Perlu latihan?

Perlu latihan?

Thursday, July 27, 2006

Kita ialah diri kita... jadi syukur dan hargai


Saya mengaku saya seorang pemerhati sosiologi yang bagus. Saya mampu melihat gerak badan pelajar dan mengetahui perkara yang sedang bermain-main di dalam fikirannya. Setiap kali berlaku sesuatu atau ada pelajar baru masuk ke kelas, pelbagai reaksi diberikan oleh pelajar yang sedia ada di dalam kelas.
Saya dapati pelajar suka membandingkan diri mereka. Ada yang suka bandingkan pakaian mereka, telefon bimbit dan mungkin juga kepandaian mereka. Bukankah membandingkan sesuatu yang lebih baik itu satu tindakan yang berfaedah? Ya, memang betul namun tindakan itu juga mengundang keburukan. Kesan buruknya ialah seseorang akan berasa tidak gembira. Seseorang menganggap mereka begitu teruk. Malah, kejayaan yang dicapai tidak cukup untuk memberi kegembiraan kepada seseorang yang taksub untuk membuat perbandingan.
Ada seorang pelajar saya yang suka melihat hasil kerja dan markah pelajar lain setiap kali saya memberikan latihan KOMSAS. Jadi, satu hari saya bertanya kepadanya sebab dia berbuat begitu. Balasnya dia ingin mengetahui adakah dia berada dalam lingkungan pelajar yang bagus atau tidak bagus. Saya membalas dengan menanyakan markahnya dan pandangannya tentang markahnya. Katanya markahnya terlalu sikit. Hanya ada perubahan 4 markah daripada latihan sebelumnya. Saya hanya menggelengkan kepala. Tanda kesal.
Sebenarnya, kalau berlaku peningkatan dalam markah seseorang, itu sudah dianggap kejayaan biarpun 4 markah. Peningkatan itu memang sedikit tetapi memberi panduan yang jelas. Pertama, pelajar itu memang berada dalam landasan yang betul dalam pelajarannya. Kedua, pelajar itu sudah menemukan satu semangat untuk memacunya ke arah kejayaan yang lebih besar. Sedihnya dalam kes pelajar tadi, dia terlalu membandingkan dirinya dengan pelajar lain. Kesannya, kejayaannya itu tidak berguna langsung. Dia semakin sedih dan tidak gembira akan prestasinya. Bukankah ini akan menjejaskan persiapannya dalam peperiksaan?
Ok, cuba anda semua bayangkan jika pelajar terbabit tidak membuat perbandingan. Sudah pasti dia akan bergembira dengan peningkatan markahnya itu. Sudah pasti dia akan merangka strategi baru berdasarkan strategi lama untuk meningkatkan markah pelajarannya. Sudah pasti dia akan belajar dan gembira. Jadi, usah bandingkan diri anda dengan orang lain.
Jadi, usaha bandingkan diri anda. Syukur dengan perkara yang anda miliki. Angkat tangan ke hadrat Tuhan kerana memberikan anda semua kejayaan itu walaupun hanya 4 markah. Berdoa moga kejayaan yang lebih menyusul dalam peperiksaan anda. Sebenarnya dalam peperiksaan, bukan anda berlawan dengan kawan anda tetapi anda bersaing dengan diri anda yang satu lagi. Diri yang mahu berubah, diri yang mahu mencapai kejayaan dalam peperiksaan dan diri yang mahu berbangga dengan usahanya sendiri.
Saya bersyukur? Sudah pasti kerana saya tahu saya sudah mencapai sebahagian impian saya. Untuk sebahagian impian saya yang satu lagi itu, saya akan usaha mengikut masa dan cara saya. Bukannya untuk berlawan dengan sesiapa pun. Bukannya untuk bertanding dengan insan lain. Cuma saya ingin membuktikan bahawa saya juga bisa melakukan perkara itu dan mengalaminya sendiri. Terima kasih Tuhan atas limpah kurniaMU.

Saya keletihan atau anda yang letih?


Hari ini ketika mengajar saya dapati banyak pelajar yang keletihan. Ada yang menyalahkan keadaan cuaca sejak akhir-akhir ini yang begitu panas. Ada juga yang mengatakan bahawa mereka baru sahaja selesai membuat kertas peperiksaan sesuatu mata pelajaran. Malah, ada yang membuat lawak apabila mengatakan mereka keletihan kerana menonton perlawanan bola sepak piala dunia (sudah lama selesai...)
Saya memandang satu demi satu pelajar saya tadi. Semuanya monyok. Semuanya tidak memberi reaksi apabila saya mengajar sajak Tukang Gunting dan Di Ruang Gemanya tadi. Kalau ada yang menulis pun, saya yakin bukan bahan saya yang ditulisnya tetapi gambar kartun atau mungkin mi segera yang enak dimakan selepas kelas saya.
Sebenarnya, aspke keletihan ini sering diabaikan oleh pelajar. Saya yakin tidak ramai yang menyedari bahawa keletihan ini mempunyai kaitan dengan pembelajaran seseorang itu. Maksud saya pelajar menggunakan tenaga secara membuta-tuli. Memang pelajar masih muda dan mempunyai tulang empat kerat yang ampuh untuk menghadapi pelbagai cabaran. Namun, pelajar jua manusia biasa sama seperti Othman dan Hilmi.
Pelajar tidak menyedari bahawa mereka keletihan kerana masa untuk peperiksaan SPM semakin hampir. Semakin hampir peperiksaan besar itu semakin tertekanlah pelajar. Ada pelajar yang belum menyedari bahawa apabila kita terlalu tertekan, kita akan menggunakan tenaga yang banyak. Terlalu banyak perkara yang hendak dilakukan dalam tempoh yang pendek sehingga menyebabkan peelajar hilang tumpuannya. Kesannya, pelajar akan keletihan. Mereka akan berasa seolah-olah hilang tenaga atau tiada kudrat langsung di tubuh mereka.
Saya berasa kasihan jua melihat keadaan pelajar saya sebegitu. Namun, jauh dalam benak ini, saya berpendapat pelajar perlu bangkit dan menentang keletihan ini. Mereka perlu bangkit dengan satu tekad. Satu semangat jitu Satu jiwa baru seperti rama-rama yang baru keluar dari kepompongnya. Pelajar perlu tabahkan diri mereka untuk peperiksaan yang bakal menjelang itu. Pelajar perlu bertekad.
Salah satu cara untuk menangani keletihan itu ialah pelajar harus melihat dan mengkaji cara pembelajaran mereka. Pertanyaan demi pertanyaan perlu dijawab oleh pelajar dalam aspek ini. Adakah nota penting sudah lengkap? Bagaimana dengan latihan? Apakah semua topik sudah habis ditelaah? Apakah topik-topik yang perlu diberi perhatian pada tahun ini?
Baiklah, kenapa pertanyaan-pertanyaan ini penting? Mudah sahaja, semua jawapan yang bakal diberikan oleh pelajar akan menghasilkan satu persepsi tentang kemampuan pelajar untuk menghadapi SPM 2006. Pelajar akan mula menyedari kelemahan dan cuba mengatasi kekurangan itu dengan secepat mungkin. Tindakan drastik dan awal ini sudah pasti memberi sedikit kelegaan kepada pelajar yang seterusnya memudahkan pelajar untuk memberi tumpuan yang menyeluruh.
Ingatlah, kalau anda terus bermimpi dan menganggap SPM masih jauh, rasa keletihan itu akan menjadi-jadi terutama ketika tempoh semakin menjelang tiba. Kalau pelajar sudah sedar dan bangkit daripada lamunannya, pelajar tidak akan keletihan lagi. Bangkitlah pelajar-pelajarku. Percayalah.

Monday, July 17, 2006

Berapa kali kita basuh tangan sehari?


Saya ingin bercerita mengenai tandas kali ini kerana tadi saya terserempak dengan pelajar saya yang enggan mengepam air selepas menggunakan tandas. Bagi saya kebersihan tandas merupakan satu perkara penting dalam hidup seseorang. Bukannya kita harus mempunyai tandas yang berkilat atau cantik tetapi cukup kalau bersih dan selesa untuk digunakan. Malangnya tandas di tempat saya mengajar sering disalahgunakan oleh pelajar.
Setelah selesai mengajar, saya menuju ke arah tandas tetapi terpaksa menutup hidung kerana bau tandas yang begitu hancing. Saya ternampak seorang pelajar yang kebetulan hendak keluar dari tandas yang digunakannya lalu saya menegurnya kerana saya tidak mendengar dia mengepam air. Pelajar itu segera menjawab saya bukan melakukannya. Saya memandang mukanya lama tetapi dia hanya tersengih sahaja. Ada juga cadangan di kepala saya untuk memberi kuliah subuh kepada pelajar tadi tetapi kepenatan mengajar dan keperluan untuk menyahut panggilan alam telah menyebabkan saya bersikap mengalah.
Inilah sikap masyarakat kita secara amnya. Kalau kita semua kaji banyak tandas awam di negara kita yang disediakan oleh kerajaan atau pihak swasta tidak dihargai dan digunakan oleh masyarakat dengan sebaik mungkin. Mereka hanya tahu menggunakannya tetapi tidak mahu menjaganya. Bagi masyarakat itu bukan tugas mereka. Tugas membersihkan tandas di tangan pekerja pencuci tandas.
Sebenarnya menjaga kebersihan terutama tandas dapat membuktikan beberapa perkara penting masyarakat kita. Pertama, kita tidak mementingkan kebersihan atau kalau kita mementingkan kebersihan, perkara itu hanya diaplikasikan apabila melibatkan rumah kita, kawasan kita, atau milik kita. Kalau hak awam, biarkan sahaja. Inikah sikap yang ingin kita pamerkan kepada dunia luar?
Kedua, fenomena yang memuntahkan ini membuktikan kegagalan generasi tua mendidik generasi muda. Generasi muda tidak akan mengabaikan kebersihan kalau generasi sebelum memberi perhatian lebih terhadap tahap kebersihan. Generasi muda mencedok kelakuan generasi tua, iaitu tidak menghargai kebersihan awam. Saya sebagai generasi tua juga mengaku kegagalan saya mendidik pelajar saya supaya lebih menjaga kebersihan.
Ketiga, kemelut ini membuktikan tahap kebersihan masyarakat kita yang masih rendah. Kita hanya akan mengutamakan kebersihana apabila berlaku sesuatu wabak penyakit seperti ketika SARS dahulu. Masyarakat kita tidak mahu menjadikan menjaga kebersihan sebagai satu budaya negara yang mampu memberi imej positif kepada pelancong asing. Cuba kita tanya pelancong asing dan dengar jawapan mereka?
Keempat, sikap tidak menghargai kebersihan ini membuktikan sikap masyarakat yang mementingkan diri sahaja. Kenapa mereka perlu bersihkan tandas di rumah dan tidak tandas awam? Adakah kita mementingkan diri atau lebih tepat lagi kita tidak mempunyai sikap menjaga perasaan orang lain. Mungkin konsep perpaduan perlu diperluas ke konsep kebersihan.
Balik kepada tandas di tempat saya bekerja itu, sudah banyak kali pelajar diingatkan supaya menjaga kebersihan tetapi masih gagal. Pelbagai notis dan poster ditampalkan tetapi masih tiada impak. Mungkin peringatan harus ditukar menjadi kekerasan kerana bukan sahaja kotor tetapi tandas penuh dengan vandalisme. Tidak mungkin pelajar begitu kreatif?
Kejadian hari ini juga menyebabkan saya teringat satu laporan akhbar yang mengatakan peminat bola sepak Korea Selatan di Jerman telah membuat satu rekod baru. Mereka telah membersihkan sampah-sarap yang mereka hasilkan di jalan raya setelah merayakan kejayaan pasukan mereka dalam satu perlawanan. Sayangnya tidak ada banyak pihak media massa di negara ini yang mahu menonjolkan berita itu sekurang-kurangnya sebagai satu kritikan terhadap masyarakat kita.
Mungkin sudah tiba masanya kita semua merenung sikap masyarakat kita, adakah kita membasuh tangan selalu? Adakah kita suka makan di tempat-tempat yang kotor? Adakah kita memang tidak suka kebersihan? Adakah masyarakat kita memang tidak mahu berubah?

Wednesday, July 05, 2006


Kalau ada pelajar bertanya kepada saya adakah saya menyukai sungai? Jawapan saya sudah pasti, saya suka. Kenapa saya suka? Sudah pasti kerana sungai mempunyai banyak kenangan menarik buat saya. Cuma jawapan saya ini hanya saya ketahui beberapa tahun yang lalu ketika saya mula menggunakan LRT. Ya, stesen LRT berhampiran rumah saya mempunyai sungai.

Jadi kali ini ceritanya tentang sungai kita atau lebih tepat sungai saya (ha,ha,). Setiap kali saya pergi ke stesen LRT, saya akan menoleh ke arah sungai itu. Pelbagai perkara berlaku. Semuanya menarik perhatian saya. Biasanya peristiwa menarik berlaku apabila hari hujan. Maksud saya hujan yang lebat.

Pernah sekali, ketika hujan lebat, saya terperangkap di stesen LRT. Paras air sungai itu sudah mencecah hampir sama dengan jambatan besi yang menghubungkan Pandan Jaya dengan Pandan Perdana dan Shamelin. Saya duduk di situ seketika dan mengetuk dahi beberapa kali kerana lupa untuk membawa payung. Entah dari mana muncul satu tangan menghulurkan payung buat saya. Tangan pelajar saya. Menurutnya dia nampak saya dan ingin berkongsi payung bersama.

Saya menjelaskan kepadanya saya tidak memerlukan payung dan mampu untuk menunggu sehingga hujan berhenti sebelum meneruskan perjalanan ke rumah saya yang berhampiran stesen itu. Pelajar itu terus merayu dan merayu. Saya membantah dan membantah. Akhirnya, kami duduk bersama di tangga stesen LRT itu bersama-sama penumpang-penumpang lain yang turut terkandas petang itu. Kami terus berbual-bual.

Berbual tentang pelajaran, masa depan, kehidupan pelajar yang penuh tekanan, dan banyak lagi. Perbualan kami seolah-olah seperti kawan, tanpa ada halangan formaliti. Pelajar itu seolah-olah kawan lama saya yang sudah bertahun-tahun tidak bertemu. Malah, saya yakin ada penumpang yang menunggu di situ yang tertanya-tanya hubungan kami.

Perbualan kami berlangsung lebih sejak. Sebaik sahaja hujan berhenti, kami pun berhenti berbual. Dia meneruskan perjalanannya dan saya turut meneruskan destinasi saya. Dalam perjalanan pulang itu, saya mula mengenangkan pelajar itu. Saya mula berfikir sejenak.

Di kelas, dia agak pendiam. Duduk di belakang. Tidak pernah dia bertanyakan soalan. Agaknya kerana hujan, dia berani bersuara. Atau mungkin kerana dia ingin menolong saya membuatkan dia berani bercakap. Atau mungkin sekali-sekala guru dan plajar harus membuang formaliti mereka. Bukankah guru pernah menjadi murid dan murid suatu masa nanti berubah menjadi guru. Sesungguhnya hidup ini memang satu putaran.




Sungai yang tercemar di negara kita dikatakan makin meningkat jumlahnya kini. Hal ini berpunca daripada beberapa faktor yang seharusnya kita berikan perhatian.
Pada pandangan anda, apakah punca-punca berlakunya pencemaran ini dan bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah tersebut?

Menurut satu laporan akhbar lebih daripada separuh sungai di negara ini yang sudah tercemar. Laporan itu turut mengesahkan bahawa 11 sungai di negara ini sudah tercemar dengan teruk dan hanya 32 sahaja dikategorikan sebagai bersih. Hasil laporan ini sudah pasti tidak memeranjatkan kita semua kerana memang rakyat kita terkenal dengan sikap yang suka melakukan pencemaran terhadap alam sekitar.
Pencemaran sungai di negara ini berpunca daripada hasil kelodak dan sisa kumbahan yang terhasil akibat aktiviti penerokaan hutan. Kalau kita kaji dengan mendalam kerja-kerja meratakan tanah, menebang balak secara besar-besaran dan membuka tanah boleh menghasilkan banyak kelodak dan sisa kumbahan. Keadaan ini diburukkan lagi dengan berlakunya kejadian hakisan tanah akibat ketiadaan perancangan dalam penerokaan hutan oleh pihak yang terbabit. Hakisan tanah ini pula jika tidak dikawal boleh menyebabkan berlakunya tanah runtuh yang mampu mengorbankan nyawa manusia.
Sudahlah ketiadaan perancangan penerokaan hutan, masyarakat kita sering menjadikan sungai sebagai tempat “menyimpan” segala-galanya dan ini termasuklah bahan najis manusia dan haiwan. Penggunaan racun rumpai dan serangga oleh sektor pertanian turut menyumbang kepada tahap kualiti sungai yang rendah. Bahan kimia seperti racun ini biasanya tidak mampu terurai dengan mudah dan mengambil masa yang lama untuk dibersihkan oleh air sungai. Bukan sahaja keadaan ini bakal menyusahkan manusia tetapi turut memberi kesan negatif kepada hidupan liar lain.
Pembuangan bahan kimia ke dalam sungai oleh sektor pertanian masih lagi dianggap kecil berbanding dengan pembuangan sisa perindustrian. Bahan toksik yang dibuang oleh sektor industri boleh memberi kesan “segera” kepada manusia dan hidupan sungai. Malah sudah beberapa kali JAS bertindak menahan dan membawa pengusaha kilang ke muka pengadilan kerana melakukan kesalahan dengan membuang sisa toksik tanpa kawalan atau tidak merawatnya dahulu. Antara contoh sisa toksik yang sering dibuang oleh sektor industri ialah logam berat seperti arsenik, kadmium, raksa, dan plumbum.
Isu pencemaran sungai negara ini boleh diatasi jika semua pihak berganding bahu seperti turut serta dan menghayati kempen “Cintai Sungai Kita” yang boleh dijalankan secara besar-besaran melalui pelbagai media massa. Kempen kesedaran ini pastinya dapat menyedarkan masyarakat kepentingan sungai dalam kehidupan manusia dan seterusnya memberi kerjasama menjaganya. Usaha yang lebih teratur perlu ditekankan kepada pelajar sekolah, universiti dan golongan remaja kerana inilah golongan yang akan mewarisi sungai kita suatu masa nanti.
Selain mengadakan kempen, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan oleh JAS dan Jabatan Parit dan Saliran (JPS). Penguatkuasaan ini memastikan masyarakat berasa takut dan bertanggung jawab menjaga kebersihan sungai kita. Amalan mengenakan denda yang berat dan pengawasan yang menyeluruh bakal menentukan keseinambungan sungai kita untuk generasi akan datang. Demi memastikan sungai tidak tercemar, tidak ada seorang pun yang terletak di atas undang-undang. Namun, kita perlu ingat bahawa undang-undang yang ada tidak bererti jika tiada penguatkuasaan yang baik.
Laporan yang dikeluarkan oleh JAS itu amat menarik dan berguna untuk memastikan kebersihan sungai negara ini. Berdasarkan laporan itu JAS dan JPS dapat mengenal pasti sungai yang tercemar dan merawatnya. Malah sungai yang belum tercemar turut dapat dikawal dan dikekalkan. Penyelidikan dan penilaian tahunan yang dijalankan seperti ini pastinya membawa banyak manfaat kepada jabatan berkenaan untuk merancang strategi dan kaedah yang wajar dalam menangani isu sungai yang tercemar ini. Langkah ini perlu diteruskan dari tahun ke tahun dan dalam pelbagai aspek masalah lain.
Sesungguhnya, kesan pencemaran sungai ini amat menakutkan kerana pencemaran ini turut menjejaskan air minuman dan bekalan air bersih negara. Jika masalah ini tidak ditangani segera, rakyat mungkin akan menghadapi pelbagai jenis penyakit yang berbahaya kerana air penting dalam kehidupan manusia.