Tuesday, October 17, 2006

Kempen Budi Bahasa wajar dijalankan?


Saya menggunakan perkhidmatan LRT apabila pergi dan balik dari mengajar. Jadi, ketika menunggu LRT, saya sering terserempak dengan pelajar-pelajar saya. Ada yang berani dan berbual dengan saya. Ada juga yang hanya tersenyum sahaja. Namun, ada yang terus melambai-lambai ke arah saya. Apabila saya fikirkan semua itu, hati saya rasa gembira. Penat mengajar tiba-tiba hilang.

Cuma kali ini cerita saya bukan tentang kegembiraan saya tetapi sikap remaja kini yang mungkin sudah melupakan sedikit budi bahasa. Maklumlah zaman globalisasi yang penuh dugaan ini, remajanya mestilah canggih. Bukan sahaja remaja canggih, sikap mereka pun canggih. Kadangkala saya sendiri terkejut dengan gaya mereka.

Sekali itu, sebaik sahaja saya sampai di platform menunggu LRT sekumpulan pelajar menghampiri saya sambil menggayakan tangan mereka umpama penyanyi RAP yang terkenal. Saya terpinga-pinga melihatnya. Pelajar-pelajar saya pula ketawa melihat reaksi saya. Dulu, apabila saya bertembung dengan guru, kata-kata salam atau selamat pagi kedengaran. Kini suara-suara RAP pula terutama YO Brother.

Mungkin kerajaan perlu mengadakan kempen untuk menyedarkan remaja peri pentingnya budi bahasa kita. Kempen terutama penyiaran iklan haruslah menggunakan remaja sebagai fokur utama pengajarannya. Remaja ditegaskan supaya menghargai dan mengamalkan amalan budi bahasa yang luhur bukannya yang diimport dari luar negara.

Peranan ibu bapa turut penting dalam mendidik anak. Ibu bapa yang berbudi bahasa memainkan usaha awal untuk menyemai rasa berbudi bahasa ini. Remaja yang tidak dididik sejak kecil akan menganggap budi bahasa sudah lapuk dan tidak mengikuti peredaran zaman. Pada mereka, siapa lagi yang mahu menunduk kepala dan bahu tanda hormat apabila melintas di hadapan orang tua? Mereka pastinya tidak mahu.

Diri remaja juga perlu diteliti kerana remaja yang mempunyai jati diri yang tinggi tidak akan mudah menerima unsur asing tanpa menapisnya. Remaja yang mudah menyerah dan tidak memikirkan sebab dan akibat secara mendalam menjadi remaja yang mudah diperkotak-katikkan oleh budaya asing ini. Remaja yang berjati diri tinggi sudah pasti mempunyai budi bahasa yang sopan.

Masyarakat turut harus dipersalahkan kerana membiarkan remaja menjadi sukar dikawal. Kita tidak mendengar kesungguhan masyarakat untuk membendung sikap remaja yang tidak berbudi bahasa ini. Masyarakat menganggap remaja yang tidak berbudi bahasa merupakan masalah dalaman sesebuah keluarga. Mereka lebih suka menutup sebelah mata dan berharap anak mereka tidak sebegitu.

Penyiaran filem terutama filem barat turut menyebarkan budaya kuning yang terus mengikis budi bahasa masyarakat kita. Filem-filem yang ditayangkan terus sahaja diterima budayanya oleh remaja kita tanpa memikirkan kesesuaian dengan budaya kita. Memang semu orang ingin kemajuan tetapi adakah pemodenan itu turut membuang identiti bangsa dan kesopanan kita? Mungkin itu yang kurang di dalam hati remaja dan masyarakat kita secara amnya.

Salah remaja? Mungkin tidak kerana media massa begitu lantang memaparkan budaya barat yang langsung tidak memikirkan budi bahasa. Tiada lagi tanda hormat kepada ibu bapa atau guru. Sebaliknya golongan ini dipanggil mengikut nama tanpa segan silu. Remaja seolah-olah dirasuk apabila menggunakan ungkapan-ungkapan barat ini.

Entahlah, kalau saya remaja mungkin saya juga berkelakuan sebegitu. Saya setuju kalau remaja berpendapat tanda hormat itu hanya luaran tetapi lebih penting sama ada mereka maksudkan atau hanya berpura-pura. Buat apa hormat di depan kalau di belakang mengutuk guru atau ibu bapa balas pelajar-pelajar saya. Itu saya tidak pasti.

Mungkin sebab umur saya sudah menuju ke arah era senja, minda saya berfikiran seperti orang tua. Mungkin. Cuma, budi bahasa penting dalam hidup seseorang terutama ketika kemanusiaan semakin menghilang ini. Percayalah pelajar-pelajarku.

No comments: