Perlu latihan?

Perlu latihan?

Wednesday, December 27, 2006

Semua boleh ada azam, kan?


Nampaknya hari ini bermulalah blog saya untuk sesi persekolahan yang baru. Sekian lama berhibernasi, saya gagahkan jua diri ini untuk menaip sepatah dua perkataan untuk tatapan semua pelajar saya. Adajuga pelajar yang sudah mula bertanyakan blog saya. "Bila nak mula cikgu azman blog anda? ungkapan pelajar saya.
Baiklah, malam inikita bermula dan kali ini saya ingin jelaskan mengenai keazaman. Satu tajuk pada sesetengah pihak begitu mudah dilafazkan tetapi realitinya memang sukar untuk dikekalkan. Naluri manusia memang pandai bercakap tetapi jarang mengotakannya.
Biasanya pada masa-masa begini, saya akan bertanyakan pelajar mengenai azam mereka. Atau mungkin di mana mereka akan menyambut tahun baru? Ada yang pantas terus tanpa berfikir menjelaskan SPM menjadi perkara penting dalam hidup mereka tahun ini. Ada juga yang terus menyebut KLCC menjadi tempat mereka merayakan tahun baru. Tapi ada pelajar yang saya rasa diri mereka sendiri tidak memahami erti keazaman.
Pada mereka keazaman satu perkataan tanpa usaha. Pada mereka keazaman hanyalah satu jalan ringkas untuk berjaya dalam SPM. Ada yang menganggap keazaman itu hanya satu perkataan sahaja. Malah, ada yang tidak memahami erti keazaman sejati. Mereka yang memandang rendah keazaman merupakan manusia yang tidak memahami erti kejayaan. Percayalah, keazaman memerlukan ketekunan, pengorbanan, kesedihan, kegembiraan, dan mungkin juga penebusan diri sendiri.
Ketika saya menuntut di universiti dahulu, ada seorang pelajar wanita yang kurang upaya. Maksud saya tanpa tangan dan kaki. Kali pertama saya melihatnya, saya berasa hairan bukan kagum. Hairan kerana dia mampu bergerak dengan lancar. Ya, dia memang menggunakan kerusi roda khas. Tapi masalahnya dia tiada tangan dan kaki. Dia menggunakan mulutnya untuk menghidupkan atau mengarahkan kereta roda itu ke sasarannya. Satu alat seperti straw menjadi perantara antaranya dengan kerusi roda itu.
Kadangkala ketika berada di fakulti saya terserempak dengannya. Dia pelajar senior saya. Kadangkala dia tersenyum mungkin menyedari ada orang yang melihatnya. Mungkin dia sudah biasa direnung orang. Namun, dia tidak pernah bersuara. Saya sendiri pun tidak pernah bertanya khabar dengannya. Di dewan kuliah, dia biasanya berada di belakang atau di depan kerana di situ sahajalah dia boleh duduk tanpa halangan.
Ketika konvokesyen universiti saya berlangsung, saya difahamkan bahawa dia menerima anugerah dekan. Satu kejayaan buat pelajar yang kurang upaya. Pelajar yang cemerlang sahaja boleh menerima anugerah dekan. Satu anugerah tertinggi universiti kepadapelajarnya. Saya melihat diri saya lama-lama dan kali ini saya rasa malu. Rasa malu itu timbul kerana saya menganggap saya memahami erti keazaman. Rupanya saya juga seperti orang lain. Orang yang hanya tahu bercakap tetapi tidak memahami erti keazaman. Tidak faham keazaman.
Kepada pelajar saya, usaha berazam sahaja. Kaji diri dan buat azam. Namun, sebaik sahaja berazam, teruskan keazaman dan jadikan keazaman itu satu realiti. Bukannya satu omong kosong sahaja yang bakal tiba menjelang setiap tahun baru. SPM memang sukar tetapi dengan keazaman azali, anda semua pasti berjaya dengan cemerlang. Begitu juga diri saya.
Di mana saya tahun baru ini? Macam biasa, saya akan duduk di beranda rumah kecil saya memandang ke langit yang dijulang oleh KLCC sambil memamah piza yang dipesan. Dalam kemeriahan percikan bunga api, saya teringat wanita kurang upaya itu. Mungkin dia orang yang paling sesuai untuk menceritakan erti keazaman kepada kita semua. Itu saya pasti.
Azam saya? Saya ingin mengembara ke Tibet. Ya. Pasti saya boleh.

Wednesday, November 01, 2006

Siapa nak pinang Puteri Gunung Ledang?


Perminangan Puteri Gunung Ledang merupakan prosa klasik yang saya minati kerana ceritanya yang penuh unsur ganjil dan menarik serta penuh mistik. Malah, saya tidak sabar menunggu untuk menceritakan kisah ini pada sesi persekolahan yang bakal menjelang nanti. Ceritanya begini.

Pada suatu masa dahulu Sultan Melaka sudah kematian permaisuri dan baginda begitu sedih sehingga pembesar-pembesar begitu kasihan. Lantaran itu mereka bertanya kepada raja dan dibalas bahawa baginda ingin mempunyai permaisuri tetapi calon baginda mestilah lebih baik daripada puteri yang berkahwin dengan raja-raja yang lain. Maklumlah, Sultan Melaka memang terkenal kekuasaannya.

Rombongan peminangan itu diketuai oleh Laksamana dan Sang Setia tetapi Tun Mamat yang berjaya sampai ke puncak gunung itu. Laksamana dan Sang Setia gagal kerana sudah tua, tidak berani, dan cabaran yang dihadapi terlalu kuat. Dalam aspek ini Tun Mamat turut digambarkan sebagai berhati perut kerana menyuruh kedua-dua pembesar itu supaya berhenti dan menunggu kepulangannya sahaja.

Pemergian Tun Mamat dipenuhi pelbagai peristiwa ganjil seperti beliau menemukan sebuah taman di puncak itu. Di tengah-tengah taman itu terdiri sebuah balai yang mempunyai tiang daripada tulang dan atap daripada rambut. Ganjil bukan. Malah, burung-burung dan bunga-bungaan di situ boleh berkata-kata. Selain itu, beliau turut bertemu dengan dua wanita yang mampu ghaib setelah selesai berkata-kata.

Wanita pertama ialah Dang Raya Rani yang menjadi pengetua gunung itu. Manakala wanita kedua pula ialah seorang wanita bongkok tiga yang turut digambarkan sebagai tuan puteri sendiri tetapi sengaja menyamarkan dirinya. Wanita tua inilah yang telah memberikan beberapa syarat untuk dipatuhi oleh sultan jika baginda berhasrat berkahwin dengannya.

Syarat-syaratnya juga ganjil seperti hati nyamuk dan hati kuman tujuh dulang. Jambatan emas dan perak dari Melaka ke Gunung Ledang. Air mata dan air pinang muda setempayan. Darah sultan dan puteranya semangkuk. Semua syarat ini sebenarnya sengaja dibuat oleh tuan puteri untuk menolak peminangan itu secara baik dan tidak mahu sultan murka serta menyerang Gunung Ledang. Jadi, tuan puteri memang bijak.

Semua syarat itu telah didengar oleh sultan dan baginda berpendapat hasrat baginda terpaksa dibatalkan kerana tidak sanggup mengambil darah puteranya. Pembatalan ini bersesuaian kerana sudah pasti kos yang tinggi diperlukan beserta tenaga manusia yang banyak untuk menyediakan semua syarat itu. Malah, perkahwinan merupakan hal peribadi, jadi tidak elok melibatkan negara dan rakyat jelata.
Mungkin kita semua harus pergi mendaki Gunung Ledang? Saya sudah pasti tetapi anda semua saya belum pasti lagi...ha,ha,ha

Tuesday, October 31, 2006

Pusaran bukti haiwan dan manusia saling memerlukan


Kalau ada orang mengatakan bahawa anak saya kembar dengan haiwan sudah pasti orang itu akan menjadi sasaran penangan saya yang kuat ini. Mana boleh manusia disamakan dengan haiwan? Itulah antara persoalan yang begitu ketara dalam Cerpen Pusaran. Saya sendiri meminati cerita ini kerana jalan ceritanya yang menarik dan penuh dengan imbasan zaman kanak-kanak saya.

Dalam cerpen ini konsep percaya amalan karut masih tebal dalam pemikiran masyarakat kita terutama orang Melayu. Apabila Pak cik Kar mengatakan bahawa Junid dan Pusaran kembar, masyarakat kampung mula mempercayainya. Kita harus sedar kepercayaan yang menebal ini berpunca daripada amalan mempercayai bomoh sebagai sebahagian pemimpin masyarakat Melayu. Malah, bomoh sudah menjadi sebahagian budaya orang Melayu itu sendiri. Bomoh juga sering dikaitkan dengan unsur-unsur yang tidak dapat difikirkan oleh minda saintifik dan penyakit-penyakit ganjil yang dialami oleh seseorang itu.

Dalam cerpen ini kepentingan amalan agama turut digambarkan melalui upacara korban yang diamalkan oleh penduduk kampung. Korban pada masyarakat Melayu dikaitkan dengan rasa syukur atas nikmat Tuhan. Korban juga menjadi tanda kerjasama antara masyarakat. Korban juga merupakan sebahagian konsep memberi kepada yang memerlukan.

Pelajar harus memikirkan sebab Mohsin tidak membenarkan anaknya belajar lebih daripada Darjah Enam? Antaranya Mohsin mahu mereka bekerja di kebun kelapanya, sawah padinya atau menjaga ternakannya. Mohsin juga menganggap ilmu itu cukup setakat tahu membaca, mengira, dan menulis. Mungkin ini konsep minda orang kampung terhadap pentingnya pendidikan itu. Hanya cukup makan sahaja.

Namun, kalau dikaji lebih mendalam, Mohsin lambang petani berjaya kerana mempunyai kebun kelapa, sawah padi, dan ternakan. Malah, dia mampu mengorbankan haiwan turut menjadi bukti betapa berjayanya hidup beliau di kampung itu. Beliau bukan sahaja rajin tetapi pandai menguruskan “perniagaannya” dengan berkesan sekali. Usah lupa juga, Mohsin penyayang kerana sanggup membatalkan upacara korban itu setelah diberi nasihat oleh lebai kampung itu dan melihat kesungguhan Junid merayu.

Junid dan Pusaran digambarkan sebagai makhluk Tuhan yang berbeza tetapi saling memerlukan. Mereka pernah cuba dipisahkan oleh Mohsin tetapi gagal. Junid demam manakala Pusaran tidak “galak” iaitu tidak cergas dan tiada selera makan. Keakraban ini seolah-olah membuktikan kata-kata Pak cik Kar itu.

Mungkin cerpen ini cuba membawa pelajar memahami erti hubungan luar tabii yang jarang-jarang kita lihat iaitu manusia dan haiwan mampu hidup bersama. Kita memerlukan haiwan itu satu kenyataan tetapi hakikatnya haiwan tidak memerlukan kita untuk mereka hidup. Jadi, manusia harus menghormati haiwan lebih bermakna. Kita tidak seharusnya melihat haiwan sebelah mata tetapi menganggap mereka ciptaan Tuhan yang perlu diberi pertimbangan seperti manusia biasa.

Monday, October 30, 2006

Siapa hero, Jebat atau Tuah?



Dalam Pertarungan Hang Tuah dengan Jebat ada beberapa perkara penting yang perlu pelajar semua fahami. Pertama ialah siapakah pada pandangan pelajar merupakan watak hero atau pahlawan dalam cerita ini. Sudah pasti jawapan pelajar semua berbeza. Bukan? Pada pandangan saya kedua-duanya memang hero.

Kenapa saya mengatakan bahawa Tuah merupakan hero dalam cerita ini? Mudah sahaja, beliau setia kepada sultan walaupun sultan pernah menitahkan beliau dibunuh dan kedua beliau sanggup membunuh sahabatnya kerana diarahkan begitu oleh sultan. Saya juga menganggap Tuah hero kerana beliau sanggup menegakkan keadilan dengan membunuh sahabatnya. Paling penting Tuah mngutamakan rakyat daripada sahabatnya sendiri.

Jebat pun hero kerana beliau sanggup mempertahankan sahabatnya yang difitnah. Beliau juga dianggap hero oleh saya kerana sanggup menentang pemerintah yang dianggap sebagai zalim dan tidak menggunakan akal untuk menjatuhkan hukuman. Beliau juga saya anggap hero kerana sanggup membiarkan dirinya dibunuh oleh Tuah walaupun beliau memiliki keris Taming Sari.

Dalam cerita ini, pelajar harus juga memahami cara-cara yang boleh dilakukan oleh Tuah untuk menyelamatkan sahabatnya. Pada saya, Tuah seharusnya memberi peluang Jebat melarikan diri ke tempat yang jauh. Tuah juga seharusnya memohon Sultan supaya mengurangkan hukuman terhadap Jebat atau membicarakan Jebat bukannya membunuh. Tuah juga pada pandangan saya harus memikirkan sebab Jebat menderhaka dan membantunya menentang Sultan yang tidak pandai memerintah itu.

Selain itu, pelajar harus memikirkan sebab Jebat menyerahkan anaknya kepada Tuah. Kalau lelaki, Jebat berharap Tuah akan menjaganya. Penyerahan ini dilakukan kerana Jebat berpendapat masa depan anaknya lebih cerah kalau dipelihara oleh Tuah. Lagipun, anaknya akan selamat kerana tiada siapa yang berani menentang Tuah untuk membunuh anak Jebat. Saya juga menganggap penyerahan ini lambang persahabatan mereka yang erat.

Satu kosa kata yang menarik minat saya ialah rosak bawang kerana jambaknya. Ungkapan ini diungkap oleh Jebat kerana pada beliau sultan yang tidak berwibawa ketika memerintah akan membawa kesusahan kepada rakyatnya. Jadi, pada beliau Sultan seperti ini boleh ditentang demi kebaikan rakyat keseluruhannya.

Ketika mengajar, ramai pelajar bertanyakan saya adakah tindakan Jebat itu tepat? Entahlah saya sendiri tidak pasti tetapi kalau dikaji teliti saya rasa Jebat sepatutnya menggunakan kaedah lain untuk menentang Sultan itu. Jebat boleh tidak mematuhi semua arahan Sultan atau Jebat boleh membunuh Sultan itu sahaja. Jebat tidak seharusnya membunuh rakyat terutama wanita yang tidak berdosa untuk mencapai tujuan penentangnnya.

Sebenarnya, cerita ini banyak memberi pengajaran kepada kita semua. Perkara paling penting ialah sahabat. Manusia yang tidak mempunyai sahabat pada pandangan saya bukanlah manusia yang menghargai erti kemanusiaan. Manusia yang tanpa sahabat merupakan manusia yang penuh kesunyian. Manusia tanpa sahabat umpama rumah tiada penghuni.

Cuba lihat siapa sahabat anda? Sanggupkah anda mempertahankan sahabat anda?

Sunday, October 29, 2006

Dilema kebanjiran tenaga buruh asing di Malaysia


Sebenarnya kehadiran tenaga kerja asing di negara kita memang membawa pelbagai kesan. Ada pihak yang melihatnya kesan negatif dan ada juga yang melihatnya sebagai kesan positif. Mungkin perkara ini memerlukan penelitian yang lebih mendalam daripada semua pihak terutama kerajaan.

Satu perkara yang kita semua harus akui ialah pekerja asing ini telah memberi sumbangan terhadap pertumbuhan ekonomi negara kita. Lihat sahaja sektor pembinaan negara yang memerlukan pekerja yang ramai. Bangunan-bangunan yang tinggi di ibu kota semuanya didirikan hasil titik peluh pekerja asing yang sanggup bekerja keras dengan bayaran yang minimun mungkin.

Bukan itu sahaja, sektor pembuatan negara terutama industri kecil dan sederhana mampu bersaing dengan negara-negara lain kerana menggaji pekerja asing. Kadar upah yang secara relatifnya rendah berbanding mengupah pekerja tempatan menyebabkan sektor industri kita mampu mengeksport barangan lebih murah ke negara-negara lain. Keadaan ini secara tidak langsung turut menjana pertumbuhan pesat eksport negara.

Kehadiran pekerja asing ini turut meningkatkan imej negara sebagai sebuah negara yang membangun. Kalau kita kaji secara teliti, semua rakyat negara maju tidak lagi suka melakukan kerja-kerja yang kotor, tidak berstatus, dan memerlukan kudrat yang tinggi. Jadi, sikap yang diamalkan oleh rakyat kita ini selaras dengan ciri-ciri negara maju yang lain. Kekosongan dalam sektor ini yang menyebabkan pekerja asing membanjiri negara kita.

Namun, kesan positif yang dihasilkan itu turut mengundang bencana terhadap negara kita. Kalau kita selidik, jumlah pekerja asing yang memasuki negara kita ramai yang tidak berdaftar atau lebih tepat masuk secara haram. Keadaan ini menyebabkan timbulnya pelbagai gejala tidak sihat yang sering dikaitkan dengan mereka. Kesukaran untuk mengenal pasti dan mengawal kebanjiran pekerja asing secara haram ini telah memeningkan kerajaan. Pelbagai langkah telah dicuba tetapi hasilnya masih tidak meyakinkan kita.

Kemunculan pekerja asing turut menimbulkan persoalan budaya. Kebanyakan pekerja asing ini datangnya daripada Indonesia, Vietnam, Myammar, India, Filipina, dan Thailand yang telah mengasimilasikan budaya mereka ke dalam budaya kita. Lihat sahaja kelakuan mereka ketika berada di tempat-tempat awam yang jauh berbeza dengan budaya masyarakat tempatan. Dalam keghairahan kita menerima mereka, kita juga harus sedar perbezaan budaya yang wujud antara kita dengan mereka.

Persoalan budaya ini kalau dipanjangkan turut membeir kesan terhadap remaja kita. Remaja kita sudah pasti akan terpengaruh dengan kehadiran budaya baru ini. Mungkinkah bahasa kita akan bertukar seiring dengan wujudnya bahasa asing ini? Mungkin perkara itu tidak akan berlaku tetapi sedikit sebanyak kita akan menerima kesannya jua.

Isu penderaan pekerja asing terutama pembantu rumah turut mengejutkan kita. Keadaan ini bukan sahaja menjatuhkan imej negara malah membuktikan betapa masalah pekerja asing ini tidak ditangani dengan sistematik. Ketiadaan peruntukkan yang kuat untuk menjaga nasib pekerja asing telah banyak kali menjadi perhatian media massa. Pekerja asing tiada mempunyai tempat untuk mengadu hal mereka. Mungkin kerajaan harus mengambil langkah lebih keras dalam menangani isu penderaan ini.

Maka, isu pekerja asing bukanlah satu isu yang mudah ditangani. Kemelut ini memerlukan satu badan bertindak khas untuk memastikan semua pihak menerima pembelaan yang sewajarnya. Kita tidak boleh menganggap pekerja asing satu masalah sementara sahaja tetapi satu masalah yang hanya menanti masa untuk meletup menjadi isu yang lebih besar dan bahaya.

Saya suka jadi artis?


Saya berpendapat hidup sebagai artis mempunyai kenikmatannya. Malah, saya rasa ketika kecil saya sendiri terfikir untuk menjadi artis. Mungkin saya sesuai menjadi pelakon? Atau mungkin saya sesuai menjadi penyanyi? Entahlah yang pasti kerjaya artis ini memang menjadi perhatian masyarakat yang ingin mengetahui perkembangan hidup mereka. Media massa pula sering memaparkan isu artis pada dada akhbar mereka.

Justeru itu, ramai pihak terutama remaja akan menjadikan artis sebagai idola mereka. Artis dianggap sebagai alat untuk menjadikan impian remaja menjadi kenyataan. Bagaimana impian remaja ini menjadi kenyataan? Mudah sahaja mereka akan meniru cara berpakaian, bertutur, dan ada yang mengikuti seluruh kehidupan artis kesayangan mereka itu tanpa ada sebarang pemikiran rasional. Maksud saya adakah peniruan itu sesuai dengan budaya dan kehidupan remaja itu sendiri?

Ambil contoh sahaja artis barat atau tempatan yang berpakaian mencolok mata. Remaja yang tidak berfikiran rasional akan terus menirunya tanpa memikirkan umur mereka yang masih muda, peraturan pihak sekolah dan perasaan ibu bapa mereka. Pada remaja, peniruan cara berpakaian itu sudah menjadi bukti betapa setianya mereka terhadap artis itu. Adakah ini satu peniruan yang baik?

Malah ada artis yang turut terbabit dalam kegiatan jenayah dan gejala yang tidak sihat tetapi masih diminati oleh remaja. Banyak alasan yang diberikan oleh mereka seperti suara atau lakonan mereka sungguh menarik. Persoalannya sekarang ialah remaja harus pandai memisahkan antara realiti dengan lakonan. Remaja harus bijak mengambil perkara yang positif dan bukannya meniru membabi-buta sahaja.

Kegilaan remaja terhadap artis turut menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran. Saya percaya ramai pelajar saya lebih suka membicarakan persoalan artis daripada watak protagonis dalam Konserto Terakhir. Isu yang menyentuh artis lebih sensasi dan menimbulkan rasa teruja yang meluap-luap di dalam hati remaja. Jadi, pada remaja persoalan protagonis ke, antagonis ke atau watak bundar hanyalah isu sampingan belaka. Artis mampu melalaikan tanggungjawab remaja terhadap pelajaran.

Jadi, bagaimana sikap mendewa-dewakan artis ini mampu dibendung? Mudah sahaja, artis harus menunjukkan contoh teladan yang positif. Mereka harus ingat sebagai artis mereka akan terus menjadi sasaran remaja. Artis harus mendukung wawasan negara untuk mendidik remaja. Artis sama juga seperti guru mempunyai peranan untuk mendidik remaja. Bezanya, kehidupan artis penuh sensasi. Bukannya seperti guru yang tidak pernah dicari oleh juru gambar akhbar untuk mencuri wajahnya.

Cuma, untuk menyalahkan artis sahaja pun kurang tepat kerana artis sebenarnya mempunyai peranan besar bukan setakat memberi hiburan kepada masyarakat. Kehidupan artis yang menjadi tumpuan remaja harus disalurkan ke arah aktiviti yang berkesan. Artis sepatutnya digunakan untuk memancing remaja ke arah kehidupan yang bermakna. Macam kata saya pada awal blog ini iaitu artis boleh menjadi idola kita. Cuma idola yang bagaimana kita mahukan. Positif atau negatif?

Saturday, October 21, 2006

Jasa Penulis kepada masyarakat dan negara?


Untuk pengetahuan pelajar, penulis memang membawa banyak faedah kepada masyarakat. Konsep penulis yang saya gunakan dalam persoalan ini ialah orang yang menulis sajak, cerpen, berita, novel, dan apa-apa yang berkaitan dalam bidang penulisan. Malah, saya sendiri pun terlibat dalam bidang yang saya anggap penuh dengan prospek ini.

Penulis menulis bukan sahaja untuk mencari keagungan diri mereka tetapi untuk menyedarkan orang lain tentang masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Pengalaman atau cerita yang mereka karang itu cuba memahami masalah dan isu yang melanda masyarakat atau sesebuah negara. Ambil contoh, Bukit Kepong yang menyaksikan pengarangnya cuba menggarap apabila masalah kekejaman telah meragut kebahagiaan satu keluarga yang bahagia.

Penulisan turut memberi satu ruang kepada penulis untuk menyampaikan idea mereka atau cadangan mereka mengenai sesuatu perkara. Bukit Kepong banyak menyelitkan unsur-unsur ini seperti mengajar kita supaya bekerjasama ketika menghadapi musuh negara. Tanpa kerjasama sudah pasti negara akan menuju ke arah kemusnahan. Pengarang akan cuba memberikan pendapat mereka secara tersirat di dalam buku atau karya mereka.

Sementara itu, sajak Di Kota Kecilku begitu menyayatkan hati saya kerana sajak ini menyedarkan betapa pentingnya mengenang asal-usul kita. Kampung halaman usah dibuang jauh-jauh. Pengorbanan ibu bapa dan orang lain harus dihargai. Sajak ini cuba mengajar remaja supaya menyedari betapa pentingnya rasa penghargaan terhadap sesuatu itu. Sesungguhnya, penulis menanam sikap positif ke dalam jiwa masyarakat.

Penulis yang banyak berkarya sudah pasti memberi dorongan kepada masyarakat untuk membaca. Sikap membaca sudah pasti memberikan imej yang baik dan memberi nafas baru terhadap industri penerbitan buku di negara ini. Masyarakat yang suka membaca juga mampu mempunyai minda yang terbuka dalam menerima pelbagai idea baru dunia. Lihat sahaja orang Jepun yang suka membaca, negara mereka begitu maju dan mampu melakukan banyak perkara yang kita sendiri kagum.

Malah, penulis juga boleh menjadi idola kepada remaja. Gaya tersendiri A.Samad Said mungkin telah memberikan ilham kepada remaja untuk menulis. Peluang kerjaya dalam bidang ini masih terbuka luas. Remaja yang suka membaca sudah pasti tidak menghabiskan masa sia-sia seperti melepak dan menghabiskan masa di depan komputer.

Cuma satu perkara yang masih memeningkan minda saya ialah masyarakat enggan membaca. Mereka tidak mahu membeli buku, majalah, atau apa-apa bahan bacaan pun. Mereka lebih suka membelek-belek sahaja dan membaca secara percuma di kedai-kedia buku. Mereka tidak segan-silu membaca secara percuma. Mungkin mereka tidak sedar bahawa mereka sedang memeras peluh penulis secara percuma jua.

Friday, October 20, 2006

Hari Terakhir Mengajar


Hari ini merupakan hari terakhir saya menemui pelajar saya. Hari ini agak emosional buat saya. Malah, ada juga beberapa pelajar yang gugur air matanya. Saya masih mampu menahan derita. Cerahan lampu kamera menyuluh bilik guru. Ramai yang mengambil kesempatan untuk mengabadikan kenangan mereka bersama guru. Hati saya mula tergetar.

Ini merupakan salah satu peristiwa yang menyebabkan saya gembira menjadi guru. Suara-suara terima kasih pelajar mengegar telinga ini. Sentuhan salam mereka memberi satu kejutan tenaga kepada saya. Senyuman manis mereka memberi saya satu harapan tentang generasi muda Malaysia. Harapan yang penuh kepastian sejati. Saya sering tergambarkan suasana ini sebelum menyertai perkhidmatan ini suatu masa dahulu. Begitu nyata gambarannya.

Dalam suasana ceria berbaur sedih ini, saya melihat satu demi satu pelajar saya hilang dari kelas saya. Kini, saya bersendirian seketika. Hanya dinding yang menjadi teman. Hanya lampu kalimantan yang menyinari muka saya. Namun, saya masih enggan berganjak dari kelas itu. Rasa berat untuk meninggalkannya. Yelah, hampir dua tahun bersama mereka dan kini mereka sudah tiada.

Ketika berjalan menuju ke LRT, langkah saya terasa berat. Sekali-sekala, suara pelajar mengucap terima kasih masih kedengaran. Saya hanya mampu mengangkat tangan tanda reaksi. Senyuman turut saya lemparkan. Langkah kaki saya terus kaku seolah-olah menyedari kesedihan yang mula membakar hati saya. Hujan yang turun tadi memberi satu dimensi yang penuh kepiluan di dalam sanubari ini. Lantas, air mata saya mula mengalir sedikit demi sedikit tanpa sekatan lagi.

Untuk semua pelajar saya, sekalung ucapan terima kasih saya campakkan kepada kamu semua. Terima kasih kerana sudi memasuki kelas saya. Terima kasih kerana memberi sokongan dan kerjasama kepada saya. Terima kasih kerana sanggup mendengar kuliah dan celoteh saya. Terima kasih juga kerana sanggup menerima saya sebagai guru anda. Terima kasih atas segala-galanya.

Moga kita bertemu pada masa dan tempat yang berbeda. Moga anda semua berjaya dalam SPM 2006.

Tuesday, October 17, 2006

Kempen Budi Bahasa wajar dijalankan?


Saya menggunakan perkhidmatan LRT apabila pergi dan balik dari mengajar. Jadi, ketika menunggu LRT, saya sering terserempak dengan pelajar-pelajar saya. Ada yang berani dan berbual dengan saya. Ada juga yang hanya tersenyum sahaja. Namun, ada yang terus melambai-lambai ke arah saya. Apabila saya fikirkan semua itu, hati saya rasa gembira. Penat mengajar tiba-tiba hilang.

Cuma kali ini cerita saya bukan tentang kegembiraan saya tetapi sikap remaja kini yang mungkin sudah melupakan sedikit budi bahasa. Maklumlah zaman globalisasi yang penuh dugaan ini, remajanya mestilah canggih. Bukan sahaja remaja canggih, sikap mereka pun canggih. Kadangkala saya sendiri terkejut dengan gaya mereka.

Sekali itu, sebaik sahaja saya sampai di platform menunggu LRT sekumpulan pelajar menghampiri saya sambil menggayakan tangan mereka umpama penyanyi RAP yang terkenal. Saya terpinga-pinga melihatnya. Pelajar-pelajar saya pula ketawa melihat reaksi saya. Dulu, apabila saya bertembung dengan guru, kata-kata salam atau selamat pagi kedengaran. Kini suara-suara RAP pula terutama YO Brother.

Mungkin kerajaan perlu mengadakan kempen untuk menyedarkan remaja peri pentingnya budi bahasa kita. Kempen terutama penyiaran iklan haruslah menggunakan remaja sebagai fokur utama pengajarannya. Remaja ditegaskan supaya menghargai dan mengamalkan amalan budi bahasa yang luhur bukannya yang diimport dari luar negara.

Peranan ibu bapa turut penting dalam mendidik anak. Ibu bapa yang berbudi bahasa memainkan usaha awal untuk menyemai rasa berbudi bahasa ini. Remaja yang tidak dididik sejak kecil akan menganggap budi bahasa sudah lapuk dan tidak mengikuti peredaran zaman. Pada mereka, siapa lagi yang mahu menunduk kepala dan bahu tanda hormat apabila melintas di hadapan orang tua? Mereka pastinya tidak mahu.

Diri remaja juga perlu diteliti kerana remaja yang mempunyai jati diri yang tinggi tidak akan mudah menerima unsur asing tanpa menapisnya. Remaja yang mudah menyerah dan tidak memikirkan sebab dan akibat secara mendalam menjadi remaja yang mudah diperkotak-katikkan oleh budaya asing ini. Remaja yang berjati diri tinggi sudah pasti mempunyai budi bahasa yang sopan.

Masyarakat turut harus dipersalahkan kerana membiarkan remaja menjadi sukar dikawal. Kita tidak mendengar kesungguhan masyarakat untuk membendung sikap remaja yang tidak berbudi bahasa ini. Masyarakat menganggap remaja yang tidak berbudi bahasa merupakan masalah dalaman sesebuah keluarga. Mereka lebih suka menutup sebelah mata dan berharap anak mereka tidak sebegitu.

Penyiaran filem terutama filem barat turut menyebarkan budaya kuning yang terus mengikis budi bahasa masyarakat kita. Filem-filem yang ditayangkan terus sahaja diterima budayanya oleh remaja kita tanpa memikirkan kesesuaian dengan budaya kita. Memang semu orang ingin kemajuan tetapi adakah pemodenan itu turut membuang identiti bangsa dan kesopanan kita? Mungkin itu yang kurang di dalam hati remaja dan masyarakat kita secara amnya.

Salah remaja? Mungkin tidak kerana media massa begitu lantang memaparkan budaya barat yang langsung tidak memikirkan budi bahasa. Tiada lagi tanda hormat kepada ibu bapa atau guru. Sebaliknya golongan ini dipanggil mengikut nama tanpa segan silu. Remaja seolah-olah dirasuk apabila menggunakan ungkapan-ungkapan barat ini.

Entahlah, kalau saya remaja mungkin saya juga berkelakuan sebegitu. Saya setuju kalau remaja berpendapat tanda hormat itu hanya luaran tetapi lebih penting sama ada mereka maksudkan atau hanya berpura-pura. Buat apa hormat di depan kalau di belakang mengutuk guru atau ibu bapa balas pelajar-pelajar saya. Itu saya tidak pasti.

Mungkin sebab umur saya sudah menuju ke arah era senja, minda saya berfikiran seperti orang tua. Mungkin. Cuma, budi bahasa penting dalam hidup seseorang terutama ketika kemanusiaan semakin menghilang ini. Percayalah pelajar-pelajarku.

Sunday, October 15, 2006

Pertanian dianggap bidang kelas kedua?

Bidang pertanian merupakan bidang yang saya kagumi. Rasa itu timbul kerana melihatkan kegigihan peladang mengerjakan tanah mereka dengan peluh yang mencurah-curah. Lagipun, tidak ramai masyarakat kita yang suka bekerja begitu kini. Remaja lebih suka bekerja di pejabat yang berhawa dingin. Mungkin kita semua harus melihat sektor ini lebih telus lagi.

Pertanian mampu menjana ekonomi negara kerana hasil sektor ini boleh dieksport ke luar negara dengan banyak. Negara jiran kita Singapura merupakan antara pembeli utama sayur negara. Sudah pasti ini memberi kelebihan kepada kita dalam imbangan eksport. Malah, kejayaan sektor ini sudah pasti membuka peluang industri lain seperti pembuatan jentera dan penghasilan produk sampingan lain.

Saya juga beranggapan bahawa sektor ini memberi unsur kehijauan negara. Memang saya tidak nafikan tanah akan diterangkan untuk membuka kebun atau ladang sayur tetapi sekurang-kurangnya tanah kita masih berwarna hijau. Kalau dibina rumah sudah pasti kehijauan itu hilang tetapi ladang sayur memastikan udara kita masih bersih dan segar. Tambahan pula, tiada pencemaran alam atau kemusnahan bentuk muka bumi yang ketara berlaku.

Negara kita mula memberi perhatian sektor ini selepas kegawatan ekonomi yang melanda negara era 1990-an. Kerajaan mula menyedari bahawa sektor ini mampu mengurangkan pengantungan negara terhadap bahan import terutama makanan. Kalau negara mengalami kemelesetan ekonomi, sekurang-kurangnya rakyat negara kita masih mempunyai makanan yang cukup lantaran sektor pertanian kita dimajukan.

Malah, negara kita bukan sahaja mempunyai Program Buku Hijau malah kini mempunyai Dasar Pertanian Negara. Usaha kerajaan ini membuktikan betapa pertanian sudah menjadi sesuatu perkara penting dalam memastikan pembangunan negara tidak terganggu lagi. Dasar ini juga seolah-olah memberi status baru kepada peladang yang suatu ketika dahulu dianggap kerjaya yang mengotorkan.

Peluang pekerjaan turut meningkat dengan pembukaan ladang sayur. Biasanya, aktiviti di ladang sayur memerlukan tenaga buruh yang ramai. Situasi ini memastikan rakyat negara ini diperlukan dalam memastikanm hasil pertanian dapat sampai ke tangan pengguna dengan cepat dan segar. Jadi, kurang pengangguran.

Bidang ini boleh dimajukan melalui penggunaan teknologi dan sains seperti penggunaan jentera yang lebih moden dan sesuai. Penggunaan baja dan teknik baru penanaman turut membolehkan hasil tanaman lebih banyak. Penggunaan teknologi penting dalam era pertanian moden.
Institusi pengajian tinggi awam turut berperanan memajukan sektor ini melalui pengenalan pelbagai kursus pertanian. Lebih banyak tempat dan peluang belajar pertanian dibuka di negara ini. Tenaga pengajar dan kemudahan lain seperti pinjaman turut ditambah lebih banyak. Keadaan ini memastikan negara melahirkan peladang yang bukan sahaja muda tetapi mempunyai kemahiran yang cukup untuk bertani.

Kempen kesedaran mengenai pertanian harus disebarkan melalui penggunaan media massa. Pertanian harus digambarkan sebagai satu kerjaya yang berprestij dan menguntungkan seseorang. Peladang yang berjaya harus diketengahkan dan menerangkan kehidupan mereka sudah menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang ini.

Kemudahan pinjaman bank harus diberi kepada sesiap yang ingin membuka ladang. Pihak bank perlu melonggarkan syarat-syarat pinjaman selaras dengan bantuan teknikal untuk memastikan pinjaman itu digunakan sebaik mungkin oleh peladang. Kerjasama pihak bank ini memastikan setiap peladang berupaya untuk meluaskan keluaran dan memasarkan hasil pertanian mereka secara sistematik.

Mungkin sudah sampai masanya, kita semua memberi tumpuan terhadap sektor ini. Pertanian bukan sahaja meliputi tanaman tetapi ternakan. Kejayaan negara kita banyak bergantung pada keupayaan kita untuk menghasilkan masakan yang cukup untuk keperluan sendiri tanpa bergantung kepada negara lain.

Thursday, October 12, 2006

Karangan Bencana Alam?


Saya mendapati soalan karangan banyak yang menyentuh tentang isu bencana alam. Mungkin pelajar harus meneliti isu banjir, gempa bumi, dan taufan. Pelajar juga harus mengaitkannya dengan kesan-kesan dan langkah-langkah mengatasinya. Nampaknya agak soalan ini memerlukan kemahiran menulis yang baik. Mungkin juga pelajar cuba kaitkan soalan ini dengan karangan jenis fakta atau ceramah.

Sebenarnya Malaysia merupakan negara yang jarang dilanda bencana alam yang buruk. Memang kejadian tsunami tempoh hari telah membuka mata sebilangan rakyat negara ini. Namun, negara kita lebih banyak menghulurkan bantuan kemanusiaan terhadap negara-negara lain yang menerima malapetaka buruk ini. Agaknya, ketulusan hati rakyat negara ini telah menjadikan kehidupan kita lebih harmoni.

Peranan Malaysia yang paling utama ialah negara sering menghulurkan bantuan kecemasan ke negara-negara terbabit. Bantuan kecemasan ini biasanya diketuai oleh pasukan SMART negara yang mengadakan usaha mencari mangsa-mangsa yang masih terselamat selepas sesuatu bencana. Pasukan SMART kita telah banyak melakukan usaha menyelamat seperti di Iran, Pakistan, dan Sumatera.

Selain menghulurkan bantuan kecemasan menyelamat, negara kita sering memberi bantuan dalam bentuk keselamatan. Biasanya pasukan tentera kita akan dikerah ke negara-negara yang mengalami bencana untuk melakukan kerja-kerja pemulihan dan penguatkuasaan undang-undang. Penghantaran tentera kita sejajar dengan kemampuan mereka ditambah kecanggihan peralatan serta imej tentera kita yang disegani oleh masyarakat dunia.

Malaysia juga berperanan membantu negara-negara yang mengalami bencana ini dengan bantuan ekonomi. Kerajaan menghantar pegawai-pegawai perancang ekonomi bersama-sama ahli perniagaan tempatan untuk menghidupkan semula aktiviti ekonomi yang sudah lumpuh di kawasan bencana itu. Hubungan ekonomi ini memastikan masa depan penduduk terbabit bertambah baik.

Malah, Malaysia juga mampu menghulurkan bantuan perubatan. Doktor-doktor pakar dihantar untuk memberi rawatan terbaik kepada mangsa-mangsa bencana dan mendirikan pusar rawatan atau hospital sementara. Kehadiran doktor negara telah memastikan lebih banyak nyawa mampu diselamatkan.

Pendidikan merupakan aspek yang sering menerima kesan selepas berlakunya sesuatu bencana alam. Biasanya sekolah-sekolah dan kemudahan pendidikan terutamanya buku-buku akan musnah. Malaysia sering menghantar tenaga pengajarnya untuk memastikan remaja di negara terbabit tidak ketinggalan dalam menuntut ilmu.

Sebenarnya, negara kita telah menghasilkan satu imej yang baik pada masa masyarakat dunia terutama dalam aspek bantuan kemanusiaan ini. Kemampuan kita mewujudkan rangkaian bantuan mula dikagumi. Jadi, tidak hairanlah semakin banyak pertubuhan bantuan kemanusiaan ditubuhkan di negara ini dalam usaha meningkatkan imej negara.

Tuesday, October 10, 2006

Karangan Merokok


Dalam soalan karangan SPM 2006, saya berpendapat ada beberapa skop yang perlu diberi perhatian. Dalam blog kali ini saya ingin jelaskan permasalahan merokok terutama dalam kalangan remaja yang bersekolah. Penekanan skop ini amat penting kerana usaha kerajaan melalui Kempen TAK NAK nampaknya kurang berkesan impaknya.

Saya secara peribadi tidak merokok. Ayah saya sejak kecil melarang saya dan adik saya merokok. Ayah saya sering menegah kami melakukan aktiviti yang padanya membazirkan dan membuang wang sahaja. Jadi, terus terang saya tidak memahami sebab remaja suka merokok. Cuma sejak mula terlibat dalam bidang pendidikan pemahaman saya terhadap gejala ini semakin jelas. Remaja era ini perlu mempunyai jati diri yang kukuh untuk membendung gejala rokok daripada menerobos ke jiwa mereka.

Pertanyaan pertama ialah punca yang mendorong remaja merokok? Sudah pasti peranan media massa dalam hal ini begitu ketara. Remaja melihat aksi pelakon yang sasa dengan rokok di tangan. Lakonan mereka yang meyakinkan telah memberi satu ilham kepada remaja untuk merokok. Peniruan gaya ini membuktikan remaja juga sama seperti pelakon sasa itu.

Kurangnya perhatian ibu bapa turut mendorong masalah ini timbul. Biasanya ibu bapa tidak mahu memeriksa perbelanjaan anak-anak mereka. Wang saku ke sekolah sering digunakan oleh remaja untuk membeli rokok. Malah, ibu bapa segan untuk memeriksa beg sekolah atau bilik anak mereka untuk mengesan kelakuan negatif ini. Mungkin ibu bapa terlalu percaya akan anak mereka.

Pemilihan rakan yang tidak tepat memudahkan kelakuan sumbang ini berlaku. Remaja biasanya tidak tahu memilih kawan iaitu mereka suka memilih kawan yang membawa ke arah kemungkaran. Remaja yang bermasalah, ponteng, lepak, dan merokok menjadi pilihan remaja. Pada remaja inilah kawan yang melambangkan kebebasan sejati.

Malah, ada pihak sekolah yang sengaja membiarkan aktiviti merokok ini di kawasan berhampiran sekolah mereka. Memang pihak sekolah tidak bertanggungjawab kalau mereka merokok di luar kawasan sekolah namun tindakan tegas harus dikenakan kepada pelajar yang merokok tanpa mengira kawasan. Sikap sekolah yang berlembut memberi semangat kepada remaja ini untuk terus merokok kerana menganggpa mereka kebal dan mempunyai lesen untuk merokok di luar pagar sekolah.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengharamkan terus merokok di negara ini. Jadikan amalan merokok satu kesalahan jenayah yang boleh ditahan di penjara atau dikenakan denda maksima. Begitu juga ibu bapa perlu merenung dan melihat anak-anak mereka dengan lebih telus tanpa berasa malu untuk mengenakan hukuman jika anak mereka terbabit dalam gejala ini. Bukankah melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Friday, September 29, 2006

Novel PMR 2006


Nampaknya soalan novel dalam PMR mampu memberi dilema kepada pelajar. Saya menerima pelbagai soalan tentang novel yang menarik. Terus terang saya katakan memang semua soalan yang dihantar oleh pelajar saya itu mempunyai kualiti yang tersendiri. Namun, kita harus menganalisa soalan berdasarkan beberapa faktor terutama faktor kekerapan soalan itu keluar.

Pada pandangan saya soalan plot merupakan satu bahagian penting kerana soalan ini belum keluar lagi dalam PMR. Plot meliputi plot iaitu susunan cerita dan teknik plot iaitu cara penulisan pengarang untuk menarik minat pembaca. Namun, susunan cerita agak panjang untuk ditanya di dalam soalan. Kemungkinan, soalan berdasarkan bahagian plot seperti aspek peleraian. Contoh, Adakah anda bersetuju dengan peleraian novel ini?

Teknik plot memang satu anugerah Tuhan kerana semua novel hampir mempunyai teknik yang sama seperti imbas kembali, monolog, peribahasa, dialog dan sebagainya. Tidak kira soalannya, pelajar harus mempunyai bukti untuk setiap isi yang diberi.

Pengajaran dan nilai juga penting walaupun soalan ini sudah ditanya kerana saya berpendapat konsep soalan baru akan ditanya. Beri perhatian pada aspek peri pentingnya nilai dan pengajaran kepada pembaca. Maksudnya apakah kebaikan nilai dan pengajaran novel kepada pembaca. Adakah pembaca menjadi manusia lebih baik, menjadi manusia terpelajar, atau menjadi manusia yang prihatin?

Bagaimana dengan bandingkan? Ha, ini satu soalan konsep baru. Buat bandingan boleh merujuk persamaan dan perbezaan. Baca ayat dengan teliti. Bandingkan watak dan perwatakan. Jadi, mesti ada dua watak yang berbeza. Sikap mereka yang sama dan berbeza ditekankan. Deli rajin begitu juga Nazar. Deli baik begitu juga Nazar. Nazar bersopan begitu juga Deli.

Namun, pelajar harus memberi tumpuan arahan soalan sebab kemungkinan soalan hanya membenarkan pelajar menggunakan novel-novel tertentu sahaja. Buat perlahan tetapi tepat.

Selamat berperang pelajarku.

Friday, September 22, 2006

Tajuk Karangan 2006?


Nampaknya semakin hampir dengan musim peperiksaan semakin banyak pertanyaan tentang karangan yang saya terima. Berdasarkan penilaian saya, di bawah merupakan beberapa skop yang perlu diberi perhatian oleh pelajar. Namun, saya harap pelajar akan cuba berjumpa dengan saya untuk keterangan lanjut.

TAJUK PENTING KARANGAN 2006

1) Pengguna yang bijak

Tajuk :
Cara-cara mengatasi masalah peningkatan harga barang

Isi Contoh:
§ Kurangkan pembelian barangan mewah
§ Merancang pembelian dengan teliti
§ Menubuhkan koperasi atau persatuan
§ Membuat aduan kedai yang meningkatkan harga keterlaluan
§ Membandingkan harga barangan di beberapa buah kedai

2) Penyakit berbahaya

Tajuk:
Kaedah-kaedah mengawal penularan penyakit selesema burung

Isi Contoh:
§ Menjaga kebersihan peribadi dan kawasan sekitar dengan lebih teliti
§ Menjalankan pemeriksaan yang kerap atau awal apabila mempunyai simptom penyakit
§ Memahami dengan jelas penyakit itu seperti cara penularan dan pengawalan
§ Menuruti arahan pihak berkuasa apabila berlaku wabak seperti memusnahkan haiwan ternakan
3) Sumbangan anggota keselamatan

Tajuk:
Langkah2 menghargai jasa-jasa polis/tentera

Isi Contoh:
§ Menghulurkan derma kepada persatuan mereka
§ Turut serta dalam perayaan, majlis, atau cuti umum memperingati jasa mereka
§ Menghormati mereka seperti tidak memandang rendah kerjaya mereka
§ Membantu ahli keluarga mereka
§ Tidak terlibat dalam kegiatan jenayah


4) Internet laman ilmu

Tajuk:
Internet membantu pelajar?

Isi Contoh:
§ Pelajar memperoleh bahan tambahan untuk karangan, projek sekolah, dan esei mereka.
§ Pelajar mengetahui maklumat yang lebih menyeluruh mengenai masyarakat & dunia,
§ Pelajar mampu berhubungi guru dan kawan untuk berdiskusi
§ Memudahkan proses pengajaran kerana kerja rumah dapat dihantar melalui emel oleh pelajar


5) Perubahan suhu dunia

Tajuk:
Iklim dunia semakin berubah. Mengapa?

Isi Contoh:
§ Berlakunya kemusnahan alam
q pembuangan sisa toksik
q penebangan hutan belantara
q pembakaran secara terbuka
§ kesan rumah hijau – menyebabkan ketulan ais di kutub cair


6) Slogan “Malaysia Boleh”

Tajuk:
Malaysia sudah terkenal di seluruh dunia?

Isi Contoh:
§ Kejayaan melakukan sesuatu yang menarik, sukar, dan memerlukan kemahiran
q Meneroka kutub utara dan selatan
q Mendaki gunung everest
q Merentas lautan luas
q Memiliki bangunan berkembar tertinggi
q Menganjurkan mesyuarat dan kejohanan sukan dunia

7) Tanggungjawab rakyat terhadap negara

Tajuk:
Peranan pelajar terhadap negara?

Isi Contoh:
§ Melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu
§ Tidak terlibat dalam kegiatan tidak bermoral
§ Menyumbangkan tenaga pada negara
§ Menghargai dan menjaga generasi tua
§ Melakukan sesuatu perkara yang memberi kebanggaan kepada masyarakat dan negara


8) Penggunaan kad kredit

Tajuk:
Kad kredit membawa kesan buruk?

Isi Contoh:
§ Menyebabkan masyarakat berbelanja berlebihan
§ Menyebabkan masyarakat mengamalkan budaya berhutang
§ Menimbulkan sikap suka bersaing dan sombong
§ Tabungan seseorang dan negara akan berkurangan
§ Masa depan seseorang tidak terjamin terutama ketika tua


9) Khazanah orang asli
Tajuk:
Hutan penting kepada orang asli?

Isi Contoh:
§ Kerana hutan menjadi sumber makanan meeka – haiwan
§ Kerana hutan menyediakan tempat tinggal mereka – orang asli lebih suka tingggal di tempat yang terpencil
§ Kerana hutan mempunyai pelbagai tumbuh-tumbuhan – perubatan herba mereka
§ Kerana hutan sesuai dengan kehidupan budaya mereka – adat resam yang sudah lama diamalkan

10) Industri makanan

Tajuk:
Makanan ringan membawa kesan negatif kepada kanak-kanak?

Isi Contoh:
§ Menyebabkan mereka tidak menerima khasiat yang sepatutnya – menganggu perkembangan fizikal mereka
§ Menyebabkan obesiti berlaku – kandungan gula yang banyak
§ Kesihatan mereka akan terjejas – pelbagai penyakit
§ Membazirkan wang – menggunakan wang saku untuk membeli makanan ringan
11) Hutan lipur sebagai destinasi pelancongan

Tajuk:
Kepentingan industri pelancongan negara?

Isi Contoh:
§ Memberi imej yang baik – negara dilihat sebagai sebuah negara yang aman, maju, dan stabil
§ Memberi peluang pekerjaan – memerlukan pemandu pelancong, pekerja hotel, dan penjualan kraf tangan
§ Membawa impak kewangan – pelancong asing berbelanja
§ Usaha-usaha mengawal kawasan pelancongan lebih baik – tiada kemusnahan alam


12) Bangunan bersejarah

Tajuk:
Bangunan bersejarah semakin dipinggirkan?

Isi Contoh:
§ Kesukaran untuk menyelenggarakannya – kos terlalu tinggi
§ Dianggap tidak sesuai dengan peredaran masa – bangunan sekeliling lebih moden
§ Kurangnya kefahaman tentang sejarah bangunan itu – tidak miliki sikap menghargai bangunan lama
§ Sikap tamak masyarakat – bangunan lama diruntuhkan untuk membina bangunan baru


13) Jerebu

Tajuk:
Langkah-langkah mengatasi jerebu.

Isi Contoh:
§ Mengetatkan penguatkuasaan akta – mengenakan denda yang tegas dan hukuman yang berat
§ Menambah jumlah anggota penguatkuasa – mengawal pembakaran secara terbuka dan pengawasan
§ Mengadakan kempen – menyedarkan bahaya jerebu dan cara menanganinya
§ Menggunakan teknologi – penggunaan hujan tiruan


14) Pemilihan kerjaya

Tajuk:
Faktor-faktor yang pengaruhi pemilihan kerja?

Isi Contoh:
§ Faktor kewangan – imbuhan yang banyak
§ Faktor tempat tinggal – semakin dekat pejabat dengan rumah semakin baik
§ Faktor kerja mudah – semakin senang kerja itu semakin baik
§ Faktor minat – kerja yang menjadi idaman sejak kecil
§ Faktor imej – kerja yang berstatus tinggi diminati ramai


Sebenarnya, keupayaan untuk menulis karangan banyak berkait dengan kerajinan seseorang menulis. Makin banyak menulis makin mahirlah diri pelajar itu.

Jadi berapa kali anda menulis karangan sehari, seminggu, atau sebulan?

Tuesday, September 19, 2006

Lambaian Malar Hijau



Salah satu minat saya selain mengajar, membaca, dan berlari ialah saya suka meneroka hutan belantara. Setiap kali saya menumpang hidup beberapa hari di dalam belantara, hati ini mula memahami dan menyedari betapa pentingnya tindakan Daneng menjaga pokok tualang. Saya mula terbayang-bayang hutan dimamah oleh pembalak untuk memenuhkan poket mereka sahaja.

Dalam cerpen ini, Daneng diangkat sebagai penyelamat orang Asli bukan sahaja kerana dia mampu membuktikan bahawa pendidikan berupaya melakukan sesuatu perkara yang besar atau luar biasa. Semakin lama anda membaca cerpen ini, anda akan mula bertanya kepada diri sendiri sikap kita terhadap pelajaran.

Memang saya tidak nafikan peranan Cikgu Jo amat penting kerana beliau telah berjaya memujuk Daneng supaya menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan menuntut di bandar kerana kemudahan pendidikan yang lebih baik. Kejayaannya memujuk Daneng supaya belajar dahulu dan menjaga hutan kemudian merupakan satu nasihat yang berguna. Saya sering menggunakan apabila mengajar pelajar saya. Cuma saya tidak pasti adakah nasihat itu berkesan. Cikgu Jo juga dilambangkan sebagai guru yang sanggup mengajar di kawasan pedalaman terutama di perkampungan orang asli.

Jadi, dalam cerpen ini kita harus memikirkan cara-cara untuk mengatasi pembalakan terutama yang dilakukan secara haram. Mungkin penguatkuasaan harus lebih cekap dan menyeluruh. Begitu juga dengan kempen kesedaran menghargai hutan harus dijalankan secara efektif. Jumlah anggota PERHILIRTAN ditingkatkan supaya mereka mudah mengawal aktiviti haram ini.

Daneng juga seolah-olah memberi satu semangat bukan sahaja kepada masyarakat orang Asli tetapi juga para pelajar kerana dia telah membuktikan bahawa seseorang itu mampu berjaya kalau berusaha. Dia berjaya menamarkan pelajarannya sehingga ke universiti. Dia juga berjaya memperoleh gelaran DATUK dan paling manis, dia berjaya menerima anugerah NOBEL atas usahanya menjaga hutan negara. Kejayaan demi kejayaannya dalam pemuliharaan hutan telah menyebabkan dia menerima pelawaan untuk menjaga hutan di Amazon pula.

Oh, ya. Satu lagi sebab yang memberi kekuatan pada cerpen ini ialah cerpen ini menggunakan teknik imbas kembali. Daneng sudah dewasa dan mempunyai anak bersama-sama Cikgu Jo kembali ke daerah pedalaman itu setelah 20 tahun. Teknik ini memang memberi kesan nostalgia kepada pembaca. Banyak karya sastera terutama berunsur cinta yang menggunakan teknik ini untuk menarik minat pembaca.

Bagi saya, cerita ini menguatkan lagi kepercayaan saya bahawa hutan merupakan jawapan manusia untuk meneruskan peradabannya. Semua yang kita peroleh kini berasal dari alam – terutamanya hutan. Cuma mungkin kita belum menyedarinya atau mungkin kita memang tidak mahu sedar lantaran kita tidak mahu membuang kesenangan yang dimiliki sekarang.

November saya menuju ke hutan.

Tuesday, September 05, 2006

Manusia dan Kesejahteraan



Apabila saya membaca sajak Manusia dan Kesejahteraan, hati saya mula tertanya-tanya tanggung jawab saya terhadap agama. Kenapa? Tema utama sajak ini ialah keagamaan. Ringkasnya manusia akan selamat jika mereka kembali menghayati ajaran agama yang azali.

Sajak ini juga mempersoalkan kemusnahan manusia kerana sikap manusia itu sendiri. Antaranya ialah sikap manusia yang suka bergaduh gara-gara tidak mahu bertolak-ansur. Mereka beranggapan bahawa diri mereka sahaja yang betul atau benar. Kumpulan mereka sahaja yang baik atau jujur. Keturunan mereka sahaja yang sebaik-baik manusia di dunia ini.

Kemusnahan manusia juga berlaku kerana manusia tidak lagi jujur. Sikap mempercayai seseorang sudah hilang kerana sudah banyak janji yang ditabur mudah sahaja dimungkiri. Setiap tindakan usaha baik yang ingin dilakukan tidak mendapat sokongan jujur yang diharapkan.

Manusia juga musnah kerana sikap kita yang suka berpura-pura atau mempercayai seseorang dengan mudah. Ramai yang mengaku baik di depan ibu bapa tetapi di belakang jauh sekali. Ketika berada di dalam khalayak ramai mereka berkelakuan baik tetapi apabila bersendirian mereka melakukan kejahatan.

Dalam sajak ini juga digambarkan nasihat kepada generasi muda. Nasihat itu ialah generasi mudah perlulah membuat keputusan sendiri. Mereka tidak harus menjadikan generasi tua contoh tanpa sebarang penilaian yang munasabah. Kalau generasi muda terus mencontohi sikap buruk generasi tua mereka sendiri akan menempah bahaya kemusnahan.

Sesungguhnya rangkap terakhir sajak ini yang menyentap hati kita kerana penyajak menyeru manusia supaya kembali kepada ajaran agama yang benar. Penyajak beranggapan agama menjadi alat penting untuk menghapuskan semua sikap negatif manusia yang ada di atas tadi. Agama memberi satu pegangan kepada manusia untuk terus melakukan kebaikan atau perkara yang sepatutnya dilakukan. Bukannya berpura-pura atau atas kepentingan tertentu.

Agaknya mengapa manusia masih belum sedar?

Thursday, August 31, 2006

Kerana Manisnya Epal



Saya mempunyai satu impian. Itulah yang saya katakan kepada pelajar saya ketika memulakan cerita cerpen Kerana Manisnya Epal. Tambah saya, jauh dilubuk hati ini saya ingin menikmati pengalaman memetik epal di ladang. Mendengar bunyi epal bercerai daripada tangkainya. Mendengar bunyi epal dimasukkan ke dalam bakul sambil memandang kawasan ladang yang penuh dengan pokok-pokok epal merupakan impian terakhir saya di dunia ini.

Jadi, apabila saya membaca cerpen ini terasa ceritanya begitu dekat dengan hati ini. Kisah ini turut memaparkan sikap anak-anak zaman kini yang sanggup membiarkan ibu bapa mereka bersendirian atau memandang rendah kerjaya ayah mereka. Selain itu, kesanggupan mencari ilmu di negara orang turut menjadi cerita yang menarik minat saya.

Baiklah, elok kalau kita renung Buchanan dahulu kerana watak ayah yang sudah tua ini memang menarik hati saya. Lelaki tua ini memang janji menjaga ladang epalnya kerana ladang itu merupakan warisan keluarga dan mempunyai banyak nostalgia mendidik anak-anaknya. Malah, ladangnya mempunyai berjenis-jenis epal. Saya masih tidak percaya ada banyak epal di dunia ini kerana saya hanya mengenal epal merah, hijau dan itu sahaja.

Buchanan juga menarik kerana dia sanggup menerima dua wanita yang berbeza bangsa di dalam hidupnya. Mungkin kerana desakan kesepian di rumah atau memerlukan pekerja, Buchanan sanggup menerima mereka. Atau mungkin lelaki ini memang suka melatih golongan muda memahami erti kehidupan.

Watak Mazlina merupakan wanita yang sering saya bayangkan di dalam kelas saya. Maksud saya, Mazlina merupakan anak orang kaya yang tidak tahu membuat kerja. Dia langsung tak tahu hendak melakukan kerja hari pertama di ladang epal. Namun, dia sanggup mempelajari sastera Inggeris. Satu sikap yang jarang kita lihat ada dalam hati pelajar. Biasanya kalau pelajar melayu, sudah pasti dia akan mengambil sastera melayu atau pelajar cina akan mengambil sastera cina.

Beralih kepada watak Yvonne. Gadis yahudi ini berasal dari Rusia. Dia mengambil jurusan alam sekitar atau ekologi. Dia digambarkan sebagai lebih berani kerana mampu mengangkat senapang untuk menghalang kemaraan tentera yang ingin mengambil tanah itu. Paling menarik tentang gadis ini ialah sikapnya yang suka bersolek sebelum memulakan kerja di ladang epal. Bayangkan wajahnya ketika bekerja keras di ladang. Adakah anda sanggup berbuat demikian?

Cerita ini juga menarik kerana suasananya di luar negara, British Columbia. Perubahan musim turut menyebabkan kita berasa teruja untuk berada di ladang ini. Rasa dingin dan fros yang menyerang waktu malam dan awal pagi memang menjadi satu pengalaman yang menarik kepada sesiapa yang membaca cerpen ini.

Agaknya, kalau anda menjadi anak Buchanan, apakah yang bakal anda lakukan?

Saya rasa kita harus menghormati ibu bapa kita tanpa mengira keadaan mereka. Maksud saya sudah pasti setiap ibu bapa mempunyai pandangan yang berbeda daripada anaknya. Sebagai anak, kita harus cuba menghormatinya. Moga kita semua akan terus menghormati ibu bapa kita.

Tuesday, August 29, 2006

Jalan-jalan raya Kotaku


Salah satu sajak yang paling saya suka ialah Jalan-jalan raya Kotaku. Sajak ini seolah-olah menggambarkan keadaan pengguna jalan raya di negara kita. Sajak ini juga mengingatkan saya betapa bahayanya memandu di Kuala Lumpur terutama kalau anda semua menghayati sajak ini. Malah, saya berpendapat penulis sajak ini memang menulis berdasarkan pengalamannya. Saya yakin.

Sajak ini cuba menerangkan sikap-sikap pengguna jalan raya terutama pada rangkap pertama dan kedua. Pengguna jalan raya digambarkan sebagai sudah terlalu bosan menunggu di jalan raya terutama ketika kesesakan. Rasa bosan ini menyebabkan pengguna tidak lagi mempunyai rasa sabar setiap kali kenderaan mereka berhenti akibat kesesakan jalan raya. Rasa sombong yang timbul berlaku ekoran mereka tidak mahu dipotong lantaran sudah lama di jalan raya. Akibatnya setiap kali berlaku masalah seperti perlanggaran kecil, sudah pasti pengguna menyelesaikannya dengan kekerasan. Pembuli jalan raya.

Dalam sajak ini, saya rasa rangkap ketiga merupakan bahagian penting kepada saya kerana dalam rangkap ini penyajak mengemukakan cara-cara untuk memandu di bandar. Katanya kalau nak memandu di bandar, pengguna perlu banyak mengeluarkan kata kesat, memandu dengan laju dan tidak lagi mengamalkan sikap kesopanan. Ringkasnya, pengguna di bandar harus lebih tegas atau ganas.

Seperti yang saya katakan di dalam kelas saya, kita perlu mengeluarkan sebelah tangan kita di pintu kereta sambil menayangkan tatoo yang ada di lengan itu. Kalau boleh memegang sepuntung rokok. Sebelah tangan lagi memegang setering kereta. Di belakang tempat duduk pula ada kayu hoki tetapi daripada plastik atau yang diisi dengan udara. Itulah caranya untuk memandu dengan lancar di bandar. Harap bukanlah.

Sebenarnya, sajak ini cuba membuatkan kita merenung keadaan jalan raya kita. Semakin lama semakin sesak, meningkatnya kadar kemalangan, dan kesannya dalam kehidupan manusia. Ringkasnya manusia semakin hilang ciri-ciri kemanusiaannya apabila melangkah masuk ke dalam kereta dan menuju ke jalan raya.

Cara mengatasinya? Mungkin kita harus mengawal jumlah kereta? Atau kita meningkatkan had umur pemandu? Atau haruskah kita melebarkan jalan raya yang sedia ada? Atau meningkatkan sistem pengangkutan awam? Atau mungkin kita tidak perlu memandu langsung?

Semua pertanyaan di atas saya tidak pasti mampu menyelesaikan masalah jalan raya kita namun ada satu perkara yang saya pasti. Perkara itu ialah memandu di jalan raya kita memang memerlukan kemahiran. Bukankah anda semua bersetuju?

Friday, August 18, 2006

Seminar amat penting


Hari Isnin dan Ahad minggu berikutnya saya akan membuat satu seminar khas untuk pelajar-pelajar di tempat saya mengajar. Mungkin ramai akan bertanya sebab saya membuat perkara itu terutama masa peperiksaan mengikut pelajar masih jauh (sebenarnya tidak). Bagi saya seminar peperiksaan penting tidak kira masa seminar itu dilaksanakan. Dalam seminar, pelbagai perkara boleh membuka mata pelajar.
Seminar secara am memberi peluang kepada pelajar untuk menerima kenyataan bahawa peperiksaan memang semakin hampir. Perasaan ini memberi satu kesedaran yang membolehkan pelajar meneliti persiapan mereka sebelum ini. Perasaan ini turut memberi satu penilaian peribadi kepada diri seseorang.
Biasanya guru akan menekankan beberapa perkara penting yang masih kurang difahami oleh pelajar terutama dalam aspek bahasa seperti penggunaan cakap ajuk, pindah dan kemungkinan penekanan aspek KOMSAS. Sekali lagi, penekanan guru ini memberi satu imbas muka kepada pelajar mengenai peperiksaan yang bakal menjelang.
Kewujudan seminar turut memudahkan guru untuk memecahkan pengajarannya pada beberapa aspek seperti penekanan saya kali ini ialah KOMSAS T4, Peribahasa, dan Tatabahasa. Seminar ke-2 menjelang peperiksaan pula boleh dijuruskan aspek yang berbeda pula. Jadi, seminar memberi peluang kepada pelajar untuk memahami sesuatu perkara dengan lebih sistematik dan berkesan.
Namun perkara yang paling penting dalam seminar ialah soalan yang diberi penekanan oleh seseorang guru. Biasanya seseorang guru akan membuat analisis soalan-soalan yang bakal keluar dalam peperiksaan itu. Analisis ini dilakukan berdasarkan soalan-soalan lalu dan kekerapan soalan-soalan itu keluar dalam peperiksaan di sekolah-sekolah lain terutama sekolah berimej tinggi dalam kadar kelulusan mereka.
Jadi, kepada semua pelajar saya, sila tulis dan faham semua penerangan yang bakal anda terima dalam dua tiga hari nanti. Sebaik sahaja balik ke rumah, sila kaji dan buat penilaian peribadi mengenai perkara yang didengar di dalam kelas itu. Mungkin anda akan menemukan sesuatu perkara yang menarik dalam persiapan anda menghadapi peperiksaan.
Ringkasnya, menghadiri seminar merupakan salah satu cara menghadapi peperiksaan SPM. Memang tidak dinafikan pelajar terpaksa memilih seminar kerana kini sudah ada banyak seminar yang dianjurkan terutama oleh pihak swasta. Pemilihan seminar menjurus kepada masa, jarak tempat seminar, dan guru atau penceramah yang terbabit. Jadi, tepuk dada tanya selera.
Selamat berseminar.

Monday, August 14, 2006

Simplisiti satu cara belajar KOMSAS


Salah satu perkara yang sering saya dengar ketika mengajar ialah pelajar memuji kemahiran saya untuk memahami sesuatu sajak, cerpen, novel mahupun prosa klasik. Pelbagai cara digunakan oleh pelajar untuk mendapatkan rahsia saya itu. Semuanya mahu menjadi pengkaji sastera yang berkaliber. Semuanya mahu jalan mudah. Semuanya nak cepat. Agaknya itu sebabnya makanan segera sekarang diminati oleh pelajar.

Mungkin jawapan saya akan mematahkan semangat pelajar kerana jawapan saya hanya satu dan itulah sahaja. Cara untuk memahaminya sesuatu sastera itu ialah memahami asasnya. Memahami secara menyeluruh. Melihatnya dengan satu pandangan yang mudah. “Kalau anda mendapati sesuatu sastera itu rumit atau kompleks, maknanya kamu belum lagi memahaminya. Simplisiti merupakan asas semua perkara termasuklah sastera,” kata saya kepada seorang pelajar yang beria-ia hendak mengetahui rahsia itu. Mulutnya hanya terlopong mungkin menganggap saya ini terlalu berfalsafah. Memang itu telahannya.

Dalam hidup, semuanya mesti mudah. Usah susahkan orang.Usah susahkan sesuatu perkara. Usah besarkan sesuatu kejadian. Usah berbelanja boros. Usah mencari masalah. Bukankah itu asas kehidupan. Hidup yang mudah lebih senang dikawal. Tiada masalah. Tiada sakit kepala untuk memikirkannya.

Jadi, apabila belajar sastera, cuba fikirkannya sebagai sesuatu yang mudah. Anggap sahaja sastera perkara yang paling anda minati di dalam dunia ini. Mungkin perkara itu kawan baik anda, mungkin juga kereta kegemaran anda, atau MP3 yang bakal anda miliki. Kalau anda sudah tetapkan, kamu sudah melakukan langkah pertama ke arah memahami sastera.

Kemudian, beri penghayatan 100 peratus. Maksud saya tiada gangguan. Rakan sebelah usah hiraukan. Telefon bimbit dimatikan. Pen dan kertas serta nota tersedia di depan untuk menari-nari bersama penerangan guru. Pandangan anda hanya kepada guru. Beliau merupakan orang terpenting di dalam kelas. Bukannya yang berada di sebelah anda itu.

Penerangan guru biasanya bermula dengan konsep penting seperti tema, kepentingan soalan untuk SPM dan kaitannya dengan keadaan semasa. Sesuatu genre sastera itu mesti mempunyai kosa kata yang menjadi sasaran pembuat soalan. Guru akan memastikan pelajar mendapat semua maklumat ini. Guru akan cuba menerangkan semua makna dan ayat yang penting untuk ditekankan oleh pelajar

Penerangan guru akan ditamatkan dengan menghuraikan semula semua perkara yang dianggapnya penting untuk direnung dan diteguhkan oleh pelajar. Mereka yang tidak menuruti penerangan guru akan tersekat di tengah jalan dan melupakan fokus pelajaran pada hari itu. Guru akan menutupkan kuliahnya dengan mengaitkan kuliahnya terhadap peperiksaan. Inilah intipati yang bakal diberikan oleh seseorang guru ketika mengajar.

Mudah bukan untuk belajar. Saya yakin pelajar saya akan menggeleng-gelengkan kepalanya. Memang sesuatu yang mudah itu sukar diamalkan tetapi sesuatu yang sukar dan menyusahkan mudah menarik minat seseorang. Biasalah, saya sudah melihatnya lebih sedekad yang lalu. Namun, saya yakin ada pelajar saya yang akan memahaminya dan mula menyedari betapa mudahnya belajar. Sesenang ABC. Alah bisa tegal biasa, kan.

Moga anda semua berjaya menemukannya.

Sunday, August 06, 2006

Kesihatan lebih penting daripada peperiksaan?


Ketika kelas tambahan tadi, saya dapati ada seorang pelajar asyik bersin. Sebaik sahaja selesai kelas itu, saya memanggilnya. Lantas, saya menasihatinya supaya banyak berehat sebab saya yakin dia akan mendapat demam. Katanya, dia tidak boleh berehat kerana katanya SPM semakin hampir dan banyak perkara yang belum dihafalnya. Saya hanya memerhatikannya sehingga pelajar itu keluar dari kelas saya. Kagum saya melihat keazamannya tetapi sedih melihat ketidakbijaksananya menangani situasi peperiksaan.

Pada pendapat saya kesihatan maha penting. Ya, saya akui saya meletakkan kesihatan melebihi segala-galanya. Malah, kesihatan kepada saya merupakan perkara paling penting dalam kehidupan seseorang. Tanpa kesihatan, semua tugasan tidak akan menjadi. Tanpa kesihatan, semua masalah akan muncul satu demi satu dan sukar untuk kita menyelesaikannya secara bijak.
Mungkin dalam mengejar kejayaan pelajaran kita sering lupa peri pentingnya menjaga kesihatan. Cuba bayangkan kita sedang berada di hospital kerana sesuatu sakit yang mampu dielakkan ketika peperiksaan utama sedang berjalan. Bukankah itu sesuatu yang ironi. Berusaha dengan tekun untuk menjawabnya tetapi dihalang kerana terlantar di hospital. Memang peperiksaan di hospital dibenarkan tetapi kalau sudah tidak boleh bergerak, tiada peperiksaan di dunia pun yang boleh dijalankan.
Sebenarnya, kita boleh menjaga kesihatan dengan lebih baik kalau kita mempunyai sedikit perancangan. Bukankah baik kalau ketika belajar, kita sediakan minuman di sebelah. Habis satu bab, satu gelas air. Atau habis satu latihan, kita menghirup air. Bukankah air penting dalam kehidupan manusia? Cuma pastikan bukannya air bergula. Lain pulak simpton penyakit yang akan melekat.
Bukan sahaja air kosong penting tetapi tidur yang cukup. Pastikan kita mempunyai 7 atau 8 jam sehari. Pelajar mungkin bertenaga walaupun tidak tidak semalamam tetapi kesannya akan berlaku selepas dua atau tiga hari. Sistem imunisasi pelajar akan lemah dan mudah diserang selesema. Saya biasanya menjelang jam 11 malam sudah mula bersiap dan pasti 11.30 malam saya sudah dibuai mimpi indah. Tabiat saya ini tidak mengira hari minggu ke, hari cuti ke atau hari raya. Saya harus mempunyai 6-7 jam tidur.
Pengambilan vitamin pun agak penting. Cuma pastikan vitamin itu sesuai dengan kita kerana di pasaran terdapat banyak jenis vitamin yang dijual. Nasihat doktor dan ibu bapa juga harus diberi perhatian. Pengambilan vitamin mampu memberi sedikit perlindungan kepada pelajar terutama ketika menangani stres yang semakin meningkat menjelang peperiksaan.
Akhir sekali, saya yakin persepsi seseorang terhadap sesuatu perkara turut mempengaruhi kesihatannya. Mungkin pelajar perlu lebih ceria dan berfikiran positif terhadap sesuatu perkara. Usah memikirkan hal-hal negatif sahaja seperti banyak bab belum habis, soalan peperiksaan sangat susah, dan kerja rumah yang banyak. Sebaliknya fokus perkara positif seperti sudah menghadiri kelas tambahan, sudah menghabiskan banyak bab, dan membuat latihan setiap minggu. Berfikiran positif memberi kesan positif terhadap kesihatan seseorang.
Kini, kelas semakin kosong. Hanya tinggal beberapa orang pelajar yang sedang mengemaskan beg mereka. Ada yang tersenyum ke arah saya. Satu senyuman saya balaskan. Hati terasa ceria. Lalu saya melangkah keluar perlahan menuju ke stesen LRT. Terasa gembira selesai menjalankan tugas sebagai seorang guru untuk hari ini. Esok ada kelas lagi.

Tuesday, August 01, 2006

Bila kali terakhir kita memuji seseorang?


Ketika mengajar tadi saya memuji seorang pelajar kerana mampu menyelesaikan latihan saya dengan baik. Ada seorang pelajar yang duduk di belakang pelajar yang saya puji itu memanggil saya kemudiannya dan bertanya. "Cikgu kenapa asyik puji dia. Bukannya susah soalan itu? Pertanyaan pelajar itu masih kedengaran di cuping telinga saya ini ketika balik menaiki LRT petang tadi. Saya tersenyum kerana satu pujian sahaja sudah cukup menimbulkan masalah.
Namun, adakah salah saya berikan pelajar itu satu pujian? Saya rasa tidak salah dan saya akan lakukannya setiap kali kalau saya berpeluang melakukannya. Memanglah latihan yang saya berikan itu tidaklah sesukar yang dijangkakan tetapi kemampuan pelajar itu menyelesaikannya memang menarik perhatian saya. Itulah kali pertama, saya melihat dia mampu menyelesaikan latihan BM tanpa bantuan saya. Menariknya, semua jawapannya memang tepat.
Pelajar terbabit memerlukan sokongan moral saya sebagai gurunya. Dia sudah lama belajar dengan saya. Dia bukanlah bijak tetapi mempunyai perasaan kemanusiaan yang saya kagumi. Dia tidak pernah berbuat bising di dalam kelas. Dia tidak pernah datang lambat ke kelas. Dia tidak pernah lupa menegur saya dengan sopan. Malah, dia selalu mengucapkan terima kasih setiap kali selesai kelas saya. Sesungguhnya, tidak semua pelajar saya melakukan perkara yang dilakukan oleh plajar itu. Selain itu, dia juga aktif dalam kegiatan kokurikulum sekolah.
Saya menyedari semakin hampir SPM 2006, sikapnya terhadap pelajaran semakin bertambah baik. Jadi, setiap kali saya mengajar, saya akan memastikan dia melakukan latihan dan menyelesaikannya dengan baik. Hari demi hari, dia semakin bagus dan pujian daripada saya pun mula muncul. Malah, saya dapati dia semakin bersemangat setiap kali saya memberinya pujian atau menepuk bahunya tanda bangga kemampuannya menyelesaikan latihan BM.
Pada pendapat saya, pujian yang diberikan mampu menaikkan semangat juang pelajar. Pujian bukanlah untuk memberi harapan palsu. Sebaliknya pujian yang betul memberikan dimensi baru kepada seseorang pelajar. Pelajar akan berasa diri mereka dihargai. Pelajar akan berasa mereka mempunyai harapan dan guru tersebut turut berpendapat sedemikian terhadap diri mereka. Pelajar memerlukan sedikit tolakan daripada pujian seseorang untuk mengharungi masa-masa akhir menjelang SPM ini.
Jadi, bilakah kali terakhir anda memuji seseorang? Maksud saya pelajar anda atau anak anda?

Thursday, July 27, 2006

Kita ialah diri kita... jadi syukur dan hargai


Saya mengaku saya seorang pemerhati sosiologi yang bagus. Saya mampu melihat gerak badan pelajar dan mengetahui perkara yang sedang bermain-main di dalam fikirannya. Setiap kali berlaku sesuatu atau ada pelajar baru masuk ke kelas, pelbagai reaksi diberikan oleh pelajar yang sedia ada di dalam kelas.
Saya dapati pelajar suka membandingkan diri mereka. Ada yang suka bandingkan pakaian mereka, telefon bimbit dan mungkin juga kepandaian mereka. Bukankah membandingkan sesuatu yang lebih baik itu satu tindakan yang berfaedah? Ya, memang betul namun tindakan itu juga mengundang keburukan. Kesan buruknya ialah seseorang akan berasa tidak gembira. Seseorang menganggap mereka begitu teruk. Malah, kejayaan yang dicapai tidak cukup untuk memberi kegembiraan kepada seseorang yang taksub untuk membuat perbandingan.
Ada seorang pelajar saya yang suka melihat hasil kerja dan markah pelajar lain setiap kali saya memberikan latihan KOMSAS. Jadi, satu hari saya bertanya kepadanya sebab dia berbuat begitu. Balasnya dia ingin mengetahui adakah dia berada dalam lingkungan pelajar yang bagus atau tidak bagus. Saya membalas dengan menanyakan markahnya dan pandangannya tentang markahnya. Katanya markahnya terlalu sikit. Hanya ada perubahan 4 markah daripada latihan sebelumnya. Saya hanya menggelengkan kepala. Tanda kesal.
Sebenarnya, kalau berlaku peningkatan dalam markah seseorang, itu sudah dianggap kejayaan biarpun 4 markah. Peningkatan itu memang sedikit tetapi memberi panduan yang jelas. Pertama, pelajar itu memang berada dalam landasan yang betul dalam pelajarannya. Kedua, pelajar itu sudah menemukan satu semangat untuk memacunya ke arah kejayaan yang lebih besar. Sedihnya dalam kes pelajar tadi, dia terlalu membandingkan dirinya dengan pelajar lain. Kesannya, kejayaannya itu tidak berguna langsung. Dia semakin sedih dan tidak gembira akan prestasinya. Bukankah ini akan menjejaskan persiapannya dalam peperiksaan?
Ok, cuba anda semua bayangkan jika pelajar terbabit tidak membuat perbandingan. Sudah pasti dia akan bergembira dengan peningkatan markahnya itu. Sudah pasti dia akan merangka strategi baru berdasarkan strategi lama untuk meningkatkan markah pelajarannya. Sudah pasti dia akan belajar dan gembira. Jadi, usah bandingkan diri anda dengan orang lain.
Jadi, usaha bandingkan diri anda. Syukur dengan perkara yang anda miliki. Angkat tangan ke hadrat Tuhan kerana memberikan anda semua kejayaan itu walaupun hanya 4 markah. Berdoa moga kejayaan yang lebih menyusul dalam peperiksaan anda. Sebenarnya dalam peperiksaan, bukan anda berlawan dengan kawan anda tetapi anda bersaing dengan diri anda yang satu lagi. Diri yang mahu berubah, diri yang mahu mencapai kejayaan dalam peperiksaan dan diri yang mahu berbangga dengan usahanya sendiri.
Saya bersyukur? Sudah pasti kerana saya tahu saya sudah mencapai sebahagian impian saya. Untuk sebahagian impian saya yang satu lagi itu, saya akan usaha mengikut masa dan cara saya. Bukannya untuk berlawan dengan sesiapa pun. Bukannya untuk bertanding dengan insan lain. Cuma saya ingin membuktikan bahawa saya juga bisa melakukan perkara itu dan mengalaminya sendiri. Terima kasih Tuhan atas limpah kurniaMU.

Saya keletihan atau anda yang letih?


Hari ini ketika mengajar saya dapati banyak pelajar yang keletihan. Ada yang menyalahkan keadaan cuaca sejak akhir-akhir ini yang begitu panas. Ada juga yang mengatakan bahawa mereka baru sahaja selesai membuat kertas peperiksaan sesuatu mata pelajaran. Malah, ada yang membuat lawak apabila mengatakan mereka keletihan kerana menonton perlawanan bola sepak piala dunia (sudah lama selesai...)
Saya memandang satu demi satu pelajar saya tadi. Semuanya monyok. Semuanya tidak memberi reaksi apabila saya mengajar sajak Tukang Gunting dan Di Ruang Gemanya tadi. Kalau ada yang menulis pun, saya yakin bukan bahan saya yang ditulisnya tetapi gambar kartun atau mungkin mi segera yang enak dimakan selepas kelas saya.
Sebenarnya, aspke keletihan ini sering diabaikan oleh pelajar. Saya yakin tidak ramai yang menyedari bahawa keletihan ini mempunyai kaitan dengan pembelajaran seseorang itu. Maksud saya pelajar menggunakan tenaga secara membuta-tuli. Memang pelajar masih muda dan mempunyai tulang empat kerat yang ampuh untuk menghadapi pelbagai cabaran. Namun, pelajar jua manusia biasa sama seperti Othman dan Hilmi.
Pelajar tidak menyedari bahawa mereka keletihan kerana masa untuk peperiksaan SPM semakin hampir. Semakin hampir peperiksaan besar itu semakin tertekanlah pelajar. Ada pelajar yang belum menyedari bahawa apabila kita terlalu tertekan, kita akan menggunakan tenaga yang banyak. Terlalu banyak perkara yang hendak dilakukan dalam tempoh yang pendek sehingga menyebabkan peelajar hilang tumpuannya. Kesannya, pelajar akan keletihan. Mereka akan berasa seolah-olah hilang tenaga atau tiada kudrat langsung di tubuh mereka.
Saya berasa kasihan jua melihat keadaan pelajar saya sebegitu. Namun, jauh dalam benak ini, saya berpendapat pelajar perlu bangkit dan menentang keletihan ini. Mereka perlu bangkit dengan satu tekad. Satu semangat jitu Satu jiwa baru seperti rama-rama yang baru keluar dari kepompongnya. Pelajar perlu tabahkan diri mereka untuk peperiksaan yang bakal menjelang itu. Pelajar perlu bertekad.
Salah satu cara untuk menangani keletihan itu ialah pelajar harus melihat dan mengkaji cara pembelajaran mereka. Pertanyaan demi pertanyaan perlu dijawab oleh pelajar dalam aspek ini. Adakah nota penting sudah lengkap? Bagaimana dengan latihan? Apakah semua topik sudah habis ditelaah? Apakah topik-topik yang perlu diberi perhatian pada tahun ini?
Baiklah, kenapa pertanyaan-pertanyaan ini penting? Mudah sahaja, semua jawapan yang bakal diberikan oleh pelajar akan menghasilkan satu persepsi tentang kemampuan pelajar untuk menghadapi SPM 2006. Pelajar akan mula menyedari kelemahan dan cuba mengatasi kekurangan itu dengan secepat mungkin. Tindakan drastik dan awal ini sudah pasti memberi sedikit kelegaan kepada pelajar yang seterusnya memudahkan pelajar untuk memberi tumpuan yang menyeluruh.
Ingatlah, kalau anda terus bermimpi dan menganggap SPM masih jauh, rasa keletihan itu akan menjadi-jadi terutama ketika tempoh semakin menjelang tiba. Kalau pelajar sudah sedar dan bangkit daripada lamunannya, pelajar tidak akan keletihan lagi. Bangkitlah pelajar-pelajarku. Percayalah.

Monday, July 17, 2006

Berapa kali kita basuh tangan sehari?


Saya ingin bercerita mengenai tandas kali ini kerana tadi saya terserempak dengan pelajar saya yang enggan mengepam air selepas menggunakan tandas. Bagi saya kebersihan tandas merupakan satu perkara penting dalam hidup seseorang. Bukannya kita harus mempunyai tandas yang berkilat atau cantik tetapi cukup kalau bersih dan selesa untuk digunakan. Malangnya tandas di tempat saya mengajar sering disalahgunakan oleh pelajar.
Setelah selesai mengajar, saya menuju ke arah tandas tetapi terpaksa menutup hidung kerana bau tandas yang begitu hancing. Saya ternampak seorang pelajar yang kebetulan hendak keluar dari tandas yang digunakannya lalu saya menegurnya kerana saya tidak mendengar dia mengepam air. Pelajar itu segera menjawab saya bukan melakukannya. Saya memandang mukanya lama tetapi dia hanya tersengih sahaja. Ada juga cadangan di kepala saya untuk memberi kuliah subuh kepada pelajar tadi tetapi kepenatan mengajar dan keperluan untuk menyahut panggilan alam telah menyebabkan saya bersikap mengalah.
Inilah sikap masyarakat kita secara amnya. Kalau kita semua kaji banyak tandas awam di negara kita yang disediakan oleh kerajaan atau pihak swasta tidak dihargai dan digunakan oleh masyarakat dengan sebaik mungkin. Mereka hanya tahu menggunakannya tetapi tidak mahu menjaganya. Bagi masyarakat itu bukan tugas mereka. Tugas membersihkan tandas di tangan pekerja pencuci tandas.
Sebenarnya menjaga kebersihan terutama tandas dapat membuktikan beberapa perkara penting masyarakat kita. Pertama, kita tidak mementingkan kebersihan atau kalau kita mementingkan kebersihan, perkara itu hanya diaplikasikan apabila melibatkan rumah kita, kawasan kita, atau milik kita. Kalau hak awam, biarkan sahaja. Inikah sikap yang ingin kita pamerkan kepada dunia luar?
Kedua, fenomena yang memuntahkan ini membuktikan kegagalan generasi tua mendidik generasi muda. Generasi muda tidak akan mengabaikan kebersihan kalau generasi sebelum memberi perhatian lebih terhadap tahap kebersihan. Generasi muda mencedok kelakuan generasi tua, iaitu tidak menghargai kebersihan awam. Saya sebagai generasi tua juga mengaku kegagalan saya mendidik pelajar saya supaya lebih menjaga kebersihan.
Ketiga, kemelut ini membuktikan tahap kebersihan masyarakat kita yang masih rendah. Kita hanya akan mengutamakan kebersihana apabila berlaku sesuatu wabak penyakit seperti ketika SARS dahulu. Masyarakat kita tidak mahu menjadikan menjaga kebersihan sebagai satu budaya negara yang mampu memberi imej positif kepada pelancong asing. Cuba kita tanya pelancong asing dan dengar jawapan mereka?
Keempat, sikap tidak menghargai kebersihan ini membuktikan sikap masyarakat yang mementingkan diri sahaja. Kenapa mereka perlu bersihkan tandas di rumah dan tidak tandas awam? Adakah kita mementingkan diri atau lebih tepat lagi kita tidak mempunyai sikap menjaga perasaan orang lain. Mungkin konsep perpaduan perlu diperluas ke konsep kebersihan.
Balik kepada tandas di tempat saya bekerja itu, sudah banyak kali pelajar diingatkan supaya menjaga kebersihan tetapi masih gagal. Pelbagai notis dan poster ditampalkan tetapi masih tiada impak. Mungkin peringatan harus ditukar menjadi kekerasan kerana bukan sahaja kotor tetapi tandas penuh dengan vandalisme. Tidak mungkin pelajar begitu kreatif?
Kejadian hari ini juga menyebabkan saya teringat satu laporan akhbar yang mengatakan peminat bola sepak Korea Selatan di Jerman telah membuat satu rekod baru. Mereka telah membersihkan sampah-sarap yang mereka hasilkan di jalan raya setelah merayakan kejayaan pasukan mereka dalam satu perlawanan. Sayangnya tidak ada banyak pihak media massa di negara ini yang mahu menonjolkan berita itu sekurang-kurangnya sebagai satu kritikan terhadap masyarakat kita.
Mungkin sudah tiba masanya kita semua merenung sikap masyarakat kita, adakah kita membasuh tangan selalu? Adakah kita suka makan di tempat-tempat yang kotor? Adakah kita memang tidak suka kebersihan? Adakah masyarakat kita memang tidak mahu berubah?

Wednesday, July 05, 2006


Kalau ada pelajar bertanya kepada saya adakah saya menyukai sungai? Jawapan saya sudah pasti, saya suka. Kenapa saya suka? Sudah pasti kerana sungai mempunyai banyak kenangan menarik buat saya. Cuma jawapan saya ini hanya saya ketahui beberapa tahun yang lalu ketika saya mula menggunakan LRT. Ya, stesen LRT berhampiran rumah saya mempunyai sungai.

Jadi kali ini ceritanya tentang sungai kita atau lebih tepat sungai saya (ha,ha,). Setiap kali saya pergi ke stesen LRT, saya akan menoleh ke arah sungai itu. Pelbagai perkara berlaku. Semuanya menarik perhatian saya. Biasanya peristiwa menarik berlaku apabila hari hujan. Maksud saya hujan yang lebat.

Pernah sekali, ketika hujan lebat, saya terperangkap di stesen LRT. Paras air sungai itu sudah mencecah hampir sama dengan jambatan besi yang menghubungkan Pandan Jaya dengan Pandan Perdana dan Shamelin. Saya duduk di situ seketika dan mengetuk dahi beberapa kali kerana lupa untuk membawa payung. Entah dari mana muncul satu tangan menghulurkan payung buat saya. Tangan pelajar saya. Menurutnya dia nampak saya dan ingin berkongsi payung bersama.

Saya menjelaskan kepadanya saya tidak memerlukan payung dan mampu untuk menunggu sehingga hujan berhenti sebelum meneruskan perjalanan ke rumah saya yang berhampiran stesen itu. Pelajar itu terus merayu dan merayu. Saya membantah dan membantah. Akhirnya, kami duduk bersama di tangga stesen LRT itu bersama-sama penumpang-penumpang lain yang turut terkandas petang itu. Kami terus berbual-bual.

Berbual tentang pelajaran, masa depan, kehidupan pelajar yang penuh tekanan, dan banyak lagi. Perbualan kami seolah-olah seperti kawan, tanpa ada halangan formaliti. Pelajar itu seolah-olah kawan lama saya yang sudah bertahun-tahun tidak bertemu. Malah, saya yakin ada penumpang yang menunggu di situ yang tertanya-tanya hubungan kami.

Perbualan kami berlangsung lebih sejak. Sebaik sahaja hujan berhenti, kami pun berhenti berbual. Dia meneruskan perjalanannya dan saya turut meneruskan destinasi saya. Dalam perjalanan pulang itu, saya mula mengenangkan pelajar itu. Saya mula berfikir sejenak.

Di kelas, dia agak pendiam. Duduk di belakang. Tidak pernah dia bertanyakan soalan. Agaknya kerana hujan, dia berani bersuara. Atau mungkin kerana dia ingin menolong saya membuatkan dia berani bercakap. Atau mungkin sekali-sekala guru dan plajar harus membuang formaliti mereka. Bukankah guru pernah menjadi murid dan murid suatu masa nanti berubah menjadi guru. Sesungguhnya hidup ini memang satu putaran.




Sungai yang tercemar di negara kita dikatakan makin meningkat jumlahnya kini. Hal ini berpunca daripada beberapa faktor yang seharusnya kita berikan perhatian.
Pada pandangan anda, apakah punca-punca berlakunya pencemaran ini dan bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah tersebut?

Menurut satu laporan akhbar lebih daripada separuh sungai di negara ini yang sudah tercemar. Laporan itu turut mengesahkan bahawa 11 sungai di negara ini sudah tercemar dengan teruk dan hanya 32 sahaja dikategorikan sebagai bersih. Hasil laporan ini sudah pasti tidak memeranjatkan kita semua kerana memang rakyat kita terkenal dengan sikap yang suka melakukan pencemaran terhadap alam sekitar.
Pencemaran sungai di negara ini berpunca daripada hasil kelodak dan sisa kumbahan yang terhasil akibat aktiviti penerokaan hutan. Kalau kita kaji dengan mendalam kerja-kerja meratakan tanah, menebang balak secara besar-besaran dan membuka tanah boleh menghasilkan banyak kelodak dan sisa kumbahan. Keadaan ini diburukkan lagi dengan berlakunya kejadian hakisan tanah akibat ketiadaan perancangan dalam penerokaan hutan oleh pihak yang terbabit. Hakisan tanah ini pula jika tidak dikawal boleh menyebabkan berlakunya tanah runtuh yang mampu mengorbankan nyawa manusia.
Sudahlah ketiadaan perancangan penerokaan hutan, masyarakat kita sering menjadikan sungai sebagai tempat “menyimpan” segala-galanya dan ini termasuklah bahan najis manusia dan haiwan. Penggunaan racun rumpai dan serangga oleh sektor pertanian turut menyumbang kepada tahap kualiti sungai yang rendah. Bahan kimia seperti racun ini biasanya tidak mampu terurai dengan mudah dan mengambil masa yang lama untuk dibersihkan oleh air sungai. Bukan sahaja keadaan ini bakal menyusahkan manusia tetapi turut memberi kesan negatif kepada hidupan liar lain.
Pembuangan bahan kimia ke dalam sungai oleh sektor pertanian masih lagi dianggap kecil berbanding dengan pembuangan sisa perindustrian. Bahan toksik yang dibuang oleh sektor industri boleh memberi kesan “segera” kepada manusia dan hidupan sungai. Malah sudah beberapa kali JAS bertindak menahan dan membawa pengusaha kilang ke muka pengadilan kerana melakukan kesalahan dengan membuang sisa toksik tanpa kawalan atau tidak merawatnya dahulu. Antara contoh sisa toksik yang sering dibuang oleh sektor industri ialah logam berat seperti arsenik, kadmium, raksa, dan plumbum.
Isu pencemaran sungai negara ini boleh diatasi jika semua pihak berganding bahu seperti turut serta dan menghayati kempen “Cintai Sungai Kita” yang boleh dijalankan secara besar-besaran melalui pelbagai media massa. Kempen kesedaran ini pastinya dapat menyedarkan masyarakat kepentingan sungai dalam kehidupan manusia dan seterusnya memberi kerjasama menjaganya. Usaha yang lebih teratur perlu ditekankan kepada pelajar sekolah, universiti dan golongan remaja kerana inilah golongan yang akan mewarisi sungai kita suatu masa nanti.
Selain mengadakan kempen, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan oleh JAS dan Jabatan Parit dan Saliran (JPS). Penguatkuasaan ini memastikan masyarakat berasa takut dan bertanggung jawab menjaga kebersihan sungai kita. Amalan mengenakan denda yang berat dan pengawasan yang menyeluruh bakal menentukan keseinambungan sungai kita untuk generasi akan datang. Demi memastikan sungai tidak tercemar, tidak ada seorang pun yang terletak di atas undang-undang. Namun, kita perlu ingat bahawa undang-undang yang ada tidak bererti jika tiada penguatkuasaan yang baik.
Laporan yang dikeluarkan oleh JAS itu amat menarik dan berguna untuk memastikan kebersihan sungai negara ini. Berdasarkan laporan itu JAS dan JPS dapat mengenal pasti sungai yang tercemar dan merawatnya. Malah sungai yang belum tercemar turut dapat dikawal dan dikekalkan. Penyelidikan dan penilaian tahunan yang dijalankan seperti ini pastinya membawa banyak manfaat kepada jabatan berkenaan untuk merancang strategi dan kaedah yang wajar dalam menangani isu sungai yang tercemar ini. Langkah ini perlu diteruskan dari tahun ke tahun dan dalam pelbagai aspek masalah lain.
Sesungguhnya, kesan pencemaran sungai ini amat menakutkan kerana pencemaran ini turut menjejaskan air minuman dan bekalan air bersih negara. Jika masalah ini tidak ditangani segera, rakyat mungkin akan menghadapi pelbagai jenis penyakit yang berbahaya kerana air penting dalam kehidupan manusia.

Tuesday, June 27, 2006

Lagi lagi buli...menyampah



Budaya buli? Adakah ini merupakan budaya kita yang sering diagung-agungkan oleh kita selama ini? Kenapa buli boleh berlaku terutama di sekolah dan dalam kalangan pelajar kita sendiri? Kali ini saya ingin mengutarakan pandangan saya mengenai buli kerana saya sendiri bingung memikirkan kekerapan budaya ini timbul dalam masyarakat kita

Pertama sekali, ingin saya jelaskan di sini bahawa pembuli ialah orang yang tidak mempunyai keyakinan diri dan kebolehan untuk berfikir yang sejati. Pembuli menganggap semua perbuatan mereka itu sebagai lambang kekuatan mereka. Malah, saya yakin ada antara pembuli beranggapan tindakan mereka disukai oleh orang lain. Mereka berpandangan bahawa pelajar-pelajar lain akan menghormati mereka. Semua anggapan mereka itu salah belaka.

Gejala ini juga amat menarik kerana kesannya begitu mendalam terhadap mangsa. Sudah banyak kes yang mendedahkan mangsa menerima rawatan di hospital kerana terlalu teruk dibuli. Namun, satu perkara yang kita lupa ialah buli juga membawa kesan psikologi. Mungkin satu kajian terperinci mengenai kesan psikologi terhadap mangsa buli dilaksanakan oleh kerajaan. Maklumat ini boleh digunakan untuk menangani masalah yang semakin serius.

Gejala buli ini mula mendapat perhatian kerana sudah ada beberapa kes buli yang dipaparkan oleh media massa. Malah, Menteri Pendidikan sendiri sudah memberi komen diikuti oleh tokoh-tokoh pendidik yang lain. Semuanya mempunyai satu kesimpulan iaitu budaya buli ini memang wujud dan perlu dikikis terus daripada sekolah.

Jadi, kenapa gejala buli ini muncul semula? Saya ingin berkongsi beberapa cadangan. Pertama, semua pihak terutama pihak sekolah dan ibu bapa perlu duduk semeja untuk membincangkan fenomena negatif ini. Kedua-dua pihak harus menyedari peranan mereka dalam sistem pendidikan negara. Kedua-dua pihak tidak harus menyalahkan satu sama lain apabila isu ini timbul semula. Ibu bapa usah mudah melenting apabila anak mereka dihukum kerana budaya buli ini, begitu juga pihak sekolah tidak perlu terlalu sensitif sehingga tidak mahu mendedahkan masalah buli di sekolah mereka.

Kedua, sistem pengawasan terutama kecekapan pengawas sekolah perlu ditingkatkan. Mereka harus didedahkan cara-cara untuk mengatasi masalah buli ini apabila berhadapan dengannya. Pengawas harus lebih peka dengan keadaan persekitaran pelajar dengan mampu mencium sebarang tanda-tanda awal kes buli. Pemeriksaan ke kawasan terpencil di sekolah perlu lebih kerap dilakukan oleh mereka.

Ceramah kesedaran tentang isu ini harus diberikan kepada semua pelajar. Dalam ceramah itu mereka harus diberikan arahan untuk menangani masalah ini apabila berhadapan dengannya. Ada pelajar yang mungkin tidak tahu cara atau kepada siapa mereka harus melaporkan sesuatu tindakan buli itu. Arahan ini perlu jelas dan diterangkan secara terperinci.

Selain itu, hukuman yang lebih jelas dan telus harus diberikan kepada pelajar yang terbabit dalam kes ini. Dalam usaha menangani kemelut yang semakin menular ini, pihak sekolah tidak harus bersikap memberi peluang kedua kepada pembuli. Tindakan tidak tegas akan memberi pandangan yang negatif kepada pelajar tentang pembuli. Sekarang ialah masa untuk bertegas bukannya berbuat baik kepada pembuli.

Malah, media massa mempunyai peranan yang paling penting. Media massa harus menyiarkan berita buli ini tanpa sebarang kekangan. Media massa harus menjadikan isu ini isu negara yang semua pihak mengetahui keadaannya. Pendedahan media massa yang kerap akan menyebabkan semua pihak memberi perhatian dan tidak berpeluk tubuh sahaja.

Ringkasnya, gejala ini mampu ditangani jika semua pihak bersedia untuk mendengar dan duduk untuk berbincang. Usah kita menuding jari kerana masa depan pelajar terletak pada kewarasan kita menyelesaikan kemelut ini. Kalau kita bijak bertindak,masa depan pelajar akan lebih cerah.