Tuesday, June 27, 2006

Lagi lagi buli...menyampah



Budaya buli? Adakah ini merupakan budaya kita yang sering diagung-agungkan oleh kita selama ini? Kenapa buli boleh berlaku terutama di sekolah dan dalam kalangan pelajar kita sendiri? Kali ini saya ingin mengutarakan pandangan saya mengenai buli kerana saya sendiri bingung memikirkan kekerapan budaya ini timbul dalam masyarakat kita

Pertama sekali, ingin saya jelaskan di sini bahawa pembuli ialah orang yang tidak mempunyai keyakinan diri dan kebolehan untuk berfikir yang sejati. Pembuli menganggap semua perbuatan mereka itu sebagai lambang kekuatan mereka. Malah, saya yakin ada antara pembuli beranggapan tindakan mereka disukai oleh orang lain. Mereka berpandangan bahawa pelajar-pelajar lain akan menghormati mereka. Semua anggapan mereka itu salah belaka.

Gejala ini juga amat menarik kerana kesannya begitu mendalam terhadap mangsa. Sudah banyak kes yang mendedahkan mangsa menerima rawatan di hospital kerana terlalu teruk dibuli. Namun, satu perkara yang kita lupa ialah buli juga membawa kesan psikologi. Mungkin satu kajian terperinci mengenai kesan psikologi terhadap mangsa buli dilaksanakan oleh kerajaan. Maklumat ini boleh digunakan untuk menangani masalah yang semakin serius.

Gejala buli ini mula mendapat perhatian kerana sudah ada beberapa kes buli yang dipaparkan oleh media massa. Malah, Menteri Pendidikan sendiri sudah memberi komen diikuti oleh tokoh-tokoh pendidik yang lain. Semuanya mempunyai satu kesimpulan iaitu budaya buli ini memang wujud dan perlu dikikis terus daripada sekolah.

Jadi, kenapa gejala buli ini muncul semula? Saya ingin berkongsi beberapa cadangan. Pertama, semua pihak terutama pihak sekolah dan ibu bapa perlu duduk semeja untuk membincangkan fenomena negatif ini. Kedua-dua pihak harus menyedari peranan mereka dalam sistem pendidikan negara. Kedua-dua pihak tidak harus menyalahkan satu sama lain apabila isu ini timbul semula. Ibu bapa usah mudah melenting apabila anak mereka dihukum kerana budaya buli ini, begitu juga pihak sekolah tidak perlu terlalu sensitif sehingga tidak mahu mendedahkan masalah buli di sekolah mereka.

Kedua, sistem pengawasan terutama kecekapan pengawas sekolah perlu ditingkatkan. Mereka harus didedahkan cara-cara untuk mengatasi masalah buli ini apabila berhadapan dengannya. Pengawas harus lebih peka dengan keadaan persekitaran pelajar dengan mampu mencium sebarang tanda-tanda awal kes buli. Pemeriksaan ke kawasan terpencil di sekolah perlu lebih kerap dilakukan oleh mereka.

Ceramah kesedaran tentang isu ini harus diberikan kepada semua pelajar. Dalam ceramah itu mereka harus diberikan arahan untuk menangani masalah ini apabila berhadapan dengannya. Ada pelajar yang mungkin tidak tahu cara atau kepada siapa mereka harus melaporkan sesuatu tindakan buli itu. Arahan ini perlu jelas dan diterangkan secara terperinci.

Selain itu, hukuman yang lebih jelas dan telus harus diberikan kepada pelajar yang terbabit dalam kes ini. Dalam usaha menangani kemelut yang semakin menular ini, pihak sekolah tidak harus bersikap memberi peluang kedua kepada pembuli. Tindakan tidak tegas akan memberi pandangan yang negatif kepada pelajar tentang pembuli. Sekarang ialah masa untuk bertegas bukannya berbuat baik kepada pembuli.

Malah, media massa mempunyai peranan yang paling penting. Media massa harus menyiarkan berita buli ini tanpa sebarang kekangan. Media massa harus menjadikan isu ini isu negara yang semua pihak mengetahui keadaannya. Pendedahan media massa yang kerap akan menyebabkan semua pihak memberi perhatian dan tidak berpeluk tubuh sahaja.

Ringkasnya, gejala ini mampu ditangani jika semua pihak bersedia untuk mendengar dan duduk untuk berbincang. Usah kita menuding jari kerana masa depan pelajar terletak pada kewarasan kita menyelesaikan kemelut ini. Kalau kita bijak bertindak,masa depan pelajar akan lebih cerah.

Thursday, June 15, 2006

Mari kita ke kelas tambahan


Kelas tambahan? Mungkin inilah perkataan yang tidak ingin didengar oleh pelajar terutama pelajar Tingkatan 5. Setiap kali saya menyebut kelas tambahan, pasti muka mereka akan berubah. Kadang kala saya sengaja mengungkit tentang kelas tambahan kerana ingin melihat reaksi pelajar. Biasanya pelajar yang berminat untuk belajar akan lega mendengar berita kelas tambahan. Jadi, bagaimanakah tanda mereka gembira? Tiada reaksi atau mereka tersenyum.

Sebenarnya salah satu kunci kejayaan pelajar ialah menghadiri kelas tambahan. Kenapa kelas tambahan? Bukankah kelas biasa sudah cukup untuk guru meluahkan semua perkara yang penting untuk peperiksaan? Lagi sekali tanggapan ini kurang tepat. Kelas tambahan biasanya digunakan oleh guru untuk menerangkan perkara-perkara penting yang mereka rasa amat penting dalam peperiksaan. Kelas tambahan juga menjadi tempat guru memberi latihan yang berguna untuk pelajar.

Saya memang sering mengadakan kelas tambahan kerana beberapa faktor. Pertama, saya mahu menghabiskan semua sukatan pelajaran dengan baik. Maksud saya tanpa perlu tergesa-gesa terutama apabila saya mempunyai masalah seperti sakit atau sebagainya. Kerja saya akan lebih bermakna kalau tidak mempunyai sebarang tekanan untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Saya berasa lebih lega kalau berjaya menghabiskan sukatan pelajaran mengikut masa yang ditetapkan.

Kedua, kelas tambahan memberi saya peluang untuk melakukan lebih banyak latihan terutama untuk pelajar yang lemah. Tempoh masa di kelas biasa yang pendek dan terhad menyebabkan kelas tambahan menjadi medan yang sesuai untuk meningkatkan kemahiran pelajar menjawab soalan. Kadang kala baru habis terang satu cerpen, masa sudah hampir tamat. Jadi, kelas tambahan tempat meluahkan terbaik untuk menyediakan pelajar saya. Sebenarnya, tidak ada jalan lain untuk berjaya dalam peperiksaan kecuali latihan dan latihan.

Malah, kelas tambahan memberi saya satu keyakinan iaitu memang ada pelajar yang sanggup datang untuk menghadapi peperiksaan yang semakin hampir. Hampir setiap kali saya mengadakan kelas tambahan, jumlah pelajar yang datang begitu mengejutkan saya. Kedatangan mereka turut memberi saya satu gambaran tentang kesungguhan yang mereka miliki dalam mencari ilmu. Maklumlah, hari Ahad sering dijadikan alasan untuk berlibur tetapi ada yang sanggup datang ke kelas saya.

Satu lagi perkara yang saya suka tentang kelas tambahan ialah kelas tambahan mendorong saya untuk menjadi lebih kritikal terutama dalam menyediakan latihan. Akibat kelas ini untuk menyediakan pelajar, soalan yang diberikan mestilah lebih bermutu dan sesuai dengan keperluan peperiksaan seperti sudah lama tidak keluar atau belum pernah keluar. Teknik menjawab juga menjadi pilihan guru ketika mengadakan kelas tambahan.

Namun, kejayaan kelas tambahan turut berpaut pada bahu pelajar. Bagaimana? Mudah sahaja pelajar mestilah sudah bersedia membuat revisi sesuatu perkara atau bab perkara yang akan disentuh dalam kelas tambahan itu. Pemahaman awal pelajar akan memudahkan mereka memahami penerangan guru terutama soalan-soalan panas yang bakal keluar pada sesuatu tahun itu. Pelajar yang membuat revisi awal ini juga mampu menguji kefahaman sendiri apabila mendengar penerangan guru yang selari dengan pemahaman awal mereka tentang bab itu.

Jadi, adakah anda semua akan hadir ke kelas tambahan yang bakal diadakan oleh guru anda? Untuk pelajar saya, bulan ini tiada kelas tambahan. Maksud saya bulan ini ada Piala Dunia 2006. Saya masih demam bola. Saya kaki bola, tidur bola, dan makan bola bulan ini. Jumpa anda semua di dalam kelas tambahan saya pertengahan Julai nanti.


Karangan pilihan SPM 2006

Kes-kes penderaan dan penganiayaan kanak-kanak semakin meningkat di negara kita.
Bincangkan sebab-sebab perkara ini berlaku dan langkah-langkah yang patut diambil untuk membendung fenomena ini.

pendahuluan
• penderaan tiga jenis iaitu seksual, emosi, dan fizikal.
• ada ahli keluarga yang melakukannya.
• memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan kanak-kanak

isi
• punca-punca
• ibu bapa menghadapi tekanan emosi melepaskan geram kepada anak-anak. tekanan di pejabat dan kehidupan yang mendesak. mengambil jalan mudah mendera anak
• pengambilan dadah dan arak yang berlebihan. tidak rasional dan hilang tumpuan. tidak memahami atau mengetahui tindakan mereka sendiri.
• kekurangan ilmu agama. tidak mempunyai asas moral yang tinggi. tidak takut balasan agama.

langkah-langkah
• kerjasama masyarakat. membuat aduan kepada pihak berkuasa.menjadi lebih menjaga tepi kain orang.
• mengadakan kempen. memberi kesedaran dan maklumat kepada masyarakat bahaya gejala ini. penggunaan media massa secara meluas.
• kelas kaunseling kepada ibu bapa muda atau baru. penekanan menangani tekanan hidup terutama di kota. memberi penekanan konsep keluarga penyayang.

penutup
 semua pihak perlu bekerjasama. anak bakal pewaris negara. sayangi anak kita.

Monday, June 12, 2006

Semua orang suka tidur


Nampaknya demam Piala Dunia 2006 memang telah mula memberikan kesan kepada masyarakat kita. Ramai pelajar saya yang tidak hadir dan kalau hadir pun di dalam kelas pun hanya jasad sahaja. Mereka enak dibuai mimpi. Jadi, kali ini saya akan ceritakan sedikit tentang sikap negatif ini iaitu jangan tidur di dalam kelas.

Saya bukannya menentang aktiviti tidur tetapi kalau pelajar tidur di dalam kelas, ini harus dielakkan. Kenapa? Sebab apabila seseorang pelajar tidur, mereka akan terlepas semua pengajaran dan maklumat pelajaran yang disampaikan oleh guru dalam sesuatu mata pelajaran itu. Ingat apabila pelajar tidur, kesannya bukan sahaja menimpa pelajar terbabit tetapi juga guru dan pelajar-pelajar lain. Jadi, pelajar-pelajar yang suka tidur sila beri perhatian kali ini. Tindakan anda mempengaruhi orang lain.

Seseorang guru yang mempunyai pelajar yang tidur di dalam kelas akan memberi impak yang buruk kepada keyakinan mengajar seseorang guru. Guru itu akan mula mempertikaikan teknik pengajarannya walaupun mungkin tekniknya itu betul dan sesuai. Guru akan mula mempersoalkan kemahirannya mengajar. Ringkasnya, keyakinan guru akan merosot. Bayangkan kalau perkara ini berlaku hari demi hari.

Bukan sahaja keyakinan akan hilang, penumpuan guru tersebut turut melencong. Beliau akan cuba memberi perhatian kepada pelajar yang sedang tidur seperti meninggikan suara atau memberi arahan kepada pelajar itu seperti menepuk bahunya untuk menyedarkannya. Semua perkara yang dilakukannya ini sudah pasti akan menjejaskan kelancaran pengajaran pada hari itu. Ingat, guru pun manusia biasa yang mempunyai perasaan.

Natijah negatif sikap tidur di dalam kelas ini turut berlaku kepada pelajar-pelajar lain. Mereka akan mula melakukan pelbagai isyarat kepada rakan-rakan yang boleh menimbulkan suasana yang lucu dan di luar kawalan. Ada juga pelajar yang akan mempertikaikan tindakan guru kerana membiarkan pelajar berkenaan tidur. Suasana perpaduan yang diperlukan dalam kalangan pelajar sudah hilang.

Jadi, tindakan sesetengah pelajar tidur di dalam kelas akan menjejaskan keseluruhan proses pengajaran pada masa itu. Di dalam kelas, semua faktor termasuk guru dan pelajar harus seragam supaya proses pengajaran berjalan lancar. Kesilapan salah satu faktor ini pasti menjejaskan penerimaan pelajar ketika itu.

Mungkin anda semua akan bertanya,adakah saya mempunyai pelajar yang tidur di dalam kelas? Ada malah memang banyak terutama ketika musim panas kerana mungkin bahang membuatkan pelajar mudah tertidur. Jadi, bagaimanakah saya menanganinya? Mungkin itu memerlukan ruangan pada masa yang akan datang. Jadi, semua pelajar sila beri kerjasama iaitu JANGAN TIDUR DI DALAM KELAS.


Revisi Menjelang SPM 2006

Huraikan perbandingan watak utama yang terdapat dalam novel yang anda kaji.

 Sudah pasti bandingkan Hilmi dengan Othman.

 Persamaan kedua-dua watak ini ialah Hilmi dan Othman tabah menghadapi cabaran hidup seperti Hilmi kena marah oleh Datin Salmah dan Othman menerima kenyataan isterinya gila. Selain itu kedua-dua watak juga patuh kepada perintah ketua seperti arahan Datuk Johari kepada Hilmi untuk membayar kos membaiki piano yang rosak dan Sarjan Jamil memberi arahan kepada Othman.

 Namun ada persamaan juga iaitu Othman berjuang mempertahankan negara daripada ancaman pihak komunis. Manakala Hilmi berjuang dalam bidang muzik yang mengharumkan nama negara. Selain itu Hilmi mati pada akhir novel ini. Berbeza dengan Othman yang berhenti daripada polis dan terpaksa dipotong kakinya.

Ingat soalan bandingan semakin popular kini. Baca soalan dengan teliti terutama jika bandingkan persamaan atau bandingkan perbezaan.

Terus belajar

Friday, June 09, 2006

Belajar daripada Bola Sepak Piala Dunia


Demam bola sepak sudah bermula. Ramai pelajar mengeluh kerana saya sepanjang bulan Piala Dunia ini tidak akan membuat sebarang kelas tambahan. Ada yang tidak percaya bahawa saya begitu meminati bola sepak. Sememangnya, saya kaki bola. Namun, saya menulis kali ini bukan semata-mata tentang bola sepak tetapi perkara yang kita boleh belajar daripada sukan yang paling popular di dunia ini.

Satu perkara yang saya kagum apabila menonton bola sepak ialah kemahiran seseorang pemain untuk mengawal, menyepak, dan menjaringkan gol dalam satu sentuhan yang ajaib. Bagaimana pemain-pemain ini mampu melakukan semua perkara itu? Sudah pasti mereka terpaksa berlatih berjam-jam di padang bola. Sudah pasti berpuluh-puluh kali mereka menyepak bola itu. Sudah pasti mereka berlari hujung ke hujung padang berulangkali. Sudah pasti mereka keletihan.

Sedihnya, ada pelajar yang menganggap untuk berjaya dalam peperiksaan, mereka hanya memerlukan soalan panas atau soalan bocor. Mereka sering bertanya kepada saya tentang soalan bocor. Malah, ketika peperiksaan penggal, saya sering menerima panggilan telefon dan emel saya penuh dengan satu pertanyaan..."mana soalan bocor????". Adakah Beckham, Zidane, atau Ballack mempunyai sepakan bocor juga untuk berjaya? Pastinya usaha mereka berlatih yang gigih.

Satu lagi konsep yang saya sanjungi dalam sukan ini ialah mereka sanggup bekerjasama (walaupun ada yang anggap gila kerana mengejar bola selama 90 minit. Ada penjaga gol, pertahanan, pemain tengah, dan penyerang. Pasukan yang berjaya ialah pasukan yang keempat-empat komponen ini berfungsi menjadi satu entiti yang mampu mempertahankan gol mereka dan menjaringkan gol di pintu gol lawan pula. Jadi, apakah pengajaran kepada pelajar dalam aspek ini?

Mudah sahaja iaitu ketika belajar, pelajar memerlukan satu pasukan. Ahli dalam pasukan ini saling menolong. Ahli pasukan menyedari tugas mereka. Ada yang membaca bab ini, ada yang membaca bab itu dan ada yang menjelaskan sesuatu perkara kepada kawannya yang kurang jelas. Kumpulan belajar menjadi cara yang paling mudah dan efisien untuk memastikan pelajar memahami semua bab dalam sesuatu subjek itu.

Semua pasukan yang bermain dalam Piala Dunia 2006 mempunyai matlamat untuk menjuarai Piala Dunia idaman semua negara. Semua pasukan mempunyai peluang yang sama. Semua pasukan akan berjuang hingga ke titisan peluh akhir mereka untuk mengalahkan pasukan lawan. Memang pasukan Brazil, Jerman, Itali, Belanda, dan Argentina menjadi negara calon utama untuk berjaya tetapi mungkin juga Costa Rica atau Ghana atau mungkin Korea Selatan akan menyimpan piala itu kali ini. Pasti, mereka akan bersaing habis-habisan.

Pengajaran kepada pelajar? Adakah anda berjuang habis-habisan untuk peperiksaan anda? Untuk SPM 2006? Kenapa tidak berjuang? Rasa anda tidak berdaya saing atau mampu melakukannya? Tengok diri dan bandingkan dengan kawan anda yang sering berjaya dalam peperiksaan itu. Apa yang dirinya ada yang ada tidak miliki? Tangan, kaki, mulut dan semuanya cukup. Anda cuma tiada semangat untuk berjuang habis-habisan. Korea Selatan membuktikan daya juang yang tinggi dalam Piala Dunia 2002. Siapa sangka negara Asia yang kerdil itu mampu melakukannya di peringkat dunia. Betul tak?

Akhir sekali, Piala Dunia 2006 membawa satu impian. Semua orang berhasrat untuk bermain dan pergi ke sana. Semua orang mahu negara mereka beraksi di kejohanan itu (Malaysia boleh ke?. Kejayaan ke Jerman bermakna, mereka telah mencapai sesuatu. Sesungguhnya, bukan semua negara berjaya masuk ke pusingan akhir Piala Dunia, apatah lagi memiliki piala yang unik ini.

Natijahnya kepada pelajar? Tidakkah anda teringin ini mencapai sesuatu dalam hidup? Sesuatu yang boleh dibanggakan oleh diri anda dan mungkin keluarga serta kawan-kawan anda. Berjaya dalam peperiksaan SPM merupakan satu idaman yang bukan semua orang mampu mencapainya. Berusaha ke arah kejayaan dalam SPM dan memperoleh kejayaan adalah satu perasaan yang sukar dilupakan sama seperti menjuarai piala dunia (mungkin piala dunia lebih menarik...ha,ha).Jadi, pelajar anda harus mempunyai impian untuk menjuarai SPM 2006.

Saya terpaksa berhenti sekarang kerana pasukan Jerman akan menentang Costa Rica sebentar lagi. Pasukan kegemaran saya ialah Jerman. Kenapa Jerman? Kerana pasukan ini bersistematik, semangat berpasukan yang jitu, berusaha hingga ke minit akhir, dan bangga dengan keupayaan diri mereka sendiri. Hidup Jerman dan moga-moga Malaysia akan berjaya menjejak kakinya ke kejohanan ini. Itu impian saya.

Tuesday, June 06, 2006

Semangat pelajar perlu dinyalakan


Semalam apabila saya menuju ke stesen LRT untuk pulang ke rumah setelah habis mengajar, saya didekati oleh seorang pelajar. Sudah lama saya mengenali pelajar ini. Lebih tepat ketika dia dalam tingkatan 2. Dia memang seorang pelajar yang baik terutama dalam aspek peperiksaan. Keputusan peperiksaan PMRnya sudah cemerlang. Dia kini berada dalam tingkatan 4.

Namun pertemuan kali ini telah menyebabkan saya mula memikirkan peri pentingnya semangat dalaman seseorang. Menurutnya, dia tidak yakin akan berjaya dalam SPM tahun depan. Saya bertanya kepadanya sebab atau alasannya berkata demikian. Tambahnya, keputusan peperiksaan penggal yang lalu begitu mengecewakan. Saya memandang wajahnya lama-lama. Seorang pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan sudah menampakkan kekalahannya sebelumnya SPM bermula. Setahun setengah pada pandangannya tidak cukup untuk menyediakannya dirinya.

Salah satu sikap yang menyerang diri pelajar ialah sikap memandang rendah keupayaan diri. Menyerah kalah sebelum berjuang. Menyerahkan semua kepada nasib tanpa berusaha dahulu. Pelajar seolah-olah tidak mempunyai semangat untuk berjuang sehingga akhir. Inikah semangat pelajar era globalisasi?

Saya teringat pada tahun 1999. Pada tahun itu saya membawa 28 pelajar saya untuk menyertai larian PJ-Half Marathon. Kami semua akan berlari dalam acara 10KM. Tujuan saya membawa pelajar adalah untuk membuktikan bahawa kalau kita sudah mempunyai tekad dan fokus untuk mencapai sesuatu perkara, semua akan menjadi kenyataan. Salah seorang pelajar yang menarik perhatian saya ialah seorang pelajar perempuan.

Saya masih ingat bagaimana dia memberitahu saya bahawa dia tidak pernah menyertai acara sejauh ini dan bimbang akan gagal. Saya memberi keyakinan kepadanya bahawa dia akan berjaya kalau dia mengikuti regim latihan yang saya sedikan kepada semua pelajar. Latihan itu meliputi keperluan untuk berjalan dan berlari untuk tempoh tertentu dalam masa 3 bulan sebelum acara 10 KM itu bermula.

Ketika kami 28 orang berlari, saya mengikuti pelajar perempuan ini di belakang dan cuba memberi semangat kepadanya. Kami semua berjaya menamatkan larian itu dengan catatan masa yang baik. Ada yang menamatkanya lebih awal dan ada yang berada di belakang. Saya sendiri berasa kagum dengan kemampuan mereka. Semuanya gembira. Semuanya menikmati makanan ringan yang disediakan oleh mak saya.

Di dalam bas, kami semua gembira. Ada yang tidak sabar-sabar untuk menyertai acara larian yang seterusnya. Malah pelajar perempuan itu juga gembira kerana berjaya menamatkan larian. Saya boleh nampak rasa puas di dalam hati mereka. Penat-lelah mereka selama ini sudah berbalas. Mereka berlatih bersama saya atau bersendirian. Pentingnya mereka berusaha dan tidak memandang rendah keupayaan mereka.

Saya masih lagi ingat suasana itu sehingga hari ini terutama apabila saya berasa sedih melihat ada pelajar yang mudah mengalah. Mungkin pelajar harus menyedari bahawa semua yang berlaku bergantung kepada keinginan mereka sendiri. Kalau dalam minda kita sudah tertanam rasa gagal, kecewa, dan sedih. Maka selama itulah kita akan dibelenggu dalam kekecewaan yang dihasilkan oleh diri sendiri. Diri kita merupakan hasil yang dilakukan oleh kita sendiri.

Kepada semua pelajar saya, terus belajar, kenal kelemahan pelajaran yang dihadapi, dan cari langkah untuk mengatasinya. SPM masih ada ruang untuk kita melakukan sesuatu. Percayalah dengan diri anda. Anda mampu menggegarkan dunia ini.

Friday, June 02, 2006

Guru tugas yang mudah?


Kerjaya guru sering disalahtafsirkan. Ada yang menganggap kerjaya guru sesuatu yang mudah dan tidak memeningkan kepala. Ada yang menganggap kerjaya guru banyak cuti dan ada yang menganggap semua orang boleh menjadi guru. Kalau anda ada pertanyaan seperti itu, saya akan menjawabnya bahawa semua itu merupakan mitos yang sering dicanangkan dalam minda manusia di negara ini.

Kalau ada kajian tentang kerja yang memenatkan dan memberi stres yang tinggi, saya yakin dan percaya kerjaya guru akan menjadi salah satu 10 kerjaya yang memberi tekanan. Cuti? Mungkin ramai tidak menyedari ketika cutilah guru berpeluang untuk membaca dan meneliti semua nota-nota mereka. mengajar di hadapan puluhan pelajar bukanlah bergantung kepada nasib sahaja tetapi persediaan. Jadi kita tinggal satu pertanyaan lagi iaitu adakah semua orang boleh menjadi guru?

Pandangan peribadi saya ialah guru memerlukan satu skil yang sukar diperoleh oleh sesiapa pun. Malah tidak keterlaluan saya katakan skil seorang guru seperti pemain bola sepak. Ambil contoh David Beckham. Ramai orang boleh bermain bola tetapi berapa ramai yang mampu melencongkan bola tendangan percuma sepertinya. Sudah pasti tidak ramai. Memang ramai orang boleh mengajar tetapi sejauh manakah keberkesanan mereka? Sejauh manakah pelajar memahaminya? Adakah semua pelajar terutama yang bermasalah mampu memahami pelajaran yang diajar oleh guru itu?

Sebenarnya, guru yang baik bukan bergantung kepada kelayakan akademiknya tetapi guru yang baik ialah guru yang mampu "berhubung" dengan pelajarnya (ini tidak bermaksud guru tidak perlu ada kelayakan). Kemahiran inilah yang masih saya cuba pelajari dan hayati kerana itulah asas kejayaan seseorang guru dalam mendidik anak muridnya. Guru yang mampu "berfikir" mengikut aras pemikiran pelajarnya akan dapat menyampaikan pengajaran dan pembelajaran dengan sempurna tanpa mengira jenis pelajarnya, pandai, sederhana, mahupun lemah atau kaum.

Sesungguhnya, pelajar zaman sekarang bukannya tidak pandai menilai. Saya yakin setiap kali saya atau guru masuk ke kelas, pelbagai teori, hipotesis, anggapan, dan kritikan dilemparkan kepada kami. Daripada cara kami berpakaian, cara bercakap, berjalan, dan mungkin juga jenis telefon bimbit yang kami gunakan. Ambil contoh, saya yang suka memakai seluar berwarna kelabu telah menyebabkan pelajar-pelajar saya membuat lawak sesama mereka bahawa saya tidak pernah membasuh seluar kerana memakai warna yang sama. Kesannya, saya tukar warna seluar yang saya pakai.

Jadi, setiap kali memasuki kelas, saya terpaksa menggunakan pelbagai kaedah. Ada masanya saya terpaksa membuat lawak tetapi ada kelas yang memerlukan saya menjadi panglima perang yang garang. Ada pelajar yang memerlukan perhatian yang mesra daripada saya tetapi ada juga yang memerlukan amaran keras atau peringatan terakhir daripada saya. Ringkasnya, sebagai guru, kita perlu pandai menyesuaikan tahap pemikiran dengan suasana pelajar era moden ini. Ini satu cabaran yang besar dalam kehidupan seseorang guru terutama saya, mencari titik pertemuan saya dengan pelajar.

Bagi saya ini satu pengalaman yang menarik kerana pelajar mendesak saya dan guru-guru supaya berubah dan mencari jalan untuk menarik perhatian mereka. Itulah yang saya masih mencari dan berusaha memahaminya. Saya mahu menarik pelajar supaya duduk di kelas saya dengan selesa sebelum saya memasukkan isu pembelajaran ke dalam otak mereka. Saya mahu mereka berasa suka datang ke kelas. Kalau, saya gagal berbuat demikian, sudah pasti semua pengajaran saya akan berterbangan di atas kepala mereka sahaja. Tugas saya sebagai guru sudah gagal.

Jadi, masihkah kita semua berfikir bahawa semua orang boleh menjadi guru atau guru satu kerjaya yang mudah?