Friday, June 02, 2006

Guru tugas yang mudah?


Kerjaya guru sering disalahtafsirkan. Ada yang menganggap kerjaya guru sesuatu yang mudah dan tidak memeningkan kepala. Ada yang menganggap kerjaya guru banyak cuti dan ada yang menganggap semua orang boleh menjadi guru. Kalau anda ada pertanyaan seperti itu, saya akan menjawabnya bahawa semua itu merupakan mitos yang sering dicanangkan dalam minda manusia di negara ini.

Kalau ada kajian tentang kerja yang memenatkan dan memberi stres yang tinggi, saya yakin dan percaya kerjaya guru akan menjadi salah satu 10 kerjaya yang memberi tekanan. Cuti? Mungkin ramai tidak menyedari ketika cutilah guru berpeluang untuk membaca dan meneliti semua nota-nota mereka. mengajar di hadapan puluhan pelajar bukanlah bergantung kepada nasib sahaja tetapi persediaan. Jadi kita tinggal satu pertanyaan lagi iaitu adakah semua orang boleh menjadi guru?

Pandangan peribadi saya ialah guru memerlukan satu skil yang sukar diperoleh oleh sesiapa pun. Malah tidak keterlaluan saya katakan skil seorang guru seperti pemain bola sepak. Ambil contoh David Beckham. Ramai orang boleh bermain bola tetapi berapa ramai yang mampu melencongkan bola tendangan percuma sepertinya. Sudah pasti tidak ramai. Memang ramai orang boleh mengajar tetapi sejauh manakah keberkesanan mereka? Sejauh manakah pelajar memahaminya? Adakah semua pelajar terutama yang bermasalah mampu memahami pelajaran yang diajar oleh guru itu?

Sebenarnya, guru yang baik bukan bergantung kepada kelayakan akademiknya tetapi guru yang baik ialah guru yang mampu "berhubung" dengan pelajarnya (ini tidak bermaksud guru tidak perlu ada kelayakan). Kemahiran inilah yang masih saya cuba pelajari dan hayati kerana itulah asas kejayaan seseorang guru dalam mendidik anak muridnya. Guru yang mampu "berfikir" mengikut aras pemikiran pelajarnya akan dapat menyampaikan pengajaran dan pembelajaran dengan sempurna tanpa mengira jenis pelajarnya, pandai, sederhana, mahupun lemah atau kaum.

Sesungguhnya, pelajar zaman sekarang bukannya tidak pandai menilai. Saya yakin setiap kali saya atau guru masuk ke kelas, pelbagai teori, hipotesis, anggapan, dan kritikan dilemparkan kepada kami. Daripada cara kami berpakaian, cara bercakap, berjalan, dan mungkin juga jenis telefon bimbit yang kami gunakan. Ambil contoh, saya yang suka memakai seluar berwarna kelabu telah menyebabkan pelajar-pelajar saya membuat lawak sesama mereka bahawa saya tidak pernah membasuh seluar kerana memakai warna yang sama. Kesannya, saya tukar warna seluar yang saya pakai.

Jadi, setiap kali memasuki kelas, saya terpaksa menggunakan pelbagai kaedah. Ada masanya saya terpaksa membuat lawak tetapi ada kelas yang memerlukan saya menjadi panglima perang yang garang. Ada pelajar yang memerlukan perhatian yang mesra daripada saya tetapi ada juga yang memerlukan amaran keras atau peringatan terakhir daripada saya. Ringkasnya, sebagai guru, kita perlu pandai menyesuaikan tahap pemikiran dengan suasana pelajar era moden ini. Ini satu cabaran yang besar dalam kehidupan seseorang guru terutama saya, mencari titik pertemuan saya dengan pelajar.

Bagi saya ini satu pengalaman yang menarik kerana pelajar mendesak saya dan guru-guru supaya berubah dan mencari jalan untuk menarik perhatian mereka. Itulah yang saya masih mencari dan berusaha memahaminya. Saya mahu menarik pelajar supaya duduk di kelas saya dengan selesa sebelum saya memasukkan isu pembelajaran ke dalam otak mereka. Saya mahu mereka berasa suka datang ke kelas. Kalau, saya gagal berbuat demikian, sudah pasti semua pengajaran saya akan berterbangan di atas kepala mereka sahaja. Tugas saya sebagai guru sudah gagal.

Jadi, masihkah kita semua berfikir bahawa semua orang boleh menjadi guru atau guru satu kerjaya yang mudah?

No comments: