Perlu latihan?

Perlu latihan?

Saturday, May 13, 2006

Antara Dusta dan Wacana?



Nampaknya hari ini saya menerima beberapa komen pelajar saya kerana saya sudah mendedahkan blog saya kepada mereka. Memang, saya mengku saya ada berbohong terutama ketika mengajar di dalam kelas. Namun, tujuan saya adalah untuk memaksa pelajar berfikir secara kritis. Pelajar era globalisasi ini agak kedekut dengan otak mereka untuk berfikir.

Saya mengaku ada kalanya saya terlanjur bercerita tentang seorang penyanyi terkenal di dalam kelas saya. Namun, persoalan utama di sini ialah apakah sebab saya melakukan perkara itu? Apakah niat saya baik? Saya ingin pelajar bertanya kepada diri mereka. Pertama, adakah guru ini bercakap benar? Adakah guru saya memang cinta akan penyanyi itu? Apakah bukti-bukti yang ada setakat ini? Kalau semua pelajar berfikir secara sistematik begini, sudah pasti mereka akan mendapat jawapannya dari awal, iaitu tidak mungkin saya jatuh cinta akan penyanyi itu (malah penyanyi itu pun tidak mengenali saya...ha,ha)

Malah, ada satu lagi penipuan saya iaitu saya mengaku diri ini buta warna. Sekali lagi pelajar yang bijak akan bertanyakan soalan seperti bagaimana saya memandu. Atau bagaimana saya nak melintas jalan atau lampu trafik. Dan bagaimana saya memilih warna pakaian saya? Bagaimana saya tahu warna baju pelajar saya?

Saya sudah mengajar pelajar lebih satu dekad. Pahit maung mengajar telah membuatkan saya terpaksa lebih kreatif untuk memastikan pelajar berfikir. Saya mahu pelajar saya menggunakan segenap penjuru otak mereka untuk berfikir, mencari jawapan setiap masalah pelajaran mereka, dan menggunakannya demi masa depan mereka. Saya tidak mahu pelajar menunggu jawapan guru di kelas. Cuba fikirkan sesuatu dan kembangkan idea itu. Nescaya, idea itu akan berkembang dan terus bercambah. Cuba lagi esok hari, ada amalan ini akan membuahkan hasil yang cukup mengagumkan.

Jadi, otak pelajar digunakan untuk apa? Mungkin untuk mencari pakaian kegemaran mereka, melihat penyanyi yang baru, mengkaji fesyen terkini, atau tidak menggunakannya langsung. Hanya duduk di dunia ini menunggu dan menanti sesuatu. Mereka mempunyai satu tanggapan otak mereka disenyapkan, biar otak guru yang berfungsi. Bukankah itu tugas guru, kata pelajar-pelajar saya. Kita sebagai pelajar hanya menyalin jawapan di depan mata.

Mungkin pelajar tertanya-tanya apakah hasil yang saya peroleh? Banyak hasilnya, bahkan ada pelajar yang terus menanyakan soalan sebaik sahaja kelas berakhir. Soalan mereka kadang-kadang mencabar minda saya. Tersentak juga otak saya tetapi hati cukup ceria. Inilah hasilnya kalau kita menggunakan minda kita.

Ingat pelajar-pelajar, otak dianugerahkan Tuhan untuk digunakan ke arah jalan yang benar. Dan untuk kali ini, masa ini, ketika ini, gunalah minda kita untuk pelajaran. Kepada pelajar-pelajar saya, jenguk-jenguklah blog ini terutama ketika ketiadaan aktiviti atau ketika masa senggang. Mungkin kita boleh pelajari sesuatu.

1 comment:

zoul-K said...

Cikgu, saya cadangkan cikgu lebihkan latihan dan strategi membuat karangan dan rumusan di samping memperlebar kosa kota bahasa Melayu kami.

Saya mendapati perkataan-perkataan yang guru sekolah saya sediakan di dalam peperiksaan baru-baru ini tidak dapat dijawab oleh majoriti pelajar kelas saya termasuk juga saya dan ada juga yang meninggalkan ruang jawapan kosong. Oleh itu, saya amat berharap cikgu boleh usahakan latihan bina ayat dengan perkataan-perkataan yang lebih susah dan tidak biasa kami dengar.