belajar dengan saya. Dia bukanlah bijak tetapi mempunyai perasaan kemanusiaan yang saya kagumi. Dia tidak pernah berbuat bising di dalam kelas. Dia tidak pernah datang lambat ke kelas. Dia tidak pernah lupa menegur saya dengan sopan. Malah, dia selalu mengucapkan terima kasih setiap kali selesai kelas saya. Sesungguhnya, tidak semua pelajar saya melakukan perkara yang dilakukan oleh plajar itu. Selain itu, dia juga aktif dalam kegiatan kokurikulum sekolah.
Saya menyedari semakin hampir SPM 2006, sikapnya terhadap pelajaran semakin bertambah baik. Jadi, setiap kali saya mengajar, saya akan memastikan dia melakukan latihan dan menyelesaikannya dengan baik. Hari demi hari, dia semakin bagus dan pujian daripada saya pun mula muncul. Malah, saya dapati dia semakin bersemangat setiap kali saya memberinya pujian atau menepuk bahunya tanda bangga kemampuannya menyelesaikan latihan BM.
Pada pendapat saya, pujian yang diberikan mampu menaikkan semangat juang pelajar. Pujian bukanlah untuk memberi harapan palsu. Sebaliknya pujian yang betul memberikan dimensi baru kepada seseorang pelajar. Pelajar akan berasa diri mereka dihargai. Pelajar akan berasa mereka mempunyai harapan dan guru tersebut turut berpendapat sedemikian terhadap diri mereka. Pelajar memerlukan sedikit tolakan daripada pujian seseorang untuk mengharungi masa-masa akhir menjelang SPM ini.
Jadi, bilakah kali terakhir anda memuji seseorang? Maksud saya pelajar anda atau anak anda?