Perlu latihan?

Perlu latihan?

Monday, May 29, 2006

Salah ibu bapa?


Salah satu perkara yang menarik dalam kerja saya sebagai guru ialah bertemu dengan ibu bapa. Sepanjang pembabitan saya dalam kerjaya ini lebih satu dekad, pelbagai ragam ibu bapa saya temui. Ada yang menarik, lucu, dan tidak kurang juga yang mengecewakan. Namun, salah satu perkara pertama yang sering ibu bapa tanya kepada saya ialah bagaimanakah caranya untuk meningkatkan kemampuan anak mereka dalam pelajaran. Ringkasnya mereka mahu anak mereka berjaya dalam peperiksaan.

Jawapan saya mudah sahaja iaitu membaca. Salah satu asas dalam pendidikan ialah membaca. Seorang pelajar seharusnya membaca sejak kecil dan kerap. Pembacaan ini bukan sahaja meliputi buku-buku teks tetapi akhbar, majalah, dan bahan-bahan bacaan lain termasuklah novel. Pada pandangan saya, seseorang pelajar tidak mampu atau tidak memiliki keupayaan menulis tanpa tahap membaca yang tinggi.

Jadi, bagaimanakah pelajar boleh memiliki kebolehan membaca yang tinggi? Jawapannya sekali lagi, mudah dan di depan mata kita semua, iaitu ibu bapa. Pendidikan bermula di rumah kerana pembacaan berasal dari rumah, usaha gigih untuk mencapai sesuatu sering ditekankan dan kejayaan dalam pelajaran menjadi matlamat ibu bapa dalam mendidik anak mereka di rumah. Tanpa peranan ibu bapa ini, sudah pasti tugas saya sebagai guru dan rakan-rakan akan mengalami sedikit rencatan.

Setiap pelajar yang berjaya dalam peperiksaan umum yang saya kenali mempunyai satu persamaan iaitu peranan ibu bapa mereka yang jelas. Saya mengenali satu keluarga yang menarik. Saya mengajak anak sulung lelaki keluarga ini , diikuti anak lelaki kedua dan sekarang sedang mengajar anak bongsu perempuan mereka. Kedua-dua anak lelaki mereka mencapai kejayaan cemerlang, malah anak kedua mereka menjadi pelajar cemerlang di tempat saya mengajar. Anak perempuan mereka pula saya yakin akan menjaya seperti abang-abangnya yang sedang menuntut di universiti kini. Rahsia keluarga ini? Mudah, ibu bapa yang prihatin.

Saya masih ingat bagaimana ibu bapa pelajar itu datang menemui saya dan berbincang masalah anak mereka. Kami mencapai satu kesimpulan itu lebih banyak latihan tambahan diberi kepada anak mereka menjelang beberapa bulan sebelum peperiksaan umum. Ibu bapa pelajar itu sering menelefon saya untuk mengetahui perkembangan anak mereka. Kalau tidak silap saya dalam tempoh tiga bulan sebelum SPM, tiga kali ibu bapa pelajar itu bertemu dengan saya.

Di rumah, saya difahamkan oleh ayah pelajar itu, anak-anaknya diberi peluang untuk menelaah tanpa melakukan kerja-kerja rumah biasa untuk dua bulan terakhir. Semua buku latihan dan rujukan yang ada di pasaran disediakan oleh ibu bapa mereka. Anak-anak mereka belajar secara berkumpulan dengan adik-adik dan diawasi oleh ibu mereka apabila ayah bekerja. Sikap ibu bapa pelajar ini menyebabkan saya berasa lega dan gembira kerana masih ada ibu bapa yang sebegini di negara ini. ( saya yakin masih ramai lagi di luar sana)

Setiap hujung minggu, saya difahamkan mereka menghabiskan masa bersama sambil berbincang mengenai pelajaran yang diajar oleh guru. Menurut si ayah, dia meminta anaknya menceritakan perkara yang diajar oleh guru kepadanya. Pemahaman anaknya dapat diketahui berdasarkan penerangan yang diberikan oleh anaknya kepada ibu bapa. Keyakinan anak turut meningkt selain berlatih untuk mengeluarkan idea mereka sendiri. Malah, melalui kaedah ini ibu bapa boleh mengawasi perkara yang diajar oleh guru anak mereka.

Satu hari itu, saya bertanya kepada ayah pelajar tersebut mengenai pembacaan anak-anaknya. Menurutnya semua majalah seperti Dewan Masyarakat dan akhbar dibelinya untuk kegunaan anak-anaknya. Malah, dia sendiri akan membaca bersama-sama anaknya ketika berada di rumah. Saya hanya tersenyum kerana saya masih ingat lagi sikap ayah saya yang memberikan hadiah buku cerita kepada saya setiap kali hari jadi saya ketika saya kecil dahulu. Kata ayah, kita kena membaca selalu.

Jadi, Ibu bapa memang berperanan besar untuk menjelaskan kepada anak mereka mengenai kebolehan mereka. Ibu bapa berperanan untuk mengasuh dan memimpin kebolehan anak ini ke arah yang betul. Anak memerlukan dorongan dan kata-kata positif ibu bapa mereka setiap masa untuk mengharungi kehidupan di sekolah yang penuh dengan persaingan dan cabaran sosial yang menjelma. Ibu bapa harus membuktikan kepada anak-anak bahawa mereka senantiasa bersama anak dalam setiap peperiksaan yang mereka hadapi. Ibu bapa harus memberi contoh yang baik.

Sudah pasti ada ibu bapa yang akan menempelak komen saya ini dengan andaian bahawa mereka tidak mempunyai masa untuk melakukn perkara di atas. Hujah saya mudah sahaja iaitu adakah anda sanggup menerima kegagalan anak atas sebab kelemahan ibu bapa itu sendiri? Adakah ibu bapa sudah melakukan yang terbaik untuk menyediakan semua kemudahan kepada anak mereka untuk belajar? Adakah ibu bapa sudah memikirkan sedalam-dalamnya keperluan pendidikan anak mereka? Atau ibu bapa hanya melepaskan tugas mendidik anak kepada guru iaitu seperti saya?

Mungkin ibu bapa harus merenung wajah anak mereka di rumah. Renungan yang ikhlas akan memantulkan masa depan anak yang memang perlu dicorakkan oleh ibu bapa. Sebenarnya, ibu bapa asas kejayaan anak di sekolah. Negara perlukan generasi muda yang berpendidikan tinggi terutama dalam era globalisasi yang begitu mementingkan kelayakan akademik untuk meneruskan kehidupan.

Wednesday, May 24, 2006

Pelajar bising di dalam kelas


Petang tadi, ada pelajar saya yang bercakap di dalam kelas. Saya tegur mereka sekali kemudian kali kedua dan akhirnya kali ke tiga. Mereka nampaknya agak terkejut kerana memang saya jarang memarahi pelajar tetapi tidak bermakna saya tidak pernah dan tidak berani memarahi pelajar. Mereka diam seketika.

Kalau pelajar ingin mengetahui kekecewaan seseorang, inilah kekecewaan itu. Sebenarnya, kegagalan pelajar dalam peperiksaan bukanlah kekecewaan azali guru. Kekecewaan guru lebih ketara apabila guru gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik. Kegagalan guru untuk melaksanakan tugasnya banyak bergantung pada beberapa faktor, antaranya suasana kelas yang hiruk-pikuk (keterlaluan agaknya pilihan kata ini).

Banyak pelajar tidak menyedari bahawa bunyi suara mereka bercakap mampu menjejaskan penumpuan guru. Otak saya sibuk memikirkan cara untuk memudahkan pelajar, cara untuk menyampaikan maklumat setepat mungkin atau cara mengaitkan sesuatu fakta dengan fakta lain dan keadaan ini diburukkan dengan kebisingan pelajar. Saya dan mungkin guru yang lain akan terganggu fokus mereka. Akibatnya, saya tersasul beberapa perkataan dan terpinga-pinga.

Cuma bayangkan dilema guru yang mengajar di dalam kelas yang bising. Pertama, kalau mereka tidak marah, pelajar menganggap guru ini boleh dipermainkan. Mereka akan mencuba menguji setakat mana kesabarn seseorang guru itu. Kalau guru itu marah, pelajar akan melabelkan guru itu kaki marah atau tak "sporting". Percayalah pelajar-pelajar dan guru-guru semua bahawa sesuatu peristiwa yang berlaku di dalam kelas akan tersebar lebih pantas daripada berita di televisyen. SMS salah satu wahananya.

Berdasarkan pengalaman saya mengajar, ada beberapa cara yang boleh digunakan untuk mengatasi kelas bising ini. Salah satu yang saya suka ialah keluar dari kelas buat seketika. Pagi tadi ketika mengajar sebuah kelas yang memang terkenal dengan suasana bisingnya, saya telah keluar dari kelas selama lima minit. Sebelum keluar, saya ingatkan mereka bahawa selagi mereka tidak berdiam diri, saya akan keluar dan biarkan mereka memahami sendiri soalan-soalan novel yang saya berikan itu.

Saya dapati taktik ini berkesan kerana dua sebab. Pertama, pelajar akan memahami setakat mana keberanian seseorang guru itu untuk menunaikan amarannya. Kedua, pelajar-pelajar akan menyalahkan satu sama lain. Keadaan ini sudah pasti memberikan lebih banyk tekanan kepada pelajar tertentu yang sering berbuat bising supaya memastuhi kehendak majoriti pelajar di kelas itu.

Namun, saya tidak akan akur dengan pelajar-pelajar yang bising ini kerana masih ada pelajar-pelajar yang ingin belajar dan menggunakan masa sebaik mungkin di dalam kelas untuk belajar. Nasihat saya kepada pelajar, amat mudah iaitu sila fahami kesukaran yang dialami oleh guru untuk mengajar atau bayangkan anda berada di depan dan kawan-kawan bercakap di belakang. Sesuatu pengetahuan itu hanya berjaya dicetuskan jika semua pihak memahami tugas mereka.

Pelajar belajar dan guru mengajar sebaik mungkin.

Sunday, May 21, 2006

Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih


Tadi saya menghadiri majlis pelancaran buku sebuah syarikat yang kebetulannya berhasrat untuk menerbitkan novel saya. Majlis itu berlangsung di Pusat Beli-Belah Alpha Angel, Wangsa Maju. Ramai juga penulis dan pengunjung pusat beli-belah itu yang menghadirinya. Saya hanya duduk dan mendengar satu demi satu ucapan yang diberikan oleh tetamu undangan pada majlis itu. Semuanya memberikan pendapat mereka tentang peri pentingnya menghasilkan buku.

Tiba-tiba mata saya terpandang wajah seseorang. Wajah yang seolah-olah pernah saya tatap. Wajah itu begitu biasa saya lihat. Saya merenung wajah itu lama-lama. Satu senyuman mula terbina. Satu ungkapan mula terhasil. Saya sudah biasa mendengar ungkapan itu. Memang sudah biasa.

"Apa khabar cikgu? Masih ingat saya? suara lelaki itu bertalu-talu menyentap diri saya ini. Saya hanya mengangguk dan mengangguk. Saya semakin jelas mengenali wajah ini. Wajah yang sudah bertahun-tahun meninggalkan diri saya. Saya sudah mengenalinya sekarang.

Ketika itu saya baru beberapa tahun berkecimpung dalam bidang perguruan ini. Biasalah, orang muda mesti mempunyai semangat yang tinggi dan sudah pasti pernah melakukan kesilapan. Saya juga tidak lari daripada kesilapan itu. Saya tersenyum sendirian. Tersengih-sengih. Betul-betul macam kerang busuk.

Kelas di dewan 3 itu memang saya suka kerana keadaanya yang terang dan tidak ramai pelajar yang memasuki kelas BM saya itu. Macam biasa saya akan mengajar dan menerangkan pelajaran sepenuh hati tetapi entah kenapa hari itu, saya tertarik kepada seorang pelajar lelaki keturunan cina yang masuk lewat hari itu. Dia nampak keletihan. Dia tergesa-gesa membuka beg dan mengeluarkan notanya. Pelajar-pelajar lain menyedari perhatian saya itu.

"Lain kali jangan lambat, ok! kata saya kepada pelajar itu. Dia hanya menunduk kepala berulang kali. Pelajar-pelajar lain mula memandang ke arah pelajar cina itu. Dia kelihatan malu kerana menjadi perhatian hari itu. Saya meneruskan pengajaran seperti biasa. Sekali-sekala saya memandang ke arahnya lagi. Nampak dia sedang menulis dan mendengar dengan tekun.

Selesai sahaja kelas, saya terus ke bilik guru (bangunan lama). Belum sempat saya masuk, mata saya tersua lagi pelajar lelaki cina itu. Dia sedang menelaah di hujung bilik darjah yang bertentangan dengan bilik guru. "Tak ada kelas lagi? tanya saya. Dia berjawab tidak ada. Saya memandangnya lama sebelum masuk ke bilik guru.

Esoknya, selepas habis kelas pertama, saya kembali ke bilik guru. Sekali lagi saya ternampak pelajar yang sama. "Hey, kamu tak ada tempat lain ke nak belajar? Asyik guna tempat ini saja? tanya saya bertalu-talu. "Tak ada cikgu," jawab pelajar itu ringkas. Di hadapannya kelihatan buku teks dan latihan Matematik. Pelajaran yang sukar saya fahami sehingga sekarang.

"Rumah tak ada? Saya terus bertanya seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapan pelajar itu. Pelajar itu merenung saya lama-lama. Tiada jawapan. Saya berasa rimas. Saya terus ke bilik guru. Malas nak layan, kata hati saya ini. Baik buat kerja sekolah.

Namun, setelah saya habis kelas pada petang itu, pelajar lelaki tadi telah menunggu saya di depan bangunan. Dia meminta saya mngikutnya. Katanya dia ada sesuatu yang ingin dijelaskan. Entah mengapa saya terus mengikutinya tanpa banyak soalan. Semakin lama berjalan, semakin jauh saya meninggalkan bangunan tempat saya mengajar itu. Mungkin jaraknya sudah melebihi satu kilometer.

Dia membawa saya menaiki tangga sebuah rumah kedai yang biasa. Di bawah ada kedai dan di atas ada rumah. Kiri kanan kawasan itu penuh dengan pelbagai jenis kedai. Antaranya kedai membuat roti. Jenama roti itu agak terkenal juga. Saya pernah membeli roti jenama itu daripada penjual roti yang datang ke kawasan rumah saya.

Tangga yang membawa saya dan dia itu agak gelap. Dindingnya juga agak kotor dengan tulisan. Semakin lama semakin terang kerana ada cahaya lampu."Inilah rumah saya cikgu," katanya. Kali ini nadanya agak sayu. Hati saya mula sebak. Hanya ada satu bilik sahaja yang saya nampak. Tidak ada kerusi di ruang tamu yang jauh lebih kecil daripada ruang tamu rumah saya. Sebenarnya tiada apa-apa di rumah itu. Kosong.

"Ayah dah tak ada, jadi mak kena kerja. Saya pula lepas sekolah cuba tolong di warung tepi pejabat pos itu. Itu sebab saya lambat masuk kelas cikgu," suaranya semakin mendayu sayu. Air mata saya mula bergenang tetapi saya cuba menenangkan perasaan. "Adik-beradik pula ramai. Jadi, susah nak belajar di rumah," tambahnya. Saya hanya tunduk sayu. Timbul rasa bersalah kerana menegur agak kasar tempoh hari.

"Cikgu, saya Chow. Saya belajar dengan cikgu dulu kat Pudu, tak ingat? Perkenalnya. Saya mula terdengar suara ucapan tetamu yang dijemput di dalam majlis pelancaran buku itu. "Ya, ya, saya ingat. Anda buat apa sekarang? balasku. "Saya sudah habis belajar di UM, cikgu. Saya baru saja bekerja dengan sebuah syarikat pembinaan di sini. Baru minggu lepas mula kerja," tambahnya dengan bangga. Kami berbual panjang. Terlalu panjang. Manakala, majlis pelancaran buku tadi terus hilang daripada pendengaran saya.

Ketika berada di dalam LRT PUTRA, saya duduk termenung sejenak sambil memikirkan bekas pelajar saya itu tadi. Sesungguhnya, banyak perkara yang boleh saya pelajari daripada dia. Erti kesungguhan, pengorbanan, dan mungkin kematangan dalam hidup pada usia muda.

Di depan saya pula ada seorang pelajar yang sedang menggunakan telefon bimbitnya.Jenis Nokia. Mahal harganya. Saya tersenyum lagi. LRT pula terus meninggalkan stesen Wangsa Maju.

Tuesday, May 16, 2006

Selamat Hari Guru, Guruku


Hari ini banyak juga ucapan Hari Guru yang saya terima. Ada yang hantar sms, ada yang menggunakan email, dan ada yang beri kad. Tapi ramai yang datang dan mengucapkan sendiri ucapan itu. Hati ini terasa gembira dan terharu kerana masih ada pelajar yang mengingati saya dan rakan-rakan yang lain di bilik guru. Saya termenung sekejap.Teringat kisah silam. Perlahan-lahan.

Lantas, minda dan hati saya teringat kepada beberapa guru saya. Pertama, Puan Fatimah ketika di Sekolah Menengah Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. Beliaulah yang bersungguh-sungguh memberitahu saya supaya bekerja sebagai guru (walaupun ketika itu saya tidak berminat langsung menjadi guru). Beliau yang kebetulan guru kelas saya sering meminta saya membantunya terutama mengangkat buku dan sebagainya. Lagipun, saya ketua kelas.

Kedua, Encik Bakar. Guru bahasa Melayu saya. Beliaulah orang pertama yang menyedari bakat saya dalam penulisan terutama karangan. Terasa bangga apabila beliau sering menggunakan kata-kata atau ayat saya untuk dijadikan renungan kawan-kawan di kelas. Beliau sering meminjam bukunya kepada saya. Katanya saya patut menulis lebih banyak untuk mengasah bakat. Katanya, saya mesti terus menulis sehingga menghasilkan novel.

Ketiga, Encik Fuad. Jurulatih bola sepak saya di Sekolah Rendah Kem Desa Pahlawan, Kelantan. Beliau telah mengenalpasti bakat saya dalam bola sepak dan larian. Beliau telah memilih saya untuk mewakili sekolah sejak darjah 4 (atau mungkin disebabkan tubuh saya yng agak besar ketika itu). Apabila mencecah darjah 6, saya dilantik sebagai kapten pasukan bola sepak. Beliau membuka hati saya untuk terus aktif dalam sukan sehingga ke universiti.

Keempat, Encik Rashid di sekolah Menengah Teknik, Seremban. Beliaulah yang telah memberi peluang kepada saya untuk memegang jawatan ketua asrama (walaupun ditukar kemudiannya) dan penolong ketua pengawas. Entah atas alasan apa beliau memilih saya, sehingga kini saya tidak ketahui? Banyak kisah suka duka di sekolah itu dalam hidup saya terutama dalam aspek persahabatan.

Kelima, Encik Mus Chairil Samani, pensyarah saya di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau telah membuka mata saya dalam bidang penulisan terutama media massa. Saya diberi peluang mengetuai bahagian penerbitan akhbar dalaman universiti. Tugas editor memang disukai saya. Cuba mendapatkan maklumat merupakan keinginan saya yang meluap-luap. Beliau mengajar saya cara menulis dan menghidu berita serta menganalisa berita.

Keenam, Puan Noraini, pensyarah saya juga yang telah memberi dimensi baru kepada pandangan saya terhadap kehidupan dan keagamaan. Ketika berada di bawah kendalian beliaulah saya terlibat secara aktif dalam kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Beliau juga mengasah minda saya untuk berfikir di luar kotak pemikiran masyarakat biasa. Kehidupan saya banyak dipengaruhi oleh beliau.

Begitu juga dengan Profesor Clive Kessler yang secara bersahaja memberikan pandangan yang mampu mengubah paradigma seseorang terhadap sesuatu isu. Gaya beliau sahaja sudah cukup melambangkan sikap beliau yang kritis dan suka mencari penyelesaian terhadap sesuatu perkara terutama isu sosial yang melanda masyarakat dengan jujur tanpa ada kepentingan peribadi. Kadangkala saya gambarkan diri saya seperti beliau.

Daripada Profesor Abdul Rahman Embong, saya belajar cara menghuraikan sesuatu secara mudah. Teori, hujah mahupun konsep yang sukar difahami dengan mudah beliau jelaskan kepada saya dan pelajar-pelajarnya. Penggunaan bahasa beliau cukup mengagumkan kerana walaupun mudah tetapi terus kepada sasaran dan keperluan wacananya. Sikap beliau yang diplomatik turut mengajar saya di kemudian hari. Kehidupannya yang penuh sederhana menjenguk hati saya agar cuba mengikuti jejaknya. Masih mencuba.

Mungkin pelajar saya juga mempunyai guru yang mereka kagumi. Mungkin kehidupan mereka juga berubah apabila bertemu seseorang guru yang mereka kagumi.Mungkin jasa guru bukan setakat mengajar tetapi menjadi idola pelajar. Mungkin juga guru penentu corak kehidupan seseorang.

Sesungguhnya, guru memang banyak berjasa dalam hidup seseorang. Selamat Hari Guru, guruku, walau di mana jua kamu berada. Sekalung terima kasih untuk kalian.

Monday, May 15, 2006

Biru laut atau Laut biru


Salah satu bahagian yang saya gemar ialah bahagian yang menerangkan kosa kata. Saya gemar akan bahagian ini kerana kosa kata mencerminkan kemampuan seseorang memahami sesuatu perkataan. Bayangkan dalam dunia ini ada banyak kosa kata yang menarik. Kalau pengkaji tumbuh-tumbuhan teruja dengan penemuan pokok baru, saya pula teruja apabila menemui kosa kata yang menarik.

Kemahiran untuk menguasai kota kata ini memang bermula daripada pembacaan. Akibat aktiviti membacalah seseorang dapat menambah penguasaan kosa kata mereka. Bagaimanakah perkara ini berlaku? Mudah sahaja. Apabila seseorang membaca buku atau apa-apa bahan sudah pasti dia akan menemukan kosa kata yang baru. Saya sendiri sering mengalami keadaan begitu. Kerajinan seseorang membelek muka surat kamus untuk mencari makna kosa kata itulah yang menambahkan kemahiran seseorang.

Setiap hari pelajar perlu mempunyai sekurang-kurangnya lebih 5 kosa kata baru yang mereka temui. Penggunaan kosa kata amat penting dalam penulisan karangan kerana inilah yang membezakan pelajar yang mahir dan sederhana. Kosa kata yang dipilih membuktikan kemampun minda pelajar melihat sesuatu fenomena itu dengan lebih baik atau daripada sudut yang berbeza.

Namun, banyak pelajar saya yang enggan menggunakan kamus. Malah, tidak keterlaluan kalau saya katakan masih banyak yang tidak memiliki KAMUS DEWAN. Alasan yang jelas kamus itu terlalu berat, mahal, dan sebagainya. Mungkin mereka malas mencari. Mungkin juga mereka mempunyai guru untuk melakukn tugas itu.

Jadi, balik kepada tajuk blog ini mana yang betul LAUT BIRU atau BIRU LAUT? Jawapannya , kedua-dua betul iaitu bergantung pada ayat yang digunakan. Laut biru merujuk lautan manakala biru laut menerangkan warna. Cara untuk mengenalinya, mudah sahaja iaitu lihat perkataan pertamanya. Laut biru mempunyai perkataan pertama LAUT, jadi ini merujuk lautan. Kosa kata biru laut mempunyai perkataan pertama biru, jadi ini merujuk warna biru.

Bagaimana dengan telur putih dengan putih telur, goreng nasi dengan nasi goreng, susu lembu dengan lembu susu, atau laut dalam dengan dalam laut? Cuba pelajar-pelajar teka. Keliru?

Saturday, May 13, 2006

Antara Dusta dan Wacana?



Nampaknya hari ini saya menerima beberapa komen pelajar saya kerana saya sudah mendedahkan blog saya kepada mereka. Memang, saya mengku saya ada berbohong terutama ketika mengajar di dalam kelas. Namun, tujuan saya adalah untuk memaksa pelajar berfikir secara kritis. Pelajar era globalisasi ini agak kedekut dengan otak mereka untuk berfikir.

Saya mengaku ada kalanya saya terlanjur bercerita tentang seorang penyanyi terkenal di dalam kelas saya. Namun, persoalan utama di sini ialah apakah sebab saya melakukan perkara itu? Apakah niat saya baik? Saya ingin pelajar bertanya kepada diri mereka. Pertama, adakah guru ini bercakap benar? Adakah guru saya memang cinta akan penyanyi itu? Apakah bukti-bukti yang ada setakat ini? Kalau semua pelajar berfikir secara sistematik begini, sudah pasti mereka akan mendapat jawapannya dari awal, iaitu tidak mungkin saya jatuh cinta akan penyanyi itu (malah penyanyi itu pun tidak mengenali saya...ha,ha)

Malah, ada satu lagi penipuan saya iaitu saya mengaku diri ini buta warna. Sekali lagi pelajar yang bijak akan bertanyakan soalan seperti bagaimana saya memandu. Atau bagaimana saya nak melintas jalan atau lampu trafik. Dan bagaimana saya memilih warna pakaian saya? Bagaimana saya tahu warna baju pelajar saya?

Saya sudah mengajar pelajar lebih satu dekad. Pahit maung mengajar telah membuatkan saya terpaksa lebih kreatif untuk memastikan pelajar berfikir. Saya mahu pelajar saya menggunakan segenap penjuru otak mereka untuk berfikir, mencari jawapan setiap masalah pelajaran mereka, dan menggunakannya demi masa depan mereka. Saya tidak mahu pelajar menunggu jawapan guru di kelas. Cuba fikirkan sesuatu dan kembangkan idea itu. Nescaya, idea itu akan berkembang dan terus bercambah. Cuba lagi esok hari, ada amalan ini akan membuahkan hasil yang cukup mengagumkan.

Jadi, otak pelajar digunakan untuk apa? Mungkin untuk mencari pakaian kegemaran mereka, melihat penyanyi yang baru, mengkaji fesyen terkini, atau tidak menggunakannya langsung. Hanya duduk di dunia ini menunggu dan menanti sesuatu. Mereka mempunyai satu tanggapan otak mereka disenyapkan, biar otak guru yang berfungsi. Bukankah itu tugas guru, kata pelajar-pelajar saya. Kita sebagai pelajar hanya menyalin jawapan di depan mata.

Mungkin pelajar tertanya-tanya apakah hasil yang saya peroleh? Banyak hasilnya, bahkan ada pelajar yang terus menanyakan soalan sebaik sahaja kelas berakhir. Soalan mereka kadang-kadang mencabar minda saya. Tersentak juga otak saya tetapi hati cukup ceria. Inilah hasilnya kalau kita menggunakan minda kita.

Ingat pelajar-pelajar, otak dianugerahkan Tuhan untuk digunakan ke arah jalan yang benar. Dan untuk kali ini, masa ini, ketika ini, gunalah minda kita untuk pelajaran. Kepada pelajar-pelajar saya, jenguk-jenguklah blog ini terutama ketika ketiadaan aktiviti atau ketika masa senggang. Mungkin kita boleh pelajari sesuatu.

Friday, May 12, 2006

Menulis satu seni?


Semalam saya mengajar cara-cara menulis karangan, lebih tepat ialah menulis isi. Saya cuba mengajar sebaik mungkin. Menjerit sekuat mungkin. Namun setelah beberapa ketika saya dapati masih ada pelajar yang kurang faham. Perasaan kecewa mula menusuk-nusuk jiwa saya. Terasa semua persediaan sebelum kelas menjadi sia-sia. Siang malam memikirkan cara untuk pelajar memahami isi masih gagal dicapai.

Saya jelaskan dalam kelas itu bahawa untuk menulis karangan ada panduan mudah. Pertama, tanya diri anda apakah isi yang anda nak tulis. Kedua, siapakah yang akan melaksanakan isi itu? ketiga, bagaimana isi itu akan dilaksanakan? Keempat, mengapakah isi itu penting dilaksanakan? dan terakhir contoh atau bukti isi itu. Memang ada cara lain yang diajar oleh guru dan saya sendiri iaitu deduktif dan induktif tetapi saya menganggap pelajar sekarang sukar untuk memahaminya. Jadi, saya cuba sesuatu yang baru. Masih gagal? Benak hati ini mula tertanya-tanya mana silapnya?

Mungkin juga kefahaman pelajar kurang terutama dalam karangan kerana mereka tidak suka membaca. Malah, lebih tepat kalau saya katakan mereka malas untuk membeli majalah terutama majalah berunsur pendidikan seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa mahupun surat khabar. Alasannya mudah iaitu terlalu mahal. Peliknya, menukar telefon bimbit setiap masa bukanlah satu perkara susah kepada pelajar-pelajar saya.

Jadi, apa masalahnya? Mungkin keutamaan pelajar tidak tepat. Pelajar tidak memahami bahawa untuk menulis karangan yang baik mereka bukan sahaja perlu mengetahui teknik menulis tetapi lebih penting isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka. Bagaimana mereka boleh mengetahui perkara ini? Mudah sahaja, baca majalah, surat khabar dan bahan-bahan bacaan lain.

Pelajar juga silap kerana menganggap menulis karangan mudah seperti membaca menu makanan. Semuanya sudah tersedia. Pilih dan nikmati juadah mereka. Sebenarnya, menulis bukan hanya memerlukan kemahiran teknikal tetapi memerlukan kesenian. Pemilihan kata, penyusunan isi, dan penggunaan penanda wacana mencerminkan latihan yang sudah dilakukan oleh mereka beberapa tahun yang lalu. Ringkasnya menulis bukannya boleh dipelajari dalam satu kelas atau membaca nota guru sahaja. Menulis, memerlukan pembacaan, diskusi, dan penghasilan kata-kata yang dapat direalisasikan melalui latihan.

Selesai kelas, ada beberapa pelajar datang ke meja saya. Mungkin mereka menyedari kekecewaan hati saya. Kata mereka memang mereka faham. Hati ini kembali ceria tetapi masih sebak kerana mengenangkan hari peperiksaan yang semakin hampir. Karangan amat penting, karangan mengambil markah yang banyak. Saya pasrah.

Buat seketika saya hanya duduk di meja memerhatikan pelajar-pelajar saya keluar dari bilik itu satu demi satu. Keletihan mula menjamah tubuh saya, agaknya.

Wednesday, May 10, 2006

Hanya sekeping nota


Tadi ketika mula hendak mengajar, beberapa pelajar saya memberitahu bahawa nota-nota saya banyak membantu mereka ketika menjawab soalan peperiksaan. Saya merenung lama mereka. Seolah-olah tidak percaya. Bukankah nota tujuannya untuk dibaca dan digunakan di dalam peperiksaan?

Mungkin pelajar tidak sedar lagi bahawa rahsia besar untuk berjaya dalam peperiksaan ialah mereka harus menelaah nota guru. Tidak kiralah nota guru tuisyen mahupun sekolah. Yang pasti nota menyimpulkan semua penerangan guru kepada pelajar terhadap sesuatu topik. Pelajar mesti membacanya.

Mungkin pelajar belum sedar bahawa mereka perlu mempunyai satu sistem untuk menyimpan semua nota guru mereka. Satu sistem supaya mereka mudah memperoleh atau melihatnya setiap masa atau ketika diperlukan. Ini tidak, esok peperiksaan, malam ini baru mencari-cari nota guru kesayangan mereka.

Mungkin pelajar belum sedar bahawa nota guru itu merupakan pengalaman yang dialami oleh guru itu ketika mengajar. Guru akan sering merobek, membuang, menyimpan, mereka bentuk dan memudahkan nota mereka. Penghasilan nota bukanlah satu kerja mudah.

Mungkin pelajar belum sedar bahawa nota harus dihargai seperti manusia lain. Nota tidak harus dicampak, dilukis dengan gambar-gambar yang tidak sesuai, dipijak atau dibiarkan bersendirian. Nota untuk dibelai, disimpan, dibelek, dan dihargai oleh pelajar. Hubungan pelajar dengan nota umpama hubungan Aku, Kris, dan Kristal yang sukar dipisahkan.

Mungkin juga pelajar belum sedar bahawa nota itu akan berguna untuk masa depan mereka. Mungkin ketika mereka di universiti, ketika bekerja, atau ketika mereka menjadi guru pula. Nota bukan hanya untuk dibaca tetapi disimpan dan dihayati sepanjang masa.

Apabila loceng berbunyi tanda kelas pertama saya sudah tamat, mata saya terpandang ke arah sekeping nota lama di bawah kerusi di kelas saya. Lantas, saya mengambilnya sambil mengesat habuk yang melekat. Sayang, nota bagi pelajar saya hanyalah sekeping kertas yang boleh dibuang. Pada saya, nota adalah kerja, masa depan, dan impian seseorang.

Mungkin lain kali apabila kita melihat nota, kita patut melihatnya seperti insan.

Monday, May 08, 2006

Peperiksaan sekolah


Tadi ketika menunggu lrt di stesen Pandan Jaya saya terserempak dengan salah seorang pelajar saya. Dari jauh dia sudah melambaikan tangannya. Semakin lama dia menghampiri saya, semakin jelas dia ingin memberitahu sesuatu perkara. Memang sah dia hendak memberitahu saya sesuatu. Gayanya memang cukup jelas.

Menurutnya, tadi dia berjaya mengharungi peperiksaan sekolahnya. Sudah pasti BM kerana saya guru BMnya. Katanya, perkara yang saya sentuh di dalam kelas telah memudahkannya untuk menjawab. Balas saya baguslah. Tapi dalam hati ini dilema mula timbul.

Adakah pelajar hanya bergantung kepada guru sahaja? Adakah kata-kata guru terutama sebelum peperiksaan begitu penting? Bagaimana kalau saya tidak membincangkan tajuk-tajuk penting itu dalam beberapa minggu yang lalu? Adakah pelajar itu akan berasa gembira apabila menemui saya tadi?

Entahlah, semakin hari semakin jelas kepada saya, ramai pelajar yang terlalu mengharapkan bantuan guru. Mereka tidak mempunyai kesungguhan untuk mencari atau menyelesaikan sesuatu masalah pelajaran itu sendiri. Sikap terlalu bergantung kepada guru ini amat bahaya.

Apabila lrt tiba, perbualan kami terhenti. Saya segera mengambil tempat duduk. Sekali-sekala saya melihat sekelililing kerana biasanya mesti ada pelajar yang akan menegur saya. Kadangkala terasa bangga juga. Tapi ada masanya terasa beban pula.

Saya pantas menukar ke monorel apabila tiba di stesen Hang Tuah. Rasa hati ingin berjalan ke Imbi Plaza sebab perlu membeli "dakwat" untuk printer saya. Bulan ini agak banyak juga bahan yang telah saya "print". Biasalah menjelang peperiksaan, pelajar akan meminta itu dan ini. Jadi terpaksalah saya mencetaknya sendiri.

Selain membeli dakwat di Imbi, saya juga mempunyai temu janji dengan sahabat saya dari Korea Selatan yang kebetulan datang ke Kuala Lumpur atas jemputan kerajaan Malaysia. Sahabat saya itu terlibat dalam bidang penyelidikan di negara yang terkenal dengan drama cintanya. Ramai pelajar saya yang meminati drama Korea ini.

Ketika menunggu kawan saya di Bukit Bintang, saya bersua dengan bekas pelajar saya tahun lalu. Dia sedang bekerja menjual barang mainan kanak-kanak. Menarik kerana ketika saya mengajarnya dahulu, dia sering bercakap di dalam kelas. Katanya, dia berjaya lulus dalam BM. Katanya dia gembira belajar dengan saya. Katanya dia gembira kerana mempunyai pekerjaan walaupun tidak berjaya dalam SPM dengan cemerlang. Katanya dia memperoleh wang yang baik.

Saya mengangguk dan kagum kerana dia betul-betul berubah. Sekarang dia berkeyakinan, bermotivasi dan berfikiran positif. Ketika belajar dahulu, dia agak perlahan dalam tindakan. Dari jauh saya melihat kemahiran menarik pelancong asing membeli sesuatu darinya. Saya kagum kerana pastinya kemahiran itu bukannya datang daripada saya tetapi dirinya sendiri.

Saya terus menunggu sahabat saya dari Seoul itu.